Datuk Mukhriz Mahathir mengaku beliau sendiri merasa kecewa dengan cara dan tindak tanduk Datuk Seri Rafidah Aziz melayan bapanya,Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu AP.

“Saya rasa sesetengah perkara yang beliau katakan tak sepatutnya.. saya ingat banyak lagi cara-cara yang lebih beradab dan cara yang beradab ini saya ingat lebih cepat boleh selesai,”katanya.

Mukhriz dikerumuni oleh para wartawan untuk mengetahui perasaannya sebagai anak Dr Mahathir berdepan dengan isu yang telah menarik perhatian ramai ini selepas majlis sambutan hari jadi ke 80 bekas Perdana Menteri itu anjuran 80 pertubuhan rakyat di PWTC Jumaat malam.

      

Ditanya apakah cara beradab yang dimaksudkannya itu,beliau berkata misalnya semasa ucapan pengulongannya di Perhimpunan Agung UMNO ramai yang tertunggu-tunggu untuk Rafidah memohon maaf kepada Dr Mahathir.

“Dalam adab melayu..orang timur ni..mohon maaf tak bererti mengaku bersalah.. Itupun tak dapat…itu yang kita terkilan sikit,”ujarnya.

Mukhriz yang juga ahli Exco Pemuda UMNO Malaysia berkata soal asas di sini ialah tanda hormat.

“ Bagi ayah saya… saya ingat bukan mohon maaf yang dia minta cuma penjelasan dan kebenaran…beliau hanya berpegang kepada prinsip kepentingan negara,”katanya.

Ditanya apakah mengikut pandangannya Rafidah tak hormat Dr Mahathir sekarang,Mukhriz berkata , “itu pun saya tak tahu nak kata ...cuma kita rasa heranlah lebih-lebih dalam Perhimpunan Agung UMNO ikut adab hormat..gaya dia tu ada banyak cara lagi saya ingat lebih elok".

Menurut Mukhriz bapanya merasa sangat kecewa kerana dalam usaha beliau mencari kebenaran untuk kepentingan negara ada seorang kawan lama yang menghalang.

Ditanya pula apakah beliau rasa Rafidah berbohong kepada perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO,Mukhriz berkata, “ buat masa ni saya tak berani cakap samaada beliau berbohong atau tidak…tapi setakat ni kita masih ternanti-nanti penjelasan yang memuaskan hati sebab banyak lagi persoalan yang timbul mengenai AP yang tak terjawab.

“Malah banyak menimbulkan persoalan yang baru..jadi saya ingat kalau beliau berhasrat nak tutup isu tu pada waktu berkenaan ...banyak masih belum terjawab.”

Mukhriz memberitahu dalam surat Rafidah kepada Dr Mahathir senarai penerima AP tak dilampirkan dan sebaliknya senarai itu kemudiannya dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

“Walaupun ( Rafidah kata dalam surat itu ) telah dijelaskan kesemuanya…tetapi banyak belum dijelaskan,”katanya.


Ditanya apakah Dr Mahathir ada berbincang dengan keluarga termasuk beliau sendiri mengenai hal AP ini,Mukhriz berkata memang dari dulu (waktu Perdana Menteri) pun tak pernah.

Mengenai cakap-cakap bahawa Dr Mahathir sengaja tidak mahu hadir majlis perasmian Perhimpunan Agung UMMO kali ini kerana kecewa mengenai sesuatu ,beliau berkata itu tidak benar.

“Sebenarnya ada sikit kesilapan dari segi tarikh.Tun ingat Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada akhir bulan.Beliau pula ada undangan dari kerajaan Colombia.Biasanya beliau tak pernah miss .”katanya.

Ditanya apakah Dr Mahathir kecewa terhadap ‘penyingkiran’ CEO Proton Tengku Tan Sri Mahaleel Ariff,Mukhriz berkata, “ sebagai Penasihat Proton beliau tentu ada pandangan sendiri…saya tak pasti..Tun yang bawa masuk Tengku Mahaleel.

Ditanya pandangannya pula tentang hal ketiadaan Tengku Mahaleel di Proton ,Mukhriz hanya berkata, “ kalau jualan Proton meningkat …betullah tu…jangan menurun sudahlah.”