|
|
Monday, August 08, 2005
MTEN: Mengapa Petronas tidak disenaraikan di Bursa M'sia
MTEN: Mengapa Petronas tidak disenaraikan di Bursa M'sia
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Syarikat minyak negara, Petronas akan hilang tanggungjawab sosial dan objektif strategiknya kepada negara sekiranya disenaraikan pada Bursa Malaysia, kata Ketua Pasukan Perunding Khas Globalisasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Prof Dr Mahani Zainal Abidin.
Beliau berkata Petronas kini memainkan peranan yang besar dari segi pemberian subsidi untuk menjamin harga minyak dan gas dalam negara rendah.
"Sekiranya Petronas disenaraikan, maka ianya akan menjadi seperti syarikat minyak lain seperti Shell dan Exon-Mobil dan akan hilang tanggungjawab sosial dan objektif strategiknya kepada negara," katanya pada Program Isu Semasa yang disiarkan secara langung oleh TV1 Ahad malam.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan seorang pemanggil yang bertanyakan mengapa Petronas tidak disenaraikan sedangkan langkah itu akan memberi keuntungan berpuluhan bilion ringgit yang boleh digunakan semula untuk meneruskan subsidi minyak.
Program sejam itu yang dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar turut disertai penasihat Persekutuan Persatuan Pengguna MalaysiA (FOMCA) Prof Datuk Hamdan Adnan.
Menurut Mahani, jika Petronas disenaraikan pada Bursa Malaysia, tindakan itu tidak akan menguntungkan negara dan rakyat.
"Simpanan minyak dan gas negara dijangka berakhir dalam masa 19 tahun lagi. Apabila ini sudah berakhir dari mana Petronas boleh terus mendapatkan minyak untuk menjamin harga terus rendah," katanya.
Beliau juga tidak menolak bahawa harga minyak akan terus naik memandangkan negara dijangka berubah dari sebuah negara pengeksport minyak sekarang kepada negara pengimport minyak pada 2009.
Katanya, sungguhpun Petronas mencatatkan keuntungan lebih RM31 bilion pada tahun lepas, namun dua pertiga daripada hasil minyak negara dikuasai dua syarikat asing iaitu Shell dan Exxon-Mobil.
Sekiranya harga minyak tidak dinaikkan, katanya sebahagian besar keuntungan Petronas akan tersalur kepada syarikat minyak asing itu.
Jumlah subsidi yang akan ditanggung kerajaan tahun ini berikutan kenaikan harga minyak minggu lepas dijangka berada pada tahap RM14.5 bilion, tambahnya.
Hamdan pula berkata pengguna secara amnya sedar bahawa subsidi minyak tidak boleh diteruskan tetapi apa yang lebih membimbangkan adalah kenaikan harga barang yang akan berlaku setiap kali harga minyak dinaikkan.
"Kita perlu ada ketelusan dari banyak segi terutamanya rakyat perlu tahu ke manakah perginya hasil keuntungan Petronas dan ianya perlu dijelaskan," katanya.
Beliau juga bimbang kesan kenaikan harga minyak terhadap keluarga yang berpendapatan rendah tetapi menpunyai anak serta tanggungan yang ramai.
"Bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai di sekolah sudah tentu akan menghadapi kenaikan lain seperti tambang bas dan belanja untuk anak-anak mereka. Kerajaan perlu mencari cara untuk memastikan tidak ada sesiapa pun yang tercicir kerana kemiskinan," katanya.
Beliau turut mengesa masyarakat pengguna supaya lebih berjimat dalam penggunaan minyak serta peka terhadap kenaikan harga barangan dengan membeli di tempat yang menawarkan harga yang rendah.
-- BERNAMA
Posted at 01:51 pm by infojiboi
Permalink
Anwar sambut ulangtahun kelahiran ke 58 bersama 10 ribu tetamu
Anwar sambut ulangtahun kelahiran ke 58 bersama 10 ribu tetamu
 |
SEBERANG JAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ulangtahun ke 58, bersama 10 ribu hadirin sempena Jamuan dan Pidato Perdana bersama beliau, di Perkarangan Pejabat Keadilan Negeri, Taman Kelasah, 5 Ogos lalu.
Upacara ringkas memotong kek hari lahirnya disempurnakan Anwar bersama isteri beliau, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail, selaku Presiden Keadilan yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Selepas memotong kek, Anwar memberikan ciuman ke pipi Azizah sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin yang menyaksikan acara tersebut melalui 2 layar besar.
|
“Manalah nak cari isteri macam Azizah ni, yang sanggup berkorban dan bersusah payah sewaktu saya di dalam (penjara),” puji Anwar ketika berucap malam itu.
Majlis seumpama itu julung kali diadakan untuk beliau selepas dibebaskan 2 September tahun lepas, setelah dipagari jerejak besi selama 6 tahun.
Tarikh lahir beliau ialah 10 Ogos 1947.
Majlis turut diserikan dengan persembahan seni silat tari.
Turut diadakan majlis penyerahan borang keahlian penubuhan 6 cawangan baru di Kadun Seberang Jaya kepada Presiden. Keadilan Permatang Pauh turut menerima kemasukan seramai 150 ahli baru daripada kaum Cina.
Azizah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan Futsal anjuran Keadilan Seberang Jaya Bersatu. |
 |
Tetamu khas malam itu, Timbalan Presiden PAS; Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Ahli Parlimen Ahli Parlimen (DAP) Tanjong YB Chow Kon Yeow.
Turut hadir, Naib Presiden Keadilan; Azmin Ali, Setiausaha Agung Keadilan; Datuk Kamarul Baharin Abas, Pengerusi Perhubungan Negeri; Datuk Zahrain Mohd Hashim; Ahli Parlimen (DAP) Bukit Mertajam; YB. Chong Eng, Adun (PAS) Permatang Pasir ;YB Hamdan Abdul Rahman; YDP PAS Permatang Pauh; Omar Hassan dan pimpinan BA peringkat negeri dan bahagian.

Posted at 01:31 pm by infojiboi
Permalink
Berikan angka sebenar
Institut Pembangunan Ekonomi mempunyai satu hasil bancian yang mengejutkan – lebih kurang 120,000 orang pelajar cemerlang Melayu gagal mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian mereka di universiti tempatan, dan tiba-tiba, isu ini telah menarik perhatian rakyat Malaysia, mendedahkan bahawa bukan hanya pelajar Cina yang tidak dapat meneruskan pelajaran di universiti tempatan.
120,000 bukanlah satu angka yang kecil, dan oleh kerana itu, naib presiden UMNO Muhyiddin telah menyatakan bahawa isu ini akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Tahunan parti itu minggu ini, dan kementerian pengajian tinggi akan bermesyuarat untuk membincangkan tentang cara-cara untuk membantu pelajar-pelajar ini untuk melanjutkan pelajaran mereka.
Selepas beberapa hari ber’hoohah’, menteri pengajian tinggi Shafie Salleh menjelaskan bahawa anggaran sebanyak 120,000 itu adalah terlebih dan tidak tepat. Kerosakannya telah berlaku, dan penjelasan lewat oleh kementerian tidak dapat untuk memperbaiki keadaan.
Shafie berkata angka 120,000 tersebut adalah melampau, bagaimanapun dia gagal untuk memberikan angka yang sebenar sekaligus membuktikan penyakit biasa dalam perkhidmatan awam negara ini – kegagalan untuk memberikan gambaran sebenar setelah sesuatu berlaku, justeru menimbulkan kesangsian dan teka-teki di kalangan rakyat.
Sebarang angka yang diumumkan adalah sangat penting bagi pembangunan negara. Walau bagaimanapun, apa yang kita lihat adalah kebanyakan agensi kerajaan sering memberikan maklumat yang lapuk atau kabur dalam menghasilkan angka yang relevan. Maka fahamlah kita mengapa pihak pembangkang kerap menuding jari ke arah kerajaan kerana memberikan maklumat yang tidak tepat atau cuba untuk menyembunyikan fakta daripada pengetahuan umum seterusnya mewujudkan konflik.
Ambil sahaja isu AP sebagai contoh, sehingga hari ini, kita masih kabur tentang di mana letaknya punca masalah itu sebenarnya, dan kita masih tidak tahu berapa banyak AP yang telah dikeluarkan kepada berapa ramai orang. Ini adalah satu isu utama yang mempunyai kaitan penting dengan pembangunan industri serta ekonomi negara, dan rakyat tidak mempunyai laluan kepada maklumat sebegitu manakala kementerian yang berkenaan pula tidak bertanggungjawab untuk membuat sebarang penjelasan!
Kembali kepada isu 120,000 orang pelajar Melayu gagal mendapat tempat di universiti tempatan, kita menghadapi masalah yang sama di mana ramai pelajar tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka di universiti kerajaan setiap tahun. Namun begitu, kementerian pelajaran tidak pernah mendedahkan jumlah sebenar pelajar cemerlang yang tidak diberikan tempat dalam universiti tempatan, dan ini menyebabkan kita gagal untuk menangani masalah ini secara berkesan. Kita sedar bahawa kerajaan telah membina sebuah demi sebuah universiti baru, tetapi ia masih tidak dapat menampung permintaan pelajar-pelajar ini.
Maklumat-maklumat sebegini adalah seperti rahsia besar yang tidak boleh didedahkan kepada umum. Kita tidak mempunyai pilihan lain selain daripada membuat tekaan sendiri tentang data yang diberikan itu, malah angka yang diberikan oleh sektor persendirian juga tidak konsisten, menyebabkan timbul rasa was-was dan kontroversi yang menjejaskan pembangunan ekonomi negara. Jika badan-badan kerajaan mampu mengeluarkan statistik yang terkini, masalah-masalah sebegitu tidak akan terjadi dan banyak konflik yang tidak diperlukan pasti akan dapat dielak.
Posted at 01:24 pm by infojiboi
Permalink
Talqin untuk pemandu-pemandu kereta sewa Seremban
Talqin untuk pemandu-pemandu kereta sewa Seremban
Kenaikan harga bahan api baru-baru ini benar-benar menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu kereta sewa di Seremban. Ini adalah kerana kebanyakan kereta sewa menggunakan bahan api diesel dimana kenaikannya ialah sebanyak 20 sen untuk setiap liter.
Saya telah sempat mendengar keluhan beberapa pemandu kereta sewa di Seremban hari Ahad yang lalu
Menurut pemandu-pemandu kereta sewa ini, nasib mereka sekarang ini umpama “Sudah Jatuh Ditimpa Tangga”, sudahlah keluhan mereka sebelum ini dimana mereka menghadapi persaingan yang tidak sepatutnya daripada pengusaha teksi yang mendapat lebihan permit daripada permit teksi Lembah Kelang, kini mereka dihantui pula oleh kenaikan harga diesel yang akan menyebabkan penumpang sudah mula menyahut serua Menteri Kabinet supaya “Bijak Berbelanja” dengan menggunakan pengangkutan awam lain terutamanya bas atau berkongsi kenderaan.
Bukannya mereka ini tidak pernah berunding dengan wakil rakyat dan ahli parlimen, malah menurut mereka sudah tidak kurang empat kali mereka memanjat pejabat wakil rakyat namun tiada jalan penyelesaian ke atas nasib yang menimpa mereka. Kecewa dengan penantian yang tiada kesudahannya umpama “Gantung Tak Bertali”, mereka juga melalui beberapa persatuan berkaitan telah menulis surat kepada Perdana Menteri agar campur tangan untuk menyelesaikan masalah pemandu-pemandu kereta sewa di Seremban yang umpama “Telur Dihujung Tanduk”. Namakan sahaja apa persatuan yang mereka salurkan masalah mereka, Persatuan Bekas Perajurit, Persatuan Pemandu Kereta Sewa, Persatuan Kereta Sewa Bandar Seremban dan Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Negeri Sembilan, namun tiada satu pun persatuan yang dapat benar-benar menyuarakan masalah mereka kepada kerajaan negeri, kerajaan pusat mahupun kementerian yang berkaitan.
Kemuncaknya ialah apabila pemandu-pemandu kereta sewa ini telah mengadakan piket kerana sudah tidak tahan lagi menunggu jawapan dan tindakan daripada pihak kerajaan dan kementerian. Yang mengecewakan pemandu kereta sewa ini ialah apabila pemimpin kerajaan negeri menuduh pemandu-pemandu kereta sewa ini malas, tidak mahu berusaha cari penumpang sekitar bandar Seremban. Menurut seorang pemandu kereta sewa yang tidak ingin disiarkan namanya berkata, “Bukannya mereka tak mahu cari penumpang sekitar bandar Seremban, masalahnya ialah mereka ialah pemandu kereta sewa. Status kereta sewa berbeza dengan status teksi. Kereta sewa hanya diberi permit untuk mengambil penumpang dari stesen bas atau kereta api dan dihantar ke destinasi mereka, dan selepas itu mereka mesti pulang semua ke stesen bas dan kereta api. Kereta sewa tak perlu guna meter, teksi mesti menggunakan meter. Teksi plet kenderaan mereka bermula dengan huruf H sedangkan kereta sewa menggunakan plet kenderaan biasa mengikut negeri”. Itulah keluhan sebahagian daripada pemandu-pemandu kereta sewa di Seremban ini.
Seorang lagi pemandu kereta sewa menyatakan mereka tidak diberi permit teksi walaupun beberapa permohonan telah dibuat, kerana menurut kementerian permit teksi hanya dikeluarkan pada syarikat besar bukannya individu. Kalau mereka hendak mengusahakan teksi mereka terpaksa menyewa teksi daripada syarikat ini dimana mereka dikehendakki membayar wang pendahuluan RM 5000 dan ditambah lagi dengan sewa harian sebanyak RM 57 sehari. “Mana nak cari duit sebanyak itu, sedangkan sekarang pun mereka hanya boleh mendapat kutipan sebanyak RM 60 sehari belum ditolak dengan penyenggaraan, kos diesel dan ansuran bulanan kereta”.
Apa yang mereka minta ini bukannya banyak sangat. Samada kerajaan atau kementerian berkaitan menghentikan operasi teksi yang mendapat permit dari Lembah Kelang ataupun memberikan mereka permit teksi, supaya mereka boleh mencari penumpang sekitar bandar Seremban dengan ini tidaklah mereka ini dituduh pemalas.
Terdapat antara 450 ke 500 pemandu kereta sewa di Seremban yang bersaing dengan tidak kurang 80 teksi. Kebanyakan pemandu kereta sewa ini mempunyai beban tanggungan yang ramai kerana mereka ini sudah berkeluarga, serta amatlah sukar untuk mereka mencari pekerjaan yang lain kerana tidak kurang 30% daripada pemandu teksi ini adalah merupakan bekas anggota tentera, bekas anggota polis dan bekas kakitangan kerajaan. Dan mereka yang menjadi pemandu kereta sewa ini terdiri dari berbilang kaum sekitar 60% Melayu , 30% Cina dan 10% India.
Oleh itu adalah diharapkan agar kerajaan negeri, kerajaan pusat serta kementerian yang berkaitan melalui Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan agar memberi jalan penyelesaian yang munasabah kepada pemandu-pemandu kereta sewa di Seremban ini antaranya ialah memberikan kemudahan kepada pemandu kereta sewa ini diberi kelulusan untuk mendapat permit teksi individu. Disamping itu kerajaan juga harus mempertimbangkan subsidi diesel untuk pengusaha kenderaan awam diseluruh negara sebagaimana mereka memberikan subsidi diesel kepada para nelayan. Disamping itu beliau menyatakan kerajaan juga haruslah memberikan kemudahan serta menurunkan harga kit penggunaan NGV atau gas asli , dimana bahanapi ini jauh lebih murah. Bukan itu sahaja stesen-stesen minyak juga haruslah diperluaskan untuk menyediakan kemudahan bekalan NGV, dimana menurut satu sumber di seluruh Johor contohnya hanya terdapat 4 stesen minyak yang membekalkan NGV.
Jika tidak biarlah pemandu-pemandu kereta sewa ini berkubur agar mereka tidak ternanti-nanti pembelaan daripada pihak kerajaan umpama “Pungguk Rindukan Bulan”.
:.ROZMAL
Posted at 12:54 pm by infojiboi
Permalink
Sunday, August 07, 2005
Macam Mana Rasa Bila Mawi(AF) Menang ?(Manis Ke... Masam Ke?)
Macam Mana Rasa Bila Mawi(AF) Menang ?(Manis Ke... Masam Ke?)
 |
"Alamak, kenapa bagi Mawi perform lambat sangat!", itulah antara rungutan kedengaran dari rakan-rakan yang 'die-hard Mawi' apabila dengan tidak sabarnya menunggu-nunggu aksi Mawi di atas pentas. Apa yang pasti 'aksi' Mawi yang dilabelkan di dalam harian Metro sebagai 1 dalam 1000 amat ditagih oleh semua 'die-hard fan' Mawi disegenap lapis masyarakat, terutamanya MELAYU. Untuk penonton yang bergelar mahasiswa yang mana mempunyai kemudahan Astro pasti tidak mempunyai masalah untuk terus 'tercongok' didepan TV untuk melihat konsert akhir AF itu.
Namun apabila dinobatkan Mawi sebagai Juara AF, maka 'Kebah'lah sudah demam yang melanda anak melayu Malaysia. Namun disini tidaklah saya mahu mengulas tentang apa yang berlaku di konsert itu, memandangkan saya pun tidak mengikuti secara langsung konsert itu di Astro(Maklumlah kat bilik saya mana ada Astro!). Cuma disini, saya ingin fokuskan 'lensa kehidupan' anda kepada apa yang berlaku disekitar kampus saya ini ketika dan sebelum berlangsungnya konsert tersebut. |
SEBELUM KONSERT.
Pada ketika ini, sudah mula penyokong AF sibuk top-up telefon bimbit mereka semata-mata untuk menyenangkan mereka meng'vote' calon pilihan mereka. Maklumlah PTPTN dan JPA sudahpun 'masuk', jadi bolehlah mereka SMS habis-habisan malam itu. Jadi tidak hairanlah dilaporkan didalam Harian Metro bahawa peminat Mawi menghabiskan RM 12.5 Juta untuk 'vote' Mawi. Itu adalah cerapan yang dibuat dikalangan Mawi FC sahaja.Patutlah Pak Lah berasa kenaikan harga minyak baru-baru ini tidak menjejaskan rakyat Malaysia, mana tidaknya rakyat Malaysia 'kaya-kaya' belaka.
Bagi yang mempunyai 'teman wanita', inilah masa yang terbaik untuk berbincang dimana tempat yang sesuai unuk menonton Konsert AF yang akan berlangsung. Di dalam kampus saya ini, telahpun mempunyai 4 pengkalan utama(yang saya tahu) untuk menonton Astro samaada di Bilik TV(yang disambungkan Astro,masing-masing 1 di Desa Jaya dan Lembaran) ataupun di 2 Kafetaria di Desa Jaya. Namun bagi yang inginkan 'privacy' ada yang memilih untuk menonton Astro di luar kampus, bersama-sama 'fan club' masing-masing.
Sedangkan pada masa sama, saya cuba memerhatikan kelibat pelajar-pelajar CINA di kampus saya ini, rata-rata mereka nampaknya lebih 'tenang' berbanding pelajar-pelajar MELAYU. Bilangan kaum CINA yang menonton memanglah ada, namun bilangannya amatlah sedikit berbanding MELAYU.
SEMASA KONSERT
Jika di dalam kuliah, pelajar MELAYU lebih 'gembira' untuk berada di barisan belakang,namun apabila 'Kuliah Akademi Fantasia' berlangsung, lain pula ceritanya ! Pelajar MELAYU awal-awal lagi sudah 'tercongok' didepan TV. Bagi yang menonton di Kafetaria, minuman dan makanan sudah ada di tangan cuma menunggu 'Prof Madya Aznil' membuka tirainya sahaja.
Agak lama juga konsert itu berlangsung,namun para pelajar 'Kuliah Akademi Fantasia' masih dahagakan aksi calon-calon pilihan mereka beraksi. Jika di kuliah Universiti, 1 jam waktu pembelajaran, sudahpun ada yang inginkan 'waktu rehat' tetapi tarikan kuliah ini amat luar biasa, 3 atau 4 jam didepan TV umpama 30 minit sahaja bagi mereka.
Itulah Kehebatan mahasiswa MELAYU berbanding mahasiswa CINA !
SENARIO PELIK AF.
Satu lagi fenomena pelik yang berlaku disini adalah jika dahulu, seandainya seseorang penyanyi 'lupakan' lirik lagu atau sumbang suaranya apabila 'perform' diatas pentas, sudah pasti para peminat mereka akan 'sedih' dengan prestasi idola mereka, tetapi di AF makin 'lupa' lirik seseorang itu, makin tinggi pula rating untuknya menang ! Mungkin sejarah Pengetua AF kali ini(M.Nasir) yang suatu ketika dahulu 'lupa lirik' ketika beraksi di Juara Lagu TV3 membuatkan generasi baru mutakhir ini lebih suka untuk memilih idola yang 'suka lupakan lirik' agaknya.
Apa tidaknya, hampir kesemua rakaman VClip yang melibatkan nyanyian Mawi (terutamanya part yang Mawi lupa lirik) sering dimainkan berulang-ulang kali oleh peminatnya ! Sehinggakan ada yang berkira-kira seandainya Mawi masuk Malaysia Idol, Mawi pasti menang !
Betulkah sebegitu...? Apa yang saya tahu hanyalah menjadi pendengar yang setia dan terus tersenyum.(Nak ditegur apa 'kebendanya' bila 'kuasa' tidak diberikan kepada pemimpin pro-islam yang wujud di dalam kampus!)
Sekian.
:.Amirulreza
Posted at 10:35 pm by infojiboi
Permalink
TUN DR M TIDAK DIUNDANG UMNO?
TUN DR M TIDAK DIUNDANG UMNO?
Cili Api mendapat khabar dari sumber yang sangat dipercayai bahawa sehingga enam hari sebelum Perhimpunan UMNO bermula, bekas PM serta Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir, masih tidak mendapat undangan untuk menghadiri Perhimpunan tersebut.
Sudah tentulah beliau kecewa kalau tidak murka pun. Oleh kerana itu beliau terus belah, khabarnya mula-mula ke London dan kemudian ke Argentina, di mana beliau memiliki ladang dan kawasan menunggang kuda yang sangat luas.
Cili Api dengar bukan soal AP saja yang menyebabkan kelewatan mengundang Tun Dr M. Bahkan ada khabar-khabar angin kononnya terbongkar gerakan yang mendapat restu daripada mantan Presiden UMNO itu, untuk menyerang Presiden sekarang.
Kononnya ada perwakilan yang sudah bersiap untuk mengemukakan usul mengejut tidak percayakan Abdullah. Tetapi, Pak Dolah, dengan alat-alat yang ada pada kerajaan dan seorang PM, telah dapat menyekat rancangan ini.
Sebenarnya Cili Api tidak hendak mendengar sangat berita angin. Tetapi masalahnya, oleh sebab media perdana tidak boleh dipercayai, dalam negara ini berita angin sudah menjadi sumber berita yang dianggap lebih tepat.
ORANG MASIH SAYANG SAYA!
Akhbar-akhbar telah menyiarkan berita tentang Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut atau diraikan untuk hari jadinya. Sangat menyentuh kalbu Cili Api. Tetapi yang lebih menyentuh perasan ialah apa yang diakatakan oleh Tun Dr M berhubung sambutan ini.
Dia kata dia rasa gembira sebab ada sambutan di hotel-hotel. Bahkan katanya Yang Dipertuan Agung pun telah memberikan kek hari jadi kepadanya. Ujar Tun Dr M, “Saya sangat gembira sebab orang masih ingat kepada saya”
. Kalbu Cili Api rasa tersetuh. Bahkan merasa sangat sedih campur kesian. Tak hendak komen lebih dari itu kerana takut keluar berderai pula air mata Cili Api. Selamat Hari Jadi Tun, Mudah-mudahan Allah lanjutkan umur dengan penuh semangat berAPi-APi!
SELIDIK LEBIH LUAS DARIPADA AP
Cili Api tertarik dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat, Ezam Mohd Noor, dalam Malaysiakini baru-baru ini. Seperti biasa kenyataan pemimpin-pemimpin Keadilan paling jarang sekali dikeluarkan oleh media perdana.
Khabarnya, Presiden UMNO merangkap PM telah mengarahkan supaya media jangan beri apa-apa berita positif kepada Keadilan dan pemimpin-pemimpinnya, terutama sekali Anwar Ibrahim. Dengan tiada berita, orang ramai akan menganggap Keadilan sudah mati dan Anwar tidak aktif lagi.
Mengikut Ezam, Menteri Rafidah harus diselidik bukan saja mengenai soal AP, bahkan banyak lagi soal, seperti pemberian saham kepada keluarga dan lain-lain. Berbagai-bagai laporan polis telah dibuat terhadap Rafidah, terutama oleh Angkatan Muda Keadilan. Akan tetapi sehingga sekarang tiada tindakan diambil.
Baru-baru ini Cili Api baca dalam akhbar Tun Dr M mendakwa bahawa beliau telah menyelamatkan Makcik Fidah sebanyak tiga kali dalam kes-kes berlainan. Takkanlah Tun Dr M bercakap bohong. Tapi yang Cili Api tahu ialah satu kes saja, iaitu apabila bekas PM menolak dalam Parlimen desakan untuk menyiasat tuduhan bahawa Makcik Fidah memberikan saham bernilai jutaan ringgit kepada anggota keluarganya.
Sebenarnya, Cili Api tahu bahawa amalan korupsi dan penyelewengan kuasa meluas di kalangan ramai pemimpin UMNO dan Kerajaan. Tidak terbatas hanya kepada Rafidah.
Ada korupsi dan penyelewengan yang melibatkan pemberian projek, kontrak, saham, lesen, selain dari AP.
Soalnya, bolehkah PM Pak Dolah betul-betul dapat memerangi korupsi? Adakah beliau sendiri serta keluarga terdekat beliau benar-benar bersih daripada amalan korupsi dan kronisme? Jikalau tidak, beliau pasti akan gagal bertindak tegas. Cili Api mengharapkan orang ramai akhirnya tidak akan memandang beliau sebagai Dol Keropok saja.
KHAIRY PEMBELA ORANG MELAYU?
Orang yang paling lantang sekali sekarang ini menyuarakan hak orang Melayu dan hendak membela nasib orang Melayu ialah Khairy Jamaluddin, Timbalan Ketua Pemuda UMNO. Menantu Perdana Menteri ini telah berjaya naik begitu cepat sekali dalam bidang politik. Kini beliau dipandang sebagai juara mengembalikan semangat DEB.
Selain berjaya dalam politik, anak muda ini berjaya besar juga dalam bidang ekonomi. Mengikut cerita mereka yang tahu berita, beliau sekarang ini sudah menjadi maha jutawan. Ada yang mengatakan harta dan wang miliknya sudah mencecah lebih RM300 juta.
Cili Api tidak tahu sama ada berita dan cerita ini benar atau tidak. Sama juga Cili Api tidak tahu sama ada benar atau tidak tuduhan beliau terlibat dengan skandal bersama seorang gadis jelita dari Burma.
Mungkin kedua-dua ini berita angin saja, tetapi Cili Api ulangi: di negeri ini berita angin merupakan sumber berita lebih tepat daripada media perdana yang dimiliki atau dipengaruhi oleh parti-parti komponen BN.
Cili Api sangat tertarik bahawa anak muda ini dikemukakan dan dipromosikan oleh media sebagai juara orang Melayu. Nampaknya, Khairy yang tinggal dan belajar berpuluh-puluh tahun di luar negara sudah menjadi lebih Melayu daripada Melayu yang lain, termasuk mertuanya, sungguhpun Pak Dolah lama menjadi ketua BTN (Biro Tatanegara), badan propaganda kerajaan UMNO yang digunakan untuk menanam semangat keMelayuan sempit.
Cili Api sangat bimbang sekali lagi DEB dan “hak istimewa Melayu” akan disalahguna untuk memberi lebih banyak peluang kekayaan kepada segelintir orang Melayu saja dan bukannya untuk benar-benar membela nasib ramai orang Melayu yang miskin atau susah.
Kali ini nampaknya golongan yang mungkin melakukan ini terdiri daripada orang-orang muda berkelulusan tinggi dari luar negara, yang cepat hendak jadi kaya dan berkuasa.
:.Cili Api (Suara Keadilan)
Posted at 10:23 pm by infojiboi
Permalink
Faux pas Najib Razak
Malam tadi dalam Buletin Utama TV3 apabila para pemberita bertanyakan TPM Najib Tun Razak, adakah benar para pegawai BPR telah berkunjung ke MITI untuk menyiasat dan mengambil maklumat berkenaan kes AP sebagaimana dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan, Najib secara bersahaja menafikan, dan beliau berkata:
I dont think so.
Hari ini mukasurat dua akhbar THE STAR memaparkan tajuk:
Ministry confirmas ACA investigation
Menurut akhbar tersebut Timbalan Menteri MITI Mah Siew Keong mengesahkan bahawa kementerian tersebut telah dikunjungi oleh para pegawai Badan Pencegah Rasuah yang datang bertanyakan hal-hal tertentu.
Menurut akhbar itu lagi adalah difahamkan para pegawai BPR telah berkunjung ke MITI di Jalan Duta dan telah merampas beberapa dokumen berkaitan dengan isu pengeluaran AP ini.
Adakah Najib benar-benar tak tahu, tidak dimaklumkan ataupun sengaja pura-pura tak tahu? Risau juga kalau seorang yang berstatus pemangku PM tidak tahu-menahu darihal apa yang sedang berlaku dalam negara sendiri!
(FAUX PAS adalah istilah Perancis yang bermaksud an action or remark that cause embarrassment because it is not socially correct. Maksudnya satu tindakan atau kenyataan yang mengaibkan sedangkan ianya tidak tepat atau tidak benar)
Posted at 03:21 pm by infojiboi
Permalink
Saturday, August 06, 2005
Falsafah Kebebasan Wanita
Falsafah Kebebasan Wanita
Sesungguhnya, topik tentang wanita dan hal-hal yang berkaitan dengannya merupakan topik yang hangat diperbincangkan dari semasa ke semasa. Wanita selalu tampil dalam pelbagai media dan sarana-sarana informasi untuk menggambarkan sosok tubuh yang begitu menarik sehingga tidak segan-silu mereka muncul dengan dandanan yang ´kurang beretika´. Mutakhir ini, ketika orang ramai membincangkan hal-hal yang ´mewah´, tidak dapat terlepas daripada menonjolkan gambar-gambar wanita cantik. Bahkan ada produk-produk ubat-ubatan dan elektronik yang tidak ada kaitannya dengan wanita juga tidak terlepas daripada peragaan yang mempertontonkan “perhiasan” wanita.
Seorang penulis beragama Kristian bernama Zummer mengatakan bahawa orang-orang Kristian tidak perlu putus asa, sebab di dalam hati kaum Muslimin telah berkembang kecenderungan yang condong ke arah ilmu bangsa-bangsa Eropah dan kebebasan wanitanya. Daripada pernyataan ini, secara tidak langsung dapat disimpulkan bahawa keinginan mereka dalam menghancurkan Islam dilakukan dengan cara yang bukan dengan senjata tetapi cara yang licik dan ´kurang disedari´, iaitu dengan menjauhkan wanita daripada agamanya, iaitu Islam.
Jeasnya, hal itu benar-benar menjadi kenyataan. Gerakan pembebasan wanita daripada belenggu penindasan dan gerakan kesamarataan gender yang dipelopori kaum feminis menjadi semakin hangat dari hari ke hari. Dan yang lebih buruk lagi, para pejuang ´kemerdekaan wanita´ itu menganggap bahawa Islamlah yang menjadi penghalang terhadap kebebasan dan ´kejayaan´ wanita dalam segala hal. Banyak ayat Quran yang mereka jadikan ´kambing hitam´ untuk tujuan itu, contohnya dalam surah al- Ahzab: 33, perintah bahawa wanita lebih baik di rumah ….; An-Nisaa: 34, lelaki itu lebih utama daripada perempuan ….. dan banyak lagi yang lain. Padahal apa yang mereka fahami tidaklah demikian adanya. Poligami dibantah. Pembahagian harta pusaka yang lebih banyak untuk lelaki menjadi alasan betapa Islam tidak adil dalam memperlakukan manusia. Kewajiban mentaati suami dalam rumah tangga menurut mereka adalah perintah yang melanggar hak asasi manusia. Mereka menuntut persamaan hak antara lelaki dengan perempuan kerana mereka menganggap itulah keadilan yang sebenar-benarnya.
Jika kebebasan wanita di dunia Barat menjadi impian wanita di dunia (mungkin termasuk di tanah air kita), pertanyaannya: apakah di dunia Barat para wanitanya benar-benar bahagia dengan kebebasan itu, sedangkan tujuan hidup manusia sesungguhnya adalah bahagia dunia dan akhirat? Bukti apa yang dapat kita ajukan untuk membenarkan hal itu atau kayu ukur apa yang kita gunakan untuk menilai bahawa mereka benar-benar bahagia dalam kebebasan itu?
Pertama, ketika wanita di dunia Barat terkongkong oleh Gereja yang menindas semua hak mereka, mereka berusaha untuk melawan dan memperjuangkan kesamarataan gender. Mereka akhirnya menuai hasil. Wanita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam segala bidang kehidupan. Bahkan dalam bidang ketenteraan sekalipun. Wanita diberi peranan dalam peperangan. Ketika meletus Perang Vietnam, lebih kurang 100,000 orang tentera wanita turut mengambil bahagian dalam perang tersebut. Hasilnya, daripada sekalian tentera wanita itu, 60,000 orang mengaku dirinya diperkosa oleh rakan tentera lelaki di berek-berek tentera di mana tidak ada pemisahan tempat tidur antara tentera lelaki dengan tentera wanita. Itu baru yang mengaku, belum lagi termasuk kes-kes lain yang terjadi dan lenyap daripada liputan media Jadi, di mana letaknya kebahagiaan itu? Ataukah kebebasan mereka untuk bekerja di pejabat sama halnya lelaki, membuat mereka bahagia? Mereka mengaku memperjuangkan kebebasan tetapi yang terjadi adalah mereka mengorbankan diri mereka sendiri. Penelitian dan kajian membuktikan bahawa wanita yang lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah lebih mudah ´terkena penyakit´ daripada mereka yang menjadikan rumah sebagai fokus kegiatannya. Kebebasan yang berhujungkan eksploitasi.
Islam tidak mengenal emansipasi atau kebebasan atau kesamarataan gender, kerana pada dasarnya Islam tidak pernah ´menghalalkan´ penindasan terhadap wanita. Semua aturan yang ´mengatur´ wanita dalam Islam hanyalah untuk menyelamatkan wanita itu daripada noda dan perkara-perkara buruk agar mereka tetap bersih. Aturan itu terutamanya ditujukan untuk melindungi wanita daripada musuh-musuh Islam yang ingin menghancurkan Islam melalui waniat itu sendiri.
Islam hadir dengan menempatkan wanita di tempat yang lebih mulia. Perintah menuntut ilmu adalah wajib hukumnya bagi lelaki dan perempuan.Seseorang wanita haruslah cerdas bukan untuk tujuan agar mampu bersaing dengan lelaki, tetapi untuk tujuan yang jauh lebih mulia, iaitu menjadi seorang pendidik. Mendidik generasi bukanlah hal yang mudah, tidak cukup dengan bekalan seadanya; bagaimana mungkin seorang wanita mampu mendidik anak-anak yang lahir daripada rahimnya jika dia sendiri tidak mampu mendidik dirinya sendiri, dan untuk itu mereka memerlukan ilmu. Selain itu, dalam surah al-Ahzab: 31, Allah berfirman yang bernaksud: bahawa jika wanita mampu taat kepada Allah dan Rasul-Nya dengan kata lain berbuat kebaikan, maka akan diberikan pahala dua kali ganda. Dan banyak lagi bukti lain yang dapat kita kemukakan untuk membuktikan bahwa antara lelaki dengan wanita itu adalah sama; yang membezakannya hanyalah ketakwaannya terhadap Allah s.w.t (al-Hujuraat: 13).
Kedua, bukti bahawa kerana mereka mampu melepaskan diri daripada bergantung ekonomi (mereka bekerja sendiri) sehingga kelihatannya bahagia itu adalah perkara yang masih boleh diperdebatkan. Mengingatkan ukuran kebahagiaan tidaklah semudah itu, maka kebahagiaan yang sesungguhnya tidak hanya melibatkan faktor lahiriah, tetapi juga meliputi ketenangan batin. Dan, dapat dibuktikan dengan penelitian bahawa mereka yang paling banyak mengalami ´tekanan´ adalah mereka yang bekerja atau beraktiviti terlalu lama di luar rumah. Bukankah tekanan (stress) itu adalah bukti betapa kita gagal mengawal dan memelihara emosi kita? Dan itu adalah faktor bukan bersifat fizikal (batin).
Seseorang yang hidup bergaul dengan kaum Muslimin dan mengenal Islam dengan sebenar-benarnya, maka dia akan melihat bahawa wanita Islam di tengah-tengah masyarakat Muslim memiliki kedudukan yang tinggi dan terhormat; satu kedudukan yang dapat menjaga martabat wanita dan kesuciannya. Perintah menutup aurat juga sebagai bukti perlindungan Islam terhadap pandangan lelaki yang tidak berhak memandangnya.
Terakhir, Islam tidak pernah melarang wanita bergaul dan melakukan aktiviti di luar rumah selagi apa yang dilakukannya itu sesuai dengan kemampuannya sebagai wanita dan mampu pula membahagi masa antara pekerjaan (kerjaya) dengan rumah tangganya. Meskipun begitu, tanggungjawab atau kewajiban wanita ialah di rumahnya. Seseorang wanita dalam memandang ´arah rumah tangganya´ harus jauh lebih dalam dan terarah berbanding dengan lelaki. Mungkin kerana dari rahimnyalah lahir makhluk hidup yang diharap menjadi generasi terpuiji. Maka, apa jadinya jika semua wanita ´suka dan bahagia´ menjadikan rumah hanya sebagai tempat beristirahat dan setelah itu keluar rumah lagi. Begitulah hari demi hari. Ketika itu nanti, kita tidak perlu lagi berharap generasi yang cerdas dan berwawasan akan muncul daripada rumah tangga kita sebagai Muslimah.
Mudah-mudahan ini dapat menjadi renungan kita bersama, khususnya bagi mereka yang mengaku Muslimah; sebuah nama yang sekali gus mencerminkan identiti kita.
Posted at 01:52 pm by infojiboi
Permalink
Fenomena Mawi:Agenda Astro-Yahudi Memupuk Generasi MTV Malaysia
Fenomena Mawi:Agenda Astro-Yahudi Memupuk Generasi MTV Malaysia
 |
Ibu Mawi mahu anak lelaki yang disayangi nya itu mengikuti kursus Bilal di Johor. Ibu Mawi mahu Mawi menjaga Rumah Allah serta melaungkan azan disubuh hari , memangil ummat Islam bangkit dari tidur lena untuk solat dan jangan mensyirikan Allah. Namun ayah Mawi mahu Mawi menjadi penyanyi Nasheed termashur saperti Raihan dan Rabbani , supaya Mawi dapat menyampaikan daawah , memanggil Ummat Islam kasih kepada Allah dan Rasul melalui lagu dan irama . Semua nya mempunyai niat baik termasuk Mawi. Mawi memang dianugerah Allah mempunyai suara yang baik untuk membaca ayat Allah dan berzanji meriwayat seerah rasulullah.
Ayah Mawi tidak tahu apakah Akademi Fantasia sebenarnya. Mungkin bapa Mawi ingat , Akademi Fantasia itu adalah sekolah swasta yang mengajar budak budak muda berbakat perbetul suara, supaya jangan pecah semasa bernasheed.
Apa salah nya. Bapa Mawi tidak tahu Akademi Fantasia adalah satu intitusi ala yahudi , merekrut anak muda berbakat suara |
, membuang sifat malu dan halal haram untuk menjadi penghibur yang berani menentang budaya islam , yang boleh menyebut perkataan Allah diatas pentas dalam keadaa dipenuhi penyanyi gelek ala padang pasir .. Bapa Mawi mungkin tidak tahu bahawa anaknya akan menjadi mangsa kepada ASTRO yang bukan setakat mengaut untung dari langganan tetapi mempunyai niat jahat menjadikan masyarakat islam nusantara sebagai masyarakat MTV.
Kalau Setan Pin di puja oleh sami hindu sebagai tuhan , kini Astro juga cuba mendewakan Mawi sebagai Dewa Penghibur supaya pemuda pemudi Islam melaung , melolong mendewa Mawi dalam roadshow Concert Mawi seluruh negara. Mungkin ini akan memenangkan pilihanraya UMNO akan datang.
Mawi mara kehadapan dengan lagu bertenaga dan islamik bertajuk Intifadah . Semua terpegun mendengar suara Mawi. Apabila mereka tahu Mawi pandai bersilat dan pandai membaca quran , penonton lagi bertambah kagum.Namun Guru Besar Akademi Fantasia dan ASTRO tidak mahu Mawi menggunakan platform ASTRO untuk memuji Allah dan Rasul. Maka Mawi dipaksi beraksi dalam keadaan haram , bercampur perempuan lelaki dalam lagu O fatimah , menyebut nama Allah sambil dikelilingi oleh wanita separuh telanjang yang bergelek ala arab jahiliyyah dan menyanyi lagu hindustan dengan tangan didada saperti menyembah berhala.Kesian Mawi, budak muda Islam yang menjadi mangsa ASTRO yang memang menjadi penyebar fasad paling besar melalui rancangannya di Malaysia.
Bagaimana Mawi dirosakkan. Photo dibawah menunjukkan bagaimana process mawi di indokrinasi supaya hancur akhlak nya.
1)Inilah Mawi dalam sebelum menjalani indokrinasi Akademi fantasia yang mana sentiasa menjadi juara membaca Quran

2)Melalui indokrinasi Akademi Fantasia Astro , Mawi didedahkan dengan suasana yang maksiat bercampur aduk lelaki perempuan bagi menghayati budya MTV tajaan yahudi antara bangsa.
3)Melalui indokrinasi Akademi Fantasia Astro , Mawi didedahkan dengan suasana yang maksiat bercampur aduk lelaki perempuan bagi menghayati budya MTV tajaan yahudi antara bangsa.
 |
|
Tiada lagi segan silu.... |
4)Mawi dipaksa menyanyi lagu Nur Ain yang mempunyai lirik sebutan Allah tetapi di kelilingi dengan penari latar gelek ala Arab Jahiliyyah.
5)Mawi juga dipaksa menyanyi lagu O fatimah dan Mawi sudah boleh bertindak tanpa segan silu
Namun kita berdoa agar Mawi akan bertaubat dan balik kepangkal jalan dengan tidak menyumbang kepada agenda Yahudi menjadikan Generasi islam , generasi MTV.Kita mahu Mawi di pulangkan balik kepada ibu bapanya sebagai Mawi yang soleh dan diharap mendirikan rumah tangga yang di berkati Allah .
Posted at 12:59 pm by infojiboi
Permalink
TASIK PEDU BAKAL TINGGAL NAMA
TASIK PEDU BAKAL TINGGAL NAMA
PADANG TERAP, 5 Ogos - Tidak timbul sebarang kejutan seandainya selepas bulan September depan kawasan sawah padi yang saujana mata memandang di Kedah akan berubah menjadi 'padang jarak, padang terkukur'.
Sumber bekalan air bersih di negeri yang bakal maju pada tahun 2010 ini juga kini ditahap paling kritikal. Ini kerana, menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Haji Mahfuz Omar, takungan air di Empangan Pedu, empangan air terbesar dalam negeri Kedah kini hanya sekitar 10 peratus dari tahap sedia ada.
 |
|
(Haji Mahfuz Omar bersama Setiausaha Teras, Ahmad Tarmizi Sulaiman meninjau keadaan pokok yang reput di dasar Tasik Pedu.) |
Harakahdaily sempat merakamkan gambar keadaan terkini Tasik Pedu yang dilinkungi banjaran Bukit Kerengga dan Bukit Sempadan.
Turut membimbangkan adalah tahap kandungan Empangan Ulu Muda turut rendah dan gagal kembali ke paras sedia ada sejak tiga tahun lalu.
Empangan Ulu Muda membekalkan air ke kawasan tadahan air Empangan Pedu dan juga menyalurkan air kepada negeri Pulau pinang.
Ketika mulai masuk ke kawasan tasik Pedu melalui Kampung Pinang, kira-kira 35 Kilometer dari pekan Kuala Nerang, di kiri kanan jalan masih dapat dilihat berkegelimpangan batang-batang balak, ada yang terbakar, ada yang telah dipotong-potong, dari pengamatan, ia telah lama ditebang.
Kampung Pinang terletak bertentangan dengan Pedu Lake Resort, sebuah pusat percutian yang lebih dikenali menyediakan 'chalet-chalet terapung' kerana jika berada di dalam chalet berkenaan, lantainya seakan mencecah air tasik.
Hati cukup berdebar kerana rombongan yang turut disertai Haji Mahfuz, Setiausaha Sahabat Alam Sekitar (Asas) Merbok, Aziz Man dan Setiausaha Teras Penyupayaan Melayu (Teras), Ahmad Tarmizi Sulaiman telah mula menuruni kenderaan pacuan empat roda ke kawasan Tasik Pedu.
Dari gigi tasik, sehingga ke jarak sekitar 1000 meter, kami dapat melaluinya dengan kenderaan.
Rekahan tanah dengan jelas dapat dilihat, pokok-pokok liar dalam agakan tinggi 30 ke 40 kaki yang semakin reput berada di kiri kanan laluan kami.
Ketika turun dari kenderaan, hati masih berdebar dan seolah tidak percaya kerana lebih kurang empat tahun lalu, pernah ke situ dengan menaiki bot untuk memancing.
Untuk memulakan langkahan amat berdebar, sekalipun pacuan empat roda tadi lebih berat dari badan manusia, tetapi bila memikirkan dahulunya tanah yang dipijak itu adalah dasar sebuah tasik yang dalamnya sukar diduga kami memandang sesama sendiri.
"Ini Tasik Pedu, dam (empangan) paling besar di Kedah tau, kenapa boleh jadi kering sampai macam ni," kata Haji Mahfuz.
Dari situ juga jelas dapat dilihat 'chalet terapung' yang digambarkan tadi, kini seolah berada di atas sebuah bukit.
Nampak ia terletak di atas tanah tinggi, bukan lagi seperti yang pernah dikunjungi dulu, ia nampak terapung di permukaan air.
Dari seorang nelayan tempatan yang ditemui katanya, keadaan kontang itu sudah berlarutan sejak enam bulan lalu.
Sebulan sebelum ini tanah mulai merekah dan rumput halus hijau mulai tumbuh. Katanya lagi, pokok-pokok kering yang ada di sekitar itu mencecah ketinggian sekitar 30 hingga 40 kaki.
| Sejak sekian lama, air tasik ada kalanya sama tinggi atau hanya kurang lima kaki dari pucuk pokok tersebut.
Mereka yang mengusahakan kolam ternakan ikan turut memberitahu, sebelum ini (sekitar setahun) jarak kolam ikan terapung dengan dasar tasik adalah sekitar 15 kaki, tetapi sekarang turun sehingga lima atau enam kaki sahaja.
Bagi Haji Mahfuz, ini berlaku kerana berlakunya kerja-kerja pembalakan di kawasan berdekatan kawasan tadahan hujan yang tidak terkawal seperti yang berlaku di persekitaran Empangan Ah Ning di Hutan Simpan Bukit Perangin sejak penghujung 2004 sehingga Mac tahun ini.
Isu pembalakan di Bukit Perangin, Kuala Nerang itu berlarutan sehingga memaksa pihak Badan Pencegah Rasuah |
|
(Kering kontang. Beginilah keadaan terkini Tasik Pedu, gambar adalah dasar tasik yang kering sejak enam bulan lalu, dahulunya tasik ini boleh menakungkan air pada tahap ketinggian 40 hingga 50 kaki pada satu-satu masa, tanah dasar tasik Pedu mulai merekah dan pokok-pokok mulai reput, ia berlaku ekoran kegiatan pembalakan yang tidak terkawal di sekitar kawasan tersebut.) |
|
(BPR) Kedah menemui pihak Pejabat Jabatan Hutan Kedah di Bangunan Sultan Abdul Halim, jam 9.00 pagi, 2 Mac lalu.
Menurut laporan sebuah siaran televisyen swasta, beberapa dokumen berhubung lesen pengeluaran balak turut diambil di jabatan berkenaan, siasatan dikatakan membabitkan pemberian konsesi balak berkenaan yang diluluskan kerajaan negeri tanpa tender terbuka.
Mengikut nilai taksiran Jabatan Hutan, jika kerajaan negeri membuat tender terbuka, nilai tawaran dianggarkan mencecah RM 1.5 juta.
Laporan itu juga menyebut, Menteri Besar, Dato' Seri Syed Razak Syed Zain dilaporkan mengesahkan penerokaan hutan itu atas kelulusan kerajaan negeri.
Kata Mahfuz lagi, ini adalah satu keadaan yang cukup membimbangkan, walaupun tahap takungan air di Empangan Pedu masih tinggi, tetapi tahap takungan air yang bakal disalurkan ke empangan terlalu rendah,sehubungan itu beliau mengutarakan beberapa persoalan.
1. Kerajaan Kedah semestinya memaklumkan perkara sebenar ini kepada rakyat, bagi membolehkan rakyat dapat membuat persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan mengenai maslaah gangguan bekalan air.
2. Kerajaan Kedah jangan menyebunyikan perkara sebenar di sebalik krisi air ini kerana Empangan Pedu adalah empangan air terbesar di kedah dan air dari sini adalah untuk keperluan minum dan juga pertanian Kedah.
3. Jangan tunggu sehingga tahap menjadi terlalu kritikal barulah kerajaan mahu bertindak.
4. Mewartakan segera kawasan-kawasan tadahan air seperti yang diarahkan oleh Kerajaan Pusat selepas tindakan menghentikan projek Heli-Havesting di Ulu Muda.
Katanya beliau lagi, keadaan ini amat merisaukan para petani yang berkemungkinan besar tidak akan mengerjakan sawah mereka bagi musim kedua 2005 bermula September ini, memandangkan bagi musim pertama enam bulan lalu telah berlaku pindaan jadual tarikh menanam padi.
Dalam perkembangan lain, Ketua Dewan Ulama' PAS Kedah, Ustaz Haji Zawawi Ahmad meminta kerjasama semua masjid, surau dan rakyat agar sama-sama menunaikan solat hajat memohon agar Allah menurunkan hujan bagi mengatasi kemelut yang semakin meruncing ini.
-zs
Posted at 12:36 pm by infojiboi
Permalink
|
|
|