|
|
Tuesday, August 09, 2005
ADIL DAN ZALIM : Fenomena dalam masyarakat
ADIL DAN ZALIM : Fenomena dalam masyarakat
Manusia mempunyai dua sifat semulajadi iaitu zalim dan adil. Kedua-dua sifat ini menyebabkan mereka sesat dan tidak melaksanakan amanah Allah Taala. Akibatnya mereka hidup dalam keadaan kufur dan tidak aman. Untuk menyelamatkan mereka daripada keadaan tersebut Allah yang Maha Adil dan Maha Mengetahui memberi hidayah dengan menurunkan Al-Quran dan mengutuskan Rasul supaya mereka dapat berlaku adil dan mempunyai ilmu untuk menghapuskan kezaliman dan menegakkan keadilan.
Ayat Al-Quran berikut merakamkan kenyataan di atas:
(Surah Al-Ahzab ayat 72) Ertinya:
Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesunguhnya tabiat kebaikan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan
(Surah Al-Baqarah ayat 213) Ertinya:
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisih), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan. Dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci yang tersebut itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, ( Mereka berselisih ) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman kearah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinnya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahnya kepada sesiapa yang dikehendakinya ke jalan yang betul dan lurus (mengikut undang-undang peraturannya).
PENGERTIAN ADIL
Terdapat beberapa pengertian yang di buat oleh Ulamak tentang adil:
1. Adil bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya.
2. Adil bererti menerima hak tanpa lebih dan memberikan hak orang lain tanpa kurang.
3. Adil bererti memberi hak setiap orang yang berhak tanpa lebih dan tanpa kurang sesama orang yang berhak dan menghukum orang yang jahat atau melanggar hukum setara dengan kesalahannya.
Daripada ketiga-tiga pengertian yang tersebut dapatlah dirumuskan bahawa keadilan itu:
1. Menjamin hak individu (diri sendiri dan orang lain).
2. Menghapuskan kezaliman.
3. Melaksanakan hukum dengan saksama.
4. Memastikan orang berkuasa tidak menyalahgunakan kuasa dan orang yang lemah tidak teraniaya.
ADIL KEPADA DIRI SENDIRI
Menurut Islam keadilan dan kezaliman boleh berlaku pada diri sendiri dan pada orang lain. Asas keadilan pada diri sendiri ialah iman, amal Soleh dan akhlak mulia dan asas kezaliman pada diri sendiri ialah kufur, maksiat dan akhlak yang hina. Selain itu setiap orang hendaklah menjaga hak, keperluan dan kehormatan diri sendiri iaitu hak keperluan dan kehormatan rohani dan jasmani. Sebab itu orang Islam di larang daripada membiarkan diri teraniaya.
Firman Allah Taala: (Surah Al Baqarah Ayat 195) Ertinya:
Dan belanjakan ( apa yang ada pada kamu ) kerana ( menegakkan ) Agama Allah. Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan (dengan sikap bakhil) dan perbaikilah ( dengan sebaik-baiknya segala usaha dan ) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.
Lebih utama lagi, bagi menegakkan keadilan pada diri sendiri seseorang itu hendaklah berani mengakui kesalahan dirinya sendiri dan bersedia menerima akibat daripada kesalahan tersebut. Keadilan pada diri sendiri itu dapat dipelihara apabila seseorang itu mempunyai ilmu tentang yang benar (hak) dan yang salah (batil), tentang yang baik dan yang buruk, tentang yang berguna dan sia-sia. Orang yang beriman dan menyedari akan hakikat diri dan amalannya akan sentiasa berdoa kepada Allah Taala seperi doa Nabi Adam Alahissalam.
( Surah Al Araf Ayat 23 ) Ertinya:
Mereka berdua merayu : øWahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami orang-orang yang rugi.Ó
Sabda Rasullallah Sallallahu Alaihi Wasallam; Ertinya:
Berlaku adillah walaupun ke atas diri kamu.
Orang yang tidak beriman dan orang yang melakukan maksiat sebenarnya orang yang zalim kepada diri sendiri kerana mereka tidak akan terlepas daripada hukuman Allah Taala di dunia dan di akhirat disebabkan mereka tidak mahu menyahut seruan Islam dan tidak patuh kepada hukum yang ditentukan oleh Allah Taala.
ADIL KEPADA ORANG LAIN
Keadilan kepada orang lain berasaskan penyempurnaan hak mereka dan melaksanakan hukum secara saksama antara mereka, membela orang yang teraniaya dan menghukum orang yang bersalah. Ini berdasarkan ayat Al-Quran:
(Surah An Nahl Ayat 90) Ertinya:
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu ( dengan suruhan dan larangannya ini ), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya.
(Surah Al Maidah Ayat 42) Ertinya:
Dan jika engkau nenghukum, maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Asas bagi melaksanakan keadilan kepada orang lain ialah:
1. Iman dan takwa kepada Allah.
2. Amanah, bertanggungjawab dan Ihsan.
3. Ilmu dan kebenaran bersumberkan Al-Quran, hadis, Ijmak dan qias.
4. berpandukan kaedah atau prosedur melaksanakan hukum atau undang-undang.
Tanpa berpegang pada asas (prinsip) yang tersebut manusia boleh dipengaruhi oleh kepentingan peribadi atau kebendaan sehigga mereka sanggup melakukan kezaliman dlam pelaksanaan keadilan iaitu:
1. Orang yang lemah tidak mendapat haknya dan orang yang kuat merampas hak orang yang lemah.
2. Orang yang bersalah bebas daripada hukuman dan orang yang tidak bersalah teraniaya.
3. hukum tidak berlandaskan kebenaran dan keadilan, tetapi berlandaskan kekuasaan dan kepentingan tertentu.
SIFAT ORANG YANG ADIL.
Antara sifat-sifat orang (hakim) yang dapat berlaku adil.
1. Mempunyai iman yang kukuh dan bertakwa kepada Allah Taala.
2. Menguasai ilmu syariat dan ilmu Aqliah.
3. Melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
4. Ikhlas dan bertawakal kepada Allah Taala.
5. Berperibadi mulia iaitu:
i- tidak mementingkan diri sendiri
ii- berperikemanusiaan dan belas Ihsan.
iii- Bijak dan tegas
iv- Berani menghadapi risiko.
Sabda Rasullalahi Sallallahu Alaihi Wassalam Yang bermaksud :
(hakim) itu tiga jenis ; dua daripadanya masuk ke Neraka dan satu daripadanya masuk ke Syurga. Lelaki (hakim) yang tahu perkara yang benar, lalu ia menghukum berlandaskan kebenaran tersebut, maka ia masuk ke Syurga. Dan lelaki (hakim) yang tidak tahu perkara yang benar, lalu ia menjalankan hukuman atas kejahilannya,maka ia masuk ke Neraka.
Posted at 05:32 pm by infojiboi
Permalink
Impak desak penyebaran CD Ayah Pin dihentikan segera
Impak desak penyebaran CD Ayah Pin dihentikan segera
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Hrkh) - Cakera padat (CD) 'Tok Ayah Pin' yang memaparkan rentetan penyebaran ajaran sesat Ayah Pin perlu disekat daripada dijual secara berleluasa.
Kandungan CD itu mengisahkan perjalanan ketua ajaran sesat itu berjumpa dengan pelbagai lapisan kaum dan agama iaitu Islam, Hindu dan Kristian di diringi alunan lagu memuji kehebatan beliau.
Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Mahfuz Omar berkata, penyebaran CD tersebut yang menceritakan perjalanan Ayah Pin menyebarkan dakyahnya di samping menaikkan martabatnya, perlu dihentikan segera.
Beliau juga yakin CD 'Tok Ayah Pin' itu dikeluarkan di kalangan pengikut-pengikut Ayah Pin dan dicetak berulang kali oleh pihak ingin mengaut keuntungan.
Mahfuz juga berpendapat CD itu juga dijual untuk menyebarkan ajaran sesat Ayah Pin memandangkan ia turut mendendangkan lagu sentimental memuja-muja kebesaran Ayah Pin yang boleh mempengaruhi masyarakat.
Oleh itu, beliau meminta agar penjual-penjual CD 'Tok Ayah Pin' berhenti menjualnya tersebut kerana ia langsung tidak memberi manfaat kepada orang ramai.
"Saya bimbang kepada mereka yang lemah imannya dan yang membeli CD itu, dikhuatiri terpengaruh dengan ajaran yang dibawa oleh ketua ajaran sesat itu, malah ia juga boleh merosakkan akidah orang Islam," katanya ketika menghubungi Harakahdaily.
Menurut beliau, CD berkenaan dijual secara terbuka di tempat-tempat tapak pesta dan juga ceramah-ceramah politik.
Beliau meminta kerjasama daripada pihak penganjur ceramah agama ataupun politik memantau penjualan CD berkenaan.
Di samping itu katanya, pihak berkuasa agama khususnya perlu mengenakan tindakan terhadap mereka yang menyebarkan CD ajaran sesat itu. - lanh
Posted at 05:06 pm by infojiboi
Permalink
Rafidah Harus Jelaskan Tentang AP Pada Mesyuarat Kabinet Esok, Kata PM
Rafidah Harus Jelaskan Tentang AP Pada Mesyuarat Kabinet Esok, Kata PM
SEPANG, 9 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Selasa berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, perlu menjelaskan kontroversi yang menyelubungi permit yang diluluskan (AP) bagi mengimport kenderaan pada mesyuarat Kabinet esok kerana banyak isu telah ditimbulkan mengenai perkara itu.
"Saya rasa dia datang esok (bagi mesyuarat Kabinet). Memanglah dia kena jelaskan. Kita ingin dapatkan banyak penjelasan daripada beliau.
"Semua butiran terperinci ada pada Datuk Seri Rafidah," katanya pada satu sidang berita sejurus selepas ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini setelah meluangkan masa selama seminggu untuk melawat isterinya, Datin Seri Endon Mahmood, yang sedang menjalani rawatan kemoterapi di Amerika Syarikat.
Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya mengenai agenda mesyuarat mingguan Kabinet esok kerana Rafidah dilaporkan telah diminta memberikan penjelasan berhubung kontroversi AP pada mesyuarat Kabinet minggu lepas. Beliau, bagaimanapun, tidak hadir pada mesyuarat itu kerana bercuti sakit.
Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, turut berkata beliau berharap Dasar Automotif Negara akan diumumkan bulan depan.
-- BERNAMA
Posted at 04:36 pm by infojiboi
Permalink
Pemimpin BN penuh sensasi
Pemimpin BN penuh sensasi
Senario politik negara kebelakangan ini tidak sunyi dari insiden-insiden sensasi yang menjelekkan. Rakyat sudah tidak dapat memberi reaksi terkejut apabila isu sensasi berkaitan pemimpin negara dibongkarkan. Mungkin reaksi paling keras mereka ialah biasalah tu, orang Umno.
Saya tidak salahkan rakyat jika mereka memberi reaksi sebegitu. Mana tidaknya, saban hari, ada saja kisah penyelewengan dan salahguna kuasa oleh pemimpin-pemimpin negara yang tinggi dan yang lagi tinggi. Anda namakan saja kesalahan, pastinya ada pemimpin Umno/BN yang pernah terbabit; pembunuh, penzina, taik judi, kaki perempuan, gila kuasa, senarainya panjang lagi.
Memang menjadi lumrah alam, jika sesuatu itu sering disebut-sebut dan dilakukan, lama-kelamaan ia akan menjadi perkara yang biasa. Ini yang menjadi kebimbangan saya sekiranya, rakyat Malaysia akan menjadi terbiasa dengan pemimpin-pemimpin yang kotor dan tidak bersih. Bimbang jika rakyat sudah tidak hiraukan sama ada pemimpin-pemimpin mereka perasuah atau yang jujur.
Tahap sensitiviti rakyat juga semakin menurun, dan ini dapat dilihat apabila media mendedahkan salahlaku pemimpin-pemimpin negara, rakyat masih sibuk berhempas-pulas mencari duit tambahan bagi menampung perbelanjaan harian yang kian meningkat. Rakyat lupa bahawa sebenarnya, yang menyebabkan kenaikan harga petrol, barangan harian dll adalah pemimpin-pemimpin yang tidak jujur, perasuah, gila kuasa dll.
Lihat saja, seorang bekas ketua menteri boleh berjudi sehingga kalah berjutaan ringgit dan mungkin juga berbilion ringgit. Dari manakah Datuk Osu Sukam mendapat wang begitu banyak sedangkan gajinya sebagai menteri, ADUN dan lain-lain jawatan dalam kerajaan jika dikumpulkan tidak dapat memberi jumlah yang begitu besar. Sudah terang lagi bersuluh pun pihak BPR masih tidak boleh bertindak. Rakyat biasa hanya mampu meleleh air liur mengenangkan jutaan ringgit (besar kemungkinan wang rakyat) dibazirkan mengikut nafsu mereka yang memegang kuasa.
Tidak cukup dengan kisah ketagihan berjudi Osu, rakyat disajikan pula dengan salahlaku Tan Sri Isa Samad. Sepatutnya ahli-ahli Umno merasa marah dan menolak sikap Isa yang menggunakan jutaan ringgit untuk duduk di puncak kuasa. Tetapi, sebaliknya mereka bersimpati dengan Isa kerana dia seorang saja pemimpin tertinggi yang dikenakan tindakan disiplin. Apa jenis ahli yang tidak tahu membezakan antara kesalahan dan keadilan? Janganlah disebabkan kerana belas kasihan kamu terhadapnya membuatkan kamu tidak melaksanakan perintah Tuhan.
Belum sempat habis isu Isa Samad dan politik wang reda, Kak Dah (Rafidah) dan Che Det (Mahathir) pula buat hal. Macam bebudak bergaduh di hadapan rakyat jelata. Memang tidak dapat ditahan lagi, dasar saling tidak boleh dipercayai, pekung yang sekian lama diselindungkan sudah terdedah! Isu Approved Permit belum selesai, dan pastinya ia akan mengheret kedua-dua pemimpin besar BN ke lembah binasa. Banyak rahsia Rafidah dan Mahathir, yang perlu dikongsikan dengan rakyat. Teruskan Mahathir, berikan secara installment.
Mungkin juga pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sudah terkena sumpah dan doa rakyat yang telah dianiaya selama ini sudah diperkenankan Tuhan. Satu demi satu pemimpin-pemimpin yang menganiaya rakyat, telah dengan sendiri mengaibkan sesama sendiri, lalu gugur.
Jangan kita pertikaikan janji Tuhan bahawa tiada hijab antara Tuhan dan doa orang yang teraniaya. Saya masih ingat lagi, ahli-ahli Umno yang mencemuh orang-orang yang melakukan solat hajat untuk pembebasan Dato Seri Anwar dan memberi balasan terhadap semua konspirator. Orang Umno kata, Anwar sebenarnya, memang bersalah itu sebab dia merengkuk di penjara walaupun orang melakukan solat hajat setiap malam Jumaat. Tetapi lihat sekarang, hampir semua yang terlibat secara terus mengaibkan Anwar telah mendapat balasan mereka, kini, giliran mereka yang di sebalik tabir, melakukan kerosakan kepada negara tercinta ini.
Dalam keadaan kemelut yang menyelubungi Barisan Nasional, pihak yang cintakan tanahair ini perlu terus mendesak dan mengasak agar pemimpin-pemimpin yang korup diadili, dan mengenakan tekanan agar yang masih berselindung dibawa ke muka pengadilan.
Rakyat perlu disedarkan bahawa masih ada masa depan tanpa Barisan Nasional. Ramai pemimpin-pemimpin yang jujur tetapi tidak berada dalam BN. Pemimpin-pemimpin yang berwibawa, bersih, bijaksana, dan jujur serta ikhlas. Mengapa rakyat tidak mahu berubah sedangkan zaman sudah berubah? Umno dan Barisan Nasional sudah terlalu lama berkuasa, ia sudah kian lupa matlamat asalnya dan hilang arah tujunya. Hatta Agenda Baru Nasional pun, tidak mampu memulihkan kerosakan yang telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang korup dalam BN.
Rakyat Malaysia perlu gunakan aqal untuk keluar daripada kepincangan politik Barisan Nasional. Tolak semua pemimpin yang korup kerana disebabkan mereka, hidup rakyat jelata terhimpit dan semakin derita. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia memilih pemimpin yang jujur dan amanah.
Kuasa rakyat kuasa keramat!
:.Haniza Talha
Posted at 01:23 pm by infojiboi
Permalink
Ceramah PAS terus diganggu, FRU tembak gas pemedih mata
Ceramah PAS terus diganggu, FRU tembak gas pemedih mata
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos (Hrkh) Majlis ceramah PAS yang diadakan di Surau Kampung Tanjung, Batu Rakit terpaksa diberhentikan kira-kira jam 11 malam, sebentar tadi apabila anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata.
Pasukan FRU yang tiba di tempat itu terus menembak gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai seraya mengarahkan supaya majlis ceramah diberhentikan serta merta.
Pada ketika itu, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu sedang memberikan ucapan. Berucap sebelum itu ialah Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani.
Suasana menjadi kelam kabut apabila anggota FRU melepaskan gas pemedih mata di samping menahan beberapa orang yang terperangkap.
Akibat tembakan gas pemedih mata yang bertalu-talu itu, ada di kalangan hadirin yang pengsan dan keadaannya adalah lebih teruk daripada kejadian yang berlaku di Kampung Mak Chili, Kemaman pada 7 Julai lalu.
Pasukan FRU beredar dari situ kira-kira jam 12.15 sebentar tadi.
Sehingga jam 1.00 pagi, Harakahdaily belum mendapat jumlah sebenar mereka yang ditahan dan cedera pada majlis ceramah itu.
Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Batu Rakit. ayu
Posted at 10:21 am by infojiboi
Permalink
Ulama sepakat tolak pemberian kondom jarum percuma -- Abu Hassan Din Al-Hafiz
Ulama sepakat tolak pemberian kondom jarum percuma -- Abu Hassan Din Al-Hafiz
"Kuala Lumpur : Pegawai Agama Istana Negara Us. Dato' Abu Hassan Din Al-Hafiz berkata, dalam al-Quran jelas adanya larangan supaya menjauhi zina kerana ia perkara buruk, keji dan menjijikkan, terutama bagi yang bersuami atau beristeri. Ianya jelas haram walau apapun alasan yang diberi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang peserta pada Seminar mengenai Pelacuran Dari Kacamata Islam dan Pelacuran Sebagai Satu Jenayah Terancang anjuran Unit Kajian Wanita Untuk Pembangunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.
Ditanya mengapa ulama berdiam diri apabila isu itu ditimbulkan, Dato' Abu Hassan berkata, ulama tiada ruang dan ramai orang yang tiada kepakaran mempunyai saluran untuk menyuarakan pendapat individu.
Inilah yang berlaku hingga ada individu berpendapat azab neraka tidak wujud, sedangkan perkara itu dijelaskan dalam al-Quran, katanya.
Mengulas cadangan memberi kondom, jarum suntikan dan methadone percuma untuk penagih dadah dan penghidap HIV/Aids sebagai langkah mengurangkan kadar jangkitan virus HIV menjelang 2015 yang dijangka dilaksanakan Kementerian Kesihatan mulai Oktober ini, Abu Hassan berkata, isu itu menimbulkan perdebatan hangat di kalangan ulama yang diminta memberi pendapat selepas ia diputuskan.
Dalam mesyuarat untuk membincangkan cadangan itu, ulama-ulama bersepakat tidak bersetuju kerana tindakan itu seolah-olah menggalakkan mereka terbabit dalam kegiatan itu secara meluas.
Mungkinkah penagih boleh mengikut arahan, menggunakan jarum suntikan untuk dirinya seorang saja. Malah, jika diberi kondom, mungkin mereka yang terbabit juga tidak menggunakannya, silap-silap ia dijual pula, katanya.
Ali panel yang turut dijemput ialah Asisten Superintendan Noraini Saat dari Bahagian Jenayah PDRM Bukit Aman dan Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Najibah Mohd Zin.
Posted at 09:44 am by infojiboi
Permalink
Monday, August 08, 2005
MTEN: Mengapa Petronas tidak disenaraikan di Bursa M'sia
MTEN: Mengapa Petronas tidak disenaraikan di Bursa M'sia
KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Syarikat minyak negara, Petronas akan hilang tanggungjawab sosial dan objektif strategiknya kepada negara sekiranya disenaraikan pada Bursa Malaysia, kata Ketua Pasukan Perunding Khas Globalisasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Prof Dr Mahani Zainal Abidin.
Beliau berkata Petronas kini memainkan peranan yang besar dari segi pemberian subsidi untuk menjamin harga minyak dan gas dalam negara rendah.
"Sekiranya Petronas disenaraikan, maka ianya akan menjadi seperti syarikat minyak lain seperti Shell dan Exon-Mobil dan akan hilang tanggungjawab sosial dan objektif strategiknya kepada negara," katanya pada Program Isu Semasa yang disiarkan secara langung oleh TV1 Ahad malam.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan seorang pemanggil yang bertanyakan mengapa Petronas tidak disenaraikan sedangkan langkah itu akan memberi keuntungan berpuluhan bilion ringgit yang boleh digunakan semula untuk meneruskan subsidi minyak.
Program sejam itu yang dihoskan Sayed Munawar Sayed Mustar turut disertai penasihat Persekutuan Persatuan Pengguna MalaysiA (FOMCA) Prof Datuk Hamdan Adnan.
Menurut Mahani, jika Petronas disenaraikan pada Bursa Malaysia, tindakan itu tidak akan menguntungkan negara dan rakyat.
"Simpanan minyak dan gas negara dijangka berakhir dalam masa 19 tahun lagi. Apabila ini sudah berakhir dari mana Petronas boleh terus mendapatkan minyak untuk menjamin harga terus rendah," katanya.
Beliau juga tidak menolak bahawa harga minyak akan terus naik memandangkan negara dijangka berubah dari sebuah negara pengeksport minyak sekarang kepada negara pengimport minyak pada 2009.
Katanya, sungguhpun Petronas mencatatkan keuntungan lebih RM31 bilion pada tahun lepas, namun dua pertiga daripada hasil minyak negara dikuasai dua syarikat asing iaitu Shell dan Exxon-Mobil.
Sekiranya harga minyak tidak dinaikkan, katanya sebahagian besar keuntungan Petronas akan tersalur kepada syarikat minyak asing itu.
Jumlah subsidi yang akan ditanggung kerajaan tahun ini berikutan kenaikan harga minyak minggu lepas dijangka berada pada tahap RM14.5 bilion, tambahnya.
Hamdan pula berkata pengguna secara amnya sedar bahawa subsidi minyak tidak boleh diteruskan tetapi apa yang lebih membimbangkan adalah kenaikan harga barang yang akan berlaku setiap kali harga minyak dinaikkan.
"Kita perlu ada ketelusan dari banyak segi terutamanya rakyat perlu tahu ke manakah perginya hasil keuntungan Petronas dan ianya perlu dijelaskan," katanya.
Beliau juga bimbang kesan kenaikan harga minyak terhadap keluarga yang berpendapatan rendah tetapi menpunyai anak serta tanggungan yang ramai.
"Bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai di sekolah sudah tentu akan menghadapi kenaikan lain seperti tambang bas dan belanja untuk anak-anak mereka. Kerajaan perlu mencari cara untuk memastikan tidak ada sesiapa pun yang tercicir kerana kemiskinan," katanya.
Beliau turut mengesa masyarakat pengguna supaya lebih berjimat dalam penggunaan minyak serta peka terhadap kenaikan harga barangan dengan membeli di tempat yang menawarkan harga yang rendah.
-- BERNAMA
Posted at 01:51 pm by infojiboi
Permalink
Anwar sambut ulangtahun kelahiran ke 58 bersama 10 ribu tetamu
Anwar sambut ulangtahun kelahiran ke 58 bersama 10 ribu tetamu
 |
SEBERANG JAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ulangtahun ke 58, bersama 10 ribu hadirin sempena Jamuan dan Pidato Perdana bersama beliau, di Perkarangan Pejabat Keadilan Negeri, Taman Kelasah, 5 Ogos lalu.
Upacara ringkas memotong kek hari lahirnya disempurnakan Anwar bersama isteri beliau, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail, selaku Presiden Keadilan yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Selepas memotong kek, Anwar memberikan ciuman ke pipi Azizah sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin yang menyaksikan acara tersebut melalui 2 layar besar.
|
Manalah nak cari isteri macam Azizah ni, yang sanggup berkorban dan bersusah payah sewaktu saya di dalam (penjara), puji Anwar ketika berucap malam itu.
Majlis seumpama itu julung kali diadakan untuk beliau selepas dibebaskan 2 September tahun lepas, setelah dipagari jerejak besi selama 6 tahun.
Tarikh lahir beliau ialah 10 Ogos 1947.
Majlis turut diserikan dengan persembahan seni silat tari.
Turut diadakan majlis penyerahan borang keahlian penubuhan 6 cawangan baru di Kadun Seberang Jaya kepada Presiden. Keadilan Permatang Pauh turut menerima kemasukan seramai 150 ahli baru daripada kaum Cina.
Azizah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan Futsal anjuran Keadilan Seberang Jaya Bersatu. |
 |
Tetamu khas malam itu, Timbalan Presiden PAS; Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Ahli Parlimen Ahli Parlimen (DAP) Tanjong YB Chow Kon Yeow.
Turut hadir, Naib Presiden Keadilan; Azmin Ali, Setiausaha Agung Keadilan; Datuk Kamarul Baharin Abas, Pengerusi Perhubungan Negeri; Datuk Zahrain Mohd Hashim; Ahli Parlimen (DAP) Bukit Mertajam; YB. Chong Eng, Adun (PAS) Permatang Pasir ;YB Hamdan Abdul Rahman; YDP PAS Permatang Pauh; Omar Hassan dan pimpinan BA peringkat negeri dan bahagian.

Posted at 01:31 pm by infojiboi
Permalink
Berikan angka sebenar
Institut Pembangunan Ekonomi mempunyai satu hasil bancian yang mengejutkan lebih kurang 120,000 orang pelajar cemerlang Melayu gagal mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian mereka di universiti tempatan, dan tiba-tiba, isu ini telah menarik perhatian rakyat Malaysia, mendedahkan bahawa bukan hanya pelajar Cina yang tidak dapat meneruskan pelajaran di universiti tempatan.
120,000 bukanlah satu angka yang kecil, dan oleh kerana itu, naib presiden UMNO Muhyiddin telah menyatakan bahawa isu ini akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Tahunan parti itu minggu ini, dan kementerian pengajian tinggi akan bermesyuarat untuk membincangkan tentang cara-cara untuk membantu pelajar-pelajar ini untuk melanjutkan pelajaran mereka.
Selepas beberapa hari berhoohah, menteri pengajian tinggi Shafie Salleh menjelaskan bahawa anggaran sebanyak 120,000 itu adalah terlebih dan tidak tepat. Kerosakannya telah berlaku, dan penjelasan lewat oleh kementerian tidak dapat untuk memperbaiki keadaan.
Shafie berkata angka 120,000 tersebut adalah melampau, bagaimanapun dia gagal untuk memberikan angka yang sebenar sekaligus membuktikan penyakit biasa dalam perkhidmatan awam negara ini kegagalan untuk memberikan gambaran sebenar setelah sesuatu berlaku, justeru menimbulkan kesangsian dan teka-teki di kalangan rakyat.
Sebarang angka yang diumumkan adalah sangat penting bagi pembangunan negara. Walau bagaimanapun, apa yang kita lihat adalah kebanyakan agensi kerajaan sering memberikan maklumat yang lapuk atau kabur dalam menghasilkan angka yang relevan. Maka fahamlah kita mengapa pihak pembangkang kerap menuding jari ke arah kerajaan kerana memberikan maklumat yang tidak tepat atau cuba untuk menyembunyikan fakta daripada pengetahuan umum seterusnya mewujudkan konflik.
Ambil sahaja isu AP sebagai contoh, sehingga hari ini, kita masih kabur tentang di mana letaknya punca masalah itu sebenarnya, dan kita masih tidak tahu berapa banyak AP yang telah dikeluarkan kepada berapa ramai orang. Ini adalah satu isu utama yang mempunyai kaitan penting dengan pembangunan industri serta ekonomi negara, dan rakyat tidak mempunyai laluan kepada maklumat sebegitu manakala kementerian yang berkenaan pula tidak bertanggungjawab untuk membuat sebarang penjelasan!
Kembali kepada isu 120,000 orang pelajar Melayu gagal mendapat tempat di universiti tempatan, kita menghadapi masalah yang sama di mana ramai pelajar tidak dapat melanjutkan pelajaran mereka di universiti kerajaan setiap tahun. Namun begitu, kementerian pelajaran tidak pernah mendedahkan jumlah sebenar pelajar cemerlang yang tidak diberikan tempat dalam universiti tempatan, dan ini menyebabkan kita gagal untuk menangani masalah ini secara berkesan. Kita sedar bahawa kerajaan telah membina sebuah demi sebuah universiti baru, tetapi ia masih tidak dapat menampung permintaan pelajar-pelajar ini.
Maklumat-maklumat sebegini adalah seperti rahsia besar yang tidak boleh didedahkan kepada umum. Kita tidak mempunyai pilihan lain selain daripada membuat tekaan sendiri tentang data yang diberikan itu, malah angka yang diberikan oleh sektor persendirian juga tidak konsisten, menyebabkan timbul rasa was-was dan kontroversi yang menjejaskan pembangunan ekonomi negara. Jika badan-badan kerajaan mampu mengeluarkan statistik yang terkini, masalah-masalah sebegitu tidak akan terjadi dan banyak konflik yang tidak diperlukan pasti akan dapat dielak.
Posted at 01:24 pm by infojiboi
Permalink
Talqin untuk pemandu-pemandu kereta sewa Seremban
Talqin untuk pemandu-pemandu kereta sewa Seremban
Kenaikan harga bahan api baru-baru ini benar-benar menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu kereta sewa di Seremban. Ini adalah kerana kebanyakan kereta sewa menggunakan bahan api diesel dimana kenaikannya ialah sebanyak 20 sen untuk setiap liter.
Saya telah sempat mendengar keluhan beberapa pemandu kereta sewa di Seremban hari Ahad yang lalu
Menurut pemandu-pemandu kereta sewa ini, nasib mereka sekarang ini umpama Sudah Jatuh Ditimpa Tangga, sudahlah keluhan mereka sebelum ini dimana mereka menghadapi persaingan yang tidak sepatutnya daripada pengusaha teksi yang mendapat lebihan permit daripada permit teksi Lembah Kelang, kini mereka dihantui pula oleh kenaikan harga diesel yang akan menyebabkan penumpang sudah mula menyahut serua Menteri Kabinet supaya Bijak Berbelanja dengan menggunakan pengangkutan awam lain terutamanya bas atau berkongsi kenderaan.
Bukannya mereka ini tidak pernah berunding dengan wakil rakyat dan ahli parlimen, malah menurut mereka sudah tidak kurang empat kali mereka memanjat pejabat wakil rakyat namun tiada jalan penyelesaian ke atas nasib yang menimpa mereka. Kecewa dengan penantian yang tiada kesudahannya umpama Gantung Tak Bertali, mereka juga melalui beberapa persatuan berkaitan telah menulis surat kepada Perdana Menteri agar campur tangan untuk menyelesaikan masalah pemandu-pemandu kereta sewa di Seremban yang umpama Telur Dihujung Tanduk. Namakan sahaja apa persatuan yang mereka salurkan masalah mereka, Persatuan Bekas Perajurit, Persatuan Pemandu Kereta Sewa, Persatuan Kereta Sewa Bandar Seremban dan Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Negeri Sembilan, namun tiada satu pun persatuan yang dapat benar-benar menyuarakan masalah mereka kepada kerajaan negeri, kerajaan pusat mahupun kementerian yang berkaitan.
Kemuncaknya ialah apabila pemandu-pemandu kereta sewa ini telah mengadakan piket kerana sudah tidak tahan lagi menunggu jawapan dan tindakan daripada pihak kerajaan dan kementerian. Yang mengecewakan pemandu kereta sewa ini ialah apabila pemimpin kerajaan negeri menuduh pemandu-pemandu kereta sewa ini malas, tidak mahu berusaha cari penumpang sekitar bandar Seremban. Menurut seorang pemandu kereta sewa yang tidak ingin disiarkan namanya berkata, Bukannya mereka tak mahu cari penumpang sekitar bandar Seremban, masalahnya ialah mereka ialah pemandu kereta sewa. Status kereta sewa berbeza dengan status teksi. Kereta sewa hanya diberi permit untuk mengambil penumpang dari stesen bas atau kereta api dan dihantar ke destinasi mereka, dan selepas itu mereka mesti pulang semua ke stesen bas dan kereta api. Kereta sewa tak perlu guna meter, teksi mesti menggunakan meter. Teksi plet kenderaan mereka bermula dengan huruf H sedangkan kereta sewa menggunakan plet kenderaan biasa mengikut negeri. Itulah keluhan sebahagian daripada pemandu-pemandu kereta sewa di Seremban ini.
Seorang lagi pemandu kereta sewa menyatakan mereka tidak diberi permit teksi walaupun beberapa permohonan telah dibuat, kerana menurut kementerian permit teksi hanya dikeluarkan pada syarikat besar bukannya individu. Kalau mereka hendak mengusahakan teksi mereka terpaksa menyewa teksi daripada syarikat ini dimana mereka dikehendakki membayar wang pendahuluan RM 5000 dan ditambah lagi dengan sewa harian sebanyak RM 57 sehari. Mana nak cari duit sebanyak itu, sedangkan sekarang pun mereka hanya boleh mendapat kutipan sebanyak RM 60 sehari belum ditolak dengan penyenggaraan, kos diesel dan ansuran bulanan kereta.
Apa yang mereka minta ini bukannya banyak sangat. Samada kerajaan atau kementerian berkaitan menghentikan operasi teksi yang mendapat permit dari Lembah Kelang ataupun memberikan mereka permit teksi, supaya mereka boleh mencari penumpang sekitar bandar Seremban dengan ini tidaklah mereka ini dituduh pemalas.
Terdapat antara 450 ke 500 pemandu kereta sewa di Seremban yang bersaing dengan tidak kurang 80 teksi. Kebanyakan pemandu kereta sewa ini mempunyai beban tanggungan yang ramai kerana mereka ini sudah berkeluarga, serta amatlah sukar untuk mereka mencari pekerjaan yang lain kerana tidak kurang 30% daripada pemandu teksi ini adalah merupakan bekas anggota tentera, bekas anggota polis dan bekas kakitangan kerajaan. Dan mereka yang menjadi pemandu kereta sewa ini terdiri dari berbilang kaum sekitar 60% Melayu , 30% Cina dan 10% India.
Oleh itu adalah diharapkan agar kerajaan negeri, kerajaan pusat serta kementerian yang berkaitan melalui Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan agar memberi jalan penyelesaian yang munasabah kepada pemandu-pemandu kereta sewa di Seremban ini antaranya ialah memberikan kemudahan kepada pemandu kereta sewa ini diberi kelulusan untuk mendapat permit teksi individu. Disamping itu kerajaan juga harus mempertimbangkan subsidi diesel untuk pengusaha kenderaan awam diseluruh negara sebagaimana mereka memberikan subsidi diesel kepada para nelayan. Disamping itu beliau menyatakan kerajaan juga haruslah memberikan kemudahan serta menurunkan harga kit penggunaan NGV atau gas asli , dimana bahanapi ini jauh lebih murah. Bukan itu sahaja stesen-stesen minyak juga haruslah diperluaskan untuk menyediakan kemudahan bekalan NGV, dimana menurut satu sumber di seluruh Johor contohnya hanya terdapat 4 stesen minyak yang membekalkan NGV.
Jika tidak biarlah pemandu-pemandu kereta sewa ini berkubur agar mereka tidak ternanti-nanti pembelaan daripada pihak kerajaan umpama Pungguk Rindukan Bulan.
:.ROZMAL
Posted at 12:54 pm by infojiboi
Permalink
|
|
|