|
|
Tuesday, August 16, 2005
USM did it again : cut throat photos -no $$$$ no photos !
USM did it again : cut throat photos -no $$$$ no photos !
 |
USM did it again : they gave a crony photo studio from UKM the right to take all Convocation photos for the current batch of graduates. This monopoly studio was quick to hike the price to about RM100.00/set of photo -on excuse that they supply the picture frame. When the graduates refused to be extorted -causing the photos without the frames to be cut to about RM50.00/set the photo studio company refused to sort out the photos for the graduates ! The result was what you see in the photo.
(Pix: FLOORED: Graduates, some with their parents' help, searching for their convocation photos strewn all over the USM chancellery ground on Saturday.) |
So USM : why take advantage of your graduates and leave a bad impression of you on the last day your students -and their parents, are with you ?
Apparently some photos had been removed from USM and the campus authotity, while denying a brawl with the photo studio, promised to bring back the photos for the affected students
Monday August 15, 2005
A picture of chaos at USM
BY EMMELINE TAN
PENANG: They wanted mementoes of their being proudly capped as Universiti Sains Ma-laysia(USM) graduates. But they found only chaos, missing photographs, and no explanation. They had to sort through thousands of unmarked photos in boxes to find their own. The graduates, who turned up on Friday and Saturday at the USM chancellery, found themselves going on their knees to sort through the photos scattered all over the floor
The problem started after they were asked to buy the entire set of three photo-graphs together with frames for RM95. When many of them complained about not needing the frames, the price was reduced to as low as RM55.
Applied Science graduate Cheryl Kok expressed her dismay when she had to search for her own pho- tos from boxes just placed there. In previous years, small photos would be numbered and pinned on a notice board according to your convocation session. You would look for your face and jot down your number. Photo studio staff would then hand you the correct plastic bag with all your photos and negatives and you just pay your money and leave, said Kok, 24.
The situation turned chao-tic when scores of graduates turned up to collect their photographs on Friday.Kok said people just took out batches of photos from the boxes to sort through them and none of the photo studio staff offered to help. A father who wanted to be known as L.K. Yong, 52, said his family went there on Saturday to get his daughter and they took two hours before they could locate them.
These are precious photos. It’s frustrating such a thing could happen in a univer- sity. It was a free-for-all with some leaving without pay- ing for their photos and others crying when they couldn’t find theirs,” said Yong, whose daughter is a Translation and Interpre-tation graduate
USM principal registrar Mohamad Abdullah said the university would resolve the problem with the photo studio. The studio did not have a system in selling the photographs and they said we were not helping them when the situation blew up The photos are now with the independent studio at its base in Universiti Kebang-saan Malaysia, Bangi said Mohamad, adding that it was the first time this studio was chosen for the USM convocation. Mohamad said USM would do its best to get the photos for the graduates. Graduates who have any enquiries or complaints could e-mail him at pro@notes. usm.my
Posted at 05:24 pm by infojiboi
Permalink
Aksi mesra Aleya & Ashraf: Jawapan Ibunya Kak Fati, guru AF
Aksi mesra Aleya & Ashraf: Jawapan Ibunya Kak Fati, guru AF
"Artis, selebriti, staf Akademi Fantasia adalah sebahagian masyarakat yang masih perlukan bimbingan dalam memahami Islam dan hukumnya, agama mereka sendiri.
B.Harian hari Ahad melaporkan:
“SEMINGGU sebelum Konsert Akhir, Akademi Fantasia 3 (AF3), kebanyakan wartawan hiburan menerima kiriman e-mel berupa beberapa keping gambar aksi mesra yang membabitkan pelakon dan bekas pengacara Malaysia Idol (MI), Sharifah Aleya bersama teman lelakinya, Ashraf, pemain gitar bass kumpulan Indrani.
Aleya juga adalah anak gadis guru bahasa Inggeris AF3, Fatimah Abu Bakar.
Justeru, kesempatan menemui Kak Fati (Fatimah Abu Bakar) sebaik saja selesai konsert final AF3 minggu lalu, Zubir terus mendapatkan penjelasannya berhubung penyebaran gambar berkenaan “Aksi-aksi mesra yang Zubir lihat dalam e-mel tu, bagi Kak Fati perkara remeh... Kalau kita peluk dengan niat sebagai kawan, mak dengan anak, inilah yang Kak Fati namakan sebagai budaya kasih sayang. Bagi Kak Fati, mereka yang menyebarkan gambar itu, nakal.
“Sebenarnya gambar itu diambil dari laman web friendster yang juga gambar peribadi mereka. Gambar itu kalau diambil dan disiarkan dalam konteks yang jahat, akan jadi jahat. Terpulang kepada niat, baik jadi baik. Kak Fati tahu dengan siapa anak-anak Kak Fati berkawan. Apa saja yang mereka lakukan, semua Kak Fati tahu.
“Kak Fati dah anggap Ashraf macam anak sendiri. Cuma Kak Fati kesian dengan orang yang buat perkara ini (menyebarkan gambar) kerana mereka tak ada otak!
“Sehingga hari ini antara Leya (Aleya) dan Ashraf sekadar kawan saja. Sebagai ibu, Kak Fati sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Namun, Kak Fati selalu ingatkan anak-anak, dalam pergaulan perlu ada batasan,” katanya.
Justeru, Zubir harap orang di luar sana berpuas hati dengan penjelasan Fatimah. Kalau tak puas hati juga, Zubir tak mampu berkata apa-apa sebab ibu Leya sendiri yang memberi kenyataannya.”
Komentar: Kalau inilah cara jawapan si ibu menjawab isu tidak berakhlak anaknya, berpelukan dengan bukan mahram, maka apalah peliknya apabila timbulnya kes mengandung sebelum kahwin atau trend serah tubuh?
Adakah aksi peluk itu remeh? Melihat kecil dosa yang dibuat? Peluk dengan niat sebagai kawan dikatakan budaya kasih sayang? Pergaulan katanya ada batas, yang berpeluk itu batas apa? Alangkah jahilnya seorang ibu terhadap hukum Islam, dan alangkah kasihannya seorang anak yang memiliki ibu berfikiran demikian.
Posted at 12:41 pm by infojiboi
Permalink
Tamadun harga minyak
Saya adalah di antara orang-orang yang percaya bahawa pada ketika ini minyak mentah di dunia ini telah habis. Sepuluh tahun dahulu memang tidak ramai orang yang mahu percaya bahawa telaga minyak petroleum akan kering. Tetapi hari ini semakin ramai orang yang mula percaya bahawa minyak mentah telah semakin susut. Kemungkinan telaga-telaga minyak akan menjadi kering dalam masa terdekat semakin dilihat sebagai satu kenyataan.
Untuk saya apa yang kita nantikan hari ini bukan betulkah minyak akan kering, tetapi apa akan terjadi apabila telaga minyak kering?
Mari kita melihat kembali apa yang berlaku pada tahun 1973/74, sesudah meletusnya Perang Arab/Isreali pada bulan Ramadzan 1973. Sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang Zionis Isreal, Raja Saudi Al-Malik Faizal telah menutup semua loji dan telaga minyak di Saudi Arabia. Dunia menjadi gempar. Ekonomi dunia kapitalis menjadi kelam kabut. Pengaliran minyak mentah telah ditutup selama dua minggu.
Bayangkan bentuk krisis yang berlaku jika minyak telah kering. Hari ini permintaan semakin bertambah. Harga terus melonjak naik. Pengeluaran terus tidak mencukupi. Untuk saya semua ini adalah tanda-tanda krisis yang maha besar yang akan melanda dunia. Ledakan krisis yang tidak lama lagi akan datang ini belum pernah kita saksikan berlaku dalam dunia ini.
Pada tahun 1973 dahulu, untuk pertama kalinya negara-negara pengeluar minyak (Opec) merasakan bahawa mereka juga memiliki kuasa untuk menentukan harga bahan mentah hasil bumi mereka. Negara-negara seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, Nigeria, Indonesia, Venuezula dan negara Teluk telah menjadi pemain penting dalam perkembangan ekonomi dunia. Semenjak dari tahun 1974, Opec telah juga memainkan peranan penting untuk mengendalikan dan mengawal turun naik harga minyak.
Ekonomi dunia kapitalis distabilkan oleh negara-negara Opec. Jika terlalu banyak minyak di pasaran, maka Opec akan mengarahkan ahli-ahlinya mengurangkan pengeluran. Jika minyak kurang di pasaran maka negara-negara Opec akan menambah pengeluaran minyak. Semua ini berjalan dengan agak selesa di antara pengeluar dengan pembeli
dan pengguna selama 30 tahun ini.
Tetapi hari ini semunya telah berubah. Hari ini permintaan bahan mentah ini telah melebihi pengeluaran. Negara Opec tidak lagi memiliki keupayaan untuk menambah pengeluaran. Indonesia negara Opec yang dulu pengekspot kini telah menjadi negara pengimpot. Nigeria, Algeria dan Malaysia sendiri tidak lama lagi akan menjadi negara pengimpot minyak.
Semua ini membuktikan bahawa bahan bakar minyak mentah telah susut. Kesusutan imbangan pengeluaran dan permintaan bahan bakar ini semakin disulitkan dengan kehadiran negara China dan India. Tanah besar China dan India adalah dua negara yang sedang agresif 'membangun'. Kedua-dua negara ini sedang memerlukan bahan bakar yang banyak.
Hari ini di tanah besar China telah sedia bergerak 10 juta buah kereta di atas jalan raya. Sepuluh tahun yang akan datang jika dasar pengangkutan China tidak berubah maka akan muncul 150 juta lagi kereta. Tahun lepas sahaja China memerlukan 5.8 million tong minyak sehari. Permintaan China terus meningkat. China kini telah disenaraikan sebagai negara kedua sesudah Amerika Syarikat, pengimpot bahan bakar petroleum yang terbesar. Amerika memerlukan 20 juta tong sehari.
Tamadun yang sedang kita alami hari ini adalah tamadun yang berasaskan bahan bakar petroleum. Lihatlah di kiri dan kanan kita - semua produk dihasilkan oleh petrol. Tenaga leterik, kereta, bahan perabut, bahan perumahan, plastik dalam pelbagai bentuk dan paling penting makanan yang terletak di atas meja makan kita juga adalah hasil dari bahan bakar petroleum.
Saya berani berkata, melalui data-data yang baru muncul bahawa tamadun petroleum ini telah sampai ke zaman akhir. Sama seperti tamadun zaman batu dan tamadun di zaman besi ianya akan juga berakhir. Tamadun zaman arang batu dan tamadun kuasa wap - semuanya berlangsung tidak lebih dari 200 tahun. Bahan bakar petroleum - yang menjadi asas tamadun kita ini - telah bersama kita selama 150 tahun lebih. Riak-riak untuk berakhir telah muncul.
Kenaikkan harga minyak untuk para pengguna buat kali kedua dua tahun ini tidak memeranjatkan saya. Malah saya terus meramalkan bahawa harga bahan bakar ini akan terus melonjak dari 66 dollar satu tong hingga ke 100 atau 250 dollar satu tong. Malah akan tiba masanya apabila harga ini akan terus melonjak lagi. Ini bukan hanya kerana ada spekulasi dalam pasaran tetapi kerana bahan bakar minyak petroleum ini telah tiada lagi dalam perut bumi ini.
Saya juga sedar bahawa tidak semua orang akan sependapat dengan saya. Kerana itu agenda kekeringan minyak ini masih lagi tidak dibincangkan secara terbuka. Ianya masih tidak dijadikan wacana oleh media arus perdana antarabangsa. Ini dapat saya fahami kerana bahan bakar ini adalah bahan strategik. Negara-negara Opec sendiri pun tidak pernah memberikan data dan angka-angka yang jelas tentang berapa banyak lagi minyak yang masih tersimpan dalam perut bumi mereka.
Dalam masa yang sama negara-negara Opec sering membesar-besarkan jumlah simpanan mereka. Ini dilakukan kerana dengan jumlah angka simpanan yang besar maka negara ini akan diberi kouta yang besar untuk memasarkan bahan mentah mereka. Negara Arab Saudi - pengekspot terbesar dunia - tidak pernah mengeluarkan data dan statistik untuk diketahui umum. Apa yang sering kita dengar hanyalah kenyataan bahawa minyak masih banyak tersimpan dalam perut bumi Arab Saudi. Bukti-bukti melalui data tidak pernah dilihat. Jika data wujud, kesahehannya sering dipertikaikan.
Untuk saya, hakikat yang wajib kita terima ialah bahan bakar petroleum telah semakin susut dan dalam masa yang paling terdekat dunia akan kerkeringan minyak. Hakikat ini wajib kita terima untuk kita kongsi bersama. Jika kita dapat menerima hakikat ini maka barulah ada kemungkinan kita dapat mengambil langkah-langkah seterusnya.
Cakap-cakap tentang alat hawa dingin terlampau sejuk dan membazir atau lampu-lampu pejabat terpasang terus sebagai satu pembaziran adalah cakap-cakap dari mulut yang tidak berilmu. Menutup satu dua punat lampu atau punat penghawa dingin tidak menyelamatkan apa-apa. Ini hanyalah cakap-cakap orang politik yang masih kurang kesedaran untuk menerima hakikat bahawa bahan bakar minyak telah susut.
Apa yang wajib kita sama-sama lakukan ialah mengubah seluruh cara hidup kita yang bersandarkan bahan bakar petrol. Kita wajib melakukan peralihan cara dan struktur berfikir. Ini bererti dasar, rancangan dan apa sahaja projek yang akan kita sama-sama bangunkan wajib berasaskan dan berlatar belakangkan senario kekeringan minyak.
Jika semua ini dapat kita lakukan, saya masih lagi merasa pesimis. Apakah kita memiliki masa untuk berubah? Jika pada tahun 1973/74 dahulu kita (rakyat dunia) telah melakukan anjakan pemikiran, besar kemungkinan secara perlahan-lahan kita boleh mengubah gaya hidup kita. Hari ini kita telah terperangkap dalam budaya konsumer kapitalis yang berasaskan bahan bakar petroleum. Contoh yang amat senang difahami ialah bangunan-bangunan terbaru yang kita dirikan. Bukan sahaja tinggi malah bangunan-bangunan ini dibina tanpa memiliki tingkap. Lif-lif wajib digunakan dan ini memerlukan tenaga bahan bakar minyak. Bilik bangunan tanpa tingkap memerlukan alat penghawa dingin.
Dalam masa yang sama kita juga terus memiliki obsesi terhadap kereta. Obsesi ini dicanangkan sebagai tanda kejayaan. Tidak berapa lama lagi berahi obsesi kita ini akan berhadapan dengan satu realiti seperti yang pernah terjadi pada tahun 1973/74 dahulu. Cuma bezanya pada tahun 1974 dahulu rakyat Amerika dinafikan minyak kerana kerajaan mereka menyokong Isreal. Mereka keputusan minyak untuk sementara waktu. Dua minggu dunia tanpa minyak telah menyebabkan ekonomi dunia kacau bilau. Bayangkan tidak lama lagi apabila semua stesen minyak tutup. Stesen jual minyak ditutup bukan kerana apa-apa bantahan politik atau satu protes tetapi untuk selama-lamanya.
:.Hishamuddin Rais
Posted at 10:02 am by infojiboi
Permalink
Kebencian terhadap Islam memuncak di UK
Kebencian terhadap Islam memuncak di UK
Serangan yang didorong oleh kebencian agama telah meningkat sebanyak enam kali ganda di London sejak serangan 7 Julai lalu, mengikut statistik polis.
“Anjing Islam yang kotor! Kamu akan dibakar Jumaat ini. Banyak babi Islam yang akan dipanggang,” tulis sebuah nota tulisan tangan.
Di sebuah masjid yang telah dirosakkan baru-baru ini di timur ibu kota Britain, Siddique Ali, 65, memegang satu contoh surat ancaman yang ditujukan kepada orang Islam Britain selepas serangan bom ke atas sistem pengangkutan London pada 7 Julai lalu.
“Kami takut,” kata Ali, salah seorang ahli jawatankuasa yang menguruskan masjid tersebut.
“Mereka memberi amaran kepada kami. Tetapi jika mereka datang bersemuka kami boleh memberi jawapan atau setidak-tidaknya cuba memahami mereka, tetapi mereka tidak datang.”
Minoriti orang Islam
Britain merupakan tempat tinggal bagi 1.6 juta orang Islam, kurang 3% daripada jumlah penduduknya.
Majoriti daripada penduduk Islam itu berasal daripada benua kecil India, bukannya daripada Timur Tengah.
Hubungan antara kaum dalam masyarakat berbilang kaum di Britain secara amnya adalah aman, walaupun ketegangan antara kumpulan etnik yang berlainan kadang kala bertukar ganas seperti rusuhan kaum pada 2001 di bandar Bradford, Oldham dan Burnley di wilayah utara.
Orang Islam Britain berkata mereka mengalami penganiayaan yang bertambah selepas serangan ke atas New York pada 11 September pada tahun itu, tetapi ketegangan tersebut boleh dikatakan telah beransur hilang sehingga sebelum letupan di London itu.
Serangan
Bagaimanapun, dua hari selepas pengeboman 7 Julai, perosak telah memecahkan 20 buah tingkap di hadapan Mazahirul Uloom Education and Cultural Institution, sebuah masjid biru cerah di daerah Stepney Green, timur London.
Seorang jemaah, Saleh Ahmed melihat kerosakan tersebut di samping Ali.
“Saya sedang tidur di tingkat atas dan pada tengah malam, lebih kurang pada pukul tiga, saya dengar bunyi dentuman,” kata Ahmed. “Saya turun ke bawah dan mendapati tingkap pecah dan kaca bertaburan di atas lantai.”
Pakar jenayah berkata angka 269 jenayah kebencian kaum sejak 7 Julai merupakan anggaran yang sedikit kerana banyak kesalahan yang tidak dilaporkan.
Anggaran tidak rasmi dikatakan 20 kali lebih tinggi.
Muslim Safety Forum menyenaraikan pembunuhan, pembakaran sengaja, serangan dan ancaman bom antara insiden-insiden yang berlaku.
Dalam satu kes yang dilaporkan berlaku di selatan London, seorang imam telah diserang dan dipukul sehingga tidak sedarkan diri semasa dia sedang berbasikal untuk sembahyang di masjid.
Diskriminasi
Kejadian-kejadian yang kurang ganas yang dilaporkan termasuklah keengganan pemandu bas membenarkan wanita Islam yang memaki hijab atau tudung menaiki bas mereka, grafiti berbentuk perkauman dan bacon dipalitkan pada pintu masuk sebuah masjid di Wales.
Kebimbangan mengenai masyarakat Islam di sana telah menyebabkan pengerusi Council of Mosques and Imams, Zaki Badawi mencadangkan supaya wanita Islam berhenti memakai hijab bagi mengelakkan penganiayaan.
Tetapi Assembly for the Protection of the Hijab, sebuah kumpulan wanita Islam, menolak idea tersebut dan mengatakan bahawa memakai hijab itu adalah satu kewajipan.
Muslim Safety Forum bimbang bahawa serangan Julai lalu akan meningkatkan diskriminasi meluas ke atas orang Islam di Britain.
Tetapi di Brixton, kawasan kejiranan pelbagai kaum di London, beberapa minit perjalanan kaki daripada tempat polis tersilap menembak seorang lelaki Brazil yang disangkakan suspek dalam kejadian bom itu, wanita Islam di sana berkata mereka belum lagi merasai didiskriminasikan berikutan kejadian serangan bom itu.
“Mungkin keadaan lebih bermasalah di tempat yang lebih ramai orang kulit putih,” kata seorang pekedai, Makka Adams, 29. “Terdapat banyak kaum yang bercampur di sini sehingga saya tidak merasakan perbezaannya.”
“Tetapi saya tidak tahu apa yang akan terjadi esok.”
:.Al Jazeera
Posted at 09:51 am by infojiboi
Permalink
Demokrasi Umno mundur ke belakang - Presiden PAS
Demokrasi Umno mundur ke belakang - Presiden PAS
 |
"Negara-negara Arab sudah reformasikan demokrasi, tetapi demokrasi BN mundur ke belakang termasuk dalam kampus"
KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Hrkh) -Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan demokrasi semakin mundur dalam Barisan Nasional (BN) apabila PAS dihalang terus menerus untuk berkomunikasi dengan rakyat.
Yang terakhir adalah tindakan menghalang ceramah PAS oleh polis secara terus menerus di Terengganu sejak kebelakangan ini sehingga menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.
Katanya, penghakisan demokrasi oleh pemerintahan Barisan Nasional semakin ketara, apabila aktiviti parti politik yang berdaftar seperti PAS dihalang seperti tindakan yang digunakan dalam beberapa siri ceramah PAS baru-baru ini. | Bercakap pada wartawan dalam satu sidang media sebaik sahaja selesai mesyuarat Ahli Jawatankuasa Harian di Markas PAS Taman Melewar semalam,
Abdul Hadi berkata, kerajaan Barisan Nasional dan Umno yang kononnya melaungkan demokrasi bagaimanapun proses tersebut semakin dihakis oleh mereka sendiri.
Katanya, aktiviti ceramah yang dianjurkan PAS selalunya dihadiri beratus-ratus penyokongnya dan dalam masa yang sama pihak polis diperintah untuk mengganggu ceramah tersebut.
Jelas beliau, pihak polis akan menggempur ceramah PAS dengan pelbagai cara termasuklah menggunakan gas pemedih mata dan 'water cannon' walaupun aktiviti tersebut diadakan di kawasan parti.
"Ataupun polis ini akan berkumpul di kawasan ceramah PAS untuk menakut-nakutkan orang ramai," katanya.
Tegasnya, keadaan ini menyempitkan lagi ruang demokrasi di dalam negara ini.
Bahkan katanya, semua media pada hari ini diboloti oleh kerajaan, dan yang membimbangkan kerajaan dikatakan demokrasi tetapi bukan demokrasi.
"Di Arab pun sudah ada reformasi ke arah demokrasi, tetapi kerajaan demokrasi kita pula mundur ke belakang, begitu juga dengan demokrasi di kampus turut menjadi mangsa kerajaan," katanya.
Umno tak mahu muzakarah
Abdul Hadi juga berkata, PAS sudah menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung Umno untuk bermuzakarah mengenai masalah rakyat tetapi sehingga kini masih tidak ada jawapan dari mereka.
Abdul Hadi berkata, di dalam surat berkenaan pelbagai isu untuk kepentingan rakyat cuba dijelaskan untuk dibawa bermuzakarah.
"Kita melihat Umno lebih pentingkan parti daripada menjaga kepentingan rakyat dan negara," katanya.
Isu DEB untuk tenggelam isu lain
Isu DEB adalah satu isu untuk menenggelamkan masalah yang sedang dihadapi Umno daripada diketahui oleh rakyat, kata beliau.
"Sedangkan mereka sendiri gagal menghadapi masalah, kegagalan berpunca daripada mereka sendiri, daripada DEB yang tidak betul tidak adil kepada bukan sahaja kaum lain bahkan orang melayu sendiri.
Beliau berkata, sepatutnya Umno menilai kegagalan dan kelemahan mereka sendiri iaitu dasar yang tidak jelas.
Katanya sudah lebih 15 tahun PAS menegur kelemahan pelaksanaan DEB sebagaimana dalam laporan yang diserahkan kepada MTEN.
"Kita bukan memandang negatif dalam pembangunan ekonomi tetapi tidak yakin dengan umno dan BN untuk menguruskan dasar yang benar-benar memberi kebajikan saksama kepada rakyat," katanya.
-mks/zs
Posted at 09:44 am by infojiboi
Permalink
Malaysia perlu contohi Brunei dan Hong Kong tangani HIV/AIDS
Malaysia perlu contohi Brunei dan Hong Kong tangani HIV/AIDS
Berikut adalah fakta yang begitu menggerunkan. Rakyat Malaysia jarang didedahkan dengan statisitik sebenar apa yang berlaku dalam negara ini, menyebabkan rakyat leka untuk menangani sesuatu isu itu secara serius.
Tahukah kita semua kajian yang dibuat oleh UNAIDS Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah membuktikan bahawa Malaysia mempunyai kadar penghidap HIV/AIDS dan kadar kematian akibat AIDS yang begitu tinggi jika dibandingkan dengan negara maju atau negara membangun yang lain serta negara yang mempunyai kepadatan penduduk yang lebih tinggi di rantau Asia ini. Kadar yang tertinggi dibandingkan dengan Papua New Guinea, Jepun, Filipina, Korea, Singapura, Sri Lanka, Hong Kong, Laos dan Brunei. Kajian pada tahun 2003 menunjukkan Malaysia mempunyai penghidap HIV/AIDS seramai 52,000 orang dengan kadar kematian seramai 2,000 orang, sedangkan di Jepun hanya 12,000 orang penghidap HIV/AIDS dan kurang 800 orang kadar kematian. Begitu juga dengan Filipina yang jauh lebih rendah kadar penghidap HIV/AIDS iaitu 9,000 orang dengan kadar kematian kurang 500 orang.
Namun Brunei negara berjiran dengan Malaysia menunjukkan kadar penghidap HIV/AIDS yang begitu kecil, iaitu hanya 22 orang.
Maka apakah rahsia Brunei sehinggakan mereka dapat mengawal penyakit HIV/AIDS daripada merebak ? Adakah mereka membekalkan jarum, dadah dan kondom percuma ? Dan apa pula rahsia Hong Kong sebuah pulau yang padat dengan hanya 2,600 penghidap HIV/AIDS dengan kadar kematian kurang daripada 200 orang ? Apakah Hong Kong juga membekalkan jarum, dadah dan kondom percuma ?
ROZMAL MALAKAN, NS
Rozmal.blogspot.com
Sumber daripada
http://www.amfar.org/cgi-bin/iowa/asia/aids?record=15
1. Malaysia : HIV-Infected People = 52,000 , AIDS Deaths in 2003 = 2,000
2. Papua New Guinea : HIV-Infected People = 16,000 , AIDS Deaths in 2003 = 600
3. Japan : HIV-Infected People = 12,000 , AIDS Deaths in 2003 = <800
4. Philippines : HIV-Infected People = 9,000 , AIDS Deaths in 2003 = <500
5. Republic of Korea : HIV-Infected People = 8,300 , AIDS Deaths in 2003 = <200
6. Singapore : HIV-Infected People = 4,100 , AIDS Deaths in 2003 = <200
7. Sri Lanka : HIV-Infected People: 3,500 , AIDS Deaths in 2003: <200
8. Hong Kong : HIV-Infected People = 2,600 , AIDS Deaths in 2003 = <200
9. Laos : HIV-Infected People = 1,700 , AIDS Deaths in 2003 = <200
http://www.rtb.gov.bn/NewsUpdate/2003/Jun03/110603/main2.htmAccording to statistics on HIV/AIDS in Brunei Darussalam, 22 Bruneians comprising of sixteen men and six women have been infected by HIV/AIDS. Out of this number, fifteen had succumbed to the virus.
Posted at 09:17 am by infojiboi
Permalink
Monday, August 15, 2005
Kagum amalan serba sederhana Arab Saudi
Kagum amalan serba sederhana Arab Saudi
Saudara Pengarang,
PENGKEBUMIAN Raja Fahd yang mangkat pada 3 Ogos 2005 menyentuh perasaan.
Almarhum Raja Fahd diselimuti kain kapan yang sama seperti yang kita lihat apabila sanak saudara atau jiran tetangga kita yang meninggal dunia.
Jenazah baginda diusung ke tanah perkuburan dengan dipikul sama seperti yang kita lakukan di kampung. Tiada perbarisan ketenteraan, tiada dentuman meriam, tiada bunyi tembakan senjata api.
Juga tiada payung kuning mengiringi jenazah. Tiada iringan kuda. Jiwa mana yang tidak tersentuh melihat semua itu. Bukankah ini kesederhanaan yang sepatutnya menjadi amalan kita tanpa mengira pangkat dan kedudukan?
Kubur Almarhum Raja Fahd hanya bertanda dua batu nisan biasa. Tiada batu nisan berukiran atau makam bertulis dakwat emas. Tiada monumen dibina untuk beliau. Beliau dikuburkan di perkuburan yang sama seperti rakyat jelata.
Inilah amalan yang diamalkan oleh sebuah negara Islam sepenuhnya. Apakah kita mengamalkan kesederhanaan yang sama seperti itu?
Inilah kebenaran Islam, iaitu kita semua tiada bezanya di sisi Yang Esa. Kedudukan dan pangkat hanya sementara dan janganlah kita berlebih-lebihan sehingga ke perkuburan. - ROSLI BASIRAN, Balakong, Selangor.
Posted at 02:21 pm by infojiboi
Permalink
Institusi Hisbah Pemangkin kepada kesejahteraan Masyarakat dan Negara
Institusi Hisbah Pemangkin kepada kesejahteraan Masyarakat dan Negara
Hisbah mempunyai peranan yang penting dalam memelihara masyarakat dari segi sosial,ekonomi dan politik. Dalam syariat Islam, hisbah bermaksud menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Suruhan ini merupakan satu tuntutan yang terpenting dalanm ajaran Islam. Dengan sifat demikian, Allah membezakan antara orang mukmin sehingga mereka mendapat kejayaan dan kemenangan di dunia dan di akhirat. Melalui sifat ini juga, ia dapat membersihkan diri dan memelihara agama dari kehancuran seterusnya menambatkan hati-hati orang yang beriman untuk bertolongan dalam perkara kebaikan dan meninggalkan kemungkaran demi kebaikan umat. Ternyata sekali institusi ini telah menonjolkan keadilan sistem pentadbiran Islam dan membuktikan politik Islam adalah sebaik-baiknya dalam membawa kemakmuran sejagat. Hisbah merupakan sistem yang berkembang dalam masyarakat Islam untuk memelihara kepentingan umum. Ia berteraskan kepada firman Allah yang bermaksud : “ kamu adalah sebaik-baik umat yang menyeru ke arah kebajikan, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (ali Imran 104)
Dalam tradisi keilmuan Islam, kita dapati terdapat dua aliran dalam membicarakan mengenai hisbah. Aliran pertama terdiri daripada ulamak feqah yang meletakkan asas-asas hisbah seperti takrif, syarat hisbah dan perbezaannya dengan bidang kehakiman. Antara mereka ialah Imam al-Mawardi (m. 450H) dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah, Abu Ya’ala al-Fara (m. 458H) dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah, Ibn Taimiyyah (m.728H) dalam Hisbah fi Islam, Ibn Qayyim (m. 751H) dalam Turuq al-Hukumiyyah dan Ibn Khaldun (m. 808H) dalam Muqadimah.
Sementara itu, aliran kedua terdiri daripada ulamak yang membicarakan dari segi pencegahan kenaikan harga barang dan penipuan dalam jualbeli. Antara mereka yang membicarakan perkara ini ialah Abdul Rahman bin Nasr al-Shayrazi (m. 589H) dalam kitab Nihayah al-Ratbah fi Talab al-Hisbah, Ibn Ukhuwwah al-Qarshi (m. 729H) dalam Mu’alim al-Qarbah fi Ahkam al-Hisbah, Ibn Basam (m. 844H)dalam Nihayah al-Ratbah fi Talab al-Hisbah. Setiap aliran tersebut mempunyai keistimewaannya tersendiri. Aliran pertama tidak membicarakan hisbah secara amali pada zaman mereka. Aliran kedua pula tidak membicarakan hisbah dari segi hukum dan kaedah syarak yang mesti dimiliki oleh setiap pegawai hisbah. Ia hanya membicarakan kegiatan perniagaan, pertukangan dan pengawalan terhadapnya. Oleh itu, kajian tentang hisbah perlu melihat kepada kedua-dua aliran tersebut supaya dapat mengambarkan peranan institusi hisbah secara betul dan tepat. Terdapat tiga puluh buah buku yang ditulis oleh ulamak silam yang khusus mengenai hisbah sama ada dalam bentuk buku atau manuskrip. Ini menunjukkan institusi ini telah mendedahkan pencapaian umat Islam dalam bidang perniagaan iaitu profesyen yang wujud pada waktu itu. Dengan adanya sejumlah besar buku-buku berkaitan hisbah menunjukkan keupayaan umat Islam untuk mengkaji dan menganalisis urusan perniagaan Di dalam buku-buku tersebut juga terdapat istilah-istilah linguistik yang menunjukkan kemampuan bahasa Arab sebagai bahasa komunikasi. Di samping itu, institusi hisbah ini adalah sumber yang kaya untuk menggubal dasar pentadbiran Islam.
Hisbah berasal daripada perkataan hasaba bererti membilang atau menghitung. Ia juga membawa maksud balasan melakukan sesuatu dengan mengharap ganjaran dari Allah semata-mata. Al-Mawardi memberi definisi hisbah sebagai menyuruh kepada kebaikan apabila ternyata ia diabaikan dan mencegah kemungkaran apabila ternyata ia dilakukan. Definisi ini juga sama dengan definisi al-Fara’. Ibn Taimiyyah memberi penakrifan pegawai hisbah sebagai petugas penyuruh kebaikan dan pencegah kemungkaran yang berlainan dengan tugas gabenor, hakim, pegawai kewangan dan lain-lain kementerian. Ibn Khaldun memberi takrif hisbah sebagai jawatan agama dalam bab menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran yang wajib ke atas pemerintah Islam memilih mereka yang layak untuk memegangnya dan membuat peraturan mengenainya. Walaupun pelbagai takrif diberi oleh para ulama namun sebenarnya ia tidak lari dari konsep amar ma’ruf wa nahi annil mungkar. Sistem ini telah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Ini berdasarkan hadith baginda Rasulullah s.a.w. yang melarang penipuan dalam jual beli. Diriwayatkan dalam Shahih Muslim dari Abu Hurairah yang mana Rasulullah s.a.w. telah melalui satu longgokan buah-buahan lalu Rasulullah memasukkan tangannya ke dalam longgokan tersebut dan didapati didalamnya terdapat buah-buahan yang buruk. Rasulullah bertanya kepada tuan punya buah-buahan lalu dijawab buah-buahan tersebut menjadi buruk disebabkan musibah hujan. Maka Rasulullah s.a.w.menyebutkan adakah kamu meletakkan buah-buahan yang elok di atas untuk dilihat oleh orang ramai bahawa buah-buahan kesemuanya adalah baik. Lalu Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa barangsiapa menipu ia bukan daripada golonganku.
Al-Ghazali (m.505H) dalam kitab Ihya Ulumiddin juga membicarakan mengenai hisbah yang mana al-Ghazali bukan sahaja membicarakan dari sudut feqah tetapi penekanan diberi dari sudut adab dan akhlak penguasa hisbah. Beliau membahagikan kepada lima cara untuk penguasa hisbah membenteras kemungkaran iaitu melalui penerangan, nasihat serta peringatan yang lembut, mengherdik kata-kata keras yang boleh menyedarkan, mencegah dengan tangan dengan serta merta dan memberi ancaman yang menakutkan. ( al-Zubaidi, al-Ithaf al-Sadah al-Mutaqin, 1989. jil. 8, hal. 27)
Ibn Taimiyyah menyebut bahawa tugas pemerintah bertujuan mencari keredhaan Tuhan dan meninggikan kalimah Allah. Allah telah menciptakan manusia dengan tujuan tersebut. Pemerintahan Islam bertanggungjawab menggesa kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sama ada dalam bidang yang besar atau kecil seperti hisbah.. Al-Jarsifi mengatakan bahawa institusi hisbah merupakan institusi terpenting kerana ia memerlukan kepada banyak undang-undang dan piagam. Tidak ada institusi yang lebih mulia selepas institusi kehakiman kecuali institusi hisbah kerana ia melaksanakan urusan agama dan mempunyai banyak persamaan dengan institusi kehakiman.
Para ulamak telah menetapkan bahawa orang yang menjadi pegawai hisbah mestilah seorang yang beragama Islam, merdeka, adil, seorang yang tegas dalam hukum hakam agama, mengetahui perkara yang mungkar yang zahir, warak, tingkahlaku yang mulia dan mempunyai kesabaran yang tinggi.
Al-Mawardi mengariskan ciri-ciri tugas penguasa hisbah yang dilantik oleh kerajaan iaitu tugasnya adalah fardu ‘ain kerana dilantik untuk menjalankan tugas tersebut dan tidak boleh mengabaikannya. Beliau harus bertegas dalam menjalankan tugas dan bersedia menolong orang ramai. Di samping itu, pegawai hisbah boleh mengambil pembantu untuk melincinkan tugasnya. Beliau juga boleh mengenakan hukuman ta’azir ke atas perbuatan mungkar yang zahir selagi tidak melebihi hokum hudud. Gaji pegawai hisbah boleh diambil dari baitul Mal dan beliauboleh berijtihad dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan uruf kebiasaan setempat dan bukan dalam hokum-hukum syarak. Pegawai hisbah juga boleh menggunakan kelantangan serta kekerasan dalam mencegah perkara-perkara mungkar. Ini ialah kerana tugas hisbah ialah untuk menakutkan. Oleh itu, tindakannya itu tidak mencabuli bidang tugasnya. Kewajipan hisbah merupakan fardu kifayah kepada orang awam dan menjadi fardu ‘ain kepada pemerintah dan orang yang dilantiknya.
Antara bidang tugas pegawai hisbah ialah mencegah dan menghapuskan kemungkaran yang tersebar di kalangan masyarakat dan mengambil tindakan ke atas mereka. Pegawai hisbah juga berkewajipan menyuruh orang ramai menunaikan solat di masjid. Beliau juga berhak mencegah percampuran lelaki dan perempuan ketika bersolat di masjid. Oleh itu, pegawai hisbah mestilah seorang yang tegas yang dapat mengambil tindakan sewajarnya kepada pelaku maksiat. Beliau sentiasa membuat rondaan di pasar-pasar untuk mencegah penipuan. Tugasnya adalah untuk mengesan dan menghukum sebarang penipuan seperti penggunaan timbang yang salah, pemalsuan barang atau seumpamanya dan juga bertugas melaksanakan peraturan Islam yang berhubung dengan kejujuran, kesopanan, moral dan kebersihan. Dalam konteks hari ini, institusi hisbah ini mempunyai bidang kuasa yang lebih luas dan bukan terhad kepada tugas yang disebut di atas sahaja. Bidang yang dijalankan oleh Direktorat Penguatkuasaan Majlis Daerah dan Dewan Bandaraya merupakan sebahagian daripada bidang hisbah. Begitu juga dengan pegawai pencegah maksiat atau unit penguatkuasaan dan pencegahan Jabatan Agama Islam Negeri dan Pengurusan Tatatertib Perkhidmatan Awam. Walaupun institusi tersebut tidak memenuhi kehendak konsep hisbah yang sebenar.
Ciri utama institusi hisbah ini mengenai peraturannya meliputi seluruh rakyat jelata tanpa mengira agama, keturunan atau pangkat. Sesungguhnya ketua negara, hakim atau sesiapa yang mempunyai autoriti tidak diberi keistimewaan dan penguasa hisbah berhak mengambil tindakan atas mereka. Tidak ada perbezaan seorang Islam dengan bukan Islam dalam konteks urusniaga malah kedua-dua pihak diminta memenuhi kewajipan masing-masing berdasarkan hukum-hukum dan perjanjian mereka. Oleh itu, tugas utama penguasa hisbah ialah memastikan kehidupan masyarakat tidak tercemar dengan kepercayaan dan amalan yang khurafat dan bid’ah. Di samping itu, ia memiliki beberapa tugas-tugas pentadbiran yang tidak ada kaitan lansung dengan masalah agama. Antara tugas hisbah ialah :
i. Pegawai hisbah perlu mengawasi sukatan dan timbangan barang
ii. Mengawasi peniaga supaya tidak menyembunyikan barang dengan tujuan menaikkan harga.
iii. Mencegah jual beli yang fasik. Antaranya membeli atas belian saudaranya, menjual ikan dalam sungai atau menjual burung di udara.
iv. Menyeru orang ramai menghormati masjid dan membasmi bid’ah
v. Mengawasi kubur-kubur orang Islam supaya tidak berlaku perbuatan haram ke atas perkuburan tersebut. Umpamanya mencegah wanita daripada meratap di kubur.
vi. Mencegah daripada penipuan orang tengah yang ingin menjual dengan harga yang mahal
vii. Menjaga kesihatan orang ramai dengan menegah minum arak atau memainkan alat-alat hiburan yang boleh melalaikan mereka.
Al-Mawardi membahagikan hisbah kepada dua kategori iaitu gesaan melakukan perkara ma’aruf dan larangan dari melakukan perkara mungkar.
Dalam gesaan melakukan perkara ma‘aruf, maka ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu yang berkaitan dengan hak Allah seperti gesaan menunaikan solat jumaat apabila mencukupi bilangan yang disepakati iaitu seramai 40 orang atau lebih. Penguasa hisbah wajib menggesa mereka menunaikan solat jumaat dan menghukum mereka yang cuai melakukannya.
Hisbah yang berkaitan dengan hak manusia seperti menolong orang yang putus perbelanjaan dalam perjalanan. Penguasa hisbah boleh menggunakan wang baitulmal atau meminta orang yang berkemampuan membantu mereka. Begitu juga beliau boleh mengarahkan supaya hutang yang lewat dibayar dijelaskan segera.
Hisbah yang berkaitan dengan perkongsian hak Allah dan hak manusia seperti gesaan terhadap para wali untuk mengahwinkan para janda dengan lelaki yang sekutu (sepadan) dengan mereka apabila mereka memintanya. Begitu juga memastikan wanita-wanita mematuhi edah mereka.
Berhubung dengan larangan dari melakukan perkara mungkar, ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu yang berkaitan dengan hak Allah dalam perkara ibadat. Salah satunya ialah imam dilarang menyaringkan suara bagi sembahyang yang telah ditetapkan dilakukan secara senyap atau sebaliknya. Dalam keadaan ini, penguasa hisbah boleh membantah dan menghukumnya. Begitu juga hak Allah dalam perkara yang diharamkan seperti menegah orang Islam meminum arak.
Hisbah yang berhubung dengan hak manusia seperti melarang menyakiti jiran. Hisbah yang berhubung dengan perkongsian hak Allah dan hak manusia seperti larangan menjenguk ke dalam rumah kediaman orang lain. Begitu juga penguasa hisbah boleh menggesa para hakim untuk mendengar pengaduan di antara pihak yang berbalah dengan segera. Apa yang menarik di sini ialah penegasan dari Imam Mawardi mengenai institusi hisbah ini. Menurutnya, kegiatan hisbah adalah salah satu dari prinsip agama Islam. Oleh sebab itu para khulafa menjalankan sendiri tugas tersebut kerana kepentingannya yang menyeluruh serta banyaknya pahala daripada kegiatan tersebut. Tetapi malangnya kegiatan ini mula diabaikan oleh pemerintah serta diserahkan kepada pembantu-pembantu yang hanya bertujuan mencari nafkah hidup dan terdedah kepada amalan rasuah. Maka fungsinya mulai lemah dan orang ramai tidak mempedulikannya lagi. Walaupun begitu, ini tidak bererti apabila berlaku kelemahan serta kekurangan di dalam dasarnya maka hukumnya tidak dilaksanakan.
Institusi hisbah ini berasal dari Islam. Ini menolak pandangan golongan orientalis seperti Zeidah A. Nacola, dalam buku al-Hisbah wa al-Muhtasib fi al-Islam (hal. 31) yang menyebut bahawa institusi ini diambil dari sistem Rom yang dikenali sebagai Edile Curule atau dari system Yunan yang dikenali sebagai Agoronomues. Ini kerana institusi hisbah amat berbeza dengan sistem tersebut. Institusi hisbah berlandaskan kebaikan dan kepentingan umum. Ia juga berteraskan prinsip gesaan kepada perkara kebaikan dan mencegah perkara mungkar. Asas ini merupakan prinsip dalam syariat Islam yang diambil dari al-Qur’an. Lagipun, kaum muslimin di permulaan Islam tidak mengenali system-sistem dari Rom dan Yunan dan tidak ada hubungan dengan kedua-dua negara tersebut ketika itu.
Sementara pendapat yang menyebutkan hisbah ini diasaskan pada kurun kedua hijrah juga tidak tepat seperti pendapat Sayyid Amer Ali yang menyebutkan al-Mahdi sebagai pengasas institusi hisbah dalam karyanya A Short History of Saracens (hal. 420). Ini kerana institusi ini telah berkembang pada zaman Rasulullah di mana baginda telah melantik Saidina Umar menjadi penyelia di pasar Madinah dan Said bin Said bin ‘As menjadi penyelia di pasar Mekah. Pada zaman khalifah mereka sendiri menjalankan tugas ini. Saidina Umar pernah melantik Abdullah bin Atbah dan Sa’ib bin Zaid menjadi penyelia di pasar Madinah semasa pemerintahannya. Pada zaman Umawi, khalifah Walid bin Abdul Malik pernah menjalankan tugas ini. Pada zaman permulaan Abassiyah institusi ini semakin berkembang maju.Khalifah Mansor (m. 158H) pernah melantik ‘Asim bin Sulaiman dan Abu Zakaria Yahya bin Abdullah menjadi pegawai hisbah. Ini sekaligus menolak pendapat yang menyebutkan al-Mahdi (m. 169H) dan al-Rashid (m. 193H) sebagai pelopor hisbah.
Penulis berpendapat institusi hisbah ini telah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w dan semakin berkembang menjadi institusi rasmi kerajaan pada zaman Abassiyah. Hisbah ini bukan baru diwujudkan pada zaman Abassiyah seperti sesetengah pendapat orientalis. Pada zaman Abassiyah, institusi ini telah menjadi satu sistem yang lebih teratur dan sistematik.
Zafir al-Qasimi juga berpendapat hisbah berasal dari Islam berdasarkan hujah-hujah di atas. Malahan orang Kristian yang mengambil sistem hisbah dari Andalus yang dikenali oleh mereka sebagai almotacep (Nizam al-Hukm, Zafir al-Qasimi, jil. 1, hal. 615).
Musa al-Husaini juga mempunyai pendapat yang sama dalam artikelnya The Institutoin of Hisbah In early Islam (Islamic Review, 1969) dan al-Nizam al-Hisbah fi Islam (al-Azhar, 1964). Dalam artikel ini beliau menyanggah pendapat yang mengatakan ulama Islam mengambil konsep hisbah dari buku Book of The Perfect iaitu buku yang mengatur hal ehwal peniaga dan saudagar di Konstantinopolis. Beliau telah memberi lima perbezaan di antara kedua-dua buku tersebut dari segi hukum-hukum asas. Antaranya ialah Book of The Perfect menekankan barangan mutiara, pertukaran wang, penjualan sutera, minyak wangi, barangan kulit, jualan babi dan arak. Sedikit sahaja bahagian yang menyentuh barangan makanan, roti, penternakan dan pertukangan. Sementara hisbah menekankan keperluan orang ramai seperti makanan, pakaian , pembinaan masjid dan tidak terhad kepada sesuatu golongan tertentu seperti khalifah atau gabenor. Ini membuktikan kedua-duanya mempunyai pendekatan yang sama sekali berbeza dari segi makna dan matlamat. Dalam Book of The Perfect tidak ada bab yang membicarakan tentang moral dan akhlak sementara hisbah menekankan akhlak dan memberi keutamaan tentang perkara ini. Para penulis buku hisbah sepakat menyatakan bahawa hisbah berteraskan prinsip agama dan sebahagian dari syarak.
Secara ringkasnya, hisbah merupakan sebahagian daripada sistem pentadbiran Islam yang bertujuan untuk memelihara kepentingan umum. Konsep pelaksanaannya terpulang kepada keadaan semasa. Dalam konteks sekarang, bidang kuasa dalam kawalan harga dan pasar telah ditadbir oleh Kementerian Hal Ehwal Pengguna sementara yang berkaitan dengan urusan agama ditadbir oleh Jabatan Agama. Walaupun begitu, konsep hisbah perlu difahami dengan sebenar supaya ia mengambarkan keadilan agama Islam. Pengwujudan institusi hisbah ialah untuk mengatur dan mentadbir segala urusan kemanusiaan selaras dengan Islam. Ia merupakan badan direktorat penguatkuasaan.
:.Oleh: Mohd Rumaizuddin Ghazali
Posted at 11:14 am by infojiboi
Permalink
Kerajaan Islam Hadhari wajib bebaskan tahanan ISA - Dr. Haron Din
Kerajaan Islam Hadhari wajib bebaskan tahanan ISA - Dr. Haron Din
 |
PERMATANG PAUH - 13 Ogos: “Amalan menahan tanpa bicara adalah amalan tidak maju, ia amalan paling ke belakang. Sepatutnya amalan ini diberhentikan. Semua tahanan ISA perlu dibebaskan atau dihadapkan mereka ke muka pengadilan.
”Perarakan orang ramai ke pejabat Suhakam semalam adalah satu manifestasi manusia untuk menuntut keadilan daripada kerajaan Islam Hadhari, Islam yang maju ini.”
Demikian kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr. Haron Din ketika diminta mengulas perarakan 1000 peserta anti ISA Jumaat lalu, dari Masjid Negara menuju ke Suhakam untuk menyerahkan memorandum kepada Suhakam,yang menuntut pembebasan sembilan tahanan KMM yang akan
|
genap empat tahun penahanannya pada pertengahan September ini.
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dilaporkan memberikan alasan kepada Suhakam, pihaknya hanya akan membebaskan tahanan ISA, setelah para tahanan selesai menjalani kursus pemulihan.
Menurut Dr. Harun, ISA adalah undang-undang zalim. Berbanding undang-undang antarabangsa yang membenarkan tertuduh membela dirinya. Jika tertuduh tidak berkeupayaan membela dirinya, kerajaan berkewajipan mendapatkan peguam untuknya.
Katanya, keadilan mesti bersandarkan fakta kukuh, bukannya berdasarkan undang-undang manusia. Kerana undang-undang manusia ada pelbagai tafsirannya.
Undang-undang di Perancis, umpamanya menyatakan ”Yang dituduh itu bersalah, sehingga tertuduh dapat buktikan dia tidak bersalah” manakala undang-undang Inggeris pula menyatakan ”Yang dituduh tidak bersalah sehingga dapat dibuktikan kesalahannya.”
Bagi Islam, katanya meletakkan tertuduh diberi hak membela dirinya, sementara pendakwa dibebankan dengan tanggungjawab membuktikan kesalahan tertuduh. Maka jika pendakwa gagal, ia menyalahi unsur keadilan dalam Islam.
“Beban pembuktian itu hendaklah dikenakan kepada pendakwa, sementara tertuduh hendaklah mempertahankan dirinya.”
“Sebab itu apabila bercakap pasal Islam, kita mesti bercakap Islam sebenar, bukannya Islam Hadhari,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Pusat Pengajian Islam Kompleks An-Nadhoh, di sini, Sabtu.
“Kebanyakan orang telah faham makna keadilan, sekurang-kurangnya jika tidak ikut undang-undang Islam sekalipun, yang menghendaki tuduhan itu jelas, ikutlah keadilan yang digunapakai secara global. Iaitu setiap manusia berhak mempertahankan dirinya,” kata Dr Haron.
“Jadi apa sebab kerajaan menahan mereka tanpa perbicaraan yang adil?” tanyanya.
Sembilan tahanan KMM yang dilanjutkan tempoh tahanan mereka ialah Ahmad Pozi Darman, Alias Ngah, Nik Adli Nik Abdul Aziz, Solehan Abdul Ghafar, Mohd Luthfi Ariffin, Mohd Rafi Udin, Mohd Zulkifli Mohd Zakaria, Zainon Ismail dan Zid Sharani Mohd Isa.
Posted at 11:07 am by infojiboi
Permalink
Pilihan raya kampus: Kerajaan didakwa sekat pelajar tentang calon pro Aspirasi
Pilihan raya kampus: Kerajaan didakwa sekat pelajar tentang calon pro Aspirasi
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Hrkh) - Kementerian Pengajian Tinggi melalui Canselor serta kakitangan universiti didakwa menyekat pelajar-pelajar bukan pro Aspirasi daripada bertanding pada pilihan raya kampus yang bakal berlangsung September ini.
Pengerusi Pemantau Pilihan Raya Kampus, Mohamad Sabu, membantah keras cara pilihan raya kali ini diadakan kerana pelajar-pelajar tidak lagi bebas memilih calon atau wakil mereka.
Menurut beliau, melalui pemerhatiannya pelajar-pelajar diugut dengan pelbagai tekanan baik secara fizikal ataupun psikologi supaya mereka hanya memilih calon pro Aspirasi sahaja.
Katanya, di mana sahaja di dunia ini pelajar mempunyai hak kebebasan sendiri untuk menentukan nasib dan kedudukan mereka di kampus bukannya dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.
Tegasnya, pimpinan Abdullah Badawi pada hari ini lebih bersifat tidak demokrasi dan kuku besi berbanding menteri sebelum ini.
"Semakin hari mahasiswa semakin tidak bebas, mahasiswa nak pilihan raya di kalangan mereka kerajaan pun masuk campur, biarlah mereka yang menentukan masa depan mereka sendiri dan janganlah mempolitikan mereka," katanya semasa ditemui di Pejabat PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, PAS mengambil berat perkara ini kerana ia melibatkan ketidakadilan dan hak asasi mereka sebagai mahasiswa.
"Pelajar-pelajar ini merupakan agen kepada perubahan masyarakat. Sekiranya mereka diugut dan dikongkong kerajaan semasa di kampus, ia akan memberi akibat buruk kepada masa depan negara," jelasnya. - SH/mns
Posted at 10:49 am by infojiboi
Permalink
|
|
|