|
|
Saturday, August 20, 2005
Antara Pak Lah, Siti, Mawi dan Sambutan Bulan Kemerdekaan.
Antara Pak Lah, Siti, Mawi dan Sambutan Bulan Kemerdekaan.
Assalamualaikum w.b.t
Maka terhenjak-henjaklah rakyat Johor yang mengunjungi Danga Bay malam semalam(18 Ogos 2005) untuk menyambut Bulan Kemerdekaan. Namun faktor apakah yang betul-betul dinantikan pada malam itu? Adakah Pak Lah, Siti, atau Mawi ? Yang pasti, kelibat Pak Lah dan pemimpin yang datang pada mlam itu langsung tidak diendahkan oleh rakyat ! Seolah-olah Pak Lah tidak penting langsung !
Tahniahlah Pak Lah kerana dengan ‘kehebatan’ anda yang ‘menjamu’ rakyat Malaysia dengan hiburan, kini artis seperti Mawi dan Siti lebih penting berbanding Pak Lah. Tanpa artis, ‘ceramah’ UMNO adalah NOTHING! Sudahlah rakyat tengah ‘pening’ memikirkan budjet yang makin tidak terurus, Pak Lah pula dengan ‘rakusnya’ membakar duit rakyat di udara menerusi percikan bunga api. Ini baru sambutan Bulan Kemerdekaan, belum lagi Malam Kemerdekaan.
Fenomena yang kita hadapi pada saat ini tidak lebih daripada apa yang dialami pada pemerintahan Dinasti Ming di China. Walaupun rakyat China miskin dan tidak cukup makanan pada masa itu,Maharaja Dinasti Ming pula ‘menjamu’ rakyatnya dengan candu untuk membuatkan rakyatnya lupa dengan kesusahan yang dialami mereka. Cuma apa yang dialami oleh rakyat Malaysia, kita dijamu dengan ‘hiburan’ seperti konsert dan pesta yang melampau !
Melangkah keluar sahaja Pak Lah dari pentas utama, rakyat nampaknya makin rancak untuk melihat Mawi dan Siti berduet. Setelah berakhirnya Mawi menyanyikan lagu solonya bertajuk Aduhai Saleha tiba-tiba sahaja cuba mengajak penonton berteriak kepadanya perkataan ‘World’.
Namun perhati tak apa yang dibalas oleh Mawi? Inilah balasannya “Ya, World ! Dunia-dunia jugak Akhirat jangan lupa !” Terkedu sejenak mendengar perkataan Mawi itu. Kalaulah Pak Lah masih ada pada masa itu, bagaimanakah ‘air muka’ Pak Lah pada masa itu ?
Selain itu, majlis semalam langsung tidak menampakkan untuk mengingati pejuang-pejuang terdahulu yang mula-mula sekali membangkitkan semangat merdeka dari penjajah Inggeris. Lupakah mereka kepada Tok Janggut, Dato' Bahaman, Hj Abdul Rahman Limbong yang sanggup syahid untuk kebebasan melayu dari penjajah. Rata-rata pihak UMNO hanya 'memulakan' penghayatan sejarah kemerdekaan negara dengan Tunku Abdul Rahman,Tun Hussein Onn dan beberapa pemimpin UMNO yang dimegah-megahkan bahawa merekalah yang berjaya mendapatkan kemerdekaan melalui 'mata pena' bukannya melalui pertumpahan darah.
Namun bagaimana pula dengan kematian Tok Janggut contohnya yang berjuang demi islam dan Tanah Melayu.
Adakah dengan mengingati kematian pejuang-pejuang sebegitu melalui majlis bacaan yassin akan menjadikan kita tidak patriotik ? Jijikkah kita untuk mengingati pejuang sebegitu walaupun mereka kalah dalam perjuangannya menentang inggeris? Bila ingat sahaja Merdeka, lagu Sudirman pula yang menjadi siulan.
Akhir qalam,sekali lagi saya ingin meminjam perkataan Mawi yang diucapkannya malam semalam, "Ya, World ! Dunia-dunia jugak,akhirat jangan lupa !”
Sekian.
:. amirulreza
Posted at 03:55 pm by infojiboi
Permalink
Pandangan KU tentang Mawi
Pandangan KU tentang Mawi
Sesungguhnya hidup di MALAYSIA yang merdeka ini, ada perkara yang boleh kita kata dan ada perkara yang tidak perlu kita suara. Ia bergantung kepada niat dan akibat sesuatu perancangan itu.
Dalam merancang perniagaan juga ada logiknya kita tidak berkata akan rancangan kerana dalam kita terlalu ghairah dengan perniagaan yang bakal kita jalankan kita perlu pastikan perancangan kita itu perlu atau tidak dihebahkan. Sekiranya hebah membawa rebah, jadi kita perlu merahsiakan dari pengetahuan umum tetapi hanya pada orang yang betul-betul perlu untuk diberitahu kerana musuh ada dimana-mana, hasah dengki ada merata-rata, biar pun Nabi, Rasul, Khalifah ada musuh tersendiri. Apa lagi kita. Musuh jangan di cari, tetapi musuh DatoÍ Tuan Guru akan terus mencari rahsia dan kesilapan yang akan beliau lakukan. Apakah sedikit masaalah akan menutup kebaikan yang selama ini? Adakah kerana tidak memberi belanja sekolah hari ini, IBU BAPA tidak perlu dihormati?
Musuh UMNO terlalu ramai. Mereka terdiri dari, Parti-parti Lawan, Rakyat, Pengikut UMNO dan Bahagian Tertinggi UMNO sendiri serta kawan setia yang bersama berbincang dan ketawa. Sesungguhnya UMNO terlalu malang, kerana bukan hanya musuh untuk dilawan. Wang akan menentukan sokongan dan kedudukan. Jangan kita bawa cara hidup ini ke dalam PAS. UMNO sudah nazak. Tetapi PAS nampak kian kukuh dan bertambah sokongannya, namun sekiranya ragu-ragu, ia bukan untuk dicanang. Ini budaya UMNO, kerana ahli percaya kepada pemimpin akibat perkara-perkara yang lepas. Apakah perkara lepas yang kita ragui sehingga isu MAWI menjadi soalan? Pasti ada rahsia dan rancangan. Pemimpin PAS bukan leka untuk membuat sesuatu tanpa mengambil berat persoalan rakyat dan seterusnya akan mempertikaikan kredibiliti memimpin parti yang berlandaskan Agama Islam.
Berbalik kepada isu MAWI, sesungguhnya saya ingin berkongsi pendapat dengan para pembaca. Saya bukan peminat hiburan, tetapi saya minat membaca dan mengkaji. MAWI adalah insan yang miskin dan tidak mempunyai apa-apa kecuali ibu-bapa dan sedikit tanah rancangan. Saya rasa akibat sesuatu perkara dan pengalaman, maka keluarganya terpinggir. Sehinggakan keluarga terdekat juga menjauhkan diri. Kesakitan di rasa dengan sekian lama, sehingga MAWI terasa seperti hidup tidak berharga dengan ketiadaan saudara mara dan mungkin jiran tetangga. Kemiskinan menghimpit, bantuan tidak diperolehi. Disebabkan dia masih muda, pemuda kampung ini mampu untuk berkawan walaupun segalanya dipandang dan dia tahu ia akan dicemuh oleh sesetengah orang. Maka mungkin emaknya terpaksa menyetujui perancang MAWI yang tidak mahu kecewakan anaknya. Lalu beliau masuk dengan dendam dan harapan. Namun dendam terpaksa dipendam, kejayaan kini dijulang. Walaupun bapanya tidak merestuinya, mungkin beliau ada rancangan tersendiri kerana beliau masih berpegang kuat sebagaimana seorang ISLAM dan masih ingat ibu-bapa, tunangannya dan harapan keluarga. Beliau juga cuba menambat hati bapanya semula dengan bentuk dan cara persembahan beliau.
Isu berpelukan di dalam artikel yang lepas, ini adalah otak ASTRO untuk serba-sedikit memuatkan dakyah YAHUDI. Namun jelas di wajah MAWI bahawa ia tidak suka akan keadaan ini. Saya pasti MAWI juga pernah dibawa ke Pengetua kerana ketidak serasian budaya Islamnya dicampur aduk dengan budaya YAHUDI, namun akhirnya dia akur kerana alasan-alasan tertentu. Namun jangan biarkan PEMUDA ini sesat dan hancur sedangkan dia boleh selamat dan menjalankan tujuan yang murni. Contoh RAIHAN, RABANI dan lain-lain. Isu berpelukan akan berakhir, percayalah sekiranya beliau berjumpa dengan Tuan Guru dan ditambahkan dengan iman yang MAWI miliki. Berilah beliau harapan. Kerana harapan akan menentu masa depan beliau. Penagih dadah akan terus menagih sekiranya tiada harapan dan tiada masa depan. Dipinggirkan sedangkan bermacam-macam cara moden yang kita ada. Akibat PEMADAM yang tidak ikhlas dan nama SERENTI sudah cukup menakutkan orang-ramai sehinggakan harapan sudah tiada lagi, maka DADAH adalah temannya sejati.
Selain dari itu, kita perlu juga berterima kasih pada ibu-bapanya yang mengajar dan mendidik anaknya sehingga MAWI menghormati bapanya sebagaimana kita dahulu. Bandingkan dengan bapa masa kini yang tidak mampu untuk berbuat demikian. Dalam Akademi Fantasia ada 12 peserta, peserta ISLAM manakah yang paling patut kita puji? Terima kasih juga kerana ayah dan ibunya menggantung gambar NIK AZIZ dan HADI AWANG didinding. Kalau rumah lain pastinya sudah ditanggalkan atau dipadamkan atas arahan ASTRO. Atau adakah kita sendiri juga sanggup menggantungkan gambar Tuan Guru, sekiranya ayah mertua atau majikan yang berfahaman UMNO akan berkunjung di hari raya nanti? Atau adakah kita akan menyokong secara diam-diam dan langsung tidak membeli harakah untuk tunjukkan sokongan? Jawapan masing-masing.
Diharap para pembaca faham isi kandungan artikel ini kerana, kita harus percaya, jika niat baik maka baik lah ia dan sekiranya niat yang buruk, perkara yang baik sekalipun akan menjadi buruk. Contohnya dasar pelajaran, bantuan kerajaan, skim pinjaman bumiputera dan lain-lain lagi merupakan dasar baik yang tersembunyi niat yang jahat. Maka kecundang dan akhirnya menyusahkan mereka dan kita semua. InsyaAllah, sekiranya MAWI dan keluarga dapat berkunjung ke Kelantan, Tuan Guru akan cuba memberikan komen atau ia cukup sekadar contoh hiburan cara Islam kepada MALAYSIA.
Persoalan disini, hendak biarkan MAWI dengan godaan ASTRO syaitan atau perlu diingat dan dibimbing agar ada landasan dan tebing dalam dunia seni yang beliau lalui? Kepada En Ani (ayah MAWI) kami berbangga dengan pendirian Tuan kerana, pendirian adalah harga diri kita. Allah swt tahu apa yang telah dirancang dan kita wajib terus mendoakan. Hidup Melayu, Hidup ISLAM. Semuga Allah selamatkan umat ISLAM seluruh dunia.
Wasalam.
:.naj1888
Posted at 03:38 pm by infojiboi
Permalink
Mahkamah sudah bersihkan Anwar, kata Rais
Mahkamah sudah bersihkan Anwar, kata Rais
"Jadi soalnya, betulkah tindakan Umno memecat Anwar dulu?" soal Rais dalam wawancara khas dengan Siasah itu.
Harakah Daily
Penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 telah membersihkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, kata Dato' Seri Rais Yatim.
"Dengan keputusan pada 2 September 2004 oleh Mahkamah Persekutuan, sama ada dari segi sodomi atau salah guna kuasa dan lain-lain, semuanya telah dibersihkan oleh kes tersebut, kecuali salah guna kuasa yang ada tempoh dan hadnya habis pada 2008," kata Rais, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Rais, bekas defacto Menteri Undang-undang berkata demikian dalam wawancara yang disiarkan khas oleh sebuah akhbar baru, Siasah bilangan kedua yang diedarkan kepada umum hari ini.
Wawancara itu dibuat dengan Rais oleh pengarang akhbar berkenaan, Ahmad Lutfi Othman bersama para wartawannya.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato' Hisyamudin menganugerahkan RM4.5 juta kepada Anwar sebagai ganti rugi yang perlu dibayar oleh penulis dan penerbit buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM'.
Mahkamah telah membuktikan, tuduhan yang dibuat oleh buku yang ditulis oleh Khaled Jefri itu tidak berasas dan fitnah kepada Anwar.
Antara tuduhan buku yang disebarkan kepada perwakilan Umno dalam perhimpunannya pada tahun 1998 itu adalah salah seorang anak Azmin Ali, Setiausaha Sulit Anwar ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri adalah anak Anwar sebenarnya.
Melalui bukti-bukti yang ditunjukkan kepada mahkamah, terbukti dakwaan itu tidak benar dan anak itu disahkan sebagai anak Azmin yang sah.
Mahkamah bulan lepas telah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun ke atas Khaled Jefri kerana menulis buku yang memfitnah Anwar itu.
Khaled kini telah dipotong kaki kanannya hingga ke pangkal paha kerana kencing manis dan kini masih mendapat rawatan di hospital.
Bagi Rais, Umno kini perlu bersedia dengan keadaan semua tuduhan ke atas Anwar dulu sudah bersih, "Jadi soalnya, betulkah tindakan Umno memecat Anwar dulu?" soal Rais dalama wawancara dengan Siasah itu.
Posted at 01:12 pm by infojiboi
Permalink
Yahudi diseret Melayu dibelasah
Yahudi diseret Melayu dibelasah
Pada hari Khamis lepas berlakulah peringkat akhir pengunduran rejim Israel dari bumi Gaza. Operasi peringkat akhir tentera dan polis Israel adalah untuk memaksa keluar warga Israel yang degil dan enggan mengosongkan penempatan mereka masing-masing di Gaza yang bakal diserahkan kembali kepada rakyat Palestin.
Siaran berita antarabangsa CNN dan BBC menyiarkan secara langsung proses pengunduran yang melibatkan ketegangan antara tentera dan polis Israel dengan ahli-ahli agama Yahudi yang bertahan di beberapa Synagogue ataupun Kuil-kuil Yahudi di sekitar penempatan mereka di Gaza iaitu di penempatan Neve Dekalim dan Kfar Darom.
Walaubagaimanapun mereka yang berprotes dan bertahan di kuil-kuil itu akhirnya dapat dileraikan apabila pihak polis dan tentera Yahudi berjaya menahan kesemua mereka.
Apa yang menarik perhatian saya adalah sikap tentera dan polis Yahudi terhadap para penunjuk perasaan ini. Menurut CNN oleh kerana semua yang terlibat adalah warga Yahudi dan mereka pula bertahan rumah ibadat maka polis dan tentera diarahkan agar mengurang ataupun meminimakan sama-sekali keganasan semasa menjalankan tugas.
Pihak polis dan tentera mengambil masa berjam-jam meleraikan para penunjuk perassan tersebut yang duduk bertaut tangan di atas lantai kuil-kuil itu laksana rantaian manusia.
 |
Sambil melaungkan slogan:
Jews dont expel Jews ataupun Yahudi tidak menghalau Yahudi
Seorang demi seorang mereka ditahan. Semasa operasi tegang tetapi aman itu pihak polis dan tentera dapat dilihat sambil menahan ada pula yang memberikan minuman dan memapah mereka yang terlibat dengan penuh hormat!
Hairan di tanahair kita, berbeza sama sekali. Kita pernah melihat bagaimana pihak polis Malaysia meleraikan penunjuk perasaan yang lari berlindung samada di masjid Negara (sejak demonstrasi tahun |
70an sehinggalah semasa Gerakan Reformasi) ataupun di masjid Ar Rahman di Universiti Malaya dahulu.
Pihak polis tanpa memperdulikan kesucian rumah Allah menangkap dan menggari mereka dengan kasar dan ganas. Darah mereka yang tidak berdosa mengalir lantaran keganasan pihak polis itu.
Baru-baru ini kita lihat bagaimana mereka yang menghadiri ceramah PAS di Terengganu telah dihujani dengan water canon dan gas pemedih mata tanpa belas ikhsan. Kanak-kanak dan orang tua turut menjadi mangsa kerakusan pihak keselamatan yang menerima arahan orang-orang politik belaka.
Yahudi yang dilaknat itu pun berdiplomasi apabila mengambil tindakan sesama kaumnya tetapi kita yang menganut satu-satunya agama yang benar dan diredhai Allah swt tergamak melakukan keganasan dan kezaliman sesama umat semata-mata memenuhi nafsu serakah pihak tertentu yang berselindung disebalik pakaian seragam pihak keselamatan.

Saya tidak tahu apa yang telah terjadi kepada lebih 125 syor yang dibuat oleh Suruhanjaya Penambahbaikan Polis Di raja Malaysia baru-baru ini, tetapi yang pasti pihak polis di Malaysia berterusan dijadikan alat oleh mereka yang berkuasa, yang maaf lebih teruk dari Yahudi lagi!
Bumi Gaza akan habis dikosongkan pertengahan minggu hadapan, rakyat Palestin akan menjejak kembali ke bumi yang telah mereka tinggalkan secara terpaksa sekian lama. Pasti mereka akan terus berdoa sehinggalah Tanah Haram Baitul Muqadis akhirnya akan kembali ke tangan mereka, insyallah. Sementara itu rakyat di Malaysia pula akan terus berdoa agar mereka akan diberikan kebebasan sebenar berhimpun dan bersuara secara aman tanpa gangguan ataupun ancaman mana-mana pihak sekalipun. Amin.
Posted at 01:09 pm by infojiboi
Permalink
Friday, August 19, 2005
Beban orang NS bertambah , taksiran nilai hartanah naik 432%
Beban orang NS bertambah , taksiran nilai hartanah naik 432%
"Bertepatan dengan hasrat “PAS Bersama Rakyat” dalam menangani segala isu dan masalah rakyat di Negeri Sembilan , pimpinan PAS N.Sembilan telah pergi ke pejabat YAB Menteri Besar Negeri Sembilan pada jam 11:00 pagi 18 Ogos 2005 bagi menyampaikan memorandum terbuka berkaitan dengan masalah kenaikan nilai hartanah yang dialami rakyat khususnya di kawasan Majlis Daerah Jempol , N.Sembilan.
Kenaikan nilai hartanah ini secara otomatik akan membawa kepada kenaikan cukai pintu yang terpaksa dibayar oleh rakyat kepada majlis daerah. Kenaikan pula berbeza-beza di antara 29% sehingga 432%. Antara mereka yang menanggung bebanan akibat kenaikan ini adalah En Ng dari, Bahau , N.Sembilan.
Rombongan tersebut telah diketuai oleh Dr Hj Rosly Hj Yaakop , AJK PAS Pusat merangkap Pesuruhjaya PAS NS.Turut hadir adalah Sdr Zulkepli Mohamad bin Hj Omar , Timbalan Pesuruhjaya PAS NS , En Yau Con Seng dan beberapa pimpinan BA N.Sembilan yang lain.
Setelah dibebankan dengan kenaikan harga diesel , petrol dan kenaikan harga barang-barang keperluan , hari ini penduduk-penduduk di N.Sembilan telah dibebankan lagi dengan kenaikan cukai pintu ini sehingga 4 kali ganda khususnya di pekan Bahau.
PAS N.Sembilan melahirkan rasa kesal kerana perkara yang sama dilaporkan turut dialami oleh penduduk-penduduk di Port Dickson dan kenaikan ini dibuat dalam masa kerajaan NS telah berbelanja RM2.5 juta untuk membaiki kediaman rasmi Menteri Besar N.Sembilan walaupun kediaman tersebut baru sahaja diduduki.
Dr Rosly berharap dengan pertemuan dengan YAB MB dan memorandum yang telah diserahkan , pihak kerajaan NS akan menimbang kembali keputusan menaikkan cukai pintu di beberapa daerah di N.Sembilan. Dr Rosly juga menyeru penduduk-penduduk di daerah Jempol yang terlibat dengan kenaikan ini supaya membuat bantahan di Majlis Daerah Jempol sebelum 16 September 2005 ini.
Kunjungan pimpinan PAS N.Sembilan ini telah mendapatkan liputan yang baik dari akhbar Cina dan satu sidang akhbar telah diadakan sebaik sahaja selesai pertemuan dengan YAB Menteri Besar yang diwakili Setiausaha Akhbar beliau iaitu Yang Berbahagia En Mokhtar bin Alias.
"
Posted at 05:16 pm by infojiboi
Permalink
MINYAK NAIK TAPI HARGA DIRI MERUDUM
MINYAK NAIK TAPI HARGA DIRI MERUDUM
SaudaraKu...sanggupkah kalian berdiam diri menyaksikan keruntuhan yang sangat mengerikan ini . Saksikanlah generasi akan datang membentuk satu fenomena yang akhirnya menjurus ke arah free sex.
Ketua Penyelidik, Prof Madya Dr Lekhraj Rampal dari Universiti Putra Malaysia ( UPM ) berkata hasil kajian juga mendapati golongan berusia di antara 18 – 20 tahun paling aktif melakukn hubungan sex.
Bagaimanapun secara purata rakyat negara ini melakukn hubungn sex buat kali pertama pada usia 23 tahun. Katanya yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.
Beliau berkata, daripada 18. 805 responden 73 % , (13, 691) sudah berkahwin dan daripada jumlah itu 10 % ( 1361 ) pernah melakukan hubungan sex sebelum berkahwin. Katanya jumlah responden yang belum berkahwin pula ialah 5, 114 dengan 448 daripada mereka pernah melakukan hubungan sex. Ini bermakna 1809 ( 9.6 % ) daripada keseluruhan responden pernah melakukan hubungan sex sebelum berkahwin katanya.
Dr. Rampal berkata 38 daripda 448 responden belum berkahwin tetapi sudah melakukan hubungan sex mengaku kali pertama melakukannya pda usia 12 dan 15 tahun manakala 155 lagi berbuat demikian pada usia 16 dan 18 tahun.
Mengulas perkembangan itu Dekan Fakulti Pengajian Islam Univesiti Kebangsaan Malaysia ( UKM ) Prof Datuk Dr Muhammed Yusoff Hussain, berkata ia satu isyarat membimbangkan kepada masyarakat dan perlu di beri perhatian serius terutama oleh ibu bapa. “ perkara ini tidak boleh di serahkan kepada kerajaan semata-mata sebaliknya ibubapa dan seluruh msyarakat perlu beri perhatian serius. Malah kalau perlu hari ini kita perlu jaga tepi kain orang.
Katanya………..Beliau turut mencadangkan supaya undang-undang berkaitan moral diperhalusi supaya betul-betul berkesan bagi memastikan remaja di negara ini tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan agama.
Pakar sakit tuan, Dr Ismail Thamby pula berkata beliau percaya hasil kajian itu relevan kerana berdasarkan pengalamannya kanak-kanak seawal usia 12 tahun dan remaja semakin berani mencuba melakukan hubungan sex. “ di laman web saya banyak soalan dikemukan menunjukkan mereka yang bertanya masih terlalu muda dan bersikap kebudak-budakan. Antaranya bolehkah seseorang mengandung jika melakukan sex di luar tabie ( liwat ) katanya.
Semenatara itu Dr Rampal berkata kajian fasa pertama dilakukan itu dibahagikan kepada 2 topik utama iaitu mengkaji pemahaman masyarakat, penyakit dan risiko perlakuan yang boleh membawa kepada jangkitan HIV termasuk sejarah atau kehidupan sexual seseorang.
Katanya, kaum Melayu menjadi responden paling ramai dengan 10, 699 orang, Cina 3,875 dan India 2104, Bumiputra Sabah 1302, Bumiputra Sarawak 692 dan lain-lain 233. Beliau berkata pasukan penyelidik membabitkan 12 pensyarah dari Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, pegawai kementerian kesihatan, 22 graduan pelbagai Universiti dan kira-kira 400 jururawat dari seluruh Negara.
Responden di pilih secara rawak daripada Jabatan Statistik Malaysia. “ Selain sesi soal jawab di jalankan secara bersemuka, responden diberi soalan bertulis mengenai sesuatu topik, terutama soalan sensitif. Katanya. Dr rampal berkata hasil kajian itu akan dibincangkan lebih lanjut sebelum tindakan susulan di ambil dan selepas 3 tahun penyelidik akan bertemu responden semula untuk melihat samada wujud perubahan.
Posted at 01:20 pm by infojiboi
Permalink
Temuramah Bersama Siasah: Nik Aziz hargai Mawi
Temuramah Bersama Siasah: Nik Aziz hargai Mawi
(Dipetik dari akhbar Siasah, 19 Ogos - 1 September 2005)
Mengikut laporan akhbar, tarikhnya telahpun ditentukan, 30 September depan. Juara Akademi Fantasia 3, Mawi dijadual akan membuat persembahan di Kota Bharu. Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Husam Musa berkata Mawi sudah bersetuju menghadiri konsert yang bertujuan mengajak generasi muda menghayati cara hidup lebih bermakna.
Seminggu sebelum itu, wakil Siasah, M FAKIQ FIKRI sebenarnya sudah mendapat pengesahan dari Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa khabar Mawi akan datang ke KB bukan olok-olok. Rupanya sejak awal Ustaz Nik Aziz "jatuh hati hendak menjemputnya datang ke Kelantan".
SIASAH: Apakah kerana juara Akademi Fantasia, Mawi bekas pelajar sekolah agama, pernah menjadi bilal dan johan musabaqah, maka ia menarik minat kerajaan Kelantan untuk melamarnya. Bagaimana Tok Guru melihat bakat seperti itu?
NIK AZIZ: Dalam hati nurani saya, bukan masalah dia menang. Masalah saya ialah hendak cari artis yang mempunyai pendirian sendiri, tidak terpengaruh dengan artis-artis dari Eropah yang menggambarkan imej duniawi semata. Dalam masa saya mencari-cari ini terjumpa Mawi.
Berdasarkan laporan media massa, Mawi bukan dari kelompok yang suka hanyut, dia tahu harga diri dan tahu agamanya. Dan dia tahu harga nilai-nilai murni. Mungkin diajar oleh keluarga dan kefahaman agamanya.
Maka saya jatuh hati hendak menjemputnya datang ke Kelantan. Dan saya difahamkan Mawi akan hadir pada satu persembahan yang akan diadakan di sini tidak lama lagi bagi mempersembahkan hiburan alternatif.
S: Apa nama program itu?
Boleh jadi kita buat konsert. Kita akan jemput sama ahli kesenian lain yang banyak berkhidmat kepada Islam. Kita gabung dalam satu konsert, dan tajuknya terpulang kepada pihak penganjur. Apa yang penting dia sudah bersetuju untuk datang ke Kelantan. Benda ini saya hendak sebut lama dah, tapi ketika itu khuatir boleh mempengaruhi pertandingannya dalam Akademi Fantasia. Pada konsert itu saya minta rakyat Kelantan datang beramai-ramai.
S: Apa harapan Tok Guru terhadap artis seperti Mawi?
Saya harap dia tunjukkan satu kesenian yang boleh ditiru orang lain untuk keseronokan di dunia dan berkat di akhirat.
S: Jadi tidak salah remaja menjadikan Mawi sebagai idola mereka?
Sehingga hari ini, Alhamdulillah. Tindakan Mawi sehingga sekarang belum nampak boleh menyusahkan fikiran saya kerana berjaya melahirkan alternatif hiburan. Saya berdoa supaya Mawi, keluarga dan peminat dapat menyemarakkan lagi hiburan alternatif di negara ini, ketika gejala sosial sedang runtuh dalam segenap aspek sekarang. Saat ini perlu ada orang yang tolong bantu masyarakat.
S: Adakah Mawi boleh dianggap penyelamat kepada golongan remaja yang semakin leka sekarang?
Nampak begitulah. Persembahannya saya diberitahu nampak kelainan dan tidak turut kehendak Barat sepenuhnya. Mawi juga dikatakan tidak suka kepada dadah.
S: Sebelum ini sudah ada kumpulan nasyid bagi mempersembahkan hiburan alternatif. Adakah kelahiran mereka belum lagi mencukupi?
Nasyid itu biarlah terus bergerak cara dia. Sekarang orang ramai sudah mual dengan gejala artis yang menggunakan dadah, mendedah aurat sehingga menimbulkan gejala sosial yang ditiru ramai remaja. Jadi kalau ada artis yang boleh menjaga nilai murni, dia dapat menyemarakkan lagi persembahan hiburan alternatif di negara ini.
Posted at 01:01 pm by infojiboi
Permalink
Pilihan Raya IPTA : Mahasiswa berhadapan jentera parti pemerintah
Pilihan Raya IPTA : Mahasiswa berhadapan jentera parti pemerintah
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Hrkh) - Tinggal beberapa minggu sahaja lagi akan berlangsungnya Pilihan Raya Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dijadualkan pada September ini.
Rakan-rakan di kampus kebanyakan sedang bertungkus-lumus dengan segala persiapan termasuklah terpaksa bermesyuarat hingga ke larut malam malah mencecah hingga ke awal pagi.
Semuanya kerana semangat mahu memajukan setiap kumpulan mahasiswa yang diwakili semasa pilihan raya nanti.
Tak kurang juga ada yang mengeluh, bimbang pilihan raya kali ini akan menjadi pilihan raya seperti tahun lalu di mana terlalu sarat dengan campur tangan parti politik hingga kebebasan mahasiswa tergugat.
Seorang mahasiswa tahun tiga Fakulti Undang-undang di sebuah IPTA di Lembah Klang yang enggan namanya disiarkan berkata, senario yang berlaku di kampus mutakhir ini amat membimbangkan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui Harakahdaily di Kuala Lumpur Selasa lalu.
Beliau mendakwa Umno kini berlindung di sebalik kuasa Kementerian Pengajian Tinggi untuk memasuki gerbang politik kiampus dalam usaha menguasai sokongan mahasiswa.
"Sepatutnya mereka ini mengambil perhatian ke arah usaha-usaha meningkatkan kualiti akademik di kalangan pelajar bukannya mempolitikkan mereka, katanya.
Beliau berkata, kerajaan sepatutnya juga memulihkan keyakinan masyarakat terhadap IPTA bukannya di jadikan alat menyebarkan dakyah Umno dan Barisan Nasional (BN).
Malah maklumat terbaru mendakwa bahawa beberapa ahli dari sayap kanan parti kerajaan telah masuk ke kampus bagi memantau suasana dan perkembangan politik kampus menjelang pilihan raya, katanya.
"Ada rakan memberitahu, mereka ini (sayap parti kerajaan) telah mengadakan perbincangan khas dengan kumpulan tajaan mereka bagi menjalankan perang saraf menjelang pilihan raya ini," katanya.
Semua mereka ini masuk dengan bertopengkan pelajar dan badan tertentu dengan kerjasama beberapa orang di dalam pentadbiran universiti untuk mengaburi mata kakitangan akademik , mahasiswa dan warga kampus, katanya.
Senario ini akan menjadikan satu lagi kumpulan yang dikatakan pro Islam akan berhadapan dengan jentera pilihan raya kerajaan dalam pilihan raya September ini, katanya.
Sebagai warga kampus yang bebas berfikir beliau tidak mahu peristiwa sayng sama seperti dua tahun kebelakangan ini di beberapa kampus utama berulang kembali.
"Campur tangan politik akan melemahkan dinamisme mahasiswa itu sendiri," katanya.
Posted at 12:54 pm by infojiboi
Permalink
Isu Kontrak sosial: Utusan laksana kaki bakar yang dijirus air
Isu Kontrak sosial: Utusan laksana kaki bakar yang dijirus air
Ucapan Presiden Gerakan Lim Keng Yaik ketika merasmikan Konvensyen Anak Malaysia anjuran Pergerakan Pemuda parti tersebut Sabtu lalu digunakan oleh beberapa pihak tertentu dalam Umno diterajui oleh lidah rasminya Utusan Malaysia untuk memerangkap dan membakar hangus Keng Yaik.
Antara tajuk-tajuk panas akhbar tersebut ekoran kenyataan Keng Yaik berbunyi:
Lupakan formula kontrak sosial antara kaum: Keng Yaik
Bangsa Malaysia kekalkan identity
Kontrak sosial: Kenyataan Keng Yaik bercanggah Perlembagaan Persekutuan
dan banyak lagi tajuk dan artikel yang porvokatif yan mahu menjerat dan menjerut leher Keng Yaik.
Antara kenyataan Keng Yaik yang dikatakan berbau perkauman itu sebagaimana dilaporkan Utusan:
Lim Keng Yaik menggesa parti-parti politik melupakan formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa negara mencapai kemerdekaan. Keng Yaik menegaskan formula kontrak sosial itu membuatkan masyarakat Cina dan India merasa kecil hati.
Oleh itu perubahan paradigma diperlukan memandankan perkongsian kuasa sekarang tidak berasaskan kepada perkongsian sebenar.
Parti-parti politik perlu mengkaji semula kaitan dan kesan dasar-dasar berdasarkan pendekatan berpaksikan kaum yang disukai oleh kumpulan populis.
Keng Yaik didakwa telah menoreh dan mengguris sensitiviti perkauman, yang selama ini sering didiamkan kerana bimbang akan membangkitkan kemarahan semua pihak. Lalu berkokoklah semua pihak kononnya mempertahankan apa sahaja yang tinggal dan berbaki dari ketuanan Melayu, hak Melayu dan lain-lain yang Melayu-melayu hasil dari adu-domba Utusan itu.
Khairy Jamaluddin Naib Ketua Pemuda Umno menganggap kenyataan Keng Yaik itu sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Kata beliau Keng Yaik sebagai seorang menteri Persekutuan seharusnya lebih rasional.
Ketua Penerangan Umno Terengganu Ahmad Shabery Chik pula berkata Ken Yaik sepatutnya menghargai jasa Umno yang melepaskan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan walaupun menang dengan 12 kerusi pada pilihanraya 1990 sedangkan Gerakan cuma ada 7 kerusi. Kata beliau:
Sekiranya Umno tamak ia boleh menggunakan peluang tersebut tetapi peluang itu dilepaskan kerana menhormati formula kontrak sosial.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Keng Yaik tidak sepatutnya menggunakan isu formula kontrak sosial antara kaum demi kepentingannya meraih sokongan pada pertandingan parti itu.
Pengerusi Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda UMNO, Reezal Merican Naina Merican mengingatkan Keng Yaik supaya tidak bermain dengan api perkauman.
Shahidan Kasim pula berkata:
Sebagai orang yang sudah lama dalam politik negara, Keng Yaik jangan lupa sejarah. Mana boleh lupa sejarah
Ringkasnya Utusan dan puak-puak tertentu dalam Umno membakar hangus isu ini seolah-olah menggambarkan terdapat konfrantasi besar antara Umno dan Gerakan dengan Keng Yaik sebagai mangsa utamanya.
Walaubagaimanapun panas-panas Utusan dan Umno itu akhirnya bertukar menjadi suam dan terus sejuk apabila Keng Yaik mengadu pada Pak Lah selaku PM. Menurut Jeff Ooi di dalam Blognya, Screenshots:
Minister Dr Lim Keng Yaik, the Parti Gerakan president who became the target of Utusans venom, had an eyeball-to-eyeball talk with Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi before the cabinet meeting yesterday to brief him the head-and-tail of the Utusan-triggered controversy.
During the cabinet meeting, the original text of speech he delivered at the Anak Malaysia Convention August 13 - a copy of which was obtained by this blogger and published verbatim in Screenshots - was circulated to all the ministers. The cabinet took the decision to put a stop to further debates on the controversy.
After the cabinet meeting, journalists from Utusan Malaysia and Berita Harian - Umnos foremost mouthpieces - were called in for a special session with Keng Yaik, in which the minister conveyed his wishes that the media respect the cabinet decision and do not repeatedly create any untoward perception relating to the issue. Utusan Malaysia carries a story on this today.
Setelah dipanggil Utusan yang main peranan sebagai kaki bakar itu terpinga-pinga dan melaporkan dalam keluarannya hari ini di bawah tajuk: Kabinet terima penjelasan Keng Yaik:
Ucapan saya (Keng Yaik) adalah cetusan pemikiran supaya semua kaum di Malaysia mula berfikir sebagai Bangsa Malaysia dan mewujudkan satu Bangsa Malaysia, katanya pada pertemuan khas dengan wartawan Utusan Malaysia dan Berita Harian di pejabatnya di sini hari ini.
Maka padamlah terus api bikinan Utusan serta Khairy dan kawan-kawannya laksana terpadam api hutan yang membawa jerebu dari Indonesia. Kesimpulannya peristiwa ini memberikan banyak pengajaran, mampukah lagi Umno membela hak keistimewaan Melayu yang semakin tidak kelihatan itu.
Isu hangat dan kontroversi ini dipadamkan begitu sahaja hasil sentuhan tangan Pak Lah, apakah yang boleh kita baca darinya? Entahlah, tepuk dada tanya selera ...
:.Roslan
Posted at 11:51 am by infojiboi
Permalink
Thursday, August 18, 2005
Lima tanda hati keras membatu
Lima tanda hati keras membatu
Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati. Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".
Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:
1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan
Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)
2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran
Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)
3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat
Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-ma ta. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.
4. Kurang mengagungkan Allah
Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.
5. Tidak belajar dengan Ayat Kauniah
Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat. "Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pel ajaran?" (Surah At-Taubah, ayat 126)
Posted at 04:43 pm by infojiboi
Permalink
|
|
|