<< August 2005 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05 06
07 08 09 10 11 12 13
14 15 16 17 18 19 20
21 22 23 24 25 26 27
28 29 30 31


Al-Quran -

Search Islamic Directory
Keyword:


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed




Monday, August 22, 2005
Gantirugi ‘Buku 50 Dalil’ untuk tabung kemiskinan, kata Anwar

KOTA KUALA MUDA: Gantirugi berjumlah RM4.5 juta yang bakal diperolehi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui saman beliau ke atas Datuk Khalid Jafri Abu Bakar Syah penulis buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM” akan disalurkan kepada golongan miskin di negara ini.

“Saya tidak akan sentuh walau sesen pun wang gantirugi itu, saya akan berbincang dengan para peguam saya bagi mewujudkan tabung khas untuk membantu golongan miskin dan mereka yang memerlukan.”

   Anwar mengumumkan perkara itu ketika berceramah selepas melawat mangsa tsunami di di sini, Jumaat.

Selain itu, kata Anwar gantirugi daripada Bekas Ketua Polis Negara, mengenai kes mata lebamnya pula akan digunakan untuk membantu keluarga mangsa tahanan ISA.

Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur, 17 Ogos lepas memerintahkan Khalid membayar gantirugi berjumlah RM4.5 juta, daripada jumlah RM6.5 juta yang dituntut Anwar.

Julai lalu Mahkamah yang sama telah menjatuhi hukuman setahun penjara terhadap Khalid kerana menulis maklumat palsu dalam buku tersebut yang membawa peristiwa pemecatan Anwar September 1998
Mengulas lanjut perkara itu, di Kelang Lama, Kulim kemudiannya, Anwar menyatakan tindakan saman itu dikemukakan pada Jun 1988 ketika beliau masih Timbalan Perdana Menteri, bagi menyahut cabaran Khalid supaya beliau menyamannya.

“Saya tidak ada pilihan lain ketika itu, melainkan menyaman penulis buku itu yang mencabar saya menyamannya bagi membela maruah saya,” jelasnya.

Setelah tujuh tahun, kata Anwar akhirnya mahkamah memutuskan ‘Buku 50 Dalil’ adalah buku fitnah dan mengakui ada konspirasi politik untuk menjatuhkan beliau di sebalik penerbitan buku tersebut.

Anwar selanjutnya berkata dalam penghakiman kes tersebut, hakim memutuskan “Semua tuduhan dalam buku ini keterlaluan, fitnah, jahat, cukup kotor dan jijik sekali. Ada konspirasi politik, sebab itu buku 50 Dalil diedarkan dalam Perhimpunan Agung Umno, dan memang ada pemimpin-pemimpin tertentu terlibat.”

 Sehubungan itu, kata Anwar, kini telah ada pemimpin-pemimpin Umno yang tampil memohon maaf kepada beliau.

“Ada pemimpin-permimpin Umno yang datang berjumpa saya baru-baru ini, memohon maaf dan menceritakan bagaimana selepas saya dipecat mereka telah diarahkan oleh Tun Dr Mahathir, supaya berusaha menghancurkan karier politik saya walau dengan apa cara sekalipun,” jelas Anwar.

Tapi kata Anwar walau sehebat mana sekalipun perancangan manusia, tidak mungkin dapat mengatasi perancangan Allah s.w.t.

“Kali ini kita akan lawan, kita akan bangun semula, membujur lalu melintang patah,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh ribuan hadirin.
 
Sementara itu, Presiden Keadilan, YB Datin Seri Azizah yang ditemui Malaysia Today tidak menolak kemungkinan, Anwar akan mengambil tindakan susulan terhadap para konspirator yang terlibat dalam penerbitan buku ‘50 Dalil’.

Dalam perkembangan berkaitan, diberitakan Khalid Jafri masih tenat setelah pehanya dipotong akibat penyakit kencing manis. Beliau telah dimasukkan ke Pusat Perubatan Columbia Asia, Seremban, 2 Ogos sebelum dipindahkan ke Hospital Selayang 14 Ogos lalu.

Posted at 05:04 pm by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Malaysia menghadapi krisis air

Catuan air mungkin dibuat berikutan musim panas yang teruk menyebabkan paras air di empangan seluruh negara jatuh mendadak

Krisis air Malaysia, dengan Johor menjadi antara negeri yang paling teruk terjejas berikutan musim kemarau yang panjang.

Dua daripada tiga empangan utama di Johor berada di bawah paras kritikal dan musim panas ini, yang terburuk pernah melanda negara dalam masa sepuluh tahun ini, mungkin berlarutan sehingga Oktober, kata pihak berkenaan.

Paras air di tujuh daripada 14 empangan dan tasik di seluruh negara berada pada atau di atas sedikit daripada paras berjaga-jaga, kata Jabatan Pengairan dan Saliran dalam laman webnya.

Empangan-empangan yang terjejas adalah yang terletak di bahagian pantai barat semenanjung, daripada Kuala Lumpur hingga ke Perlis.

Catuan air telah pun dibuat di kawasan tengah Negeri Sembilan dan juga di daerah Kluang, Johor.

Pihak berkenaan berkata, mereka tidak menolak kemungkinan catuan air dibuat di kawasan lain di seluruh negara kecuali jika hujan lebat turun di kawasan tadahan air dalam masa beberapa minggu ini.

“Kita sedang menghadapi satu musim kering yang panjang, terutamanya di Johor,” seorang pegawai kanan Jabatan Pengairan dan Saliran memberitahu The Straits Times.

“Jika kemarau berpanjangan dan hujan tidak turun, catuan mungkin sekali lagi akan dibuat.”

Catuan air akan menjadi tamparan kedua bagi rakyat Malaysia yang dilanda krisis jerebu pada minggu lepas, yang paling teruk dalam tempoh lapan tahun. Pada 1997, penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor juga terpaksa menghadapi catuan air selepas dilanda krisis jerebu.

Tetapi pihak berkuasa keberatan untuk memperkatakan soal catuan air kerana ia akan memberi kesan kepada banyak pihak, daripada suri rumah ke kilang-kilang, daripada kedai mamak hinggalah ke kompleks-kompleks yang mewah.

Data di dalam jabatan pengairan itu menunjukkan dua empangan di Johor dan satu di Perak berada di bawah paras kritikal. Paras air di empangan lain seluruh negara juga hampir jatuh di bawah paras kritikal, dan pihak berkuasa harus bertindak untuk mengelakkan paras air daripada terus jatuh.

Langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah membuat pembenihan awan bagi membentuk hujan, dan juga memberitahu rakyat supaya berjimat dalam menggunakan air.

Pembenihan awan bermula semalam berdekatan empangan Sembrong di Johor dan akan diteruskan pada hari ini dan esok, kata Tan Kok Hong, pegawai yang bertanggungjawab ke atas tenaga, air dan komunikasi di Johor.

Paras air di empangan Sembrok dan Bekok di Johor jatuh di bawah paras kritikal beberapa minggu lalu.

Tetapi Tan berkata orang ramai tidak perlu terlalu bimbang keran masih terdapat ‘sedikit’ bekalan air di Johor.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai Singapura kerana bekalan airnya datang daripada empangan Linggui. Kita juga masih mempunyai bekalan air di Johor,” katanya.

Tetapi apa yang membimbangkan adalah kekeringan yang berlaku hingga ke dasar tasik.

Di Taiping – bandar yang paling ‘basah’ di Malaysia – sebuah lopak air yang dikelilingi oleh lumpur kering merupakan satu-satunya bukti kewujudan Jungle Lake, satu daripada 10 buah tasik yang teruk dilanda kemarau.

Di Tasik Pedu Kedah, jumlah air yang banyak digunakan bagi tujuan pengairan dan bekalan air, menyebabkan sukan air dihentikan selama setahun.

“Paras air kini terlalu cetek sehingga anda boleh nampak akar pokok terkeluar daripada dasar tasik di sesetengah tempat,” kata Roslan Abdul Karim, pengurus Desa Utara Lake Pedu Resort.

Walaupun terdapat hujan di beberapa tempat di seluruh negara, namun ia tidak berlaku berdekatan kawasan tadahan air di empangan, tasik dan sungai yang membekalkan air minuman.

Posted at 04:54 pm by infojiboi
Klik Untuk Komen  

MAWI: SUASANA SAMBUTAN BILA PULANG KE KAMPUNG

   SUASANA bersesak-sesak ketika hampir lima ribu peminat menyambut kepulangan Mawi ke Felda Taib Andak.

``Bertenang, bertenang, ingat. Ini rumah Allah, kita kena hormat. Tolong jaga. Bertenang semua.'' Permintaan ini lahir daripada seorang imam di Masjid Nurul Saadah, Felda Taib Andak ketika malam menjelma di Felda Taib Andak petang Isnin lalu.<

Kata-kata imam itu ada kaitannya dengan keadaan yang dilihat semakin tidak terkawal dan sesak yang ditimbulkan oleh peminat juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani.
Ia juga serba sedikit menjadi penyelamat kepada kesesakan yang berlaku ketika orang ramai berasak-asak, berhimpit-himpit.

Mereka sanggup bersesak-sesak semata-mata mahu bertemu mata dengan pemuda yang dianggap sebagai `wira' baru dalam industri hiburan tempatan yang mesra dengan panggilan Mawi ini.

Petang itu, Felda Taib Andak menerima tetamu luar biasa, berduyun-duyun. Satu negeri Johor turun, malah tidak mustahil jika ada juga peminat dari negara jiran, Singapura yang bertandang untuk melihat rupa paras Mawi dari dekat.

Persoalannya, apakah si empunya diri, Mawi sendiri menginginkan dia disambut dan diraikan sedemikian rupa?

Benar, dia telah diangkat sebagai juara oleh tangan-tangan yang mengundinya melalui SMS, tetapi apakah terjemahan kepada `minat' itu sehingga ke tahap Mawi tidak lagi mampu memperoleh privacynya sendiri?

Paling menyedihkan apabila sebahagian daripada peminat yang hadir ke rumah Allah itu tidak mengendahkan penampilan diri mereka. Difahamkan kerana Mawi, ada peminat perempuan yang hanya memakai skirt singkat, tidak menutup aurat sanggup menunggu dan mengejar Mawi hingga ke dalam masjid untuk bersalam.

Belum lagi bersesak-sesak perempuan dan lelaki di ruang sekitar masjid, untuk menyaksikan Mawi. Sehingga Mawi sendiri, saya percaya serba sedikit melayang terbang segala kekhusyukan ketika tangan mengangkat takbir menunaikan solat maghrib di masjid berkenaan.

``Hati saya terusik, bila tengok ada yang tak hirau adab ketika di rumah Allah. Ikutkan hati saya mahu bersuara juga, sebab keadaan sampai jadi macam itu.

``Tetapi apa yang saya boleh buat, saya hanya mampu senyum saja, tak boleh cakap apa-apa.

``Nasib baik ada anggota keselamatan. Kalau tidak saya mungkin boleh `mati' sebab ditolak dan ditarik,'' kata Mawi kepada saya, lewat perbualan kami.

Seperti yang saya kata, Mawi sendiri kurang senang dengan situasi berkenaan. Terutamanya apabila ada peminat yang bagaikan terlebih-lebih memberi penghormatan kepadanya, padahal dia sedar dia hanyalah manusia biasa sahaja.

Itulah keadaannya bila manusia semakin hilang kewarasan dan dikuasai oleh keinginan untuk berseronok semata-mata.

Sebelum itu di Padang Astaka, Kampung Bahagia, Felda yang sama, hampir 5,000 peminat menyerbu Mawi. Ketika kereta Naza Ria yang membawa Mawi menjalar masuk ke kawasan berkenaan, ribuan peminat terpekik dan bersorak kegembiraan.

Tetapi Mawi sempat `lari' sekejap ke rumahnya, tempat di mana ibu dan keluarganya yang lain sedang menunggu. Bubur pulut merah dan pulut putih menanti kepulangannya ke rumah setelah lebih tiga bulan `merantau' ke Kuala Lumpur.

Balik ke rumah kata Mawi dia fikir mungkin boleh santai lepak depan televisyen, borak-borak dengan keluarga, tapi keadaan di sebaliknya. Rupa-rupanya di rumah pun penuh dengan peminat yang menyerbu, mahu bersalam dan bergambar.

``Lepas saya salam semua orang di rumah, suap emak bubur dan emak suapkan saya, abah ajak pergi padang sebab orang sudah tunggu. (Padang Astaka).

``Di situ lagi ramai, buat saya berdebar-debar. Dahsyat sangat kak,'' katanya.

Ketika itu kata Mawi dia semakin takut. Bimbang kalau-kalau sesuatu terjadi kepadanya dan anak-anak kecil yang berasak-asak.

Nasib baik ada anggota keselamatan yang cekap menjalankan tugas dan Mawi dibawa ke pentas yang disediakan khas bagi menyambut kepulangannya.

Peminat yang berkumpul semenjak pukul 4.30 petang terpaksa berpuas hati apabila Mawi hanya muncul kira-kira pukul 6.30 petang.

Dalam jangka masa setengah jam muncul di khalayak, Mawi hanya seketika di pentas dan sempat memberi ucapan sekitar lima minit.

Laungan Hidup Melayu bergema sebanyak tiga kali, selain perkataan yang menjadi trade marknya, world. Selain itu, Mawi juga mengajak peminatnya sama-sama berselawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w., sesuatu yang mencetuskan lagi kasih sayang peminat kepada ketokohan Mawi sebagai idola baru mereka.

Ini adalah kepulangan pertama Mawi ke kampung tempat dia dibesarkan setelah diangkat sebagai juara baru Akademi Fantasia.

Saya percaya sambutan yang diberikan kepada Mawi jauh berkali ganda lebih meriah jika dibandingkan dengan sambutan yang diberikan penduduk di Durian Mentangau kepada Nazmizan Mohamad ketika dia memenangi pingat emas di Sukan Sea pada tahun 2003.

Tetapi masyarakat nampak macam seolah-olah berlebih-lebih pula dalam soal mengangkat Mawi. Kenapa ya? Mawi sendiri sebagai manusia biasa tidak mahu dirinya diangkat sehingga ke tahap berkenaan.

Mawi menghargai mereka yang menyokongnya selama ini, tetapi jauh di sudut hatinya saya percaya dia mahukan kesederhanaan dalam segala segi.

``Saya tak harap orang minat saya sampai macam itu sekali. Sikit-sikit cukuplah, yang penting jangan keterlaluan sebab saya pun manusia biasa, macam orang lain.

``*****a sekarang orang kenal saya, tetapi jangan terlebih-lebih,'' kata Mawi menyatakan perasaan hatinya.

Malah paling disedihkan apabila terdapat di kalangan peminat yang berkumpul di masjid berkenaan tidak mengendahkan tatatertib sebagai Muslim dan Muslimah.

Tempat suci, kata Mawi sepatutnya dihormati, bukan dicemari.

``Bayangkan, ada yang datang pakai skirt. Tak bolehlah macam itu, saya sedih sebab ini tempat ibadat kita. Saya sedih sebab sepatutnya kita sama-samalah jaga. Saya pun ngeri juga tengok bila lebih-lebih sangat,'' katanya.

Menurut Mawi, dia menghargai sokongan yang diberikan. Tanpa penyokong yang digelar `sahabat Mawi' dia tahu dia tidak mungkin dipandang oleh sesiapa.

Bagai yang dikatanya ``hanya Tuhan yang mampu membalas segala jasa-jasa itu.'' Menghargai sokongan itu, cadang Mawi awalnya setelah bersembahyang di Masjid Nurul Saadah bersama dengan orang ramai, dia mahu bertemu dengan semua tetamu di rumah Allah itu dan berjabat salam.

``Tetapi keadaan bersesak sangat, bising, semua tak selesa. Jadi saya kena keluar cepat. Hasrat untuk bersalam dengan semua yang ada di masjid tu pun tak sampai dan saya terus dibawa ke hotel,'' katanya.

Kerana keadaan yang tidak terkawal juga, Mawi tidak berpeluang menghadirkan diri ke majlis tahlil salah seorang saudaranya, yang kebetulan pulang ke rahmatullah pada hari yang sama.

Juga dia terpaksa melupakan hasrat untuk bersua muka dengan tunangnya, Nordiana Mohd. Naim (Ina) walaupun terpaksa memendam rindu semenjak sekian lama.

``Saya pesan kepada Ina, jangan datang. Nanti dia pun kena serbu. Nasib baik dia tak datang. Tak jumpa pun tak apalah, kami boleh cakap di telefon saja,'' katanya, jujur bila soal tunangnya itu dibangkitkan.

Itulah Mawi. Dia akan berhadapan dengan episod yang sama untuk sekurang-kurangnya dalam masa beberapa bulan selepas ini.

Fenomena ini bagaimanapun akan terhenti apabila AF4 memunculkan wira baru dan pada ketika itu barulah Mawi boleh bernafas dengan lega.

Sementara itu, kepulangan empat pelajar AF3, Marsha, Felix, Yazer dan Haider disambut oleh kira-kira 500 peminat. Tidak seperti di Felda Taib Andak, peminat yang membanjiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah lebih terkawal dengan jumlah khalayak yang berbeza.

Kehadiran empat bintang ini disambut oleh kakitangan lapangan terbang berkenaan sendiri, di samping kakitangan Jabatan Imigresen yang berebut untuk bergambar dan mendapatkan tandatangan.

Sudah tentu tidak terkecuali yang menyambut mereka adalah ahli keluarga terdekat setelah sekian lama dipisahkan.

Bagai yang dikatakan oleh Marsha dia amat menghargai sokongan yang diberikan peminat, sanggup bersusah payah mengundi dan meletakkan namanya di atas.

Felix pula memberitahu yang dia sudah bersedia untuk berubah, daripada seorang jejaka biasa tidak dikenali, kepada jejaka yang mempunyai nama dan peminat.

Dan di tanah Mahsuri, Langkawi, kira-kira 500 peminat menyambut kepulangan pemenang tempat ketiga AF3, Amylea Azizan. Setibanya gadis genit ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, majlis meraikan Amylea diadakan di kompleks pelancongan Kota Mahsuri.

Amylea ceria dengan baju kurung kuning dan mengenakan tudung di kepala nampak sangat gembira kerana pertama kali pulang ke tanah tempat dia mencari rezeki selama ini.

Inilah dunia baru mereka. Apa-apa pun, kita mengharapkan agar khalayak berfikir dengan lebih matang dan tidak terlalu mudah memberi harapan dan membiarkan `wira-wira' baru ini menggalas cabaran berat di bahu mereka.

Mereka hanya orang biasa, yang punya sedikit bakat dan rezeki yang dipermudahkan oleh Tuhan. Itu sahaja, tidak banyak keistimewaannya. Jadi, kalau hendak memberi sokongan dan menunjukkan minat, biarlah berpada-pada.

Jangan terlalu taksub dengan seseorang manusia biasa hanya kerana mereka popular.

Posted at 12:04 pm by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Mahathir tamatkan persaraan untuk pertahankan peninggalannya

Enam bulan lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dia patut dibenarkan bersara tanpa gangguan.

Komennya dibuat ketika apa yang disebutnya sebagai kempen memburuk-burukkannya, menuduhnya memufliskan kerajaan dengan projek mega dan menyebabkan masalah-masalah kepada penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Bagi saya bersara. Jangan ganggu saya atau saya akan terpaksa mempertahankan diri saya,” kata Tun Dr Mahathir dalam satu temubual Mingguan Malaysia, akhbar milik Umno, Februari lepas.

Ia merupakan temubual pertama yang utama selepas dia bersara, sebelum ini dia tiada dalam berita.

Tetapi Tun Dr Mahathir berusia 80 tahun nampak sudah keluar dari persaraannya untuk mempertahankan peninggalan 22 tahunnya sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat.

Ahli-ahli perniagaan dan politik yang telah berjumpa dengannya baru-baru ini berkata dia masih merasakan terdapat ‘usaha yang bersungguh’ untuk menyalahkannya atas masalah-masalah lalu

“Mahathir sedang melihat usaha peninggalannya terungkai dan sudah tentunya ia akan mempertahankannya,” kata seorang diplomat.

Sejak mengambilalih pada Oktober 2003, Datuk Seri Abdullah telah mempertingkatkan usaha membanteras rasuah, memberhentikan projek-projek infrastruktur yang megah dan mengikat perbelanjaan kerajaan bagi mengimbangi belanjawan yang defisit.

“Apa yang dilakukan oleh perdana menteri Abdullah seolah-olah memperbaiki setengah masalah-masalah yang Tun Dr Mahathir telah tinggalkan, tetapi saya tidak fikir dia mahu menghapuskan semua peninggalan Mahathir.”

“Ia tidak masuk akal baginya menghapuskan apa yang baik untuk negara,” kata Yang Razali Kassim, seorang fellow kanan di Institute of Defence and Strategic Studies, Nanyang Technological University.

Dalam sidang-sidang akhbarnya baru-baru ini, Tun Dr Mahathir berkata dia hanya bercakap mengenai Proton dan kontroversi lesen mengimport kereta-kereta mewah atau Approved Permit (AP).

Tetapi kenyataannya yang lain menunjukkan yang dia bersedia mempertahankan peninggalannya, dengan ciri-ciri sinisnya yang masih seperti selalu. Dalam sidang media bulan Februari, dia menafikan cerita dalam Asian Wall Street Journal, bahawa dia memeningkan kepala pentadbiran Abdullah.

Hujung Mei, dia memanggil satu lagi sidang akhbar untuk menjawab penulis sebuah akhbar yang mengatakan tidak banyak yang dilakukan olehnya untuk mengurangkan korupsi semasa pentadbirannya.

Dua lagi sidang akhbar menyusul bulan lalu mengenai Proton dan isu AP.

Sibuk dengan mengurus pentadbiran baru, Datuk Seri Abdullah nampak seperti tidak menghiraukan isu Proton pada ketika itu apabila ia menghadapi cubaan yang getir disebabkan pembukaan pasaran kenderaan Asean.

Tetapi ia sebenarnya, bagaimana tindakan-tindakan Datuk Seri Abdullah dipertahankan, kata pemerhati, yang membuatkan Tun Dr Mahathir mempertahankan tindakannya.

Salah satu, dakwaan bahawa Tun Dr Mahathir tidak lakukan secukupnya untuk memerangi rasuah, telah membuatkannya begitu marah.

Dia sering mengingatkan orang ramai bahawa dalam ucapan tahunannya di perhimpunan parti, dia terpaksa menangis di atas pentas untuk meminta ahli-ahli berhenti dari amalan-amalan korup.

Dan walaupun dituduh membina projek-projek megah dengan menggunakan wang rakyat – para pengkritik sering merujuk pada pusat pentadbiran Putrajaya yang bernilai RM10 bilion – defisit Belanjawan yang wujud dalam tahun 1998 di bawah pengawasan Tun Dr Mahathir mempunyai alasan yang sah.

Dia dipaksa mengepam ekonomi negara dengan perbelanjaan lebih sejak tahun itu apabila ekonomi menjadi lembab atau tidak berubah disebabkan beberapa masalah utama – krisis ekonomi Asia dalam tahun 1997-98, kesan dari serangan 11 September dan perang Afghanistan dalam tahun 2001, dan perang Iraq serta ditambah dengan wabak Sars serantau dalam tahun 2003.

Malah, Tun Dr Mahathir sendiri yang telah mulakan langkah mengawal perbelanjaan kerajaan, mengumumkan langkah tersebut dalam ucapan Bajet terakhirnya pada September 2003.

Ini tidak mengatakan era Mahathir tidak mempunyai pembaziran, projek-projek yang rendah mutunya dan penswastaan yang merugikan atau menyebabkan masalah yang penggantinya terpaksa mewarisinya.

Tetapi bagi mereka yang mahu menuding jari terhadap peninggalannya wajar bersedia. Seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa Rafidah Aziz sudah belajar, bekas pemimpin berusia 80 tahun ini masih menyengat.

KENYATAAN-KENYATAAN PEDAS

Media cenderung memfokus pada kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai projek kesayangannya – pembuat kereta nasional Proton, yang dia telah mulakan dalam tahun 1980an.

Tetapi komen-komennya yang lain telah menunjukkan dia tidak gembira dengan pentadbiran yang ada sekarang, para pemerhati berkata.

“Seorang dapat merasakan kekecewaan beliau. Tetapi anda tahu yang ini boleh berlaku kerana pentadbiran baru telah beralih dari beberapa polisi lama,” kata bekas setiausaha politik seorang menteri kanan.

Lihat kenyataan-kenyataan oleh Tun Dr Mahathir dalam sidang media yang lalu:

#Dalam memperkatakan tentang ketua eksekutif Proton Tengku Mahaleel Ariff wajar dibayar gaji yang lebih, dia menambah bahawa ia tidak seperti itu bagi dirinya: “Bagi saya, saya tidak berharap (mendapat gaji lebih besar). Lihat saja kerosakan yang saya tinggalkan bila saya bersara menjadi perdana menteri. Kini kerajaan tidak ada duit. Saya sudah belanjakan segalanya.”

#Apabila ditanya tentang kenyataan Perdana Menteri Abdullah Badawi tentang sukarnya mengurangkan defisit, Tun Dr Mahathir berkata: ”Mereka kata kerajaan tiada wang. Saya rasa saya bertanggungjawab jika ada berlaku penyelewengan oleh pegawai-pegawai saya. Saya perlu menjawabnya. Tetapi saya bukanlah orang Jepun. Di Jepun, bila juruterbang jatuh terhempas, menterinya lakukan hara-kiri. Saya hampir-hampir seperti itu sekarang.”

#Kepada mereka yang menuduh anaknya juga mendapat manfaat dari lesen mengimport kereta mewah, dia menjawab balik: “Jangan buat seperti sebelum ini, mengaitkan keluarga saya apabila ada sesuatu yang tidak patut dilakukan, berlaku.”

#Ditanya jika Proton mungkin mempunyai warga asing sebagai CEO: “Kita sudah lihat orang asing mengurus Nissan dan menunjukkan prestasi yang baik. Sebenarnya, orang Malaysia tidak berapa mampu dan kita patut ambil orang asing untuk mentadbir negara kita. Maksud saya, kita boleh ambil orang asing sebagai perdana menteri, apa salahnya jika dia bijak.”

Posted at 11:20 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Bahana TV

Adalah penting untuk difahami bahawa kini media telah menjadi satu makhluk yang dipatuhi, dikasihi bahkan dilindungi. Sebarang cacian ke atas media misalnya akan membibitkan respon yang kritikal semula. Ini berlaku kerana media amat rapat dengan manusa, menjadi teman setia, memberi rasa tenteram dan senang, memberikan berita terkini dan hiburan yang sensasi. Proses perorangan ke atas media ini khususnya media elektronik telah diakui oleh ramai tokoh futuris dalam karya-karya mereka.

Kajian Byron Reeves dan Clifford Nass dari Stanford University membuktikan menerusi satu set kajian dan penyelidikan bahawa manusia kini melayani peti televisyen dan komputer sebagai entiti sosial dan ini dilakukan penuh natural. Kini ramai bercakap dengan televisyen, bersahabat dan percaya hanya televisyen memahami mereka .John Naisbitt mengakui trend ini dan mngatakan inilah prinsip asas kemajuan teknologi iaitu high tech=high touch. di mana kesan kejayaan teknologi telah mempengaruhi hubungan manusiawi .

Apakah yang dilatih tubikan oleh televisyen hari ini? Apakah yang disogokkan oleh media elektronik mahupun cetak kepada masyarakat sebagai pusingan appetite behaviour? Dan bagaimana masyarakat menerima dan terlazim malah terasuh serta terbina jati diri dan keperibadian mereka dengan apa yang disalurkan oleh televisyen itu?

Terdapat sekurang-kurangnya tiga implikasi buruk ke atas manusia oleh kemunculan institusi media yang berkuasa ini:

Buta budaya.

Buta budaya bermaksud keterasingan dari artifak budaya bangsa. Kemunculan media elektronik khususnya menjauhkan masyarakat dari budaya besar bangsa . Masyarakat misalnya tidak lagi mengenali karya sastera klasik. Atau mereka tidak memahami atau tidak berusaha memahami seni persembahan tradisional bangsa. Buta budaya langsung menghasilkan fragmentasi yang memisahkan individu dari masyarakat kerana kurangnya hubungan dua hala (hubungan yang dikemukakan oleh media adalah hubungan sehala dan jika adapun dua hala adalah hubungan tanpa jiwa yang tidak real) .

Kitsch

Istilah kitsch dipelopori oleh tokoh sosiologis Dwight Macdonald yang menggambarkan kelahiran budaya popular (produk media elektronik dan cetak) sebagai produk sampah . Secara mudahnya kitsch adalah budaya pop yang tidak berjejak oleh satu peradaban dan jati diri yang berwibawa. Kehadiran program realiti tv atau rancangan telenovela sebagai contoh adalah hasil kitsch. Dalam industri buku, kitsch menyebabkan kelahiran ‘chapbooks’ atau buku untuk kesenangan pembaca. Karya dengan nilai sastera dan estetika tidak lagi dibaca sebaliknya tumpuan diberikan kepada buku masakan, buku ramalan astrologi termasuklah bahan lucah. Kehadiran majalah yang memainkan persoalan tahyul, lucah dan misteri adalah sebahagian dari kitsch. Ini malah boleh dihadirkan menerusi media elektronik. Di sini jugalah muncul karya picisan yang hanya mementingkan selera rendah pembaca.

Kelewahan kepenggunaan atau perbelanjaan.

Kelahiran media sebagai institusi juga melahirkan budaya kelewahan kepenggunaan atau perbelanjaan. Thorstein Veblen mendebatkan budaya conspicuous consumption, atau kelewahan perbelanjaan untuk mencapai prestij sosial. Budaya ini telah menjadi nilai yang dominan dalam masyarakat moden . Antara muatan media ialah ragam pengiklanan moden. Para pengiklan ini mengenalpasti ahli masyarakat sebagai individu dan memainkan kehendak dan kepuasan pengguna dengan penerimaan sosial. Pertumbuhan budaya materialisme (meraikan kebendaan), hedonisme (pengejaran kepada keseronokan) dan narcissism (penurutan hawa nafsu) Fenomena kelewahan dan pembaziran ini menjadi lebih sengit dengan kemunculan saluran membeli-belah dan latih tubi iklan yang mengasak dengan nilai-nilai yang ditentukan oleh pengiklan dengan perintah kapitalis.

Posted at 09:49 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Makanan: Strategi Yahudi

Muqaddimah

Penduduk Islam sedunia pada masa kini berjumlah sekitar 1.8 billion. Penduduk Yahudi berjumlah 13 juta dan lebih kurang 4 juta dari 13 juta tadi ialah puak jahat Zionis. Difahamkan terdapat segelintir Yahudi masa ini yang mengamalkan kitab Taurat (yang diselewengkan)masih mengekalkan bacaan 'Bismillah' ketika melakukan sembelihan binatang ternakan. Masyarakat Yahudi ini tinggal di Russia manakala kaum Zionis adalah yang paling kejam dalam sejarah peradaban manusia. Contohnya boleh dilihat dimana- mana saja adanya pembunuhan dan pencerobohan secara langsung atau tidak langsung pada sesebuah negara. Mereka adalah dalangnya. Selain itu agenda kaum Zionis ini didapati meresap/disebarkan melalui berbagai cara sama ada media cetak, elektronik, kelab, persatuan dan sebagainya tanpa mengira apa ideologi negara berkenaan. Paling mendapat tempat adalah negara penduduk umat Islam. Malaysia tidak terkecuali.

Bagaimana pun cara Zionis memesongkn pemikiran umat Islam Malaysia adalah yang paling berjaya setakat ini. Kegagalan dan kelemahan umat Melayu/Islam di Malaysia dikenal pasti berpunca dari sikap menjauhkan diri dengan kefahaman agama dan tidak kurang juga asasnya berpunca dari makanan seharian mereka. Makananlah punca utama umat Islam menjadi 'keras hati' sehingga tidak dapat membezakan mana satu makanan haram/halal tanpa menyiasat terlebih dulu siapa pembuatnya. Tidak kurang juga yang menjadi 'keras lidah' utuk menghayati ayat suci Al-Quran. Baru-baru ini rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan produk makanan tidak halal yang pembuatnya adalah orang bukan Islam dengan memalsukan logo halal semata-mata mahu menipu umat Islam.

Paling mendukacitakan ialah orang Melayu/Islam masih pandang mudah masalah ini.

Mereka makan apa saja yang sebelum ini tidak pernah ujud dalam kamus makanan orang Melayu tanpa mengambil kira apakah ramuan pembuatannya. Bagaimana pun dengan tersebarnya berita-berita produk tidak halal ini diharapkan sedikit sebanyak menyedarkan orang-orang Melayu supaya sama-sama berusaha atau sekurang-kurangnya cuba menghasilkan produk kegunaan orang Islam atau pun setidak-tidaknya membantu membeli barang-barang tersebut. Ingatlah apa-apa juga usaha kita kearah itu bermakna kita telah sama-sama menyatukan/menguatkan ekonomi orang-orang Melayu untuk menghadapi cabaran lebih besar akan datang. Ia adalah fardhu kifayah buat kita semua umat Islam.

Fakta


Baru-baru ini satu seminar/taklimat telah diadakan antara Persatuan Pengguna Islam Malaysia dengan pihak Jabatan Agama Islam Perak khusus mendedahkan produk haram yang berada dipasaran dan meminta orang-orang Melayu/Islam berhenti menggunakannya.

Berikut disenaraikan secara ringkas produk tersebut dan serba sedikit huraiannya.

COLGATE

Colgate keluaran Thailand, Indonesia dan Vietnam ~ haram~ bercampur lemak babi. Colgate 125ml yang berada di pasaran sekarang sah diimpot dari Thailand.

AJINOMOTO

Aji NoMoto keluaran Thailand, Indonesia dan Vietnam ~ haram ~ bercampur lemak babi. AjiNoMoto juga disahkan oleh doktor mengandungi MSG (Mono Sodium Glutamate) berlebihan yang boleh mereputkan daging dan menggugurkan rambut dengan cepat. Bagaimanapun produk AjiNoMoto keluaran Jalan Kuchai Lama (Malaysia) disahkan bebas dari lemak babi.

COKLAT.

Semua coklat yang diimpot dari luar negara mengandungi lemak babi atau pun sekurang-kurangnya mengandungi lemak binatang yang amat diragui. Sekiranya pada luar bungkusan pek coklat ada menunjukkan kod produk, KOD 164 disahkan mengandungi lemak babi.

FISHCAKE; FISHBALL; MEE & KUEYTIAW BASAH

Keluaran bukan Islam disahkan mengandugi ramuan campuran lemak babi supaya produk tahan lama.

BERUS-BERUS SONGKOK, KASUT, CAKE

Babi ternak di Malaysia tidak berbulu. Tetapi babi tunggal dikatakan berbulu. Di negeri China terdapat babi ternak yang khusus menghasilkan bulu seperti ternakan biri-biri. Berus untuk songkok, kasut dan cake disahkan adalah bulu-bulu babi dari negeri China.

ROTI HIGH 5 ( HIGH FIVE )


Roti High 5 HARAM dimakan kerana mengandugi/dicampur/diproses dari ragi babi. Suatu ketika dulu pernah tersebar luas berita/surat layang mengenai lemak babi dalam roti Gardenia. Ketika itu jualan Gardenia jatuh merosot dengan ketara sekali. Sebenarnya berita ini disebarkan oleh orang-orang dalaman High 5 sendiri yang irihati dengan pencapaian kejayaan Gardenia. Punca iri hati ini disebabkan empat tokoh utama pengurusan Gardenia adalah orang Melayu yang amat peka dengan sensitivity umat Islam mengenai pemakanan halal/haram. Saham-saham besar Gardenia yang dikatakan bercampur dengan bisnes babi tidak membabitkan negara Malaysia. Produk keluaran Gardenia diproses berlandaskan prinsip Islam ISI 2020 yang digariskan Institut Penyelidikan Piawaian Islam (RISIS). Ini disahkan oleh Setiausaha PPIM Dr. Maamor Osman. Roti Gardenia disahkan bebas dari campuran lemak babi.

REMPAH KARI ALLAGAPA; BABAS; SAKHTY & CAP MATA


Keempat-empat jenama kari diatas tidak mengandungi lemak babi TETAPI 40% hasil jualannya digunakan untuk membuat/menambah/memperelok kuil-kuil Hindu di Malaysia dan juga sebagai pembiayaan untuk membunuh masyarakat Islam Gujerat India. Itu lah sebabnya kita melihat jenama kari ini berlumba-lumba menaja rancangan-rancangan hiburan TV (terutamanya lagu dan filem Hindi) supaya bersesuaian dengan selera orang Melayu yang sejak dari dulu lagi lagu dan filem Hindi ini ibarat isi dengan kuku dan sudah sebati dengan jiwa mereka. Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah nombor 786. Orang-orang veteran India Muslim (berusia 80 tahun ke atas) yang ditanya mengenai nombor ini menyatakan dengan berbagai pendapat. Tetapi apa pun jawapannya nombor ini adalah kod untuk Bismillah yang cara amalannya mereka saja yang tahu. Malangnya kod ini (786) diselewengkan oleh puak-puak Hindu apabila mereka juga melabelkan papan iklan kedai dengan nombor tersebut untuk mengabui umat Islam. Tidak hairanlah dewasa ini kalendar orang-orang India Muslim yang menggunakan gambar Kaabah dan ayat suci Al-Quran dicetak/ditaja oleh Palanniappa, Sakhty dan Babas. Juga perlu dingatkan pada umat Islam supaya amat peka dengan beberapa restoran baru nasi kandar yang bergiat aktif sama ada di mana-mana bandar terutama di Taiping dan Ipoh. Pastikan perniagaannya oleh orang Islam dan ayam nya halal...Di Taiping ada restoran nasi kandar, pembuat roti nan dan toseh dari pekerja Hindu dan ayam dibekalkan oleh Cina

COCA COLA


Coca Cola adalah jenama minuman yang mempunyai agendanya yang tersendiri. Lebih-lebih lagi agenda menghina Umat Islam. Tahu kah saudara tulisan Coca Cola itu jika dibelah dua dari bahagian belakangnya maka tulisannya boleh dibaca dan akan membawa maksud 'Laa' Allah Laa'Muhammad (Tiada Allah Tiada Muhammad) Kajian menunjukkan Negeri Perak adalah negeri kedua di Malaysia yang berjaya memboikot Coca Cola dan dikatakan jualannya di Perak merosot sehingga 60%. Syabas warga Perak.

SARDIN TIN MERAH
Kuah Sardin ini dibuat dari campuran siput babi ~ haram dimakan.

KENTUCKY FRIED CHICKENalias KFC
Perkara yang meragukan dalam kes KFC ini ialah cara sembelihan ayam itu sendiri. Seorang petugas menyembelih di KFC mengakui bahawa bacaan semasa sembelih hanya dibaca pada permulaan/pertama sahaja manakala yang lain-lainnya tidak sempat kerana ribuan ekor lagi menunggu/berpusing untuk disembelih. Kita tidak dapat berbuat apa-apa dengan masalah KFC ini kerana ia mendapat kelulusan penuh pihak Pejabat Agama. Tetapi perkara yang mendatangkan was-was elok lah kita tinggalkan. Keadaan ini sama lah juga dengan ayam yang kita beli dan lihat sendiri sembelihannya di mana-mana pasar ayam. Sekiranya kita beli 10 ekor ayam dan selepas disembelih ayam-ayam tadi dihumban ke dalam sebuah bekas/raga. Persoalannya bagaimanakah cara 10 ekor ayam itu mati. SAH ayam itu mati akibat tertindih lemas sesama mereka dan bukan menggelupur sendirian. Mati lemas ini disahkan tidak halal kerana mati katak.

TEH HAILAM

Orang Melayu sejak dulu lagi amat famous dengan teh Hailam. Ada yang pagi-pagi lagi Mesti kena teh Hailam. Sedap katanya. Minum pula dalam cawan berbunga. TETAPI tahu kah kita apa kah cara tradisional teh ini dibuat. Seorang Mualaf yang mendedahkan perkara ini memberitahu bahawa pada setiap pagi towkay kedai ketika sedang menggosok gigi dan ketika masa yang sama akan membenamkan berus gigi ke dalam bekas membancuh teh atau apa-apa jua bekas untuk teh tersebut. Itu lah resepinya. Bunyinya memang lucu tetapi itu lah hakikatnya.

TESCO IPOH


Sesiapa yang berkunjung ke Ipoh dan ingin menjamu selera diingatkan supaya berhati-hati apabila singgah makan di mana-mana warung dalam Tesco. Hampir kesemua gerai-gerai makanan dipunyai oleh bukan Islam ( cina ) dan mengupah pekerja Melayu untuk RUN bisnes tersebut. Masalah utama ialah ayam di gerai ini disupply oleh Cina. Hanya sebuah gerai (Western Food ) saja yang disahkan betul-betul halal dan dijalankan sendiri oleh seorang pemuda Melayu.

RENUNGAN.


Di pasaran sejak akhir-akhir ini kita dikaburi dengan jenama-jenama yang seolah-olah bercirikan Islam. Contoh: Bahan makanan kering yang dibungkus dengan gambar masjid diluarnya dan bunyi syarikat pembuat seperti bahasa/bunyi Arab yang kadangkala kita tak ambil kisah langsung.

Dipasar raya umpamanya jenama-jenama seperti Safi, Shurah, Zaitun dan Aminah Hassan dikenalpasti barang-barang keluaran bukan Melayu/Islam.Bisnes ini sebenarnya telah bertukar tangan. Selain itu alasan paling mudah adalah mana mungkin produk Melayu boleh masuk pasar raya. Bagaimana pula dengan kicap Thamin.....????? Kicap Thamin HALAL tetapi difahamkan ia terpaksa mengupah salesman cina dengan bayaran RM7,000.00 untuk membolehkan produk tersebut memasuki pasar raya.

REALITI

Siapakah yang sebenarnya menguasai ekonomi negara sekarang . Jawapan nya bukan Melayu. Satu ketika dulu umat Islam amat mudah untuk mendapat produk keluaran orang Islam yakni ketika jamaah Al-Arqam ujud. Keluaran produk Al-Arqam ini sebenarnya telah menggugat ekonomi bukan Islam dan tindakan drastik mereka adalah membantu kerajaan secara halus mengharamkan jamaah tersebut. Kita bersetuju pegangan Arqam diharamkan tetapi kenapa sampai mengharamkan produk makanan mereka. Kini siapa yang bertepuk tangan gembira..... Tidak hairanlah kenapa Emporium Mydin tidak dibenarkan bertapak di Taiping.

Cuba kita imbas kembali kejadian yang berlaku pada 1987 iaitu ketika sebuah parti politik diharamkan. Ketika itu orang Melayu berpecah dua. Malaysia pada ketika itu tiada PM....maksudnya PM Melayu kerana tiada parti Melayu dalam komponen......Apa jadi ketika itu....tidak lain untuk menyelamatkan keadaan.... Malaysia telah diperintah oleh MR L.L.S dari komponen.. selama 10 jam sebelum sebuah parti Melayu yang diharamkan dihidupkan semula. Apakah yang telah berlaku selama 10 jam itu?

Semua orang tahu sebanyak 11 stesyen minyak Petronas telah dianugerahkan pada kaum bangsa asing hanya dalam masa 10 jam. Sebuah di Kampar Road Ipoh dan 10 lagi di KL. Bayangkan jika sekiranya 10 hari ia memerintah. Ini bukan lah cakap politik atau perkauman tetapi sekadar mengingatkan agenda siapa kah ini.....Berbezakah antara agenda Zionis dan bukan Islam di Malaysia..

Maka itu fikir..fikirkan lah bersama demi keselamatan dan kesejahteraan ummah dunia mahu pun akhirat.

Posted at 09:47 am by infojiboi
Comments (2)  

Tilawah al-Quran tidak perlu tiru konsep AF -TG Nik Aziz

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat, tilawah al-Quran tidak perlu meniru konsep program realiti Akademi Fantasia (AF).

Sebaliknya, kata beliau, apa yang perlu diutamakan ialah mengamalkan ajaran terkandung dalam kitab suci tersebut.

``Saya tak berfikir macam itu. Lagu-lagu ini bagi saya perkara kedua, yang pertama amalkan ajaran al-Quran, bukan sekadar lagu..,'' katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Pejabat Pas Kelantan di Jalan Tok Pati, di sini.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas diminta mengulas cadangan seorang qari tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, Pisol Yusob supaya tilawah itu meniru konsep AF kerana ia lebih segar dan berupaya menarik minat golongan muda mengikutinya.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz yang mengakui tidak pernah menonton rancangan AF bagaimanapun berkata, sekiranya cadangan tersebut diambil kira, masalah seperti tenaga pengajar dan pelbagai masalah lain akan timbul.

``Pemilihan pendengar (rancangan AF) ikut ceritanya bolehlah, fasal semua orang boleh dan suka menyanyi, tetapi qari (tilawah al-Quran) ini siapa dia kita harap jadi hakim. Dalam seluruh Malaysia ini, berapa orang sangat reti (pandai) tajwid dan sebagainya...,'' ujar beliau.

Posted at 09:41 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Tilawah - respon kepada cadangan Qari

Perkembangan terbaru program reality TV yang diciplak daripada luar telah menyebabkan evolusi baru dalam bidang penyiaran. Program seperti ini telah terbukti menjadi dimensi baru dalam bidang komunikasi massa, ia telah berjaya memikat jutaan penonton untuk berhibur. Konsep menang-menang yang diwujudkan termasuklah memberi peluang kepada penonton menjadi pengadil di samping juri yang bertauliah merupakan rahsianya. Mereka mengatakannya konsep menang-menang, sedangkan menang itu hanya kepada mereka, kalah pula pada penonton teramai yang menghabiskan masa dan wang untuk menyatakan sokongan kepada peserta pilihan. Lebih teruk lagi jika penonton fanatik seperti mana ditafsirkan menggunakan manglish: - kipas susah mati (die-hard fan), sanggup ‘menderma’kan air mata kerana terharu dan sedih. Sedih kerana peserta pilihan tersingkir. Alangkah baik jika air mata itu dirembeskan kerana keinsafan kepada satu dosa. Alangkah baik jika air mata itu dialirkan keluar ketika munajat diri kepada Rabb, menegenang kekerdilan diri. Alangkah baik air mata itu menjadi manifesto kesungguhan kita dalam taubat.

Minggu lepas, semasa berlangsungnya program Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, seorang peserta mencadangkan konsep AF diadaptasi ke dalam pelaksanaaan pertandingan tilawah al-Quran. Ia hanya merupakan konsep, walaupun pada peringkat akhir, kemenangan ditetapkan oleh hakim yang bertauliah. Jika benar perkara itu akan dilaksanakan, kita tunggu dan lihat, berapa ramai bilangan penontonnya pula. Apakah perubahan itu akan menambah bilangan penonton yang mengikuti rancangan TV tilawah? Katakan jika sekarang penonton AF mencecah 10 juta, maka bilangan penonton rancangan Pertandingan Tilawah secara kasarnya hanya 200 000 orang. Jumlah 200 ribu mungkin mewakili semua peringkat umur, maka berapa ramai pula dari mereka ini yang mahir tentang al-Quran? Berapa ramai di antara mereka tahu untuk membezakan lagu Bayati, Hijaz, Nahwan dan sebagainya. Berapa ramai di kalangan mereka yang tahu kaedah jawab lagu, harakat-harakat dalam setiap jenis lagu yang dibawakan oleh qari/qariah? Berapa ramai pula yang tahu dengan pasti, bacaan ini salah, bacaan ini kurang tepat dan sebagainya? Maka jawabnya, tidak ramai.

Kebimbangan harus difikirkan, dunia kapitalis berorientasikan wang menjadikan manusia lupa segalanya. Kita tidak mahu wujud mentaliti ingin glamour dan cepat kaya menggunakan pendekatan mencuba nasib melalui pertandingan. Lebih-lebih lagi pertandingan yang dibuat berhubung kait dengan al-Quran. Al-Quran bukanlah untuk dibanding-bandingkan sipakah yang hebat mutu tarannumnya. Lebih dari itu, al-Quran sebenarnya perlembagaan hidup yang mesti dihayati. Betapa hari ini, manusia hanya pandai membaca al-Quran tetapi tidak menghayati intipati kehendak al-Quran. Maka jadilah pembaca al-Quran seperti burung tiung yang diajarkan kepadanya mengucap “Assalamualaikum”.

Sedarlah bahawa mendepani waktu dalam medan dakwah amat sukar, maka sukar juga kita mengatakan bahawa program reality TV bagi mencari bakat baru dalam bidang mengaji al-Quran berlagu sebagai tidak tepat. Saya tidak kata cadangan tersebut tidak betul, saya cuma ingin mengajak pembaca memikirkan perkara ini: ‘Adakah wajar al-Quran dipertandingkan?’ Suatu masa mungkin qari dan qariah yang menang hanya disebabkan rupa parasnya, berbanding kualiti bacaannya. Dan tilawah sebenarnya tidak pernah menjadi medium hiburan dalam kamus minda kebanyakan kita.

.....................................................................

Utusan Malaysia
KUALA TERENGGANU 17 Ogos - Seorang qari tilawah al-Quran peringkat kebangsaan mencadangkan supaya tilawah itu meniru konsep program realiti Akademi Fantasia (AF) supaya ia lebih segar dan berupaya menarik minat golongan muda mengikutinya.

Peserta dari Perlis, Pisol Yusob berkata, ini termasuk `mengurung' peserta dalam sebuah premis bagi jangka masa tertentu untuk diberi latihan mengenai teknik dan bacaan yang betul.

Menurutnya, para peserta pula perlu dipilih daripada golongan muda yang berjaya melepasi ujian membaca al-Quran.

Bagaimanapun, bagi mengekalkan kualiti tilawah yang diadakan sejak 48 tahun lalu, penentuan pemenang akan tetap dibuat oleh hakim profesional, katanya kepada Utusan Malaysia.

Stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama ini telah diberi hak untuk siaran secara langsung acara tahunan itu, tetapi konsepnya tidak banyak berubah.

Selain peringkat kebangsaan, RTM dicadangkan supaya menjadikan tilawah peringkat antarabangsa lebih menarik dengan meniru konsep realiti. Di bawah konsep itu, kehidupan seharian para peserta akan dirakamkan, termasuk gelagat-gelagat menarik mereka.

Menurut Pisol lagi: ``Tidak perlu tiru seratus peratus rancangan AF termasuk kaedah memilih juara melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), tetapi kita ubahsuai sedikit supaya ia menepati kehendak dan perkembangan dunia.''

``Saya percaya ia tidak akan menjejaskan kesucian al-Quran,'' ujarnya.

Posted at 09:40 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Professor Masuk Islam Hanya Kerana Kajian Kulit Manusia

"Professor Tagata Tagasone, Ketua Jabatan Anatomi dan Embriologi di Universiti of Shiang Mai di Thailand telah mengucap dua kalimah syahadah semasa Persidangan Perubatan Saudi Ke 8 di Riyadh.

Dia telah mendapat hidayah apabila diketahui hasil kajian para saintis yang pakar dalam bidang kulit (dermatologi) telah lama diterangkan di dalam Al Quran lebih 1400 tahun yang lalu.

Professor Tagasone begitu yakin adalah mustahil ayat Al Quran yang menceritakan secara terperinci mengenai sifat kulit manusia datangnya daripada seorang manusia bernama Muhammad saw. Lalu diberitahu kepada Professor Tagasone bahawa ayat Al Quran itu adalah ayat-ayat Allah swt yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw.

Apakah hasil kajian tersebut sehinggakan seorang saintis dermatologi yang hebat terasa begitu bodoh kerana kajiannya yang dianggap canggih telah terdapat dalam Al Quran ?

Kajian saintis membuktikan bahawa rasa sakit apabila dibakar badan manusia ini adalah pada sel-sel yang terdapat pada kulit manusia. Apabila kulit manusia ini terbakar maka sel-sel yang memberi rasa sakit ini akan musnah. Maka manusia tidak akan merasa sakit lagi apabila sel-sel ini terbakar (tetapi manusia akan mati selepas itu).

Jadi kalau diakhirat nanti apabila manusia dibakar dalam api neraka adakah mereka tidak akan merasa sakit, hanya sakit apabila dibakar kali pertama ?

Jawapannya ialah ayat Al Quran surah ke 4 , ayat ke 56 yang lebih kurang bermaksud :
“Mereka yang menolak ayat-ayat Kami. Kami akan campakkan mereka dalam api; berkali-kali sehingga kulit mereka terbakar hangus. KAMI AKAN GANTI KULIT MEREKA DENGAN KULIT YANG BARU SUPAYA MEREKA MERASAKAN AZAB ; sesungguhnya Allah Maha Berkuasa, Maha Bejiksana”.

Maka beruntunglah Professor Tagasone yang telah memeluk agama Islam dalam keadaan suci , bersih. Sesiapa yang tidak hendak menerima Islam dan mengamalkan segala apa yang terkandung di dalam Al Quran , maka Allah akan pilih orang lain untuk menerima hidayahNya.

Posted at 09:25 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Saturday, August 20, 2005
Antara Pak Lah, Siti, Mawi dan Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Assalamualaikum w.b.t

Maka terhenjak-henjaklah rakyat Johor yang mengunjungi Danga Bay malam semalam(18 Ogos 2005) untuk menyambut Bulan Kemerdekaan. Namun faktor apakah yang betul-betul dinantikan pada malam itu? Adakah Pak Lah, Siti, atau Mawi ? Yang pasti, kelibat Pak Lah dan pemimpin yang datang pada mlam itu langsung tidak diendahkan oleh rakyat ! Seolah-olah Pak Lah tidak penting langsung !

 

Tahniahlah Pak Lah kerana dengan ‘kehebatan’ anda yang ‘menjamu’ rakyat Malaysia dengan hiburan, kini artis seperti Mawi dan Siti lebih penting berbanding Pak Lah. Tanpa artis, ‘ceramah’ UMNO adalah NOTHING! Sudahlah rakyat tengah ‘pening’ memikirkan budjet yang makin tidak terurus, Pak Lah pula dengan ‘rakusnya’ membakar duit rakyat di udara menerusi percikan bunga api. Ini baru sambutan Bulan Kemerdekaan, belum lagi Malam Kemerdekaan.

 

Fenomena yang kita hadapi pada saat ini tidak lebih daripada apa yang dialami pada pemerintahan Dinasti Ming di China. Walaupun rakyat China miskin dan tidak cukup makanan pada masa itu,Maharaja Dinasti Ming pula ‘menjamu’ rakyatnya dengan candu untuk membuatkan rakyatnya lupa dengan kesusahan yang dialami mereka. Cuma apa yang dialami oleh rakyat Malaysia, kita dijamu dengan ‘hiburan’ seperti konsert dan pesta yang melampau !

 

Melangkah keluar sahaja Pak Lah dari pentas utama, rakyat nampaknya makin rancak untuk melihat Mawi dan Siti berduet. Setelah berakhirnya Mawi menyanyikan lagu solonya bertajuk Aduhai Saleha tiba-tiba sahaja cuba mengajak penonton berteriak kepadanya perkataan ‘World’.

 

Namun perhati tak apa yang dibalas oleh Mawi? Inilah balasannya “Ya, World ! Dunia-dunia jugak Akhirat jangan lupa !” Terkedu sejenak mendengar perkataan Mawi itu. Kalaulah Pak Lah masih ada pada masa itu, bagaimanakah ‘air muka’ Pak Lah pada masa itu ?

 

Selain itu, majlis semalam langsung tidak menampakkan untuk mengingati pejuang-pejuang terdahulu yang mula-mula sekali membangkitkan semangat merdeka dari penjajah Inggeris. Lupakah mereka kepada Tok Janggut, Dato' Bahaman, Hj Abdul Rahman Limbong yang sanggup syahid untuk kebebasan melayu dari penjajah. Rata-rata pihak UMNO hanya 'memulakan' penghayatan sejarah kemerdekaan negara dengan Tunku Abdul Rahman,Tun Hussein Onn dan beberapa pemimpin UMNO yang dimegah-megahkan bahawa merekalah yang berjaya mendapatkan kemerdekaan melalui 'mata pena' bukannya melalui pertumpahan darah.
   


Namun bagaimana pula dengan kematian Tok Janggut contohnya yang berjuang demi islam dan Tanah Melayu.


Adakah dengan mengingati kematian pejuang-pejuang sebegitu melalui majlis bacaan yassin akan menjadikan kita tidak patriotik ? Jijikkah kita untuk mengingati pejuang sebegitu walaupun mereka kalah dalam perjuangannya menentang inggeris? Bila ingat sahaja Merdeka, lagu Sudirman pula yang menjadi siulan.


Akhir qalam,sekali lagi saya ingin meminjam perkataan Mawi yang diucapkannya malam semalam, "Ya, World ! Dunia-dunia jugak,akhirat jangan lupa !”


Sekian.

 

:. amirulreza

Posted at 03:55 pm by infojiboi
Comments (2)  

Next Page