|
|
Thursday, August 25, 2005
Persamaan Gini – kaedah untuk mengukur perbezaan pendapatan
Persamaan Gini – kaedah untuk mengukur perbezaan pendapatan
Seruan Pemuda Umno bagi pemulihan orang Melayu telah menimbulkan perdebatan hangat tentang kedudukan ekonomi antara kaum. Tetapi adakah benar orang Melayu jauh ketinggalan dan orang Cina ‘kaya’ seperti yang diperkatakan?
Oleh Carolyn Hong
The Straits Times
Dua minggu lalu, Azran Aseh, seorang pemandu teksi, sedang duduk di luar rumah setinggannya di Kuala Lumpur semasa ia terbakar.
Dalam masa 10 minit, dia kehilangan rumahnya. Dia kehilangan segala-galanya kecuali teksinya tetapi bernasib baik kerana keluarganya telah ditempatkan semula di sebuah flat bandaraya dengan sewa serendah RM124 (S$55) sebulan.
Azran, 39, masih lagi bimbang. Walaupun dia bekerja 15 jam sehari, tujuh hari seminggu, perit baginya untuk menanggung isteri dan tiga orang anaknya.
Setiap sen yang diperolehinya adalah untuk membayar sewa teksi sebanyak RM1,200 sebulan dan perbelanjaan rumah kira-kira RM1,500 sebulan.
“Saya tidak mempunyai simpanan, dan apabila teksi saya rosak, seksa betul,” katanya.
Kisahnya merupakan satu contoh klasik kemiskinan di Malaysia hari ini.
Seperti beribu-ribu orang lagi yang hidup ‘kais pagi makan pagi’, dia bukanlah miskin secara rasminya, tetapi termasuk dalam kategori ‘amat memerlukan’.
Ianya bukanlah kemiskinan yang hina tetapi kehidupan mereka tetap genting.
Mereka mungkin memiliki telefon bimbit dan televisyen, tetapi mereka tidak dapat lari daripada kancah pendidikan rendah, masa depan yang samar serta tiada jaminan hidup.
Bagaimanapun, kemiskinan yang hina kini jarang kita dengari, walaupun di kawasan-kawasan kampung.
Kata Juhaidi Abdullah, pembantu kepada menteri kabinet Mustapha Mohamed, yang sering melakukan lawatan bersama ketuanya ke daerah Jeli yang terpencil, “Saya berjumpa dengan orang miskin semasa saya melawat Kelantan, tetapi tidak ada yang terlalu miskin sehingga tidak mampu untuk makan dan mempunyai tempat tinggal.”
“Kemiskinan yang kita lihat hari ini bukanlah kemiskinan hina.”
Dia berkata keluarga-keluarga yang miskin masih lagi mampu untuk menghantar anak mereka ke sekolah, malah sesetengahnya memiliki ternakan dan tanah.
Jarang kita berjumpa dengan orang seperti Atan Yasin, seorang tukang cuci di bandaraya, yang perlu menanggung keluarganya seramai lima orang dengan pendapatan bulanan sebanyak RM400.
Separuh daripada pendapatannya digunakan untuk membayar sewa rumah setinggannya. Keluarganya terpaksa mencari serpihan-serpihan logam di tempat-tempat pembuangan sampah untuk dijual.
“Kami makan sekali sehari, dan jika makanan tidak cukup, saya tidak makan,” katanya ketika merayu untuk mendapatkan derma dalam satu program televisyen baru-baru ini.
Kurang 8 peratus daripada jumlah penduduk hidup seperti Atan, di bawah paras pendapatan kemiskinan iaitu sebanyak RM500 sebulan bagi keluarga seramai empat atau lima orang.
Dan mereka yang berpendapatan separuh daripada itu – rakyat sangat miskin – hanya seramai 0.4 peratus daripada rakyat Malaysia.
Terdapat lebih kurang 270,000 buah keluarga miskin di Malaysia, dan 12,000 buah keluarga sangat miskin.
Itu satu pencapaian yang baik. Hanya 35 tahun dulu, separuh daripada penduduk negara ini hidup di bawah paras kemiskinan. Bagaimanapun, sesetengah pihak berpendapat bahawa keadaan sebenar tentang kemiskinan di negara ini adalah lebih buruk lagi kerana garis kemiskinan yang ditetapkan adalah terlalu rendah.
Tiga puluh tahun dulu, kebanyakan rakyat Malaysia yang miskin terdiri daripada orang Melayu tetapi itu bukanlah isunya hari ini.
Jurang antara kaum dilihat semakin rapat kerana pendapatan orang Melayu kini semakin meningkat, walaupun persamaan masih belum tercapai.
Bagaimanapun, apa yang semakin luas adalah jurang perbezaan intra-etnik – jurang antara orang Melayu yang kaya dengan yang miskin.
Terdapat orang Melayu yang berpendapatan RM400 sebulan seperti Atan, dan ada pula tokoh Melayu yang menaiki helikopter.
Pada penghujung 1990an, persamaan Gini – kaedah untuk mengukur perbezaan pendapatan – menunjukkan perbezaan intra-etnik di kalangan orang Melayu adalah yang paling tinggi berbanding kaum lain.
Jurang ini semakin meluas setiap tahun sepanjang 1990an dan keadaan yang berlawanan pula berlaku bagi kaum lain.
Pada 1990an inilah lahirnya tokoh-tokoh Melayu melalui pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang secara rasminya dimansuhkan pada 1990 tetapi semangatnya tidak pernah padam.
Sudah lama diutarakan supaya pendekatan berasaskan kaum dihapuskan bagi memperbaiki perbezaan pendapatan di Malaysia.
Bagaimanapun, ini nampaknya tidak berlaku hari ini. Apabila Pemuda Umno baru-baru ini mencadangkan agar DEB diwujudkan semula, ia menegaskan tentang ketaksamaan antara kaum, dan nampaknya perdebatan tentang ini akan masih tetap di atas landasan yang lapuk itu.
Posted at 10:12 am by infojiboi
Permalink
Isu Mawi: Surat terbuka Hj. Mahfuz
Isu Mawi: Surat terbuka Hj. Mahfuz
Saya menerima email dari sahabat saya Tuan Hj Mahfuz Omar yang memuatkan surat terbukanya kepada Mawi, juara Akademi Fantasia 3 baru-baru ini.Saya kira isi kandungan surat ini mencerminkan position ataupun sikap dan pendirian jemaah Islam khasnya PAS berkenaan dengan Mawi, yang kini merupakan agenda besar negara, disamping pertandingan parti Gerakan dan spekulasi rombakan cabinet Pak Lah.
Ramai yang merasa tidak selesa apabila PAS melalui pimpinannya turut berusaha mendekati Mawi. Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan telah jauh ke hadapan lagi dengan segera mengundang Mawi ke majlis rasmi anjuran kerajaan negeri pada hujung bulan September nanti.
Berbagai-bagai reaksi bermain di kepala sebahagian besar masyarakat Malaysia khususnya yang prihatin dengan perkembangan politik islam tanahair. Mengapa PAS mendekati Mawi, graduan AF yang penuh aksi maksiat itu? Mengapa mengagungkan Mawi? PAS menggadaikan prinsip dengan mendekati Mawi. Dan macam-macam lagi.
Sikap cemburu ini memanglah telah diduga, namun kita tidaklah harus membawanya sampai ke peringkat cemburu buta. Anggaplah perkembangan ini sebagai suatu pendekatan dakwah dalam suasana masyarakat semasa yang sungguh mencabar. Kita tewas jika dalam suasana ini kita menutup rapat pintu dan tingkap rumah semata-mata kerana benci dengan suasana di luar.
Sebagaimana nafas surat Tuan Hj Mahfuz ini, kita perlu tangani masalah dengan hikmah dan bijaksana. Yang penting kita perlu kehadapan dalam mengemukakan penyelesaian bukannya dilihat cuba mengelak atau lari dari masalah.
Berikut surat beliau, terima kasih Tuan Hj. :
Surat terbuka untuk Mawi
MAWI PERLU JADI IKON POSITIF KEPADA REMAJA
Saudara pengarang,
Pertamanya saya ingin merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan Mawi menjuara Akademi Fantasia 3 baru-baru ini. Kejayaan Mawi ini boleh dianggap mewakili satu aspirasi baru remaja masa kini iaitu berhibur dalam batasan agama.
Saya sangat kagum dengan sikap Mawi yang cuba menyampaikan satu mesej yang bermoral kepada remaja melalui tindakannya seperti menutup aurat, berdoa, menghormati azan dan jugaseruan supaya belia meninggalkan dadah. Mesej ini sangat positif kepada remaja kerana ia disampaikan oleh seorang penghibur yang berpengaruh.
Namun begitu, satu perkara yang ingin saya sampaikan kepada Mawi ialah keperluan untuk beliau istiqomah dengan pendekatan hiburan positif ini. Mahu tidak mahu kita harus akui bahawa Mawi telah menjadi ikon kepada muda-mudi hari ini. Kita berharap yang diikuti bukan cara berpakaian atau fesyen rambutnya sahaja, tetapi mesej-mesej ketuhanan yangdibawa oleh Mawi.
Kerana itu menjadi harapan saya supaya Mawi dapat terus menonjolkan imej-imej yang positif sekaligus mempengaruhi para remaja kita agar berhibur dalam batas budaya dan adat ketimuran yang berlandaskan nilai-nilai agama. Mawi tidak harus dipengaruhi oleh budaya popular yang dibawa oleh media massa termasuk Astro yang menyungkil bakat Mawi sehingga menjadi juara Akademi Fantasia. Sebaliknya Mawi harus menukar budaya popular yang sekadar mengejar glamour kepada mencari keredhaan Allah.
Mawi seharusnya memperbetulkan KEKELIRUAN MINDA para remaja dan masyarakat tentang pendekatan Akademi Fantasia yang tidak mencerminkan Malaysia sebagai sebuah bangsa yang merdeka. Apa yang diceduk oleh Akademi Fantasia itu berteraskan cara hidup Barat yang tidak menggambarkan realiti dan aspirasi masyarakat kita. Bahkan ia mendorong pembaziran, mewujudkan budaya fanatik hedonisme dan kehidupan penuh fantasi. Mawi harus memahami kebimbangan yang diluahkan oleh Timbalan PerdanaMenteri.
Sebagai ikon baru para remaja, Mawi mesti mengambil kesempatan di atas populariti dan sokongan remaja ini untuk mengajak mereka hidup dalam budaya yang positif seperti menjauhi kemungkaran dan maksiat, tidak merokok, tidak mengambil dadah, tidak mengakses web-web lucah, menjalankan kewajipan agama dan seumpamanya. Dalam kata lain, Mawi mesti menjadikan hiburan sebagai satu medan untuk mengajak remaja menjadi orang yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Tidak ada gunanya Mawi sebagai seorang bekas qari, juara nasyid dan guru al-Quran turut membawa mesej yang sama seperti artis lain yang dianggap tidak senonoh dan tidak sesuai dengan cita rasa tempatan. Sokongan daripada pelbagai pihak termasuk parti politik terhadap peranan Mawi dalam membentuk idealisme baru remaja harus dimanfaatkan sebaik mungkin.
Saya percaya dunia hiburan kita akan terus berhadapan dengan gelombang hiburan Barat yang melalaikan. Tetapi watak-watak seperti Mawi boleh mengubah keadaan ini dengan menggunakan pengaruhnya untuk membawa remaja kepada kehidupan positif.
Mawi perlu menggunakan kesempatan ini untuk mendidik remaja kita dengan cara hidup, dan pemikiran yang berteraskan agama dan jati diri bangsa Malaysia seperti yang disebutkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Prof Diraja Ungku Aziz.
Bagi menghadapi cabaran yang besar ini, saya berharap Mawi dapat menambahkan ilmu di dadanya sesuai dengan kedudukan beliau sebagai ikon yang membawa imej positif. Sangat tidak patut bagi seorang ikon jika hanya berupaya menghafal lirik lagu-lagu sahaja, sedang ilmu dan ketaqwaan tidak bertambah.
Walau bagamanapun, tanggungjawab besar untuk mengubah masyarakattdak adil untuk dbebankan sepenuhnya kepada Mawi, sebaliknya semua insan seni, budayawan dan media termasuk stesen tv, kerajaan yang perlu menyedia dan menguatkuasakan garis panduan serta para ulamak harus bersama-sama membimbing remaja kepada kehidupan yang lebih bermakna.
Mudah-mudahan karier Mawi sebagai penghibur, pendakwah dan pemacu jati diri remaja akan lebih cemerlang pada masa hadapan dengan membawa satu mesej SAYANGI REMAJA ASET NEGARA.
MAHFUZ OMAR
Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK)
Posted at 09:49 am by infojiboi
Permalink
Wednesday, August 24, 2005
TAHNIAH ACEH SEBAT PENJUDI DEPAN KHALAYAK
TAHNIAH ACEH SEBAT PENJUDI DEPAN KHALAYAK
SEOLAH-olah Aceh menyambut perdamaiannya dengan melaksanakan sebatan beberapa pesalah jenayah judi dengan menyebatnya di depan khalayak rdamai di perkarangan kediaman Bupati sebuah Kabupatin.
Beribu-ribu rakyat turun padang menyaksikan pelaksanaan hukum syariah yang diperjuangkan oleh rakyatnya sejak wilayah itu diceroboh Belanda beberapa ratus tahun lalu.
Kerana pelaksanaan hukuman syariah itu rakyat Aceh berperang mula-mula dengan Belanda dan kemudian dengan kerajaan pusat Indnesia. Perang yang terakhir dengan Indonesia berlansung dua dekad dan belasan jiwa terkorban.
Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Nusantara sayugia mengalungkan jutaan tahniah kepada rakyat Aceh, kerajaan Daerah Istimewa Aceh dan GAM atas pelaksanaan hukuman sebat ke atas kaki judi. Tahniah juga atas perdamaian yang dicapai dengan Indonesia dan hak Aceh beroleh otonomi sebagai Daerah Istimewa yang lebih bermakna dari sebelumnya.
Hak Istimewa itu sudah lama diperolehi, sebelum Suharto berkuasa, tetapi tiada apa makna bagi hak istimewa dan otonomi itu jiga syariah tidak berjalan. Tiada harga satu rupiah pun bagi kemerdekaan yang diperjuangkan jika syariah tidak didaulatkan.
Sekali otonomi itu dalam pelaksanaan Islam ssebagai addin, tetapi ia tiada sebarang perbezaan dengan wilayah-wilayah lain Indonesia. Sekarang Aceh menjadi wilayah merdeka dalam Islam di Indonesia.
Jalan tengah bagi Aceh dan Indonesia ialah Aceh kekal sebagai anggota Negara kesatuan Indonesia, GAM sedia menggugurkan tuntutan kemerdekaan bagi wilayah itu tetapi daerah istimewa itu berhak melaksanakan syhariah sepenuhnya.
Sekalipun Aceh beroleh hak 70 peratus atas hasil gas dan petrol yang keluar dari wilayah itu, satu royalti yang cukup besar, Terengganu tidak beroleh apa-apa selain dari pemberian ihsan yang tidak ditetapkan, tetapi semua itu tidak ada apa erti dibandingkan dengan hak melaksanakan syariah.
Insya Allah Aceh yang memulakan hukumnya dengan jenayah judi, dipercayai akan diikuti oleh pelaksanaan atas lain-lain jenayah. Dan sedang diperhatikan oleh dunia sekarng bagaimana ia akan menangani jenayah rasuah yang menjadi penyakit sosial yang sangat kronik di Indonesia termasuk Aceh.
Indonesia memang sejak lama menaruh azam yang tinggi untuk memerangi rasuah, tetapi tiada apa yang dapat dilakukan dan tidak dapat diramalkan bagaimana Indonesia hendak menangani hal itu.
Aceh mesti memulakan suatu yang berkesan menangani gejala rasuah sekalipun sukar untuk menemui aparat pemerintah yang tidak rasuah. Tetapi dengan apa yang dicapai di Hilsinki baru-baru ini memberi kuasa penuh kepada Aceh memerangi rasuah mengikut kehendak syariah.
Antara Indonesia dan Aceh, tidak siapa kalah dan tidak siapa menang kerana kedua=duanya menang. Tetapi dibandingkan dari sudut tujuan manusia itu diwujudkan, maka Aceh dikira pemenang mutlak sekarang kerana ia beroleh syariah sedang Indonesia tidak dapat itu.
Apabila Aceh memilih syariah sebagai perkara pertama dan utama, maka Aceh sudah mendapat tahniah dari Allah dan jika Aceh bersungguh melaksanakan dengan hati yang ikhlas, maka Allah sangat suka membantu Aceh melaksanakannya.
Dengan bantuan semua pihak Aceh akan muncul sebagai pihak benar-benar beruntung. Apa yang dicapai itu bukan dibuat oleh Aceh dan Indonesia saja. Ia disaksi dan diusahakan sama oleh Finland. Peminpin Finland memangkan peranan penting hingga kedua pihak yang bertelagah kini dapat berdamai.
Kesatuan Eropah tidak wajar lagi mempertikai pilihan Aceh itu kerana ia dijayakan oleh Finland, pihak yang sangat dekat dengan hati orang-orang Eropah.
Perkembangan di Aceh nanti, selepas membangun dengan Islam, nescaya tempiasnya akan dapa dirasakan oleh Indonesia. Apabila Aceh muncul sebagai wilalyah yang mendapat keredaan Allah, Insya Allah Indonesia boleh mempelajari kejayaannya dan dengan barakah yang Aceh akan perolehi dari Allah, maka ia akan membuka ruang mudah bagi Indonesia ikut di belakang.
Jika Aceh dapat bangun ssebagai wilayah Indonesia yang paling ke depan, maka suatu yang mustahil bagi Aceh menjadi wilayah contoh kepada bangsa Indonesia.
Inilah masanya bagi PBB dan dunia penderma mangsa tsunami yang berejanji untuk membantu membangunkan Aceh, mencurahkan bantuan seperti yang dijanjikan selama ini.
Sekalipun dunia luar tidak boleh berurusan terus dengan Aceh kerana Aceh adalah sebahagian dari Indonesia, tetapi keadaan yang ada menjamin bantuan itu akan sampai ke tangan Aceh yang betul sepanjang bantuan itu dikhususkan kepada Aceh.
Tidak siapa tahun apa yang Allah rancang tentang Aceh yang tidak pernah putus asa dengan Islam. Dua musibah besar yang Aceh tanggung apabila ia mahu merdeka dengan Islam. Ujian pertamana, ia berperang dengan kerajaan Jakarta. Aceh telah menemui keceraan yang besar.
Kemudian ia dilanda tsunami. Ratus ribu terkorban dan Aceh jadi paya jarak paya tekukur.
Di atas keruntuhan itu Aceh dianugerah mahkota Islam. Ribuan juta wang yang dijanjikan oleh dunia luar untuk membangunkan Aceh mesti digunakan setiap sen untuk Aceh membangun. Dengan demikian Aceh tidak berhadapan dengan ketiadaan wang untuk membangun.
Aceh juga beroleh hak 70 peratus atas hasil buminya. Maka Aceh sepatut tidak berhdapan dengan soal wang untuk membina Aceh baru. Allah telah mengizinkan sekarng Aceh mendapat hak atas minyak dan gasnya.
Setelah bertahun-tahun mandi darah dan setelah ratus ribu rakyatnya bergelempangan mati, maka atas kesabaran dan penderita itu, kini waktu gembira mulai tiba.
Tahniah Aceh. Pandai-pandailah memelihara anugerah yang datang setelah sekian lama diuji dengan kesengsaraan.
SeTAPAK
23/08/05
Posted at 04:46 pm by infojiboi
Permalink
Haram bagi manusia memuja manusia
Haram bagi manusia memuja manusia
Kecenderungan manusia memuja manusia hari ini, sehingga seolah-olah manusia yang dipuja itu bukan taraf manusia lagi, adalah bersalahan dengan syariat Islam.
Justeru itu timbullah apa yang disebut sebagai 'idol' yakni manusia yang dipuja-puja disebabkan keistimewaan yang dimiliki kerana pandai menghibur.
YBhg SS Mufti Negeri Perak berkata 'idol' adalah terbit dari perkataan yang membawa masksud tokong, dan amat bersalahan sekali jika manusia memuja manusia seolah-olah manusia yang dipuja seperti tokong disebabkan keistimewaannya melebihi manusia dan pandai menghibur manusia yang lain.
Amat malang sekali bagi manusia yang dianugerahkan akal tetapi tidak mampu membezakan keistimewaan anugerah kelebihan manusia, sebaliknya bertindak memuja kelebihan itu hingga melupakan ianya adalah pemberian pencipta mereka - JMNPk
Posted at 11:17 am by infojiboi
Permalink
Pirdaus - dahulu memimpin ummah, kini hanya Exco Pemuda UMNO.
Pirdaus - dahulu memimpin ummah, kini hanya Exco Pemuda UMNO.
 |
Kemungkinan kalau di tanya maka Datuk Pirdaus akan menyatakan bahawa beliau tidak kesal menyertai UMNO. Namun apa yang jelas ialah seakan ada yang tidak kena sejak Datuk Pirdaus berada dalam kancah politik. Hari ini Datuk Pirdaus hanya memegang biro dalam Pergerakkan Pemuda UMNO - suatu masa dahulu memimpin ummah. Apakah tidak ada kekesalan dalam perkembangan kerjaya Datuk Pirdaus? Apakah tidak kelihatan bahawa beliau kehilangan kehormatan diri bila menyertai UMNO? | Tidak kesalkah Datuk Pirdaus? Apa yang jelas ialah dari memimpin umat Islam - mengimamkan sembahyang kini beliau duduk di celah - celah jemaah sebagai seorang EXCO Pemuda UMNO. Kesiankan?
Posted at 10:40 am by infojiboi
Permalink
Anwar Perdana Menteri Malaysia ke 6
Anwar Perdana Menteri Malaysia ke 6
Penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004 telah membersihkan bekas Timbalan Perdana Menteri dari tuduhan sodomi, Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Dan baru-baru ini, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato' Hisyamudin menganugerahkan RM4.5 juta kepada Anwar sebagai ganti rugi yang perlu dibayar oleh penulis dan penerbit buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM”, telah membuka fasa baru dalam isu konspirasi menjatuhkan Anwar.
Mahkamah telah membuktikan, tuduhan yang dibuat oleh buku yang ditulis oleh Khaled Jefri itu tidak berasas dan fitnah kepada Anwar. Menurut Anwar, Hakim Hisyamudin memutuskan, “Semua tuduhan dalam buku ini keterlaluan, fitnah, jahat, cukup kotor dan jijik sekali. Ada konspirasi politik, sebab itu buku 50 Dalil diedarkan dalam Perhimpunan Agung Umno, dan memang ada pemimpin-pemimpin tertentu terlibat.”
 |
Hakim juga bersetuju bahawa Khaled telah dibayar untuk menulis buku tersebut.
Kini, teori konspirasi yang dikatakan Anwar sejak hari pertama dia dituduh sudah mula menyerlah dan kebenarannya akan terbongkar juga.
Siapa konspirator dan ‘mastermind’nya kita serahkan kepada ‘nature to take its course’, kerana tiada yang lebih hebat dari perancangan Tuhan dalam hal ini.
Apa yang utama sekarang ialah, rakyat Malaysia perlu disedarkan bahawa, kini orang yang menjadi harapan dan dengan izin Tuhan, mampu menyelamatkan negara dari jatuh ke lembah kemusnahan ialah saudara Anwar Ibrahim.
Hari demi hari sudah terbongkar, sifat jelek pemimpin-pemimpin kerajaan, bagaimana rakus dan tamaknya mereka mengkayakan diri masing-masing sedangkan rakyat hidup kelaparan dan menderita. Begitu juga, hari demi hari, kita lihat walaupun dalam keadaan yang tidak punya, Anwar tetap membela hak rakyat. Sejak dari awal sehingga kini saudara Anwar masih konsisten dengan apa yang diperjuangkannya.
Beliau sentiasa menekankan pembangunan masyarakat tidak boleh mereng. Kita tidak boleh kehilangan jiwa kita dalam mengejar kemajuan. Dinamisma dalam ekonomi dan industri mesti disamakan dengan kerancakan yang sama dalam dimensi yang bukan material dalam segala usaha kita. |
Setengah orang mungkin memandang rendah dan melihatnya sebagai tidak realistik. Anwar melihat yang sebaliknya, dia merasakan pandangan menyeimbangkan pembangunan kemanusiaan dan material akan menjadi kuasa penghalang pada keruntuhan moral, ketidakadilan, korupsi dan lain-lain bentuk tindakan melampau.
Dalam ucapan-ucapannya semasa di dalam kerajaan dan sehingga ke hari ini, Anwar sentiasa membangkitkan isu kemiskinan. Ucaputamanya mewakili Malaysia di Bank Dunia pada tahun 1994, Anwar telah menyentuh tentang pembangunan yang sepatutnya membawa natijah dan diiringi dengan tercapainya idealisma kemanusiaan – yang termasuk pengembangan kebebasan, pertanggungjawaban dalam lingkungan awam, keadilan dalam pengagihan dan membanteras segala bentuk penindasan. Dia mengakui bahawa pembasmian kemiskinan dan perubahan ekonomi juga bergantung pada orde politik, dan keberkesanannya memerlukan pendekatan yang menyeluruh. Namun, perlu ada rasa gesaan dan keutamaan. Jika pembasmian kemiskinan, kestabilan ekonomi dan perubahan politik boleh dicapai, Anwar telah menyarankan badan dunia tersebut mengambil jalan itu.
Dalam ucapannya yang lain, temanya tetap sama, kemiskinan rakyat jelata. Menurut saudara Anwar, kemajuan dan kejayaan polisi demokrasi sesebuah negara mesti diukur antaranya; bilangan keluarga yang dibebaskan dari belenggu kemiskinan dan kepapaan. Pembaikan sosial dan ekonomi tidak mungkin berlaku tanpa pertumbuhan ekonomi yang mapan.
Beliau bersetuju dengan polisi ekonomi yang pro perniagaan, menggalakkan pelaburan dan keusahawanan tetapi ia tidak boleh dibiarkan melebarkan jurang perbezaan antara yang ada dan yang tiada, juga polisi perlu menggalakkan keadilan sosial.
Pemecatan Anwar pada tahun 1998, juga disebabkan kedegilannya mahu mengagihkan kekayaan negara secara adil. Dia tidak mahu harta negara dibolot oleh segelintir orang yang berkuasa dan tidak meninggalkan apa-apa pada rakyat kebanyak. Tindakannya sudah tentu tidak menyenangkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional pada masa itu, kerana telah menghalang mereka mengaut harta negara untuk diri, kaum kerabat dan kroni masing-masing.
Saya berkesempatan hadir sama semasa lawatan Anwar ke Pahang baru-baru ini, saya masih teringat kata-katanya bahawa, dia sanggup berada di barisan hadapan demi membela hak rakyat tetapi dia perlu rakyat berada di belakangnya.
”Saya sanggup berada di ’frontline’ tetapi tuan-tuan semua mesti berada di belakang saya. Jangan bila saya toleh ke belakang, tiada seorang pun, semua sudah lari!” kata Anwar disambut dengan sorakan hadirin. Walaupun, disebut dalam nada berjenaka, tetapi maksudnya begitu dalam.
"Saya sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk membuat perubahan dalam Umno tetapi tak larat kerana di kelilingi penyamun tarbus," beritahu Anwar.
Justeru itu Anwar meminta ahli-ahli Umno yang ikhlas agar meninggalkan Umno dan membuat perubahan bagi kebaikan masa depan rakyat dan negara.
“Saya nak cakap kepada ahli-ahli Umno, cukuplah. Saya sudah jadi Pemangku Perdana Menteri pun, tak larat nak ubah. Sebab apa? Sebab yang di keliling semua penyamun tarbus. Saya tahu, sebab saya jadi menteri lama, Menteri Kewangan pula tu,” kata Anwar.
Anwar membangkitkan isu mereka yang tidak mahu menyatakan sokongan secara terbuka tetapi menyokong secara senyap-senyap sahaja. Beliau khuatir, orang sebegini, jika tiada keazaman yang kuat, tidak mampu untuk terus menyokong keadilan untuk semua.
Saya lihat memang mudah untuk berpatah balik atau ”undur dari medan perang” kerana sokongan tidak dinyatakan secara terbuka, tiada yang tahu pendiriannya. Jika sokongan sudah dinyatakan secara terbuka sudah tentu kewibawaan akan terjejas sekiranya berpatah balik dari apa yang dikatakan secara terbuka, dengan itu seseorang akan sentiasa berpegang pada kata-katanya.
Saya masih teringat seorang rakan yang terlibat dalam kegiatan kepartaian kemudian mengundurkan diri kerana dikhuatiri penglibatannya akan menjejaskan peluang ’partner’nya naik pangkat. Pada rasional orang-orang yang sewaktu dengannya, tindakan tersebut menjanjikan kenaikkan pangkat (atau peluang perniagaan yang lebih cerah), oleh ketua-ketua jabatan dan perbadanan yang selalunya diketuai oleh orang-orang Umno. Meleleh air liur ’partner’ rakan saya, kerana jawatan yang sepatutnya menjadi miliknya sudah diberikan kepada orang Umno juga, bagi meneruskan ’kesinambungan’ mengaut harta kekayaan negara.
Sebenarnya, jika anda takut menyatakan sokongan, ketakutan itu boleh dieksploitasi oleh pihak berkuasa bagi menundukkan anda. Jika anda seorang yang dikenali oleh masyarakat, apa yang anda lakukan menjadi ikutan orang ramai. Besar tanggungjawab anda jika memberi gambaran yang tidak benar kepada masyarakat. Anda telah menyelewengkan sokongan masyarakat terhadap sesuatu yang benar dan baik kepada sesuatu yang rosak dan jahat. Fikirkanlah, apa alasan anda jika negara terus diperintah oleh orang-orang yang jahat yang mengamalkan penindasan, korupsi dan pelanggaran hak-hak kemanusiaan dan akhirnya musnah.
Negara dan rakyat jelata mendambakan seorang yang akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan bertapak di bumi Malaysia. Semua itu tidak datang dengan mudah tanpa perjuangan. Anwar sudah pernah berada dalam kerajaan dan prestasinya dapat diukur dan diperiksa. Walaupun terpaksa lalui ujian yang getir; dibelasah sehingga mata lebam, ditelanjangkan, merengkuk dalam penjara selama enam tahun, keluarganya didera, dia tetap bersama rakyat, membela hak mereka.
Anwar patut menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam.
:. Haniza Talha
Posted at 10:21 am by infojiboi
Permalink
DEB: Melayu usah kena tipu, kata Anwar
DEB: Melayu usah kena tipu, kata Anwar
KULIM: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendiriannya menolak Dasar Ekonomi Baru yang hanya mengayakan segelintir pemimpin Melayu melalui penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa mereka.
“Orang Melayu usahlah kena tipu, carilah pemimpin yang boleh membela nasib kita, jangan cari pemimpin yang rosak akhlak dan mengadai masa depan kita,” katanya di sini, Jumaat lalu.
Penasihat Parti Keadilan itu menyeru orang Melayu berani melakukan perubahan. Tidak terus tertipu dengan dakyah putar belit pemimpin-pemimpin Umno.
“Umno menganggap saya khianat dan anti Melayu sebab saya tolak Dasar Ekonomi Baru, tetapi siapa sebenarnya pengkhianat?”
“Saya hendak beritahu mereka, saya anti rasuah pemimpin Melayu, saya anti pemimpin Melayu yang salahguna kuasa mengaut kekayaan untuk dirinya, saya pro orang Melayu yang susah, saya pro Cina dan India yang tertindas di peringkat bawah. Inilah perjuangan saya.”
Anwar juga membidas pemimpin pemuda Umno yang menghunus keris dalam Persidangan Agung parti itu yang berlagak panglima dengan mengugut kaum lain yang menolak DEB.
“Kita akan lawan panglima-panglima tahi kucing ini, kalau naga di lautan pun boleh kita lawan, inikan pula cicak mengkarung,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh ribuan hadirin.
Menurut beliau pemimpin Melayu yang menghunus keris itulah yang mengaut kekayaan berjuta-juta ringgit untuk diri dan keluarganya dengan berselindung di sebalik DEB.
Anwar menganggap pemimpin seumpama itu, sebagai pengkhianat sebenar kepada bangsa Melayu dan masa depan negara.
Menyentuh perkara itu, Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali, dipetik Suara Keadilan (bil 065) sebagai berkata, Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamudin Tun Hussein telah membolot saham bernilai RM25 juta yang diperuntukan khas untuk Bumiputera.
Hishamudin juga didakwa memiliki saham syarikat pembinaan bernilai lebih RM30 juta, sementara kaum keluarganya turut mendapat tender kerajaan bernilai RM1 bilion.
Azmin mendedahkan, Haris Tun Hussein, adik Hishamudin telah mendapat kontrak pembinaan lebuhraya Duke yang menghubungkan antara Hulu Kelang dan Jalan Duta bernilai RM1 bilion.
Selain itu, kata Azmin, Hishamudin juga memiliki sebuah kereta pacuan empat roda berjenama Hummer keluaran General Motor (GM) dengan nombor pendafataran JEN 8, berharga hampir sejuta ringgit.
“Kenderaan itu sahaja berharga RM960,000 dan hanya terdapat tiga buah sahaja di Malaysia ketika ini,” kata Azmin.
Menurutnya, inilah orang yang bercakap tentang semangat DEB dan menuntut 30 peratus saham untuk bumiputera.
Bagaimana mahu mengagihkan jumlah 30 peratus kepada orang Melayu lain di Malaysia, jika pemimpin Umno membolot separuh daripadanya, soalnya.
Azmin selanjutkan mencabar Ketua Pemuda Umno itu, menafikan tuduhan beliau dalam masa 30 hari atau meletak jawatan.
Posted at 10:11 am by infojiboi
Permalink
Antara jalur gemilang dan protes rakyat
Antara jalur gemilang dan protes rakyat
 |
Samada kita sedari ataupun tidak memang sempena perayaan ulangtahun kemerdekaan negara kali ini, tidak banyak kelihatan jalur gemilang dikibarkan terutama oleh tuan-tuan punya kenderaan.
Tahun-tahun sebelum ini kita sering melihat betapa jalur gemilang meriah dikibarkan oleh berbagai jenis dan saiz kenderaan yang berada di atas jalan dan lebuhraya negara. Pernah sampai keperingkat bendera-bendera kecil ini habis dipasaran walaupun ketika ianya dijual dan tidak diberi percuma. |
Menteri Penerangan Kadir Sheikh Fadzir sehingga merungut sebagaimana dilaporkan oleh BERITA HARIAN:
Saya sedih kali ini apabila melihat Jalur Gemilang kurang dikibarkan berbanding tahun lalu. Oleh itu saya meminta seperti pemilik kenderaan supaya mengibarkan Jalur Gemilang di kenderaan mereka mulai sekarang dan tidak menunggu saat akhir.
Saya yakin keenganan mengibarkan jalur gemilang itu bukan kerana rakyat Malaysia tidak ataupun kurang patriotik. Rata-rata rakyat Malaysia dari berbagai bangsa dan keturunan memang cinta dan sayangkan tanahair ini.
Berkemungkinan keenganan mereka itu berpunca kerana ketidakpuasan hati bukan terhadap negara tetapi terhadap parti yang memerintah. Mereka protes dengan cara tidak mengibarkan bendera kerana mereka mungkin keciwa dengan pemimpin-pemimpin yang telah mereka berikan amanah untuk memimpin dan memerintah negara.
48 tahun merdeka tetapi kehidupan rakyat seolah tidak bebas dari berbagai beban yang semakin menghimpit kehidupan mereka. Yang paling hampir adalah kenaikan harga petrol bagi kesekian kalinya yang secara langsung telah menyumbang kepada kenaikkan harga berbagai barang dan perkhidmatan lain yang berkait langsung dengannya.
48 tahun merdeka, bumi dan perut laut kita memuntahkan minyak petroleum namun setiap kali harga minyak mentah naik di pasaran dunia setiap kali itulah bebanan kenaikan itu dipindahkan kepada rakyat. Rakyat bingung, sepatutnya naik harga minyak mentah dunia maka sepatutnya semakin makmur dan semakin sejahteralah rakyat, tetapi tidak!
Dalam hal ini Menteri berkenaan perlu menyuluh hati perut rakyat, jangan terkejut kiranya keenganan mengibarkan jalur gemilang itu sebenarnya lebih merupakan suatu aksi protes, satu civil disobedience terhadap kerajaan yang pada mereka sudah semakin meminggir dan mengabaikan kebajikan rakyatnya.
Kalau menteri sedih rakyat pun sedih juga kerana kehidupan mereka semakin terhimpit sedangkan kepada siapa mahu mereka adukan kesusahan mereka itu.
Selamat menyambut hari ulangtahun kemerdekaan negara ke 48. Merdeka!!!
Posted at 09:19 am by infojiboi
Permalink
Tuesday, August 23, 2005
Yahudi tak pukul orang Yahudi!!!Polis Malaysia & Polis Yahudi Israel
Yahudi tak pukul orang Yahudi!!!Polis Malaysia & Polis Yahudi Israel
MASYARAKAT dunia yang peka dengan isu semasa dipercayai telah mengikuti dari stesyen TV CNN bagaimana polis Israel menangani penunjuk perasaan pelampau Yahudi yang enggan keluar dari penempatannya di Gaza, Palastin.
Tidak banyak kerenah Yahudi dari dulu dan sekarang yang dapat ditimbangkan, tetapi dunia boleh belajar dari pendekatan polisnya menangani golongan pelampau Yahudi yang akhirnya berkubu di dua buah kuil di Gaza.
Tunjuk perasaan di kawasan-kawasan penempatan Yahudi berjalan bebeapa minggu, malah ia mendapat sambutan dari masyarakat Yahudi dari luar Gaza yang datang berkhemah di tempat-tempat tunjuk perasaan itu. Mereka digalakkan menyertainya oleh penentang program mengunduran yang diptuskan oleh Sharon, Perdana Menteri Israel yang diketahui kejam oleh masyarakat dunia.
Ramai yang dating membawa isteri dan anak. Malah ada ibu membawa bayi berkhemah.
Polis yang beribu-ribu dikerah hanya diperintahkan mengawal tunjuk perasaan itu jangan sampai melanggar undang-undang. Mereka hanya berkawal dan memastikan penunjuk perasaan ke tempat-tempat dilarang. Sekalipun polis itu dicabar dan maki hamun oleh penunjuk perasaan, mereka bersabar dan tidak bertindak balas.
Ketika rundingan berjalan bagi memujuk mereka keluar, sokongan masyarakat Israel kepada tunjuk perasaan tidak pernah berkurangan.
Apabila tempoh bagi peneroka penemptan tamat, polis dikerah untuk mengeluarkan penceroboh itu keluar dari rumah dan kampung halaman haram itu yang mereka ceroboh lebih dari 30 tahun. Bas-bas disediakan untuk membawa penceroboh dan penunjuk perasaan keluar dari situ.
Tiada cara pelampau Yahudi itu bertahan di rumah masing-masing kerana polis datang menarik mereka dari rumah jika mereka enggan mematuhi arahan polis supaya keluar. Mereka diusung dari rumah dimasukkan ke dalam bas.
Apabila mereka tidak lagi berupaya memertahankan rumah masng-masing, mereka berkubu di dua buah kuil yang pintunya ditutup kemas sekeliling dinding kuil itu dibalut dengan pagar dawai berduri supaya sukar dipanjat polis.
Polis tidak bertindak sehinggalah tamat tempoh penduduk mesti mengosongkan Gaza.
Polis dipercayai membuat persiapan untuk menghadapi semua kemungkinan ketika menggempur untuk mengeluarkan pembantah dari kuil. Di samping beribu-ribu polis bekerja membuka pintu berkunci dari luar, beberapa kontena penuh komando diangkat dengan kren ke udara yang memungkinkan mereka terjun ikut suto atau bumbung kuil.
Inilah saat cemas. Jika komando itu sempat turun ke kuil, tidak dipastikan apa akan berlaku. Komando itu tidak sempat diturunkan kerana daun pintu data dibuka. Polis menggunakan alat khas untuk mencongkel daun pintu itu.
Polis yang beryuniform lengkap, tetapi tidak dilihaat membawa senjata kecuali berperisai tangan, menyerbu masuk ke kuil. Penunjuk-penunjuk perasaan membuat kubu manusia berangkai antara satu dengan lain. Polis cuba menarik dan memisahkan setiap orang. Mereka tetap melawan tetapi tiada pukul memukul. Beberapa orang polis cuba menceraikan mereka dari yang lain dan yanga berjaya dipisahkan diusung keluar dan diletakan di depan pintu bas dan dipaksa masuk bas bagi yang enggan masuk sendiri.
Polis mengambil masa yang lama untuk mengosongkan kuil.
Yang menariknya penunjuk perasaan khususnya perempaun, berpeluk-peluk dengan anggota polis wanita yang mengusung mereka dari kuil. Polis memberi mereka air minum. Polis dikira berjaya menangani dengan baik.
Cuma satu kejadian cemas di satu kuil. Polis di tingkat bawah kuil dicurah dengan air asid dari atas. Ini menyebabkan anggota polis terpaksa menanggalkan pakaian, tinggal seluar dalam dan dicurah air serta merta bagi mengelah asid itu memberi kecederaan yng lebih teruk kepada polis.
Nasib anggota polis yang mandi asid itu tidak diketahui, tetapi mereka dipercayai cedera.
Kalau ada penunjuk perasaan yang cedera atas tindakan polis boleh dibilang.
Sesiapa juga yang melihat cara polis Israel yang melihat mereka menyelesaikan suasana tegang itu sangat mengkagumkan. Saya sendiri berbangga dan puas hati dengan tindakan polis. Bukan sekadar tiada siapa kena ketuk, malah polis mengambil sikap berkawan dengan penunjuk perasaan yang diusung keluar walalupun antara mereka kasar kepada polis.
Saya juga menonton polis London bertindak mengejar orang-orang di stesyen keretapi bawah tanah. Pendek kata pukul memukul benda biasa dalam keadaan macam itu.
Saya pernah menyaksikan polis menggempur Masjid Ar Rahman di Lembah Pantai, Kuala Lumpur untuk menyuraikan penunjuk perasaan menentang kehadiran pasukan kriket Yahudi. Tidak dipastikan adakah orang dalam masjid kena pukul cotar oleh polis seperti lazim berlaku bila polis menyuraikan tunjuk perasaan, tetapi habis imam dan bilal diseret ke lokap.
Tertalalu sensitif untuk membandingkannya dengan cara polis menggempur kubu Ibrahim Libya di Mamali hampir 20 tahun dulu.
Ada baiknya rakaman polis Israel menggempur kuil Yahudi di Gaza itu diedarkan oleh polis ke setiap daerah supaya pegawai dan anggota polis boleh menontonnya. Tengok macam cara Yahudi menghadapi bangsanya sendiri.
Anggota Jawatankuasa Pembaikan Khidmat Polis yang sudah menamatkan tugasnya, juga patut menengok rakaman itu.
Masa saya banyak terbuang menontonnya melalui CNN dan BBC.
Semua orang tidak senang dengan kekejaman Israel.Tiada yang menggembirakan dengan kerenah Israel baik ia Yahudi Israel mahupun Yahudi di Amerika. Mereka adalah tidak berperi kemanusiaan.
Tetapi cara polis Israel menghadapi pelampau dari kalangannya, tidak langsung membayang sikap Yahudi yang dunia kenal. Jauh berbeza dengan polis bukan Yahudi di seluruh dunia menghadapi rakyat atau bangsa sendiri. Cara polis Malaysia menangani orang bukan pelampau seperti golongan reformasi dulu dan terhadap perhimpunan aman PAS di Terengganu dua tiga minggu ini beerbeza benar dengan sikap polis Israel menghadapi pelampau Yahudi.
Kita jangan berbicara tentang Israel menghadapi Palastin atau sesiaa saja. Tidak sama layanan mereka.
Tetapi yang membanggakan saya, ialah adab dan maruh polis Israel menghadapi rakyatnya tak kira pelampau atau tidak. Benarlah kata-kata rakyat Yahudi, Yahudi tak pukul orang Yahudi.
Apa yang memungkinkan warga Israel mendapat layanan yang baik dari polis Yahudi dan kerajaan Yahudi Israel? Ia tidak lain dari kedaulatan rakyat yang meeeka miliki.
Rakyat Malaysia belum dapat layanan seperti itu, mengapa? Justeru rakyatnya tidak berdaulat. Di Israel, kerajaan takut pada rakyat dan polis segan pada rakyat, tetapi di Malaysia rakyat takut pada kerajaan dan kepada polis lagi mereka takut.
Kerajaan Israel berkeras dengan orang Arab dan orang asing, tetapi berlembut dengan bangsa sendiri iaitu bangsa Yahudi. Tetapi kata Sharon, pelampau-pelampau yang mencurah asid kepada polis akan dikenakan tindakan keras.
Orang Israel sedih dengan kejadian di sekitar kuilna di Gaza beberapa hari, tetapi mereka berbangga kerana dapat berdemokrasi dengan rakyat termasuk rakyat yang pelampau.
SeTAPAK
21/08/05
Posted at 12:48 pm by infojiboi
Permalink
Tiada jalan keluar bagi Isa…
Tiada jalan keluar bagi Isa…
 |
Bila Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuaratnya Khamis ini seluruh perhatian bertumpu kepada keputusan yang bakal dibuatnya keatas rayuan Naib Presiden UMNO Tan Sri Isa Samad.
Beliau mengemukakan rayuan 6 Julai lalu keatas hukuman gantung enam tahun setelah didapati bersalah terlibat politik wang oleh Lembaga Disiplin UMNO pada 27 Jun.
Agendadaily difahamkan Lembaga Rayuan telah meneliti kesnya dan memutuskan menolak rayuan itu.
Keputusan muktamad samaada menerima atau menolak keputusan Lembaga Rayuan itu kini terletak kepada budibicara Majlis Tertinggi UMNO. |
Sumber-sumber yang layak dipercayai memberitahu mengikut amalan biasa kemungkinan Menteri Wilayah Persekutuan itu ‘lepas’ adalah amat tipis sekali.
Katanya setelah Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah dan Lembaga Rayuan menolak rayuannya tiada sebab mengapa Majlis Tertinggi hendak membatalkan keputusan yang sudah dibuat.
Juga difahamkan Lembaga Rayuan menolak rayuan yang dikemukakan oleh tiga ‘orang kuat’ Isa yang turut dikenakan hukuman.
Mereka ialah Setiausaha Politik beliau,Salim Shariff yang digantung tiga tahun,Exco Kerajaan Negeri Pahang Datuk Shahiruddin Ab. Moin yang juga Ketua UMNO Bahagian Raub dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pandan Jamaludin Ropa.
Isa dan Shahirudin perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan masing-masing sejurus Majlis Tertinggi mengumumkan rayuan mereka ditolak.
Mesyuarat Majlis Tertinggi Khamis ini akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kerana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melakukan lawatan ke Arab Saudi Rabu dan Khamis ini.
Posted at 11:46 am by infojiboi
Permalink
|
|
|