|
|
Monday, August 29, 2005
Kronologi sekatan polis terhadap majlis-majlis PAS
Kronologi sekatan polis terhadap majlis-majlis PAS
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos (Hrkh)- Pertembungan antara polis dan PAS di Terengganu bermula apabila kerajaan mula merobohkan rumah rakyat yang dibina di atas tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri di bawah pemerintahan PAS kepada mereka.
Ia berlaku apabila orang ramai menghalang kerja-kerja itu. Pihak polis pula digunakan untuk mempastikan kerja perobohan rumah itu berjalan.
Kemuncaknya apabila Masjid RTB Bujal diroboh. Pihak PAS membuat ceramah untuk menerangkan apa yang berlaku.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) pula menggunakan polis untuk menghalang ceramah-ceramah itu diadakan.
Bagi PAS, tindakan ini dibuat selepas kerajaan BN Terengganu yang ada gagal untuk lawan berhujjah dengan PAS.
Pernah Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Cheek mencabar PAS untuk berdebat mengenai beberapa isu di Terengganu tetapi pihak Umno sendiri tidak merestuinya sehingga ia dibatalkan, walaupun pihak PAS telah menerima cabaran itu.
Berikut adalah kronologi penting peristiwa ini.
 |
23 Mac 2005 – Merobohkan 13 binaan rumah peserta RTB Belimbing Api, Jabi, Besut.
24 Mac 2005 – Bantahan dan penyerahan memorandum kepada Pentadbir Tanah Besut membantah tindakan tersebut.
18 Mei 2005 – Penyerahan memorandum kepada Pejabat Tanah Setiu membantah tindakan yang bakal diambil kepada Peserta RTB Pengkalan Merbau dan Padang Setar, Setiu. |
19 Mei 2005 – Operasi meroboh rumah peserta RTB Pengkalan Merbau, Setiu di mana polis melepaskan gas pemedih mata terhadap peserta RTB.
26 Mei 2005 – Operasi meroboh rumah peserta RTB Bujal (Gambar atas), Kemaman termasuk sebuah masjid yang hampir siap dibina. Satu memorandum bantahan telah dihantar pada jam 8.00 pagi kepada Pejabat Tanah Kemaman sebelum operasi tersebut dijalankan.
30 Mei 2005 – Bantahan dan penyerahan memorandum kepada Ketua Polis Daerah Kemaman, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kemaman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman dan Pentadbir Tanah Kemaman.
19 Jun 2005 – Demontrasi dan penyerahan memorandum kepada Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman.
7 Julai 2005 – Operasi membersihkan sisa runtuhan Masjid Bujal, Kemaman.
 |
7 Julai 2005 – Ceramah anjuran PAS di Pasti Mak Chili diganggu pihak Polis dengan tembakan gas pemedih mata dan semburan air asid. 20 orang ditahan dan beberapa orang cedera.
12 Julai 2005 – Penyerahan memorandum kepada SUHAKAM diketuai oleh Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS di pejabat SUHAKAM, Kuala Lumpur.
8 Ogos 2005 – Ceramah PAS di Pengkalan Atap yang diadakan di dalam Surau Kampung Tanjung, Batu Rakit diserang oleh pihak Polis. 8 orang ditahan dan beberapa orang cedera. |
Salah seorang dari yang ditahan mengalami cederaan yang agak serius iaitu patah tulang betis kanan (right fibula) akibat dipukul dan dipijak oleh beberapa orang anggota FRU sebaik dia ditahan selepas ceramah.
26 Ogos 2005 – Ceramah PAS yang diadakan dalam Masjid Taqwa Batu 6 turut diserang oleh Polis mengakibatkan berlaku kekecohan dan pertempuran antara pihak Polis dan orang ramai yang marah dengan tindakan tersebut. 12 orang telah ditahan.
 |
Beberapa siri ceramah PAS sebelum itu turut diganggu oleh pihak Polis walaupun telah diadakan di dewan tertutup dan pembesar suara indoor digunakan.
Antaranya ialah :
12 Julai 2005 (Kg. Gong Manok, Kuala Besut) – menghalang ceramah daripada diteruskan walaupun telah ada perundingan sebelum itu.
6 Ogos 2005 (Kg. Gong Kiat, Kuala Terengganu) – menghalang terus ceramah daripada diadakan.
7 Ogos 2005 (Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu ) – menghalang terus ceramah daripada diadakan. |
11 Ogos 2005 (Banggol Katong, Kuala Terengganu) – ceramah yang dibuat dalam rumah persendirian turut dihalang. Ceramah dipindah ke Surau Pengadang Baru turut diganggu dengan menyekat laluan utama ke surau berkenaan.
12 Ogos 2005 (Bukit Kubang Jambu dan Seberang Takir, Kuala Terengganu) – turut diganggu. Ceramah di Seberang Takir dihalang daripada menggunakan pembesar suara.
- AYU/zs
Posted at 03:24 pm by infojiboi
Permalink
Peristiwa Batu 6: Polis jadi pencetus kekacauan, PJ PAS Terengganu
Peristiwa Batu 6: Polis jadi pencetus kekacauan, PJ PAS Terengganu
 |
"Peristiwa hitam di Batu Enam adalah reaksi orang ramai dan polis adalah pencetusnya"
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos (Hrkh)- PAS Terengganu menyifatkan kekacauan yang berlaku di pekan Batu Enam malam semalam berpunca dari sikap polis di situ yang bertindak mencetus kekacauan bukannya menjaga keamanan.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali dalam sidang akhbar khasnya berkata, pihaknya menyalahkan polis dalam peristiwa itu.
"Polis bukan lagi penjaga keamanan tetapi pencetus huruhara di Terengganu," kata beliau.
Dalam kejadian malam semalam, polis telah melepaskan kira-kira 20 gas pemedih mata termasuk ke dalam Masjid At Taqwa, Pekan Batu Enam bagi menyuraikan orang ramai serta para pemimpin PAS dari masjid itu.
Antara yang terkena gas itu adalah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS, Dato' Harun Taib. |
Badan Perhubungan PAS Terengganu menganjurkan ceramah sempena Isra' dan Miraj serta Penjelasan Isu Dewan Undangan Negeri Terengganu yang baru berakhir.
Ceramah yang sepatutnya berjalan di Padang Bola Pekan Batu 6 telah dipindahkan ke dalam Masjid At Taqwa selepas polis mula mengacau majlis itu.
Tetapi polis juga tidak membenarkan majlis itu dan menambak gas pemedih mata dan water canon (semburan air bercampur asid) sehingga beberapa orang telah pengsan.
Namun, kemarahan orang ramai telah membara sejak kebelakangan ini apabila PAS tidak boleh mengadakan sebarang majlis ceramah hatta dalam bangunan.
Akibatnya, sebahagian dari mereka bertindak balas dengan membaling balik container gas pemedih mata itu kepada pihak polis.
Turut dilemparkan adalah batu dan botol menyebabkan pekan Batu Enam penuh dengan kaca dan batu selepas peristiwa itu.
Polis digunakan
Di Batu Rakit sebelum ini, polis telah menembak gas pemedih mata ke satu majlis yang hampir tamat tanpa memberikan sebarang amaran supaya berhenti akibat dari rasa tertipu kerana tersalah tempat ceramah PAS.
Ceramah yang diberikan oleh Naib Presiden PAS di Kemaman juga berakhir dengan gas pemedih mata.
Sidang Dun
Dalam sidang DUN Terengganu baru-baru ini, semua wakil PAS meninggalkan Dewan apabila Speaker bertindak tanpa mengikut peraturan.
Dalam peristiwa itu, ketika Ketua Pembangkang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sedang berucap, wakil BN mengacau beliau dan meminta laluan, tetapi beliau tidak membenarkannya.
Tetapi Speaker telah menggunakan kuasanya memaksa Abdul Hadi memberikan laluan kepada wakil BN untuk bercakap.
Sedangkan, dari segi peraturannya, mana-mana pihak tidak boleh bercakap tanpa laluan diberikan oleh pihak yang sedang bercakap.
Ini menyebabkan pihak PAS tidak berpuashati, kerana Speaker pun tidak mematuhi peraturan Dewan yang dikatakan mulia itu.
Inilah yang hendak diterangkan kepada rakyat Terengganu melalui majlis ceramah di Batu Enam itu.
Sebelum ini, isu perobohan Masjid RTB Bujal di Kijal, Kemaman menjadi isu panas.
PAS mengadakan majlis ceramah untuk menerangkan apa yang berlaku. Namun, semuanya berkesudahan dengan gas pemedih mata, air berasid dan cotar dari FRU.
"Nampaknya, Umno tidak boleh berlawan hujjah lagi dengan PAS, lalu mereka gunakan polis untuk menyekat hujjah PAS," kata seorang pemerhati politik.
-ZS
Posted at 01:17 pm by infojiboi
Permalink
Umno adalah imperialis yang semakin menjajah kampus
Umno adalah imperialis yang semakin menjajah kampus
Bukanlah kejutan bagi saya kisah pemecatan dua orang pensyarah UUM, Dr Azly Abdul Rahman dan Dr Mutiara Mohamad kerana keengganan mereka untuk menandatangani surat Akujanji Universiti. Akujanji bagi saya adalah kata dua penjajah (penjarah?) – Umno, kepada komuniti yang dijajahnya – dalam konteks ini adalah komuniti kampus, TERIMA ATAU PERANG! Menerima doktrin Umno di kampus atau bersedia untuk diperangi, kedua-dua pensyarah ini telah dengan berani mengambil pilihan kedua, dan natijahnya mereka dibuang!
Ini bukanlah kes terpencil atau berlaku atas sifat domestik UUM itu sahaja. Umno mempunyai perancangan teratur dan menyeluruh dalam melebarkan dasar imperialisme tidak sah atau penjajahannya di kampus-kampus IPTA di seluruh negara.
Pada 27 Julai 2005 yang lalu, satu mesyuarat yang melibatkan pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar dari semua IPTA telah diadakan di PWTC. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Mustapha Mohamed dan Adam Baba. Agenda utama mesyuarat ini adalah untuk membincangkan Strategi Pilihanraya Kampus yang akan diadakan pada September nanti.
Antara yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah, Umno melalui sayap Puterinya akan melatih calon-calon mahasiswi yang pro Umno dan Barisan Nasional pada 5 hingga 7 Ogos 2005 yang lepas, yang pada asalnya diputuskan untuk dibuat di A Famosa Resort, Melaka tetapi telah dipindahkan ke Hotel De Palma, Ampang. Sementara itu, untuk calon-calon mahasiswa yang pro Umno dan Barisan Nasional pula, tugas untuk melatih mereka telah diberikan kepada Pemuda Umno Selangor, yang dijadualkan diadakan pada 19 hingga 21 Ogos 2005, bertempat di IBBN, Selangor.
Perkara lain yang turut diputuskan adalah belanjawan untuk memenangkan calon-calon pro Umno dan Barisan Nasional dalam pilihanraya kampus kali ini adalah sebanyak RM 360,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus Enam Puluh Ribu). Umno juga telah secara senyap-senyap menubuhkan kelab-kelab Umno di IPTA tempatan yang dikenali sebagai Majlis Umno, antaranya di UIA, UTM, UKM dan UM. Umno Bahagian Puchong telah ditugaskan untuk “menjaga” UPM sementara Umno Bahagian Serdang pula “menjaga” UKM.
Dalam mesyuarat ini juga, fellow-fellow kolej kediaman di IPTA tempatan telah diberi amaran supaya memastikan kemenangan calon-calon pilihanraya kampus yang pro Umno dan Barisan Nasional, jika tidak hayat mereka sebagai fellow akan ditamatkan. Praktis-praktis sebelum ini dalam pilihanraya kampus juga telah dibentangkan, antaranya dari sebuah kolej kediaman di UKM yang memperkenalkan penggunaan nombor siri pada kertas undi dan ceraiannya yang disimpan oleh pihak pentadbiran. Sasarannya adalah mahasiswa-mahasiswi Tahun 1 yang diugut supaya mengundi calon-calon yang pro Umno dan Barisan Nasional, jika tidak keistimewaan mereka sebagai penghuni kolej kediaman tidak akan dipanjangkan, dan mereka perlu mencari rumah sewa bila memasuki tahun kedua pengajian.
Seterusnya, mesyuarat ini mengaku ada kerisauan jika strategi ini bocor dan diketahui oleh pihak lain, ia boleh mengakibatkan berlakunya boikot pilihanraya oleh pihak-pihak yang bukan pro Umno dan Barisan Nasional, dengan kata lain calon-calon yang pro pembangkang. Untuk ini, satu langkah “damage control” telah difikirkan. Andaikata pemboikotan benar-benar berlaku, calon-calon yang pro Umno dan Barisan Nasional akan bertanding sesama sendiri, supaya nanti demokrasi dilihat tidak terganggu di kampus-kampus.
Mesyuarat ini tidak habis di sini sahaja, pada 8 Ogos 2005, jam 8.00 hingga 11.00 malam, bertempat di tingkat 38, juga di PWTC, mesyuarat kali kedua telah diadakan. Agenda hangat kali ini adalah berkenaan Anwar Ibrahim.
Laporan menyebut bahawa mereka telah mengenal pasti 15 – 16 orang mahasiswa hadir dalam program Pidato Kemerdekaan anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) yang mengemukakan Anwar Ibrahim sebagai pemidato utamanya. Antara mereka ada yang telah dikenal nama dan jawatannya, dan pihak pentadbiran IPTA diminta mengambil tindakan terhadap mahasiswa-mahasiswa ini, tentulah berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
(Inilah Umno yang ingat IPTA milik mak bapak mereka. Tidakkah mereka merasa sedikit malu dan bersalah, dalam pada mereka membincangkan tentang sekumpulan mahasiswa yang “kononnya” melanggar AUKU, mereka sendiri sedang bermesyuarat dan telah bermesyuarat membincangkan strategi-strategi yang jelas melanggar dan merobek AUKU – Undang-undang ciptaan mereka sendiri dan diluluskan oleh ahli-ahli parlimen mereka)
Dalam mesyuarat kedua ini, pihak pentadbiran IPTA juga diingatkan tentang kewujudan apa yang disebut sebagai GMB (Gerakan Mahasiswa Bersatu), yang didakwa sebagai sebuah gerakan politik mahasiswa baru yang wujud di kampus-kampus mewakili kepentingan politik Parti Keadilan Rakyat, Barisan Alternatif dan Anwar Ibrahim sendiri. Mereka merujuk kepada program Anwar di Sungai Dua, di situ Anwar menyebut tentang GMB, tentang rasuah dan universiti yang tidak liberal, serta keperluan GMB untuk menonjolkan diri sebagai berani, adil dan bersatu.
Mesyuarat juga memberi amaran sekali lagi kepada para pengetua dan kolej kediaman supaya memastikan membantu sepenuhnya calon-calon pro Umno dan Barisan Nasional dalam pilihanraya kampus akan datang, jika tidak mereka akan dipecat.
Seterusnya mesyuarat turut merekodkan beberapa laporan aktiviti yang telah dijalankan berkaitan dengan strategi pilihanraya kampus ini:
1. Dalam perjumpaan dengan fellow-fellow kolej kediaman, 71 orang telah balik awal.
2. Dalam perjumpaan dengan pengetua-pengetua kolej kediaman, UPSI dan UIA telah tidak menghantar wakil.
3. Latihan untuk calon mahasiswi oleh Puteri Umno di Hotel De Palma cuma dihadiri oleh 140 orang berbanding 300 orang yang dipanggil. Untuk pecahan yang lebih spesifik, dari 40 orang mahasiswi yang dipanggil dari UIA, cuma 9 orang yang hadir.
Ada beberapa perkara lagi yang dibincangkan dalam mesyuarat ini tetapi saya rasa ia tidak relevan dalam konteks penulisan ini. Yang jelas dan pasti, saya amat sedih dengan sikap telunjuk lurus kelingking berkait Umno dan Barisan Nasional ini. Yang saya sangat gembira adalah respon negatif di kalangan majoriti mahasiswa dan pegawai IPTA terhadap sikap kemaruk Umno dan Barisan Nasional ingin menguasai kampus ini.
Kalau benar mereka yang hadir dalam Pidato Kemerdekaan Anwar Ibrahim anjuran IKD ingin diambil tindakan di bawah AUKU, maka 140 orang mahasiswi itu juga sedang melakukan kesalahan yang sama. Jika tidak, saya mahu katakan bahawa ini adalah perlawanan berat sebelah. Umno dan Barisan Nasional sedang menghina AUKU ciptaan mereka sendiri. Jika Umno dan Barisan Nasional juga merasakan bahawa AUKU turut mengikat mereka sehingga mereka terpaksa melakukan “operasi bawah tanah” dan menyalahguna kuasa yang diamanahkan kepada mereka maka hari ini saya mendesak supaya IPTA dibebaskan dari belenggu AUKU, biar kita sama-sama turun gelanggang dalam cerah, kita bersaing atas nama anak jantan, mahasiswa dan mahasiswi adalah intelek muda pewaris negara, pemikiran mereka bukan mudah diperkotak-katikkan, lalu nanti kita sama-sama lihat suara-suara intelek muda ini berpihak pada siapa?
Apakah Umno takut kalah dalam cerah?
:.Zukri Aksah
Posted at 09:53 am by infojiboi
Permalink
TIPS : Perlindungan Dari Gas Pemedih Mata
TIPS : Perlindungan Dari Gas Pemedih Mata
Sering orang awam, kanak-kanak, ibu mengandung, orang tua, orang kurang upaya terperangkap apabila gas pemedih mata ditembak bertujuan untuk meleraikan perhimpunan.
Berikut ialah beberapa panduan kepada mereka yang tidak bersalah ini untuk menyelamatkan diri dalam situasi ini.
Sumber rujukan http://www.starcalliance.org/teargas.html
SEBELUM GAS PEMEDIH MATA DILEPASKAN
Sekiranya anda nampak pihak keselamatan mula mengenakan topeng muka, bermakna gas pemedih mata akan dilepaskan.
Sekiranya anda memakai kanta pelekap (contact lense) tanggalkannya dengan segera, jangan gunakan kanta pelekap ini walaupun keadaan telah reda.
Pakai cermin renang (swimming goggle) sekiranya ada.
Tutup mulut dan hidung rapat dengan kain yang dibasahkan dengan air kosong (sebaiknya dibasahkan dengan air limau).
Sekiranya anda ada baju hujan, maka pakai baju dan seluar hujan dengan kemas serta tutup kepala anda dengan baju hujan yang ada penutup kepala.
Jangan gunakan losyen atau minyak sebagai pelindung kulit kerana ini akan lebih memburukkan keadaan kerana losyen dan minyak akan memerangkap kimia gas pemedih mata pada kulit anda.
KETIKA GAS PEMEDIH MATA DILEPASKAN
Cuba bertenang , Jangan Panik ! Jika anda panik suhu badan anda akan meningkat dan akan lebih memedihkan lagi mata dan kulit anda.
Cuba bergerak keluar dari asap gas pemedih mata.
Jangan sentuh muka dan mata anda dengan tangan.
Hembus hidung, dan ludahkan keluar kimia yang terdapat dalam gas pemedih mata.
Jangan sentuh tin gas pemedih mata yang dilepaskan, ianya panas. Sekiranya anda dapati ibu mengandung atau kanak-kanak berada di kawasan tersebut, gunakan sarung tangan kulit untuk mencampakkan tin gas pemedih mata tersebut ke kawasan yang tiada orang (JANGAN campakkan tin gas pemedih mata tersebut ke arah pasukan keselamatan).
RAWATAN
Cuci muka, mata dan bahagian badan yang terkena gas pemedih mata dengan air yang banyak.
JANGAN gunakan sabun.
Salin pakaian yang bersih.
Posted at 09:35 am by infojiboi
Permalink
Iron Lady kembali bersuara pasal AP… ‘Saya berpegang kepada kebenaran’
Iron Lady kembali bersuara pasal AP… ‘Saya berpegang kepada kebenaran’
Isu AP terus ‘menghantui’ Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz.
Sekalipun digam oleh kabinet baru-baru ini dari membuat sebarang kenyataan mengenainya,Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia itu nampaknya seperti ada 'lesen besar' mengunakan pentas politik pergerakan yang dipimpinnya untuk meluahkan perasaan.
Rafidah menyentuh hal AP semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama anggota wanita Umno Kedah di Alor Star Ahad.
Sejak isu AP menjadi hangat berikutan kenyataan terbuka bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenainya,Wanita UMNO menyepi dan tidak menyertai sebarang kritikan terhadap Rafidah.
Apa yang digambarkannya di majlis itu ialah beliau tidak ada melakukan apa-apa kesalahan dalam menangani urusan AP.
"Saya tidak ambil kisah apa yang akhbar nak tulis dan apa juga orang nak kata tentang isu ini kerana dalam politik kita harus bersedia tempuhi semua ini, lagi pun apa yang saya buat berdasarkan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya," katanya.
Serentak dengan itu Rafidah menganggap laporan media dan pandangan negatif terhadap beliau berikutan isu Permit Import (AP), adalah "asam garam" politik yang harus ditempuhnya.
"Saya bukan orang baru dalam politik, masuk Umno sudah 40 tahun dan 30 tahun menganggotai Majlis Tertinggi Umno, umur saya kini 62 tahun dan menyertai Umno ketika berusia 22 tahun," katanya.
Katanya beliau tetap yakin dan selesa walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya kerana berpegang kepada kebenaran.
Rafidah yang juga Ketua Wanita Umno berkata, pengalamannya yang lama dalam politik membuatkan beliau perlu menerima segala tohmahan dan kritikan dengan tenang kerana tanpa sebarang alasan untuk membuatkan beliau terganggu.
Katanya beliau tidak akan aktif dalam politik jika gentar menghadapi situasi seperti ini, umpamakan ungkapan peribahasa "jangan berumah di tepi pantai jika takut dilambung ombak".
"Kita bukan berhadapan dengan masalah AP, banyak lagi masalah yang harus ditangani dan difikirkan seperti masalah masa depan negara, masalah bagaimana untuk menghadapi pilihan raya," katanya.
Menurut Rafidah, selagi ada hayatnya beliau tidak akan lari daripada "sumpah" terhadap tanggungjawab sebagai anggota kerajaan dan anggota parti yang telah diamanahkan kepada beliau.
Posted at 09:29 am by infojiboi
Permalink
Isu Mawi ke Kelantan: Tok Guru MB Kelantan beri penjelasan
Isu Mawi ke Kelantan: Tok Guru MB Kelantan beri penjelasan
Walaupun telah banyak penjelasan diberikan namun ramai yang masih tidak berpuas hati. Ada yang pertikaikan, ada yang berhujah tidak syarie, ada yang kata jahiliyah dan berbagai lagi reaksi yang negatif dan tidak membina sama-sekali. Walaupun Harakah keluaran terbaru telah memuatkan penjelasan ahli EXCO PAS yang juga Naib Presiden parti Hj Husam Musa, kalau yang tak puas hati masih akan tetap tidak berpuas hati juga.
Sebentar tadi Tok Guru Mursyidul Am yang juga MB Kelantan yang bertanggungjawab memberikan lampu hijau kepada konsert yang dimaksdukan telah menyentuh isu ini dalam ceramah beliau.
PAS Kawasan Hulu Langat telah mengundang beliau ke Taman Melewar sebentar tadi dan dalam majlis tersebut Tok Guru telah mengambil peluang untuk melurutkan kekusutan didada mereka yang masih kusut dan berserabut, mudah-mudahan berpuas hatilah hendaknya.
Kata Tok Guru sebagaimana yang pernah saya coretkan dalam BLOG ini sepatutnya tidak timbul sebarang masalah (dalam mengundang Mawi) kerana ini bukanlah kali pertama kerajaan negeri mengundang seorang penyanyi. Akil Hayy seorang bekas penyanyi rock pernah diundang, Ito seorang rocker pernah diundang, oleh itu apa bezanya apabila kerajaan negeri mengundang seorang lagi penyanyi iaitu Mawi.
Beliau menambah yang kerajaan negeri undang adalah Mawi bukan Akademi Fantasianya. Kesalahan Mawi hanyalah kerana beliau menyertai AF, dan kerajaan negeri pun tidaklah berminat pada AF, hanya Mawi sahaja.
Tambah beliau lagi sebagai sebuah kerajaan negeri yang berlandaskan Islam, tugas beliau dan pimpinan negeri adalah untuk menapis dan meneliti apa sahaja yang penting untuk Islam.
Malah kata Tok Guru istilah menyanyi itu sendiri sepatutnya tidak dihadkan dengan menyanyi yang kita dengar dan ikuti hari ini. Sesungguhnya nasyid dan marhaban itu juga menyanyilah asalnya. Di zaman Rasulullah saw dahulu, terlalu ramai mereka dizaman itu yang telah mempersembahkan syair di hadapan baginda, antara yang terkenal adalah Hassan bin Tsabit. Bersyair itu kata Tok Guru menyanyilah juga hakikatnya.
Tok Guru menjelaskan lagi bahawa dipasaran hari ini terdapat terlalu ramai penyanyi yang boleh dipilih, namun tidak diundang ke Kelantan kerana perangai dan gaya serta persembahan mereka tidak menonjolkan imej Islam.
Beliau turut menyentuh persembahan dikir barat dan wayang kulit yang asalnya telah diharamkan oleh kelrajaan PAS. Walaubagaimanapun setelah terdapat versi yang baru yang mengandungi mesej dan unsur Islam, maka larangan terhadapnya telah ditarik balik.
dalam ucapannya Tok Guru turut menasihatkan orang-ramai khususnya mereka yang mencintai Islam agar jangan cepat melenting dan bersikap negatif dalam hal ini.
Tok Guru tidak ketinggalan mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno yang mengatakan kerajaan PAS Kelantan berada dalam siatuasi tertekan, kata Tok Guru PAS tidak pernah merasa dirinya tertekan di Kelantan. Insyallah katanya Islam bila dipantau oleh alim-ulamak dengan sendirinya ia akan menjadi selamat.
Tok Guru turut menafikan kononnya kerajaan negeri turut berhasrat mengundang Siti Nurhaliza ke Kelantan sebagaimana yang didakwa Hishamuddin. Jangankan penyanyi perempuan, qariah di Kelantan pun sekadar dibenarkan membaca al quran secara tartil sahaja dan tidak secara taranum (berlagu).
Mudah-mudahan penjelasan Tok Guru ini akan segera menamatkan polemik Mawi ke Kelantan ini. Kita doakan sahajalah ianya berjaya dan kelak akan dapat menambat hati anak-anak muda untuk dekat dan akhirnya bersama-sama mendokong dan menyokong perjuangan Islam insyallah.
Posted at 09:23 am by infojiboi
Permalink
Saturday, August 27, 2005
Ekonomi Asia sedia hadapi kenaikan minyak
Ekonomi Asia sedia hadapi kenaikan minyak
Ekonomi Asia yang digerakkan oleh minyak terkesan dengan harga minyak 70 dolar setong
(AFP) – Ekonomi negara-negara Asia yang menyedut minyak sedang bersiap sedia menghadapi keadaan genting dengan ancaman kenaikan harga minyak mencecah 70 dolar setong, membangkitkan kebimbangan pertumbuhan yang lembab, peningkatan inflasi dan kenaikan kadar bunga.
Harga minyak mencanak ke tahap tertinggi dengan harga 67.10 dolar setong pada 12 Ogos, dan sejak ia ditahan pada 64 dolar, para analis berkata harga masih tidak menentu disebabkan permintaan yang tinggi dan bekalan yang terhad.
Akibat dari kenaikan harga minyak berbeza dari setiap rantau, dengan ekonomi yang kuat seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura dijangka mampu menghadapinya berbanding negara-negara yang miskin di Asia Tenggara dan Asia Selatan.
Presiden Filipina Gloria Arroyo telah mengarahkan langkah-langkah drastik bagi menjimatkan tenaga, termasuk mengurangkan bilangan kenderaan dalam konvoi kereta rombongannya. Manila tahun lepas membelanjakan 4.57 bilion dolar bagi import minyaknya.
"Jika kita tidak berjimat, kita akan sampai ke tahap dimana bil minyak negara akan mengancam simpanan tukaran asing," kata Setiausaha Tenaga Filipina, Raphael Lotilla.
Setiausaha Perancang Ekonomi Augusto Santos berkata keluaran domestik negara kasar (KDNK) tahun ini akan tumbuh sebanyak 5.1 peratus dan bukan 5.3 peratus, jika minyak tetap antara 60 dan 70 dolar, sementara inflasi dalam lingkungan 5.7 ke 8.1 peratus.
Bagi Thailand, kenaikan harga minyak akan mengurangkan keuntungan korporat kerana pengguna akan mengikat perut, menurut ketua penyelidikan Macquarie Securities, Andrew Stotz.
Lain-lain penganalisa berkata ekonomi akan terjejas dari inflasi yang tinggi, pertumbuhan KDNK yang lembab dan akaun semasa yang lebih lebar dan ketidakseimbangan perdagangan.
Malah di Malaysia, sebuah negara pengeluar minyak, mengikut penganalisa, Indeks Komposit Kuala Lumpur akan jatuh bawah 900 mata, tahap psikologi, jika harga sampai 70 dolar setong.
Pusat kajian Malaysia yang ternama pada bulan lalu telah mengurangkan ramalan pertumbuhan KDNK negara tersebut bagi 2005 ke 5.1 peratus dari 5.4 peratus.
Singapura, ekonomi Asia Tenggara yang paling ke depan, tidak menjangka harga minyak yang tinggi melembabkan ekonominya.
Ekonomi negara-negara Asia Selatan akan terjejas dari harga minyak 70 dolar.
Penganalisa di Pakistan memberi amaran bahawa inflasi akan bertambah dari anggaran kerajaan setinggi 8.0 peratus tahun ini.
"Mereka yang akan terjejas teruk adalah kumpulan berpendapatan tetap, kelas pertengahan dan golongan miskin," kata ahli ekonomi Shahid Hasan Siddiqui, yang mengetuai
Research Institute of Islamic Banking and Finance.
Bangladesh, yang bil minyaknya berjumlah 1.5 bilion dolar pada tahun kewangan berakhir 30 Jun, harga yang telah melonjak naik sudah menyebabkan ketegangan pada pembayaran imbangan negara tersebut. Inflasi mencecah 10 peratus.
Purata inflasi tahunan Sri Lanka melompat ke 12.7 peratus bulan ini, naik dari 4.3 peratus setahun sebelum itu, sebab utama ialah harga minyak yang tinggi, kata bank pusat.
Vajira Premawardhana, Pengarah Eksekutif LOLC Securities, berkata kerajaan mungkin cuba menetapkan harga runcit secara paksa kerana pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi.
Tetapi ahli ekonomi Harsha de Silva berkata ia agak sukar.
"Siapa yang akan bayar makan percuma? Salah satu terpaksa dikorbankan, sama ada kadar pertukaran atau inflasi," kata de Silva.
Ekonomi negara-negara Asia Timur Laut yang lebih kukuh, dilihat lebih mampu menghadapi keadaan ini.
Penganalisa di Korea Selatan berkata impak minyak 70 dolar pada pasaran stok minyak dan ekonomi yang lebih lebar adalah terhad.
"Kesan harga minyak yang tinggi pada ekonomi adalah kecil berbanding di masa lalu kerana kedua-dua ekonomi global dan domestik sudah biasa dengan harga minyak yang tinggi," kata Shin Min-Yong dari LG Economic Research
Institute.
"Tetapi harga minyak yang tinggi boleh mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran stok dan bond, dan itu boleh menjejaskan ekonomi sebenar."
Penganalisa berkata pasaran stok Jepun akan melihat setinggi mana harga minyak akan terkesan pada Amerika.
"Jika harga minyak yang tinggi bertindak melembabkan ekonomi Amerika dan mengikat perbelanjaan orang ramai, pasaran stok Jepun akan terkesan darinya," kata Ryuta Otsuka, ahli strategis di Tokyo Securities.
Jepun membelanjakan 55 bilion dolar untuk import minyak, tahun lepas.
Penganalisa di China berkata impak harga minyak yang tinggi pada pasaran stok adalah bercampur-campur.
"Peniaga akan menyalurkan kos tambahan kepada pengguna. Tetapi barangan yang menggunakan tenaga seperti kereta hanya menyumbang sebahagian kecil dalam bakul pengguna, dengan itu kesan pada perbelanjaan pengguna adalah terhad,” kata Niu Li dari Pusat Maklumat Negara, kumpulan pemikir kerajaan.
Bagi Taiwan, harga minyak 70 dolar akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan memarakkan lagi inflasi, kata Norman Yin, profesor di National Chengchi University.
"Jika trend menaik harga minyak berterusan, kesannya ke atas ekonomi akan dirasa khususnya dalam tempoh suku ketiga," kata Yin.
Posted at 10:34 pm by infojiboi
Permalink
Peringatan buat Polis dan Kerajaan Terengganu.
Peringatan buat Polis dan Kerajaan Terengganu.
Petang ini (malam di Malaysia) untuk pertama kalinya aku menyaksikan sendiri kekejaan polis dalam mentaati perintah pemimpinnya sekali lagi berjaya mempamerkan sifat anjing mereka dalam melayan rakyat Malaysia berbangsa melayu dan beragama Islam. Sebelum ni aku tak pernah berkesempatan menyaksikan secara live kekejaman mereka ini, apa lagi menghadirkan diri. Sebenarnya aku malu memberi alasan jarak dan keadaan jadi penghalang. Namun itulah hakikatnya buat masa skrg.
Petang ini seperti biasa aku cuba mengikuti program ceramah isu semasa anjuran Parti Islam Semalaysia (pas) terus dari internet TV dari satu web Pas. Kalau sebelum ni aku cuma bleh tgk gambar2 dan clip lama2. Kali ni aku bleh ikuti sendiri dari jauh bagaimana pejuang2 Islam dilayan "mesra" oleh angkatan Kepala Merah.
Majlis ceramah yang dibuat dalam Masjid Taqwa Batu Enam itu tergugat ketenangannya apabila tiba2 jerebu buatan 'manusia' kepala merah atas arahan kerajaan Bumi Biru Derih Jusoh! Kehadiran jerebu yang mencecah tahap API darurat apabila sekurang2nya seorang dari hadirin yang hadir rebah tidak sedarkan diri manakala beratus2 lagi terpaksa bersesak nafas. Nafas mereka sesak, dada mereka sebak, mata mereka berair, hati mereka berdarah namun iman mereka tetap tabah..!!
Sungguh sabar dan berdisiplin pejuang islam bawah pas ni.. dah kena serang dengan bom pemedih mata amcam tu pon.. dalam masjid pulak tu.. takde seorang pon yang cuba bertindak kurang ajar walaupon sekadar membaling selipar kearah jentera 'kepala merah' itu. Selagi pimpinan belum mengeluarkan arahan, mereka tetap patuh pada pemimpin mereka dengan penuh disiplin.
Apa yang terfikir difikiran aku waktu tu ialah.. andai kata pejuang islam bawah pas ni macam sesetengah pejuang2 dinegara lain.contohnya Indonesia, Selatan Thai dll.. pastinya sudah lama 'kepala2 merah' itu bertambah merahnya dengan darah..!!! Mereka tetap patuh dan bersabar bersama pimpinan mereka yang masa tu Tuan Guru Haji abdul Hadi juga ada masa tu.. sabar sungguh..
Sekaligus aku pelik untuk keberapa kali lagi dengan tomahan pihak kerajaan yg selalu mengatakan pejuang Pas adalah pemberontak.. brutal.. mengancam keselamatan dan sebagainya..
Apa yang membimbangkan aku (walaupon kadang2 mengharap) adalah.. andai kata tahap kesabaran mereka2 yang kini boleh diibaratkan bom jangka yang sedang dihangat dan terus dipanaskan dengan api kezaliman..dan kini diketuk2 dengan tukul penindasan...aku bimbang bom ni akan meletop.. akan meledak mencederakan apa saja yg ada sekililingnya...
Ingat kerajaan Malaysia... Hati2 kerajaan Terengganu.. Jaga2 mung Derih Jusoh..!! kami tahu semua kezaliman tu adalah bagi memerangkap kami..kami tahu semua tu permainan kamu untuk mencari jalan supaya parti kami boleh diharamkan dari bumi Malaysia... Tapi janganlah permainan politik mung tu sampai meruntuhkan tahap kesedaran dan sesabaran kami yang pastinya akan merugikan kamu dan tanah air kita sendiri.
Orang cakap pasal merdeka.. mung cakap pasal merdeka.. mintak rakyat bangga dengan kemerdekaan yg kita perolehi 40 tahun lebih dulu... Tapi dalam masa yang sama kamu jajah fikiran dan tubuh badan kami rakyat Malaysia... tak puas bebankan dengan kenaikan harga barang.. tak puas dengan menghalang keluar permit ceramah... kamu guna kekerasan.. hingga tahap tak menghina rumah Allah.. merobohkan baituLlah.. ingatlah... kalaupon bom kemarah rakyat tidak meletop.. walaupon kami tak bertindak balas terhadap tindakan2 kasar dan biadab mung tuuu.. suatu masa nanti akan tiba masanya kamu terima pembalasan di depan Allah taala di akhirat kelak.. kamu beriman dengan hari akhirat..???
Buat pejuang2 islam ditanah air yg tercinta... teruskan perjuangan.. jangan mudah lemah.. perkuatkan lagi jemaah... banyakkan perbincangan dengan tuan2 guru kita.. berjuanglah dengan bersistem.. percayalah perjuangan kita yg berlandaskan Al-Quran dan Sunnah serta ulama sebagai kepimpinan sentiasa dibawah lindungan dan bantuan Allah.. Usahlah kamu bertanya bila tibanya kemenangan.. kerana kemenangan itu telah hampir.. walaupon pilihan raya beberapa tahun lagi... kemenangan tak semestinya melalui satu jalan... juga ingatlah.. Kebenaran tanpa perancangan yg baik boleh dikalahkan oleh kejahatan yg bersistem..
Aku dan sahabat2 diseluruh bumi Allah ini sentiasa mengiringi perjuangan mu... disana mata kamu pedih oleh gas beracun... disini kami mata kami juga turut pedih dan berair merasai kereritan perjuangan mu disana.. perjuangan mesti diteruskan.. hingga kita benar2 mencapai kemerdekaan yang hakiki.. sehingga islam itu berada ditempat yg sepatutnya.. jiwa kita takkan merdeka selagi bumi Malaysia tak tertegak hukum Allah...
Untuk itu berkorbanlah sahabat2ku.. biarpon terpaksa melupakan Mawi yg di-ikon kan.. biarpon hati muda kita tak boleh melepak di karoke lagi.. biarpon andai suatu hari nanti tiada lagi konsert2 yg muda mudi pas juga ada join...walaupon suatu hari nanti yang ber'couple2' takleh 'ngerek' dan jalan dua2 lagi... relakanlah demi islam tercinta...
Merdekalah wahai umat islam.. merdekalah wahai pasukan KEPALA MERAH. hentilah pengabdian kamu terhadap taghut... hentikanlah...
Sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi maha pengampun."
Posted at 09:51 pm by infojiboi
Permalink
Apa erti merdeka kalau ekonomi masih dijajah
Apa erti merdeka kalau ekonomi masih dijajah
Saudara Pengarang, SEKALI lagi seperti tahun-tahun yang sudah, sambutan Hari Kemerdekaan datang lagi pada 31 Ogos ini. Di mana-mana bendera negara dikibarkan dengan megah, ada yang besar, ada yang panjang, terpanjang, terbesar, kecil, terkecil dan pelbagai lagi rupa bentuk.
Tetapi adakah ini benar-benar merupakan erti kemerdekaan bagi negara ini. Personaliti yang dikatakan menyumbang khusus kepada kemerdekaan negara secara retorik diulang-ulang dan dilaungkan nama mereka saban hari menjelang hari dan tarikh bertuah 31 Ogos setiap tahun.
Pada realitinya adakah benar-benar rakyat negara ini khususnya orang Melayu telah merdeka sepenuhnya? Inilah persoalannya yang berlegar dan bermain di benak kepala saya, seorang bekas tentera yang akan menjangkau usia emas tidak lama lagi.
Adakah pengorbanan saya kepada negara dan rakan-rakan yang telah gugur bergelimpangan demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara ini berbaloi. Jawapannya saya rasa TIDAK.
Nama-nama pahlawan negara yang telah pergi kerana berjuang dan ada segelintir yang masih hidup terus lenyap. Lenyap ditelan masa dan dilupakan.
Nama yang kerap diulang-ulang tayang dan dikenang sepanjang zaman hanyalah politikus sahaja, yang dikenang digembar-gemburkan dan bermacam-macam lagi seolah-olah mereka inilah sahaja hero merdeka. Bukan saya dengki tetapi inilah realiti hidup di negara bertuah ini.
Nasib bekas-bekas tentera amat malang sekali kalau dinilai, diteliti dan diperinci sumbangan mereka kepada kemerdekaan negara ini. Jangan mimpilah kalau bekas tentera itu boleh dapat AP, permit itu dan ini, anugerah tanah, lesen balak, projek berbilion ringgit dan sebagainya.
Dulu dapat juga tanah Felda 10 ekar seorang, sekarang tunggu sahajalah tanah kekal enam kaki kali empat kaki dan dalam tujuh kaki, itu sahajalah bahagian yang tinggal. Lainnya jadi impian kosong sahaja.
Dari segi ekonomi pula negara ini didominasi oleh satu kaum sahaja yang telah mewujudkan kartel dan blok dengan tidak secara langsung disebabkan oleh sistem pentadbiran negara yang mempermudahkan perkara ini berlaku.
Bagi saya politikus telah gagal untuk mengawal ketidakseimbangan ini. Apa erti merdeka kalau kita rakyat terbanyak masih ditekan, ditindih, dipinggir, dikesampingkan dan mereka mengaut segala-galanya, ini menunjukkan kita kaum yang bodoh, lemah, tidak berkuasa... inilah realitinya.
Apakah Perlembagaan dibuat oleh mendiang Lord Reed itu tidak boleh dipinda, diubahsuai untuk mengubah keadaan, untuk kebaikan, kemakmuran dan kesejahteraan orang Melayu sejagat demi menjaga anak cucu Melayu akan datang yang merdeka dan berdaulat.
Bagi saya Lord Reed sepatutnya tinggal nama sahaja sebab negara-negara Komanwel lain yang telah merdeka daripada British telah pun melupakan buku perlembagaan nukilan beliau dan meminda buku ini mengikut cita rasa semasa, lihatlah Pakistan dan India sebagai contoh.
Apakah askar akan terus mati katak dan Melayu tetap tidak merdeka dari segi ekonomi? Insya-Allah nasib kaum Melayu di Malaysia ini akan bangkit menuju kemerdekaan yang sebenar, menyeluruh dan berwibawa dengan adanya pucuk pimpinan yang berdedikasi, berintegriti dan amanah yang harus disokong, didukung aspirasi dan wawasan mereka.
LT. KOL. (B) JALIL ITHNIN,
TUDM, Ampang, Selangor.
Posted at 09:46 pm by infojiboi
Permalink
Tuan Guru Presiden ditembak gas pemedih mata
Tuan Guru Presiden ditembak gas pemedih mata
26 Ogos 2005, 10.30 pm- YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang antara penceramah yang dijadualkan mengulas perkembangan terkini mengenai sidang DUN Terengganu di Masjid Pekan Batu Enam malam ini turut terkena semburan gas pemedih mata yang dilepaskan anjing-anjing kerajaan sebentar tadi.
Ceramah dimulakan oleh YB Hj Wahid Endut sempat menyentuh isu perobohan Masjid Bujal tanpa alasan kukuh oleh kerajaan negeri. Hujah-hujah wakil rakyat PAS tidak dapat dijawab kemas oleh ahli DUN kerajaan menyebabkan mereka bertindak mengarahkan sebarang maklumat daripada sidang kali ini tidak dapat disampaikan kepada rakyat.
Ketika penceramah kedua, YB Dato' Hj. Harun Taib baru memulakan ceramah beliau kira-kira 3 minit, FRU telah mengambil tindakan melemparkan gas pemedih mata ke dalam masjid menyebabkan orang ramai bertempiaran mencari tempat selamat. Turut menjadi mangsa ialah bayi yang baru berumur kira-kira 3 bulan. Wanita dan orang tua yang tidak sempat melarikan diri kelihatan terhoyong hayang menutup mata dan hidung kerana tidak tahan dengan asap yang dilepaskan.
Kira-kira 5,000 yang hadir untuk mendengar ulasan terkini sidang DUN Terengganu kali ini ternyata terlalu kecewa dengan tindakan paling ganas FRU dalam sejarah Negeri Terengganu. Berpuluh-puluh malah mungkin beratus gas pemedih mata dilepaskan di luar dan di dalam masjid menyebabkan rumah sekitar masjid juga turut menjadi mangsa.
Suasana pekan Batu Enam terutama sekitar masjid seolah-olah 'diserang' oleh pengganas-pengganas tidak berhati perut. Pihak FRU langsung tidak memikirkan keselamatan anak-anak kecil dan orang-orang tua di dalam rumah sekitar. Malah lebih malang, mereka langsung tidak menghormati Rumah Allah, tempat hamba-hamba-Nya sujud.
Apa yang berlaku ini semakin menunjukkan bahawa UMNO dan BN sememangnya sudah tidak lagi menghormati hak-hak rakyat untuk berhimpun sepertimana termaktub dalam perlembagaan. Mungkin inilah caranya Allah ingin membuktikan kepada rakyat Terengganu bahawa kerajaan yang berkuasa sekarang amat zalim dan wajib ditukar.
Posted at 09:43 pm by infojiboi
Permalink
|
|
|