|
|
Tuesday, August 30, 2005
XPDC Dakwah Anak Merdeka 2005
XPDC Dakwah Anak Merdeka 2005
Kenyataan Media DPPWP
Assalamualaikum w.w
Pertama-tamanya Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara kali ke-48 kepada seluruh warga masyarakat Malaysia. Pelbagai bentuk dan ragam sambutan telah terpamer dipersekitaran harian kita.
Pelbagai tafsiran menerjah arus pemikiran rakyat semasa, sekaligus mengoda kita menyelami hasrat pengalaman suka duka kenangan pejuang silam. Atas usaha gigih mereka kita pamerkan rasa kecintaan dan terima kasih. Jasa bakti mereka menaburi segenap ruang kejayaan negara wangsa masa kini.
Dikesempatan ini juga, DPPWP ingin menzahir seruan kepada seluruh anak bangsa merdeka untuk kembali menobatkan diri sebagai pencinta keamanan dan kemakmuran yang sejati. Menerokai hasrat itu, DPPWP sebagai pasukan belia warga kota metropolitan ini berasa terpanggil untuk turun meraikan sambutan meriah hari kemerdekaan, khususnya menjelang detik keramat, pukul 12 tengah malam 31 Ogos.
InsyaAllah DPPWP akan memimpin para belia menelusuri keheningan kota metropolitan ini bagi membasmi masalah sosial yang diwariskan setelah detik 12 malam berlalu. Pengalaman lepas, kita banyak diajukan sketsa panas di kedinginan malam akibat noda anak merdeka yang tanpa segan silu bercengkerama dibawah silau sang rembulan.
Bukan setakat pusat hiburan atau dataran tempat mereka bercanda, kami dimaklumkan bahawa tasik-tasik rekreasi, masjid KLCC juga menjadi sarang tumpuan kemaksiatan ini. Atas dasar itulah DPPWP dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, akan melancarkan gerakan khas bagi membuat pemerhatian, pemantauan dan juga pencegahan awal agar virus kemaksiatan dapat disekat dan dihapuskan.
Oleh itu DPPWP, menjemput seluruh warga kota tidak kira apa jua parti, lelaki atau wanita, tua atau muda untuk hadir ke XPDC Dakwah Anak Merdeka 2005 bersama pimpinan Pemuda dan masyarakat. Bagi yang berkelapangan untuk hadir, pihak kami menjemput anda untuk bersama kami berhimpun di Masjid KLCC pada pukul 10 malam dan satu taklimat khas akan diadakan sebelum para petugas XPDC diagihkan mengikut kawasan sasaran. Para petugas juga digalakkan memakai pakaian kemas, berbaju putih dan berseluar gelap bagi menunjukkan imej contoh para belia lainnya.
Sehubungan dengan itu, kami juga menjemput Para wartawan untuk hadir bagi membuat Liputan.Dijangkakan XPDC ini akan tamat selewat-lewatnya pukul 3pagi.
Pastikan anda tidak ketinggalan untuk bersama menerokai pengalaman berdakwah bersama pasukan kami. Bersamalah kita berkongsi nikmat kemerdekaan ini dengan mencari redha Illahi disamping membantu menyelamatkan anak bangsa yang masih kehilangan arah tuju kehidupan. Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada Sdr. Kamaruzaman - 019-2828536 atau Sdr. Suhaimi- 017- 3423283. Kita jumpa di sanaa...
Wassalam
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Posted at 04:59 pm by infojiboi
Permalink
Malaysia Idol x= Singapore Idol
Malaysia Idol x= Singapore Idol
Saya tertarik kepada satu artikel yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini, 29 Ogos 2005 bagaimana Singapura menjadikan seseorang idola bagi memacukan arah rakyat dan negara yang mempunyai matlamat yang bermanafaat.
Tetapi memanglah UMNO Malaysia mahukan rakyat terus leka dengan idola yang diciptanya supaya rakyat terus buta dengan maklumat supaya senang digetelkan kepala untuk terus menyokong mereka
Sehinggakan UMNO sanggup menggunakan polis secara kekerasan untuk menghalang rakyat daripada mendengar dan mendapatkan maklumat alternatif selain daripada yang tersedia ada. Sedangkan konsert hiburan dilindungi dan dikawal serta digalakkan walaupun audiensnya daripada kalangan yang gagal mengawal emosi masing-masing.
Inilah kerajaan Islam Hadhari yang menggunakan slogan semata-mata bagi mengaburi mata hati rakyat tetapi hakikatnya UMNO itulah dulu, kini dan selamanya. UMNO inilah yang patut kita hadapkan serangan bukannya perkara kesampingannya yang remeh temeh, yang sengaja diwujudkan mereka bagi mengalihkan perhatian. Bukannya Mawi tetapi UMNO yang menjahanamkan agama dan anak bangsa kita.
Di sini saya perturunkan artikel yang disiar di Utusan hari ini untuk dikongsi bersama.
"Melayu didodoikan kejayaan palsu"
Di Singapura, kami tidak mendewakan pemain-pemain bola.'' Begitulah kata-kata Phillip Yeo, Ketua Agensi Penyelidikan Untuk Sains dan Teknologi Singapura. Saya yakin Singapura juga tidak mendewa-dewakan golongan artis seperti yang berlaku kepada kita di Malaysia.
Saya tidak pernah terbaca atau mendengar berita yang penyiar TV di sana menganjurkan banyak siri realiti TV yang tidak mendatangkan sebarang faedah jangka panjang untuk kemajuan negara kecil mereka. Tetapi berlainan pula dengan negara kita, itu yang lebih diutamakan sejak kebelakangan ini.
Jika beginilah sikap rakyat negara kita nampaknya kita akan terus menjadi sebuah negara yang terbelakang dalam segala bidang yang berfaedah untuk masa depan negara.
Di Singapura, idola mereka adalah orang terpelajar, bukan artis. Orang terpelajar dijadikan contoh kepada anak-anak muda Singapura untuk mengejar kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.
Anak-anak mereka digalakkan mendapat pelajaran setinggi yang mungkin kerana mereka sedar tanpa generasi yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi negara mereka akan ketinggalan.
Singapura sedang menuju ke arah apa yang disebut knowledge economy (ekonomi ilmu pengetahuan) tetapi kita lebih kepada entertainment economy (ekonomi hiburan).
Artis-artis yang berjaya meraih `ijazah' dari Akademi Fantasia (AF) lebih diberikan tempat dalam liputan akhbar daripada kejayaan anak-anak Malaysia yang berjaya dalam bidang sains dan teknologi.
Kalau beginilah cara orang Melayu menguruskan anak bangsa mereka nampaknya peluang untuk menjana Towering Malays atau Melayu Unggul akan punah.
Mana ada anak Melayu yang berjaya dalam bidang nyanyian di peringkat antarabangsa sehingga mereka terkenal seperti artis-artis dari Barat. Pernahkah kita mendengar jualan album artis-artis Melayu dijual jutaan keping di pasaran antarabangsa?
Kalau setakat menyanyi di Royal Albert Hall sudah dianggap satu kejayaan besar bagi anak Melayu dan bukan meraih ijazah kelas pertama di universiti Cambridge atau Oxford, rosaklah anak Melayu.
Kaum Cina dan India mendahulukan kejayaan akademik daripada hiburan tetapi untuk anak-anak Melayu, ibu bapa mereka sanggup berkorban apa saja, bergolok bergadai asalkan anak mereka mendapat tempat dalam Malaysian Idol dan AF.
Mereka tidak sanggup berkorban atau bergolok bergadai untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Sesungguhnya orang Melayu akan jadi bahan ketawa kaum lain pada suatu hari nanti.
Orang Melayu masih buta dengan agenda orang lain untuk menjatuhkan mereka.
Tulisan saya ini mungkin tidak akan menyenangkan orang yang tidak mengambil berat tentang arah tuju orang Melayu. Ia mungkin bagai cili yang terpepak atau pahit bagai hempedu tetapi seperti kata orang, yang pahit itulah ubat.
Malangnya orang Melayu suka digula-gulakan, dipuji berlebih-lebihan. Biar menang sorak kampung tergadai. Biar papa asalkan bergaya.
Sampai bila kita hendak dodoikan orang Melayu dan anak Melayu dengan kejayaan yang palsu. Kita mahukan durian tapi benih tomato yang kita tanam.
Di mana rasional dan logiknya? Begitu rendahkah daya fikir orang Melayu dan anak Melayu? Kalaulah pejuang kemerdekaan dari kalangan orang Melayu yang lalu masih hidup, mereka pasti akan menangis kerana kita telah gagal mendidik anak bangsa ke arah kemajuan yang dituntut oleh agama Islam.
Kita gagal mengisi kemerdekaan dengan anak-anak bangsa yang bijak berfikir dan bertindak demi kesinambungan kemegahan orang Melayu.
Mungkin Hang Tuah akan geleng kepala melihat orang Melayu hari ini menyalahgunakan kebebasan yang diperoleh. Mungkin Melayu tak hilang di dunia tetapi jika ada bangsa Melayu yang layu apalah gunanya.
Layu dengan lagu yang mendayu. Layu di pusat-pusat serenti. Layu di atas jalan raya yang serba moden. Layu di peringkat pengajian tinggi.
Posted at 01:37 pm by infojiboi
Permalink
Sejarah kemerdekaan negara yang sengaja digelapkan (Bahagian I)
Sejarah kemerdekaan negara yang sengaja digelapkan (Bahagian I)
 |
Tinggal beberapa hari lagi negara akan meraikan ulangtahun kemerdekaannya yang ke 48. Kebanyakkan dari pejuang kemerdekaan telah pun meninggalkan kita buat selama-lamanya, namun jasa dan pengorbanan mereka akan tetap abadi dalam lipatan sejarah.
Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar telah membuat kenyataan melalui Harakah edisi terbaru meminta supaya sambutan ulangtahun kemerdekaan kali ini akan menyingkap kemabli sejarah yang sebenar yang berlaku dalam perjuangan menuntut kemerdekaan termasuklah tokoh-tokoh pejuang yang benar-benar telah terlibat di dalam menyumbang kea rah kemerdekaan negara.
Umno sesungguhnya bukanlah pemilik tunggal perjuangan menuntut kemerdekaan dan hakikat ini perlu dibongkar untuk pengetahuan rakyat jelata khususnya jenerasi kini.
|
Malang sekali buku-buku sejarah di sekolah-sekolah rendah dan menengah sekadar mengagung-agungkan jasa para pejuang Umno semata-mata, seolah-olah Umno sahajalah yang bertanggungjawab memerdekakan bumi bertuah kita ini.
Hilang langsung jasa Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1939 jauh sebelum tarikh pendudukan Jepun di Tamah Melayu.Nama Ibrahim Hj Yaakub, pengasas KMM tidak mendapat tempat dalam sejarah versi kini. Menjelang penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu bermula tanggal 8 Disember 1941 penjajah British ketika itu telah mengisytiharkan darurat dan antara tahanan politik terawal dalam sejarah negara adalah barisan kepimpinan KMM ini iaitu seramai kira-kira 130 orang.
Ketika British menyerah kalah pada 15 Febuari 1942 Jepun telah memberi tempat kepada para pimpinan KMMwalaupun KMM tidak lagi dibenar bergerak. Antara ucapan Ibrahim Yaakub ketika itu sebagaimana yang tercatat dalam buku Ahmad Boestamam: Lambaian Dari Puncak (Memoir 1941-45) adalah:
Kemenangan tentera Jepun bukan bererti kemenangan bangsa Melayu. Kita mesti terus berjuang menuju cita-cita, dan kemenangan bangsa Melayu hanya akan datang apabila cita-cita yang kita perjuangkan itu tercapai.
Ibrahim Yaakub dan seorang lagi tokoh iaitu Dr Burhanuddin al Helmy terlibatb dalam usaha mengisytiharkan kemerdekaan negara bersama Indonesia melalui bantuan Jepun. Beberapa siri rundingan telah diadakan termasuklah yang melibatkan Sukarno dan Dr Hatta dari Indonesia. Cuma nasib tidak menyebelahi mereka, ketika persiapan akhir sedang dibuat , Jepun tiba-tiba menyerah kalah pada tanggal 15 Ogos 1945. Sukarno telah terus sahaja mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia tanpa Malaya pada tanggal 17 Ogos 1945 manakala Ibrahim Yaakob telah melarikan diri ke Indonesia.
Bermakna sebelum pun Umno bernyawa, telah ada usaha-usaha dan ikhtiar dari anak-anak bangsa untuk memerdekakan negara dari kuasa dan cengkaman penjajah. Mengapakah kita menyembunyikan fakta ini tiap kali negara memperingati ulangtahun kemerdekaan negara? (insyallah bersambung)
:.Roslan
Posted at 11:00 am by infojiboi
Permalink
PM diminta yakinkan rakyat beliau bukan anggota konspirasi terhadap Anwar
PM diminta yakinkan rakyat beliau bukan anggota konspirasi terhadap Anwar
"Selepas menteri Kabinetnya berkata, mahkamah telah bersihkan Anwar"
 |
KUALA LIPIS 29 Ogos (Hrkh) –Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyakinkan rakyat bahawa beliau bukanlah sebahagian daripada konspirasi yang menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ seri Anwar Ibrahim.
“Abdullah mesti memperjelaskan beliau bukanlah sebahagian daripada konsprasi tersebut (selepas Mahkamah bersihkan Anwar),” kata Mahfuz ketika berucap pada majlis penerangan dekat sini kelmarin. |
Ini kerana Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Anwar yang dilucutkan jawatan pada 2 September 1998 dan dipecat daripada Umno.
Abdullah sebelum itu hanyalah Naib Presiden Umno kedua dibelakang Dato’ Seri Najib Abdul Razak tetapi Mahathir memilih Abdullah sebagai timbalanya dengan mengenepikan Najib yang lebih kanan daripadanya.
Menurut Mahfuz, jika Abdullah seorang pemimpin yang mempunyai integriti dan ketelusan beliau perlu memperjelaskan bahawa beliau bukannya terhasil daripada konspirasi terhadap Anwar.
“Ia perlu jelaskan kepada rakyat,” tegasnya.
Baru-baru ini mahkamah memerintahkan penulis Dato’ Khalid Jefri serta penerbit buku ’50 dalil kenapa Anwar tidak boleh menjadi PM’ membayar ganti rugi sebanyak RM4.5 juta kepada Anwar kerana memfitnah beliau.
Mahkamah juga memutuskan segala pertuduhan didalam buku tersebut adalah fitnah dan dihasilkan dari satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.
Sebelum itu pada 2 September 2004, Mahkamah Persekutuan telah membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat, walaupun Anwar sebagaimana diketahui telah merengkok dalam penjara selama beberapa tahun.
Sebelum itu Anwar telah menghabiskan hukuman penjara enam yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan rasuah.
Kini buku ‘50 Dalik kenapa Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri’ yang menjadi asas pertuduhan kepada Anwar telah disahkan mahkamah sebagai fitnah, ini bererti Anwar telah dianaiya dan menjadi mangsa dan menghabiskan masa bertahun-tahun dengan sia-sia di dalam penjara.
“Anwar dimalukan, diaibkan sebegitu rupa, tiba-tiba selepas beberapa tahun mahkamah mengatakan pertuduhan kepadanya yang terkandung didalam buku 50 Dalil kenapa Anwar tidak boleh menjadi PM itu hanyalah fitnah,” kata Mahfuz.
Menurut Mahfuz, jawapan kepada soalan mengenai keputusan mahkamah terhadap isu Anwar oleh Abdullah Badawi membayangkan betapa bercelarukan politik negara ini.
Abdullah berkata, kata Mahfuz, keputusan mahkamah memihak kepada Anwar adalah keputusan mahkamah ia tiada kena mengena dengan Umno.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Dato' Rais Yatim sebagaimana wawancaranya dengan akhbar Siasah bahawa mahkamah telah bersihkan Anwar, Abdullah berkata, "Itu kena tanya Rais.".
- zs
Posted at 10:47 am by infojiboi
Permalink
Guru dipindahkan kerana dedah rasuah Guru Besar
Guru dipindahkan kerana dedah rasuah Guru Besar
RASAH: Akibat daripada mendedahkan kegiatan rasuah seorang guru besar, Anbumuthu a/l Sinnasamy, 36 tahun, ditekan dengan mendapat arahan pindah sekolah secara mengejut.
Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Lorong Jawa, P Ramalingam dikatakan telah menyalahgunakuasanya dengan menuntut wang sejumlah RM7900 daripada operator kantin bagi membolehkan pengusaha kantin tersebut terus beroperasi di sekolah tersebut.
Empat slip bank kemasukan wang ke akaun Ramalingam dilakukan sekitar Februari yang lalu.
Guru Besar tersebut juga menjanjikan wang sogokan yang dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya akan menjaminkan opertor kantin itu dapat kekal berniaga di premis sekolah berkenaan.
Akibat daripada marah akan tindakan guru tersebut, Guru Besar berkenaan memindahkan Anbumuthu ke sekolah luar dari Seremban di mana ianya bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani oleh guru yang berstatus pelajar yang sedang mengikuti Kursus Diploma Perguran Malaysia secara Kursus Dalam Cuti (KDPM-KDC) dipindahkan tempat mengajar sehingga tamat kursus.
Sehubungan dengan itu, Anbumuthu membuat aduan bertulis kepada Pengarah Badan Pencegah Rasuah(BPR) Negeri Sembilan pada 8 Februari yang lalu selain daripada membuat laporan polis pada 30 Mac.
Menurut koordinator Pusat Aduan Rakyat Angkatan Muda yang berpusat di Rasah itu, Mathurai Verans, mangsa tersebut juga menghantar salinan laporannya kepada Menteri Pelajaran, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau juga menghantar salainan laporan berkenaan kepada Presiden MIC, Menteri Besar Negeri Sembilan, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.
"Namum malangnya sehingga kini beliau masih terkapai-kapai menerima tekanan kerana tindakan berani mendedahkan jenayah rasuah tanpa mendapat perhatian mana-mana pihak. Tidak ada satu pun surat atau aduan yang beliau buat mendapat respon dari pihak berkenaan," kata Mathurai.
Menurut Mathurai, Mathurai yang mengeluarkan kenyataan pada 22 Ogos memandang serius perkara tersebut mendesak semua pihak terbabit untuk memberikan penjelasan mengenai perkara itu.
"Kementerian Pelajaran juga seharusnya tampil untuk memberikan penjelasan mengenai pertukaran guru terbabit," ulas Mathurai lagi.
Sebaik sahaja menerima aduan tersebut, Pusat Aduan Rakyat mendesak agar Pejabat Perdana Menteri, BPR Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban supaya memberi penjelasan yang menyebabkan kes tersebut ditangguhkan.
:.Malaysia Today
Posted at 10:28 am by infojiboi
Permalink
Dr. M : Penasihat yang nasihatnya tidak diperlukan
Dr. M : Penasihat yang nasihatnya tidak diperlukan
Akhbar THE STAR semalam mendedahkan tajuk eksklusif di muka depannya:
Dr M returns cars to Proton (Dr M pulangkan kereta-kereta ke Proton)
Dilaporkan ekoran kekecewaannya dengan perkembangan yang berlaku di dalam Proton, Penasihat Proton itu telah memulangkan kesemua kenderaan milik Proton yang diberikan untuk kegunaannya iaitu 7 semua sekali termasuklah VW Touareg, sebuah kenderaan pacuan 4 roda 4WD dan VW Phaeton serta beberapa siri Proton Waja.
Kekecewaan ini dikesan sejak dari penamatan perkhidmatan CEO Proton Tengku Mahaleel dan kemudiannya isu pengimportan kenderaan impot yang berleluasa yang didakwa menjejaskan jualan kenderaan tempatan.
Dari perkembangan tersebut jelas nasihat-nasihat Dr M sudah tidak diterima dan diambil kira lagi. Dahlah itu dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini Dr M sendiri mendakwa sebagaimana dilaporkan dalam THE STAR:
I don’t know whats going on in Proton. I have no communication with them. I can only advice if I know something is happening.
Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku di Proton. Saya tidak dihubungi. Saya cuma boleh memberikan nasihat sekiranya saya tahu apa yang sedang berlaku.
Demikianlah rintihan Dr M berkebetulan disaat negara mahu merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke 48 esok. Nampak gaya Tun pun tak lamalah akan kekal menyandang jawatan Penasihat, kalau nasihat Penasihat pun dah tak diperlu, bermakna ia satu petanda bagi beliau untuk melepaskan jawatannya itu ataupun kelak akan dilepaskan darinya.
Malah bila ditanya adakah beliau masih Penasihat Proton secara sinis Dr M menjawab:
Ya, saya masih lagi penasihatnya, setahu sayalah.
Demikianlah hari-hari terakhir Dr M di Proton. Merdeka!
:.Roslan
Posted at 10:07 am by infojiboi
Permalink
Monday, August 29, 2005
Kronologi sekatan polis terhadap majlis-majlis PAS
Kronologi sekatan polis terhadap majlis-majlis PAS
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos (Hrkh)- Pertembungan antara polis dan PAS di Terengganu bermula apabila kerajaan mula merobohkan rumah rakyat yang dibina di atas tanah yang diberikan oleh kerajaan negeri di bawah pemerintahan PAS kepada mereka.
Ia berlaku apabila orang ramai menghalang kerja-kerja itu. Pihak polis pula digunakan untuk mempastikan kerja perobohan rumah itu berjalan.
Kemuncaknya apabila Masjid RTB Bujal diroboh. Pihak PAS membuat ceramah untuk menerangkan apa yang berlaku.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) pula menggunakan polis untuk menghalang ceramah-ceramah itu diadakan.
Bagi PAS, tindakan ini dibuat selepas kerajaan BN Terengganu yang ada gagal untuk lawan berhujjah dengan PAS.
Pernah Ketua Penerangan Umno Terengganu, Ahmad Shabery Cheek mencabar PAS untuk berdebat mengenai beberapa isu di Terengganu tetapi pihak Umno sendiri tidak merestuinya sehingga ia dibatalkan, walaupun pihak PAS telah menerima cabaran itu.
Berikut adalah kronologi penting peristiwa ini.
 |
23 Mac 2005 – Merobohkan 13 binaan rumah peserta RTB Belimbing Api, Jabi, Besut.
24 Mac 2005 – Bantahan dan penyerahan memorandum kepada Pentadbir Tanah Besut membantah tindakan tersebut.
18 Mei 2005 – Penyerahan memorandum kepada Pejabat Tanah Setiu membantah tindakan yang bakal diambil kepada Peserta RTB Pengkalan Merbau dan Padang Setar, Setiu. |
19 Mei 2005 – Operasi meroboh rumah peserta RTB Pengkalan Merbau, Setiu di mana polis melepaskan gas pemedih mata terhadap peserta RTB.
26 Mei 2005 – Operasi meroboh rumah peserta RTB Bujal (Gambar atas), Kemaman termasuk sebuah masjid yang hampir siap dibina. Satu memorandum bantahan telah dihantar pada jam 8.00 pagi kepada Pejabat Tanah Kemaman sebelum operasi tersebut dijalankan.
30 Mei 2005 – Bantahan dan penyerahan memorandum kepada Ketua Polis Daerah Kemaman, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Kemaman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman dan Pentadbir Tanah Kemaman.
19 Jun 2005 – Demontrasi dan penyerahan memorandum kepada Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman.
7 Julai 2005 – Operasi membersihkan sisa runtuhan Masjid Bujal, Kemaman.
 |
7 Julai 2005 – Ceramah anjuran PAS di Pasti Mak Chili diganggu pihak Polis dengan tembakan gas pemedih mata dan semburan air asid. 20 orang ditahan dan beberapa orang cedera.
12 Julai 2005 – Penyerahan memorandum kepada SUHAKAM diketuai oleh Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS di pejabat SUHAKAM, Kuala Lumpur.
8 Ogos 2005 – Ceramah PAS di Pengkalan Atap yang diadakan di dalam Surau Kampung Tanjung, Batu Rakit diserang oleh pihak Polis. 8 orang ditahan dan beberapa orang cedera. |
Salah seorang dari yang ditahan mengalami cederaan yang agak serius iaitu patah tulang betis kanan (right fibula) akibat dipukul dan dipijak oleh beberapa orang anggota FRU sebaik dia ditahan selepas ceramah.
26 Ogos 2005 – Ceramah PAS yang diadakan dalam Masjid Taqwa Batu 6 turut diserang oleh Polis mengakibatkan berlaku kekecohan dan pertempuran antara pihak Polis dan orang ramai yang marah dengan tindakan tersebut. 12 orang telah ditahan.
 |
Beberapa siri ceramah PAS sebelum itu turut diganggu oleh pihak Polis walaupun telah diadakan di dewan tertutup dan pembesar suara indoor digunakan.
Antaranya ialah :
12 Julai 2005 (Kg. Gong Manok, Kuala Besut) – menghalang ceramah daripada diteruskan walaupun telah ada perundingan sebelum itu.
6 Ogos 2005 (Kg. Gong Kiat, Kuala Terengganu) – menghalang terus ceramah daripada diadakan.
7 Ogos 2005 (Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu ) – menghalang terus ceramah daripada diadakan. |
11 Ogos 2005 (Banggol Katong, Kuala Terengganu) – ceramah yang dibuat dalam rumah persendirian turut dihalang. Ceramah dipindah ke Surau Pengadang Baru turut diganggu dengan menyekat laluan utama ke surau berkenaan.
12 Ogos 2005 (Bukit Kubang Jambu dan Seberang Takir, Kuala Terengganu) – turut diganggu. Ceramah di Seberang Takir dihalang daripada menggunakan pembesar suara.
- AYU/zs
Posted at 03:24 pm by infojiboi
Permalink
Peristiwa Batu 6: Polis jadi pencetus kekacauan, PJ PAS Terengganu
Peristiwa Batu 6: Polis jadi pencetus kekacauan, PJ PAS Terengganu
 |
"Peristiwa hitam di Batu Enam adalah reaksi orang ramai dan polis adalah pencetusnya"
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos (Hrkh)- PAS Terengganu menyifatkan kekacauan yang berlaku di pekan Batu Enam malam semalam berpunca dari sikap polis di situ yang bertindak mencetus kekacauan bukannya menjaga keamanan.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali dalam sidang akhbar khasnya berkata, pihaknya menyalahkan polis dalam peristiwa itu.
"Polis bukan lagi penjaga keamanan tetapi pencetus huruhara di Terengganu," kata beliau.
Dalam kejadian malam semalam, polis telah melepaskan kira-kira 20 gas pemedih mata termasuk ke dalam Masjid At Taqwa, Pekan Batu Enam bagi menyuraikan orang ramai serta para pemimpin PAS dari masjid itu.
Antara yang terkena gas itu adalah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS, Dato' Harun Taib. |
Badan Perhubungan PAS Terengganu menganjurkan ceramah sempena Isra' dan Miraj serta Penjelasan Isu Dewan Undangan Negeri Terengganu yang baru berakhir.
Ceramah yang sepatutnya berjalan di Padang Bola Pekan Batu 6 telah dipindahkan ke dalam Masjid At Taqwa selepas polis mula mengacau majlis itu.
Tetapi polis juga tidak membenarkan majlis itu dan menambak gas pemedih mata dan water canon (semburan air bercampur asid) sehingga beberapa orang telah pengsan.
Namun, kemarahan orang ramai telah membara sejak kebelakangan ini apabila PAS tidak boleh mengadakan sebarang majlis ceramah hatta dalam bangunan.
Akibatnya, sebahagian dari mereka bertindak balas dengan membaling balik container gas pemedih mata itu kepada pihak polis.
Turut dilemparkan adalah batu dan botol menyebabkan pekan Batu Enam penuh dengan kaca dan batu selepas peristiwa itu.
Polis digunakan
Di Batu Rakit sebelum ini, polis telah menembak gas pemedih mata ke satu majlis yang hampir tamat tanpa memberikan sebarang amaran supaya berhenti akibat dari rasa tertipu kerana tersalah tempat ceramah PAS.
Ceramah yang diberikan oleh Naib Presiden PAS di Kemaman juga berakhir dengan gas pemedih mata.
Sidang Dun
Dalam sidang DUN Terengganu baru-baru ini, semua wakil PAS meninggalkan Dewan apabila Speaker bertindak tanpa mengikut peraturan.
Dalam peristiwa itu, ketika Ketua Pembangkang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sedang berucap, wakil BN mengacau beliau dan meminta laluan, tetapi beliau tidak membenarkannya.
Tetapi Speaker telah menggunakan kuasanya memaksa Abdul Hadi memberikan laluan kepada wakil BN untuk bercakap.
Sedangkan, dari segi peraturannya, mana-mana pihak tidak boleh bercakap tanpa laluan diberikan oleh pihak yang sedang bercakap.
Ini menyebabkan pihak PAS tidak berpuashati, kerana Speaker pun tidak mematuhi peraturan Dewan yang dikatakan mulia itu.
Inilah yang hendak diterangkan kepada rakyat Terengganu melalui majlis ceramah di Batu Enam itu.
Sebelum ini, isu perobohan Masjid RTB Bujal di Kijal, Kemaman menjadi isu panas.
PAS mengadakan majlis ceramah untuk menerangkan apa yang berlaku. Namun, semuanya berkesudahan dengan gas pemedih mata, air berasid dan cotar dari FRU.
"Nampaknya, Umno tidak boleh berlawan hujjah lagi dengan PAS, lalu mereka gunakan polis untuk menyekat hujjah PAS," kata seorang pemerhati politik.
-ZS
Posted at 01:17 pm by infojiboi
Permalink
Umno adalah imperialis yang semakin menjajah kampus
Umno adalah imperialis yang semakin menjajah kampus
Bukanlah kejutan bagi saya kisah pemecatan dua orang pensyarah UUM, Dr Azly Abdul Rahman dan Dr Mutiara Mohamad kerana keengganan mereka untuk menandatangani surat Akujanji Universiti. Akujanji bagi saya adalah kata dua penjajah (penjarah?) – Umno, kepada komuniti yang dijajahnya – dalam konteks ini adalah komuniti kampus, TERIMA ATAU PERANG! Menerima doktrin Umno di kampus atau bersedia untuk diperangi, kedua-dua pensyarah ini telah dengan berani mengambil pilihan kedua, dan natijahnya mereka dibuang!
Ini bukanlah kes terpencil atau berlaku atas sifat domestik UUM itu sahaja. Umno mempunyai perancangan teratur dan menyeluruh dalam melebarkan dasar imperialisme tidak sah atau penjajahannya di kampus-kampus IPTA di seluruh negara.
Pada 27 Julai 2005 yang lalu, satu mesyuarat yang melibatkan pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar dari semua IPTA telah diadakan di PWTC. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Mustapha Mohamed dan Adam Baba. Agenda utama mesyuarat ini adalah untuk membincangkan Strategi Pilihanraya Kampus yang akan diadakan pada September nanti.
Antara yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah, Umno melalui sayap Puterinya akan melatih calon-calon mahasiswi yang pro Umno dan Barisan Nasional pada 5 hingga 7 Ogos 2005 yang lepas, yang pada asalnya diputuskan untuk dibuat di A Famosa Resort, Melaka tetapi telah dipindahkan ke Hotel De Palma, Ampang. Sementara itu, untuk calon-calon mahasiswa yang pro Umno dan Barisan Nasional pula, tugas untuk melatih mereka telah diberikan kepada Pemuda Umno Selangor, yang dijadualkan diadakan pada 19 hingga 21 Ogos 2005, bertempat di IBBN, Selangor.
Perkara lain yang turut diputuskan adalah belanjawan untuk memenangkan calon-calon pro Umno dan Barisan Nasional dalam pilihanraya kampus kali ini adalah sebanyak RM 360,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Ratus Enam Puluh Ribu). Umno juga telah secara senyap-senyap menubuhkan kelab-kelab Umno di IPTA tempatan yang dikenali sebagai Majlis Umno, antaranya di UIA, UTM, UKM dan UM. Umno Bahagian Puchong telah ditugaskan untuk “menjaga” UPM sementara Umno Bahagian Serdang pula “menjaga” UKM.
Dalam mesyuarat ini juga, fellow-fellow kolej kediaman di IPTA tempatan telah diberi amaran supaya memastikan kemenangan calon-calon pilihanraya kampus yang pro Umno dan Barisan Nasional, jika tidak hayat mereka sebagai fellow akan ditamatkan. Praktis-praktis sebelum ini dalam pilihanraya kampus juga telah dibentangkan, antaranya dari sebuah kolej kediaman di UKM yang memperkenalkan penggunaan nombor siri pada kertas undi dan ceraiannya yang disimpan oleh pihak pentadbiran. Sasarannya adalah mahasiswa-mahasiswi Tahun 1 yang diugut supaya mengundi calon-calon yang pro Umno dan Barisan Nasional, jika tidak keistimewaan mereka sebagai penghuni kolej kediaman tidak akan dipanjangkan, dan mereka perlu mencari rumah sewa bila memasuki tahun kedua pengajian.
Seterusnya, mesyuarat ini mengaku ada kerisauan jika strategi ini bocor dan diketahui oleh pihak lain, ia boleh mengakibatkan berlakunya boikot pilihanraya oleh pihak-pihak yang bukan pro Umno dan Barisan Nasional, dengan kata lain calon-calon yang pro pembangkang. Untuk ini, satu langkah “damage control” telah difikirkan. Andaikata pemboikotan benar-benar berlaku, calon-calon yang pro Umno dan Barisan Nasional akan bertanding sesama sendiri, supaya nanti demokrasi dilihat tidak terganggu di kampus-kampus.
Mesyuarat ini tidak habis di sini sahaja, pada 8 Ogos 2005, jam 8.00 hingga 11.00 malam, bertempat di tingkat 38, juga di PWTC, mesyuarat kali kedua telah diadakan. Agenda hangat kali ini adalah berkenaan Anwar Ibrahim.
Laporan menyebut bahawa mereka telah mengenal pasti 15 – 16 orang mahasiswa hadir dalam program Pidato Kemerdekaan anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) yang mengemukakan Anwar Ibrahim sebagai pemidato utamanya. Antara mereka ada yang telah dikenal nama dan jawatannya, dan pihak pentadbiran IPTA diminta mengambil tindakan terhadap mahasiswa-mahasiswa ini, tentulah berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
(Inilah Umno yang ingat IPTA milik mak bapak mereka. Tidakkah mereka merasa sedikit malu dan bersalah, dalam pada mereka membincangkan tentang sekumpulan mahasiswa yang “kononnya” melanggar AUKU, mereka sendiri sedang bermesyuarat dan telah bermesyuarat membincangkan strategi-strategi yang jelas melanggar dan merobek AUKU – Undang-undang ciptaan mereka sendiri dan diluluskan oleh ahli-ahli parlimen mereka)
Dalam mesyuarat kedua ini, pihak pentadbiran IPTA juga diingatkan tentang kewujudan apa yang disebut sebagai GMB (Gerakan Mahasiswa Bersatu), yang didakwa sebagai sebuah gerakan politik mahasiswa baru yang wujud di kampus-kampus mewakili kepentingan politik Parti Keadilan Rakyat, Barisan Alternatif dan Anwar Ibrahim sendiri. Mereka merujuk kepada program Anwar di Sungai Dua, di situ Anwar menyebut tentang GMB, tentang rasuah dan universiti yang tidak liberal, serta keperluan GMB untuk menonjolkan diri sebagai berani, adil dan bersatu.
Mesyuarat juga memberi amaran sekali lagi kepada para pengetua dan kolej kediaman supaya memastikan membantu sepenuhnya calon-calon pro Umno dan Barisan Nasional dalam pilihanraya kampus akan datang, jika tidak mereka akan dipecat.
Seterusnya mesyuarat turut merekodkan beberapa laporan aktiviti yang telah dijalankan berkaitan dengan strategi pilihanraya kampus ini:
1. Dalam perjumpaan dengan fellow-fellow kolej kediaman, 71 orang telah balik awal.
2. Dalam perjumpaan dengan pengetua-pengetua kolej kediaman, UPSI dan UIA telah tidak menghantar wakil.
3. Latihan untuk calon mahasiswi oleh Puteri Umno di Hotel De Palma cuma dihadiri oleh 140 orang berbanding 300 orang yang dipanggil. Untuk pecahan yang lebih spesifik, dari 40 orang mahasiswi yang dipanggil dari UIA, cuma 9 orang yang hadir.
Ada beberapa perkara lagi yang dibincangkan dalam mesyuarat ini tetapi saya rasa ia tidak relevan dalam konteks penulisan ini. Yang jelas dan pasti, saya amat sedih dengan sikap telunjuk lurus kelingking berkait Umno dan Barisan Nasional ini. Yang saya sangat gembira adalah respon negatif di kalangan majoriti mahasiswa dan pegawai IPTA terhadap sikap kemaruk Umno dan Barisan Nasional ingin menguasai kampus ini.
Kalau benar mereka yang hadir dalam Pidato Kemerdekaan Anwar Ibrahim anjuran IKD ingin diambil tindakan di bawah AUKU, maka 140 orang mahasiswi itu juga sedang melakukan kesalahan yang sama. Jika tidak, saya mahu katakan bahawa ini adalah perlawanan berat sebelah. Umno dan Barisan Nasional sedang menghina AUKU ciptaan mereka sendiri. Jika Umno dan Barisan Nasional juga merasakan bahawa AUKU turut mengikat mereka sehingga mereka terpaksa melakukan “operasi bawah tanah” dan menyalahguna kuasa yang diamanahkan kepada mereka maka hari ini saya mendesak supaya IPTA dibebaskan dari belenggu AUKU, biar kita sama-sama turun gelanggang dalam cerah, kita bersaing atas nama anak jantan, mahasiswa dan mahasiswi adalah intelek muda pewaris negara, pemikiran mereka bukan mudah diperkotak-katikkan, lalu nanti kita sama-sama lihat suara-suara intelek muda ini berpihak pada siapa?
Apakah Umno takut kalah dalam cerah?
:.Zukri Aksah
Posted at 09:53 am by infojiboi
Permalink
TIPS : Perlindungan Dari Gas Pemedih Mata
TIPS : Perlindungan Dari Gas Pemedih Mata
Sering orang awam, kanak-kanak, ibu mengandung, orang tua, orang kurang upaya terperangkap apabila gas pemedih mata ditembak bertujuan untuk meleraikan perhimpunan.
Berikut ialah beberapa panduan kepada mereka yang tidak bersalah ini untuk menyelamatkan diri dalam situasi ini.
Sumber rujukan http://www.starcalliance.org/teargas.html
SEBELUM GAS PEMEDIH MATA DILEPASKAN
Sekiranya anda nampak pihak keselamatan mula mengenakan topeng muka, bermakna gas pemedih mata akan dilepaskan.
Sekiranya anda memakai kanta pelekap (contact lense) tanggalkannya dengan segera, jangan gunakan kanta pelekap ini walaupun keadaan telah reda.
Pakai cermin renang (swimming goggle) sekiranya ada.
Tutup mulut dan hidung rapat dengan kain yang dibasahkan dengan air kosong (sebaiknya dibasahkan dengan air limau).
Sekiranya anda ada baju hujan, maka pakai baju dan seluar hujan dengan kemas serta tutup kepala anda dengan baju hujan yang ada penutup kepala.
Jangan gunakan losyen atau minyak sebagai pelindung kulit kerana ini akan lebih memburukkan keadaan kerana losyen dan minyak akan memerangkap kimia gas pemedih mata pada kulit anda.
KETIKA GAS PEMEDIH MATA DILEPASKAN
Cuba bertenang , Jangan Panik ! Jika anda panik suhu badan anda akan meningkat dan akan lebih memedihkan lagi mata dan kulit anda.
Cuba bergerak keluar dari asap gas pemedih mata.
Jangan sentuh muka dan mata anda dengan tangan.
Hembus hidung, dan ludahkan keluar kimia yang terdapat dalam gas pemedih mata.
Jangan sentuh tin gas pemedih mata yang dilepaskan, ianya panas. Sekiranya anda dapati ibu mengandung atau kanak-kanak berada di kawasan tersebut, gunakan sarung tangan kulit untuk mencampakkan tin gas pemedih mata tersebut ke kawasan yang tiada orang (JANGAN campakkan tin gas pemedih mata tersebut ke arah pasukan keselamatan).
RAWATAN
Cuci muka, mata dan bahagian badan yang terkena gas pemedih mata dengan air yang banyak.
JANGAN gunakan sabun.
Salin pakaian yang bersih.
Posted at 09:35 am by infojiboi
Permalink
|
|
|