|
|
Wednesday, August 31, 2005
Terkini ! Mufti Perak dilarang berceramah di Selangor !!!
Terkini ! Mufti Perak dilarang berceramah di Selangor !!!
Kerajaan Selangor 'banned' saya - Harussani
Pengkalan Hulu 24 Rejab 1426H @ 29 Ogos 2005 (Isnin) - "Di atas ketegasan saya itu, maka ceramah saya di sebuah Universiti tempatan di Selangor telah dibatalkan".
Demikian keluhan YBhg SS Mufti Negeri Perak, Hj Harussani bin Hj Zakaria, ketika menyampaikan ceramahnya di Masjid Kg Air Panas, Pengkalan Hulu, Ahad lalu.
SS Hj Harussani menjelaskan bahawa isu kondom dan jarum yang hendak dilancarkan oleh Kerajaan mulai Oktober depan perlu dinilai dari keseluruhan sudut agar ianya tidak akan merugikan semua pihak.
Menurut beliau dengan pemberian jarum percuma kepada mangsa hiv positif itu, apakah kita dapat menjamin bahawa jarum itu tidak dikongsikan dengan mereka di kalangan sesama penagih lain.
Begitu pula dengan pemberian kondom, apakah sudah dikenali mekanismenya bahawa dengan pemberian itu, mereka tidak akan berzina.
Ketegasan ini akhirnya mendapat perhatian pihak tertentu dan mereka telah 'banned' saya. Apabila disiasat, kononnya ia adalah dari arahan pihak atasan - JMNPk
http://mufti.perak.gov.my/berita/berita050830-1.htm
Posted at 11:57 am by infojiboi
Permalink
Sejarah kemerdekaan negara yang sengaja digelapkan (Bahagian II)
Sejarah kemerdekaan negara yang sengaja digelapkan (Bahagian II)
Parti politik pertama yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua menurut John Funston di dalam bukunya Malay Politics in Malaysia – A Study of Umno and PAS adalah Partai Kebangsaan Melayu Sa Malaya (PKMM) atau Malay Nationalist Party (MNP) iaitu pada bulan Oktober 1945.
Ianya ditubuhkan setelah satu majlis perundingan diadakan di pejabat Suara Rakyat akhbar Melayu yang ditubuhkan di Ipoh pada bulan Ogos 1945 selepas perang.
Menurut Ahmad Boestamam dalam bukunya Merintis Jalan Ke Puncak (1972) antara pandangan yang diberikan oleh seorang peserta majlis perundingan tersebut adalah:
Untuk menangkap ikan, misalnya kita harus mempunyai kail atau jala atau alat-alat lain untuk menangkap ikan. Demikianlah pula untuk mendapatkan kemerdekaan. Dan alat untuk memperjuangkan kemerdekaan ini ialah parti politik.
Bermakna gerakan politik untuk memerdekakan negera telah bersemarak sejak sebelum penubuhan Umno lagi dan dalam kes ini tanpa bantuan ataupun sokongan mana-mana kuasa asing.
PKMM telah ditubuhkan dengan Mokhtaruddin Lasso sebagai Yang Di Pertua Agung, Dr Burhanuddin sebagai Naib Yang Di Pertua, Dahari Ali sebagai Setiausaha Agung dan Boestamam sebagai salah seorang AJK nya. Malangnya dalam memperingati 48 tahun kemerdekaan pada hari ini, nama-nama mereka ini terpadam langsung dari sejarah versi kerajaan pada hari ini, seolah-olah jasa-jasa mereka tiada nilai dalam lipatan sejarah tanah air.
Sedangkan ketika itu nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan lain-lain tidak terlintas langsung dibenak fikiran rakyat. Namun pada hari ini tanyalah mana-mana anak muda, siapakah antara pejuang kemerdekaan negara yang mereka kenali, pasti yang akan terpancar dari mulut mereka adalah Dato Onn dan Tunku sahaja.
Posted at 11:55 am by infojiboi
Permalink
Lawan kenaikan harga petrol dengan berbasikal
Lawan kenaikan harga petrol dengan berbasikal
KUALA KANGSAR, 30 Ogos (Hrkh) - Setelah harga minyak naik melambung-lambung, penduduk negara ini disaran menukar cara hidup kepada berbasikal pula.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Noor Azli Musa berkata, bagus sekali kalau rakyat berbasikal semula untuk pergi kerja dan lain-lain aktiviti harian.
"Kini sudah sampai masa kita bertindak menolong diri sendiri dan rakyat untuk berbasikal pergi bekerja, ke kedai dan ke tempat lain sebagai langkah menjimatkan kos harian wang poket dan negara bagi membeli minyak yang naik lagi di dunia," katanya berceramah di Lubok Merbau disini malam semalam.
Semua orang tahu, katanya, berbasikal bukan sahaja menjimatkan wang tapi dapat menjaga kesihatan.
Berbasikal, tegasnya lagi, bukanlah perkara baru kerana kebanyakkan rakyat negara inipun telah biasa berbasikal "pergi ke sekolah dahulu dan hinggalah kita sudah mempunyai kereta barulah basikal disimpan sahaja dirumah."
"Mengapa tidak, sekarang kita keluarkan semula basikal-basikal tersimpan itu dan gunakan untuk pergi bekerja khususnya di destinasi yang dekat," katanya.
Bagi beliau, kenaikan harga petrol dan diikuti oleh barangan keperluan harian, tambang bas serta teksi, kadar eletrik dan kadar air yang bakal hendak naik adalah hadiah Kemerdekaan Malaysia ke-48.
"Syabas Umno. Biar mereka (pemimpin) sahaja yang mewah, bagi kita rakyat menderita," kata beliau terkilan dengan apa yang berlaku.
"Yang mampu berkayuh jauh bolehlah pergi jauh-jauh sedikit tapi yang kurang bolehlah berbasikal dekat-dekat seperti pergi ke kedai-kedai, surau dan masjid pada setiap hari," katanya.
"Dengan berbasikal kita dapat menjimatkan wang poket di samping membantu mengurangkan bebanan kerajaan membeli minyak mahal dunia dan rakyat sendiri dari membeli minyak yang sentiasa naik itu didalam negeri," tegas Ustaz Norazli.
"Saya sekarang pun sudah berbasikal pergi ke kedai, ke surau dan masjid di Ipoh. Mula-mula memanglah janggal sedikit tapi sekarang sudah ok. Kalau hendak masuk lawan lumba basikal pun boleh," gurau beliau.
Kata beliau, jangan ingat berbasikal ini satu perkara kecil.
"Kalau semua orang di negara ini menggunakan basikal semula maka sudah tentu keadaan kenaikan barang sekarang dapat dibendung sekali gus mengawal harga minyak termasuk mengawal inflasi dari berluluasa menekan rakyat," tegas beliau.
Bagi beliau, yang disambut pada tahun ini bukan Hari Kemerdekaan sahaja, tetapi menyambut perayaan tibanya kenaikan segala harga barangan keperluan di negara ini," katanya.
Posted at 11:54 am by infojiboi
Permalink
Di mana duit zakat keuntungan Petronas? - Nasharudin
Di mana duit zakat keuntungan Petronas? - Nasharudin
MUAR, 30 Ogos (Hrkh) – PAS sudah berkali-kali membangkitkan ke mana perginya duit zakat yang sepatutnya dibayar Petronas kepada Baitulmal hasil keuntungan syarikat petroleum itu yang berjumlah berbilion-bilion ringgit setiap tahun.
Ini kerana wang zakat ini boleh dimanfaatkan untuk membantu anak-anak orang Melayu yang memerlukan bantuan bagi meneruskan pengajian mereka di institusi pengajian tinggi sama ada awam atau swasta, kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, dekat sini.
Katanya, dengan keuntungan berbilion-bilion ringgit yang diperolehi Petronas melalui bayaran zakatnya sahaja pun sudah cukup untuk menampung kos pendidikan anak-anak Melayu.
"Itu baru melalui wang zakat sahaja belum dari hasil keuntungan keseluruhan Petronas," katanya.
Tetapi jika sebahagian keuntungan Petronas ini digunakan untuk membiayai pendidikan nescaya seluruh rakyat negara ini dapat menikmati pendidikan percuma, kata beliau.
Katanya, PAS sudah seringkali bertanyakan soal wang zakat ini di Parlimen tetapi sehingga kini tidak diketahui sama ada Petronas ada mengeluarkan zakat atau pun tidak.
Katanya lagi, inilah sikap pemimpin Umno, mereka tidak peduli masalah yang dihadapi anak-anak Melayu yang tidak mampu untuk belajar di Universiti kerana bagi mereka perkara ini tidak memberi keuntungan kepada mereka sebab itu mereka tidak kisah walau pun beratus ribu anak Melayu gagal masuk ke universiti kerana tidak mampu.
Sebagai contoh, mereka lebih berminat kepada golongan penagih dadah dan juga penghidap HIV-Aids kerana golongan ini dilihat akan memberi pulangan lumayan kepada mereka melalui peruntukan kerajaan berjumlah RM145 juta bagi membekal jarum suntikan dan kondom percuma kepada penagih dadah dan penghidap HIV- Aids ini.
"Mereka sebenarnya bukanlah berminat sangat untuk membela golongan ini tetapi disebabkan ada kepentingan dan banyak peluang yang akan mereka perolehi maka mereka menunjukkan minat terhadap golongan ini," dakwa Nasharudin.
Selanjutnya beliau yang juga bekas Anggota Parlimen Yan Kedah, mendedahkan kezaliman terbaru yang akan dilakukan Umno terhadap orang Melayu ialah penarikan semula elaun yang diberi kepada pelatih tajaan Mara khususnya pelatih-pelatih di Institut Kemahiran Mara (IKM).
Sebelum ini setiap pelatih di IKM diberi elaun bulanan sebanyak RM210 oleh Mara tetapi dengan arahan penarikan semula elaun ini yang dikeluarkan baru-baru ini maka selepas ini pelatih-pelatih di IKM tidak lagi menerima elaun bulanan ini.
"Penarikan semula elaun ini adalah satu tindakan yang sangat zalim terhadap orang Melayu kerana kesemua pelatih yang belajar di IKM adalah seratus peratus anak-anak orang Melayu, tidak ada bangsa lain belajar di sini," tambah beliau.
Ini adalah bukti jelas kezaliman Umno terhadap orang Melayu, "satu demi satu hak orang Melayu dihapuskan oleh Umno tetapi malangnya orang Melayu masih tidak sedar kezaliman demi kezaliman yang dilakukan Umno ke atas mereka.
Posted at 11:51 am by infojiboi
Permalink
Tuesday, August 30, 2005
XPDC Dakwah Anak Merdeka 2005
XPDC Dakwah Anak Merdeka 2005
Kenyataan Media DPPWP
Assalamualaikum w.w
Pertama-tamanya Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara kali ke-48 kepada seluruh warga masyarakat Malaysia. Pelbagai bentuk dan ragam sambutan telah terpamer dipersekitaran harian kita.
Pelbagai tafsiran menerjah arus pemikiran rakyat semasa, sekaligus mengoda kita menyelami hasrat pengalaman suka duka kenangan pejuang silam. Atas usaha gigih mereka kita pamerkan rasa kecintaan dan terima kasih. Jasa bakti mereka menaburi segenap ruang kejayaan negara wangsa masa kini.
Dikesempatan ini juga, DPPWP ingin menzahir seruan kepada seluruh anak bangsa merdeka untuk kembali menobatkan diri sebagai pencinta keamanan dan kemakmuran yang sejati. Menerokai hasrat itu, DPPWP sebagai pasukan belia warga kota metropolitan ini berasa terpanggil untuk turun meraikan sambutan meriah hari kemerdekaan, khususnya menjelang detik keramat, pukul 12 tengah malam 31 Ogos.
InsyaAllah DPPWP akan memimpin para belia menelusuri keheningan kota metropolitan ini bagi membasmi masalah sosial yang diwariskan setelah detik 12 malam berlalu. Pengalaman lepas, kita banyak diajukan sketsa panas di kedinginan malam akibat noda anak merdeka yang tanpa segan silu bercengkerama dibawah silau sang rembulan.
Bukan setakat pusat hiburan atau dataran tempat mereka bercanda, kami dimaklumkan bahawa tasik-tasik rekreasi, masjid KLCC juga menjadi sarang tumpuan kemaksiatan ini. Atas dasar itulah DPPWP dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, akan melancarkan gerakan khas bagi membuat pemerhatian, pemantauan dan juga pencegahan awal agar virus kemaksiatan dapat disekat dan dihapuskan.
Oleh itu DPPWP, menjemput seluruh warga kota tidak kira apa jua parti, lelaki atau wanita, tua atau muda untuk hadir ke XPDC Dakwah Anak Merdeka 2005 bersama pimpinan Pemuda dan masyarakat. Bagi yang berkelapangan untuk hadir, pihak kami menjemput anda untuk bersama kami berhimpun di Masjid KLCC pada pukul 10 malam dan satu taklimat khas akan diadakan sebelum para petugas XPDC diagihkan mengikut kawasan sasaran. Para petugas juga digalakkan memakai pakaian kemas, berbaju putih dan berseluar gelap bagi menunjukkan imej contoh para belia lainnya.
Sehubungan dengan itu, kami juga menjemput Para wartawan untuk hadir bagi membuat Liputan.Dijangkakan XPDC ini akan tamat selewat-lewatnya pukul 3pagi.
Pastikan anda tidak ketinggalan untuk bersama menerokai pengalaman berdakwah bersama pasukan kami. Bersamalah kita berkongsi nikmat kemerdekaan ini dengan mencari redha Illahi disamping membantu menyelamatkan anak bangsa yang masih kehilangan arah tuju kehidupan. Sebarang pertanyaan bolehlah diajukan kepada Sdr. Kamaruzaman - 019-2828536 atau Sdr. Suhaimi- 017- 3423283. Kita jumpa di sanaa...
Wassalam
Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
Posted at 04:59 pm by infojiboi
Permalink
Malaysia Idol x= Singapore Idol
Malaysia Idol x= Singapore Idol
Saya tertarik kepada satu artikel yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini, 29 Ogos 2005 bagaimana Singapura menjadikan seseorang idola bagi memacukan arah rakyat dan negara yang mempunyai matlamat yang bermanafaat.
Tetapi memanglah UMNO Malaysia mahukan rakyat terus leka dengan idola yang diciptanya supaya rakyat terus buta dengan maklumat supaya senang digetelkan kepala untuk terus menyokong mereka
Sehinggakan UMNO sanggup menggunakan polis secara kekerasan untuk menghalang rakyat daripada mendengar dan mendapatkan maklumat alternatif selain daripada yang tersedia ada. Sedangkan konsert hiburan dilindungi dan dikawal serta digalakkan walaupun audiensnya daripada kalangan yang gagal mengawal emosi masing-masing.
Inilah kerajaan Islam Hadhari yang menggunakan slogan semata-mata bagi mengaburi mata hati rakyat tetapi hakikatnya UMNO itulah dulu, kini dan selamanya. UMNO inilah yang patut kita hadapkan serangan bukannya perkara kesampingannya yang remeh temeh, yang sengaja diwujudkan mereka bagi mengalihkan perhatian. Bukannya Mawi tetapi UMNO yang menjahanamkan agama dan anak bangsa kita.
Di sini saya perturunkan artikel yang disiar di Utusan hari ini untuk dikongsi bersama.
"Melayu didodoikan kejayaan palsu"
Di Singapura, kami tidak mendewakan pemain-pemain bola.'' Begitulah kata-kata Phillip Yeo, Ketua Agensi Penyelidikan Untuk Sains dan Teknologi Singapura. Saya yakin Singapura juga tidak mendewa-dewakan golongan artis seperti yang berlaku kepada kita di Malaysia.
Saya tidak pernah terbaca atau mendengar berita yang penyiar TV di sana menganjurkan banyak siri realiti TV yang tidak mendatangkan sebarang faedah jangka panjang untuk kemajuan negara kecil mereka. Tetapi berlainan pula dengan negara kita, itu yang lebih diutamakan sejak kebelakangan ini.
Jika beginilah sikap rakyat negara kita nampaknya kita akan terus menjadi sebuah negara yang terbelakang dalam segala bidang yang berfaedah untuk masa depan negara.
Di Singapura, idola mereka adalah orang terpelajar, bukan artis. Orang terpelajar dijadikan contoh kepada anak-anak muda Singapura untuk mengejar kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.
Anak-anak mereka digalakkan mendapat pelajaran setinggi yang mungkin kerana mereka sedar tanpa generasi yang berpelajaran dan berpendidikan tinggi negara mereka akan ketinggalan.
Singapura sedang menuju ke arah apa yang disebut knowledge economy (ekonomi ilmu pengetahuan) tetapi kita lebih kepada entertainment economy (ekonomi hiburan).
Artis-artis yang berjaya meraih `ijazah' dari Akademi Fantasia (AF) lebih diberikan tempat dalam liputan akhbar daripada kejayaan anak-anak Malaysia yang berjaya dalam bidang sains dan teknologi.
Kalau beginilah cara orang Melayu menguruskan anak bangsa mereka nampaknya peluang untuk menjana Towering Malays atau Melayu Unggul akan punah.
Mana ada anak Melayu yang berjaya dalam bidang nyanyian di peringkat antarabangsa sehingga mereka terkenal seperti artis-artis dari Barat. Pernahkah kita mendengar jualan album artis-artis Melayu dijual jutaan keping di pasaran antarabangsa?
Kalau setakat menyanyi di Royal Albert Hall sudah dianggap satu kejayaan besar bagi anak Melayu dan bukan meraih ijazah kelas pertama di universiti Cambridge atau Oxford, rosaklah anak Melayu.
Kaum Cina dan India mendahulukan kejayaan akademik daripada hiburan tetapi untuk anak-anak Melayu, ibu bapa mereka sanggup berkorban apa saja, bergolok bergadai asalkan anak mereka mendapat tempat dalam Malaysian Idol dan AF.
Mereka tidak sanggup berkorban atau bergolok bergadai untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Sesungguhnya orang Melayu akan jadi bahan ketawa kaum lain pada suatu hari nanti.
Orang Melayu masih buta dengan agenda orang lain untuk menjatuhkan mereka.
Tulisan saya ini mungkin tidak akan menyenangkan orang yang tidak mengambil berat tentang arah tuju orang Melayu. Ia mungkin bagai cili yang terpepak atau pahit bagai hempedu tetapi seperti kata orang, yang pahit itulah ubat.
Malangnya orang Melayu suka digula-gulakan, dipuji berlebih-lebihan. Biar menang sorak kampung tergadai. Biar papa asalkan bergaya.
Sampai bila kita hendak dodoikan orang Melayu dan anak Melayu dengan kejayaan yang palsu. Kita mahukan durian tapi benih tomato yang kita tanam.
Di mana rasional dan logiknya? Begitu rendahkah daya fikir orang Melayu dan anak Melayu? Kalaulah pejuang kemerdekaan dari kalangan orang Melayu yang lalu masih hidup, mereka pasti akan menangis kerana kita telah gagal mendidik anak bangsa ke arah kemajuan yang dituntut oleh agama Islam.
Kita gagal mengisi kemerdekaan dengan anak-anak bangsa yang bijak berfikir dan bertindak demi kesinambungan kemegahan orang Melayu.
Mungkin Hang Tuah akan geleng kepala melihat orang Melayu hari ini menyalahgunakan kebebasan yang diperoleh. Mungkin Melayu tak hilang di dunia tetapi jika ada bangsa Melayu yang layu apalah gunanya.
Layu dengan lagu yang mendayu. Layu di pusat-pusat serenti. Layu di atas jalan raya yang serba moden. Layu di peringkat pengajian tinggi.
Posted at 01:37 pm by infojiboi
Permalink
Sejarah kemerdekaan negara yang sengaja digelapkan (Bahagian I)
Sejarah kemerdekaan negara yang sengaja digelapkan (Bahagian I)
 |
Tinggal beberapa hari lagi negara akan meraikan ulangtahun kemerdekaannya yang ke 48. Kebanyakkan dari pejuang kemerdekaan telah pun meninggalkan kita buat selama-lamanya, namun jasa dan pengorbanan mereka akan tetap abadi dalam lipatan sejarah.
Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar telah membuat kenyataan melalui Harakah edisi terbaru meminta supaya sambutan ulangtahun kemerdekaan kali ini akan menyingkap kemabli sejarah yang sebenar yang berlaku dalam perjuangan menuntut kemerdekaan termasuklah tokoh-tokoh pejuang yang benar-benar telah terlibat di dalam menyumbang kea rah kemerdekaan negara.
Umno sesungguhnya bukanlah pemilik tunggal perjuangan menuntut kemerdekaan dan hakikat ini perlu dibongkar untuk pengetahuan rakyat jelata khususnya jenerasi kini.
|
Malang sekali buku-buku sejarah di sekolah-sekolah rendah dan menengah sekadar mengagung-agungkan jasa para pejuang Umno semata-mata, seolah-olah Umno sahajalah yang bertanggungjawab memerdekakan bumi bertuah kita ini.
Hilang langsung jasa Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1939 jauh sebelum tarikh pendudukan Jepun di Tamah Melayu.Nama Ibrahim Hj Yaakub, pengasas KMM tidak mendapat tempat dalam sejarah versi kini. Menjelang penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu bermula tanggal 8 Disember 1941 penjajah British ketika itu telah mengisytiharkan darurat dan antara tahanan politik terawal dalam sejarah negara adalah barisan kepimpinan KMM ini iaitu seramai kira-kira 130 orang.
Ketika British menyerah kalah pada 15 Febuari 1942 Jepun telah memberi tempat kepada para pimpinan KMMwalaupun KMM tidak lagi dibenar bergerak. Antara ucapan Ibrahim Yaakub ketika itu sebagaimana yang tercatat dalam buku Ahmad Boestamam: Lambaian Dari Puncak (Memoir 1941-45) adalah:
Kemenangan tentera Jepun bukan bererti kemenangan bangsa Melayu. Kita mesti terus berjuang menuju cita-cita, dan kemenangan bangsa Melayu hanya akan datang apabila cita-cita yang kita perjuangkan itu tercapai.
Ibrahim Yaakub dan seorang lagi tokoh iaitu Dr Burhanuddin al Helmy terlibatb dalam usaha mengisytiharkan kemerdekaan negara bersama Indonesia melalui bantuan Jepun. Beberapa siri rundingan telah diadakan termasuklah yang melibatkan Sukarno dan Dr Hatta dari Indonesia. Cuma nasib tidak menyebelahi mereka, ketika persiapan akhir sedang dibuat , Jepun tiba-tiba menyerah kalah pada tanggal 15 Ogos 1945. Sukarno telah terus sahaja mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia tanpa Malaya pada tanggal 17 Ogos 1945 manakala Ibrahim Yaakob telah melarikan diri ke Indonesia.
Bermakna sebelum pun Umno bernyawa, telah ada usaha-usaha dan ikhtiar dari anak-anak bangsa untuk memerdekakan negara dari kuasa dan cengkaman penjajah. Mengapakah kita menyembunyikan fakta ini tiap kali negara memperingati ulangtahun kemerdekaan negara? (insyallah bersambung)
:.Roslan
Posted at 11:00 am by infojiboi
Permalink
PM diminta yakinkan rakyat beliau bukan anggota konspirasi terhadap Anwar
PM diminta yakinkan rakyat beliau bukan anggota konspirasi terhadap Anwar
"Selepas menteri Kabinetnya berkata, mahkamah telah bersihkan Anwar"
 |
KUALA LIPIS 29 Ogos (Hrkh) –Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyakinkan rakyat bahawa beliau bukanlah sebahagian daripada konspirasi yang menjatuhkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ seri Anwar Ibrahim.
“Abdullah mesti memperjelaskan beliau bukanlah sebahagian daripada konsprasi tersebut (selepas Mahkamah bersihkan Anwar),” kata Mahfuz ketika berucap pada majlis penerangan dekat sini kelmarin. |
Ini kerana Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggantikan Anwar yang dilucutkan jawatan pada 2 September 1998 dan dipecat daripada Umno.
Abdullah sebelum itu hanyalah Naib Presiden Umno kedua dibelakang Dato’ Seri Najib Abdul Razak tetapi Mahathir memilih Abdullah sebagai timbalanya dengan mengenepikan Najib yang lebih kanan daripadanya.
Menurut Mahfuz, jika Abdullah seorang pemimpin yang mempunyai integriti dan ketelusan beliau perlu memperjelaskan bahawa beliau bukannya terhasil daripada konspirasi terhadap Anwar.
“Ia perlu jelaskan kepada rakyat,” tegasnya.
Baru-baru ini mahkamah memerintahkan penulis Dato’ Khalid Jefri serta penerbit buku ’50 dalil kenapa Anwar tidak boleh menjadi PM’ membayar ganti rugi sebanyak RM4.5 juta kepada Anwar kerana memfitnah beliau.
Mahkamah juga memutuskan segala pertuduhan didalam buku tersebut adalah fitnah dan dihasilkan dari satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar.
Sebelum itu pada 2 September 2004, Mahkamah Persekutuan telah membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat, walaupun Anwar sebagaimana diketahui telah merengkok dalam penjara selama beberapa tahun.
Sebelum itu Anwar telah menghabiskan hukuman penjara enam yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan rasuah.
Kini buku ‘50 Dalik kenapa Anwar tidak boleh menjadi Perdana Menteri’ yang menjadi asas pertuduhan kepada Anwar telah disahkan mahkamah sebagai fitnah, ini bererti Anwar telah dianaiya dan menjadi mangsa dan menghabiskan masa bertahun-tahun dengan sia-sia di dalam penjara.
“Anwar dimalukan, diaibkan sebegitu rupa, tiba-tiba selepas beberapa tahun mahkamah mengatakan pertuduhan kepadanya yang terkandung didalam buku 50 Dalil kenapa Anwar tidak boleh menjadi PM itu hanyalah fitnah,” kata Mahfuz.
Menurut Mahfuz, jawapan kepada soalan mengenai keputusan mahkamah terhadap isu Anwar oleh Abdullah Badawi membayangkan betapa bercelarukan politik negara ini.
Abdullah berkata, kata Mahfuz, keputusan mahkamah memihak kepada Anwar adalah keputusan mahkamah ia tiada kena mengena dengan Umno.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Dato' Rais Yatim sebagaimana wawancaranya dengan akhbar Siasah bahawa mahkamah telah bersihkan Anwar, Abdullah berkata, "Itu kena tanya Rais.".
- zs
Posted at 10:47 am by infojiboi
Permalink
Guru dipindahkan kerana dedah rasuah Guru Besar
Guru dipindahkan kerana dedah rasuah Guru Besar
RASAH: Akibat daripada mendedahkan kegiatan rasuah seorang guru besar, Anbumuthu a/l Sinnasamy, 36 tahun, ditekan dengan mendapat arahan pindah sekolah secara mengejut.
Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Lorong Jawa, P Ramalingam dikatakan telah menyalahgunakuasanya dengan menuntut wang sejumlah RM7900 daripada operator kantin bagi membolehkan pengusaha kantin tersebut terus beroperasi di sekolah tersebut.
Empat slip bank kemasukan wang ke akaun Ramalingam dilakukan sekitar Februari yang lalu.
Guru Besar tersebut juga menjanjikan wang sogokan yang dimasukkan ke dalam akaun persendiriannya akan menjaminkan opertor kantin itu dapat kekal berniaga di premis sekolah berkenaan.
Akibat daripada marah akan tindakan guru tersebut, Guru Besar berkenaan memindahkan Anbumuthu ke sekolah luar dari Seremban di mana ianya bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani oleh guru yang berstatus pelajar yang sedang mengikuti Kursus Diploma Perguran Malaysia secara Kursus Dalam Cuti (KDPM-KDC) dipindahkan tempat mengajar sehingga tamat kursus.
Sehubungan dengan itu, Anbumuthu membuat aduan bertulis kepada Pengarah Badan Pencegah Rasuah(BPR) Negeri Sembilan pada 8 Februari yang lalu selain daripada membuat laporan polis pada 30 Mac.
Menurut koordinator Pusat Aduan Rakyat Angkatan Muda yang berpusat di Rasah itu, Mathurai Verans, mangsa tersebut juga menghantar salinan laporannya kepada Menteri Pelajaran, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau juga menghantar salainan laporan berkenaan kepada Presiden MIC, Menteri Besar Negeri Sembilan, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.
"Namum malangnya sehingga kini beliau masih terkapai-kapai menerima tekanan kerana tindakan berani mendedahkan jenayah rasuah tanpa mendapat perhatian mana-mana pihak. Tidak ada satu pun surat atau aduan yang beliau buat mendapat respon dari pihak berkenaan," kata Mathurai.
Menurut Mathurai, Mathurai yang mengeluarkan kenyataan pada 22 Ogos memandang serius perkara tersebut mendesak semua pihak terbabit untuk memberikan penjelasan mengenai perkara itu.
"Kementerian Pelajaran juga seharusnya tampil untuk memberikan penjelasan mengenai pertukaran guru terbabit," ulas Mathurai lagi.
Sebaik sahaja menerima aduan tersebut, Pusat Aduan Rakyat mendesak agar Pejabat Perdana Menteri, BPR Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban supaya memberi penjelasan yang menyebabkan kes tersebut ditangguhkan.
:.Malaysia Today
Posted at 10:28 am by infojiboi
Permalink
Dr. M : Penasihat yang nasihatnya tidak diperlukan
Dr. M : Penasihat yang nasihatnya tidak diperlukan
Akhbar THE STAR semalam mendedahkan tajuk eksklusif di muka depannya:
Dr M returns cars to Proton (Dr M pulangkan kereta-kereta ke Proton)
Dilaporkan ekoran kekecewaannya dengan perkembangan yang berlaku di dalam Proton, Penasihat Proton itu telah memulangkan kesemua kenderaan milik Proton yang diberikan untuk kegunaannya iaitu 7 semua sekali termasuklah VW Touareg, sebuah kenderaan pacuan 4 roda 4WD dan VW Phaeton serta beberapa siri Proton Waja.
Kekecewaan ini dikesan sejak dari penamatan perkhidmatan CEO Proton Tengku Mahaleel dan kemudiannya isu pengimportan kenderaan impot yang berleluasa yang didakwa menjejaskan jualan kenderaan tempatan.
Dari perkembangan tersebut jelas nasihat-nasihat Dr M sudah tidak diterima dan diambil kira lagi. Dahlah itu dalam akhbar-akhbar tempatan hari ini Dr M sendiri mendakwa sebagaimana dilaporkan dalam THE STAR:
I don’t know whats going on in Proton. I have no communication with them. I can only advice if I know something is happening.
Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku di Proton. Saya tidak dihubungi. Saya cuma boleh memberikan nasihat sekiranya saya tahu apa yang sedang berlaku.
Demikianlah rintihan Dr M berkebetulan disaat negara mahu merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke 48 esok. Nampak gaya Tun pun tak lamalah akan kekal menyandang jawatan Penasihat, kalau nasihat Penasihat pun dah tak diperlu, bermakna ia satu petanda bagi beliau untuk melepaskan jawatannya itu ataupun kelak akan dilepaskan darinya.
Malah bila ditanya adakah beliau masih Penasihat Proton secara sinis Dr M menjawab:
Ya, saya masih lagi penasihatnya, setahu sayalah.
Demikianlah hari-hari terakhir Dr M di Proton. Merdeka!
:.Roslan
Posted at 10:07 am by infojiboi
Permalink
|
|
|