<< September 2005 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03
04 05 06 07 08 09 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30


Al-Quran -

Search Islamic Directory
Keyword:


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Monday, November 14, 2005
Mari berhujah atas isu moral

Akhbar The STAR hari ini melaporkan yang Timbalan Presiden Umno Najib Tun Razak menggesa agar kerajaan PAS Kelantan membubarkan Dewan Undangan Negeri Kelantan kiranya tewas di pilihanraya kecil DUN Pengakalan Pasir 6 Disember ini. Kata beliau mustahil PAS dapat mentadbir negeri tersebut dengan selesa dengan kelebihan cuma 1 kerusi.

Kata beliau:

There was no provision in the constitution to force the Kelantan State Assembly to be dissolved but added that MORALLY, PAS should give the rakyat fresh mandate to choose a government of their choice.

Tidak ada peruntukkan di dalam perlembagaan yang memaksa pembubaran Dewan Undangan Negeri Kelantan, walaubagaimanapun dari segi MORAL, PAS sepatutnya memberikan mandate baru kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang mereka mahu.

Bermakna kalau kerajaan PAS terus juga memerintah dengan majoriti 1 kerusi pada pandangan Najib PAS Kelantan tidak bermoral.

Menarik juga bila pemimpin Umno mula bersyarah dan mendendangkan lagu MORAL. Kerana pada persepsi masyarakat ramai biasanya yang tidak ber MORAL itu adalah Umno sendiri. Sekadar renungan berikut saya titipkan beberapa insiden TIDAK BERMORAL Umno untuk tatapan semua pihak. Mungkin senarainya boleh diperpanjangkan lagi.

Pertama:

Mengapa Rafidah Aziz masih Menteri MITI sehingga hari ini? Setelah , ditelanjangkan oleh bekas PM Tun Dr M, dibelasah dalam Perhimpunan Umno, dikerjakan dalam Dewan Rakyat kerajaan Umno BN masih mengekalkan Rafidah sehingga hari ini. Tidakkah tindakan Pak Lah dan Najib ini tidak ber MORAL?

Kedua:

Lembaga Disiplin Umno telah mendapati beberapa pemimpinnya terlibat dalam politik wang termasuklah seorang menteri, beberapa anggota EXCO termasuklah wakil rakyat. Ada yang digantung keahlian, diberi amaran dan seumpamanya. Kesalahan mereka adalah terlibat dalam politik wang iaitu menyogok orang lain untuk mendapatkan kuasa, ringkasnya mengamalkan rasuah. Umno sepatutnya dari segi MORAL melaporkan semua pesalah ini ke BPR untuk diadili pula menurut undang-undang negara. Mengapa tidak?

Ketiga:

Mereka-mereka di atas walaupun ada yang disuruh meletakkan jawatan Menteri dan seumpamanya, namun tidak melepaskan kerusi-kerusi mereka. Contohnya Isa Samad masih lagi seorang ahli parlimen. Dari segi MORAL sepatutnya Isa yang didapati bersalah bergelumang dengan rasuah politik turut dinasihat mengosongkan kerusinya. Mengapa tidak?

Keempat:

Kaum kerabat pemimpin Umno BN terang-terangan terlibat dalam perniagaan yang ada diantaranya terbabit dengan kontrak ataupun kepentingan kerajaan. Dulu orang menuduh Tun Dr M mengamalkan kronisma dan nepotisma, kini ianya sudah menjadi amalan biasa. Sepatutnya dari segi MORAL ahli keluarga Presiden, Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan seluruh pimpinan kanan Umno dan BN tidak terlibat dalam amalan seumpama ini. Bolehkah dari segi MORAL umpamanya syarikat yang menantu PM menjadi salah seorang pengarahnya dibenarkan menganjurkan lawatan misi perniagaan ke negara luar yang turut disertai oleh PM dan menteri-menteri kanannya?

Kelima:

Pengerusi Briged Putera Umno secara terang-terangan dalam satu wawancara mendakwa bahawa beliau berkelulusan MBA dari sebuah universiti di AS. Apabila disiasat didapati bahawa beliau tidak pernah malah tidak layak pun memasuki IPT dengan latar belakang akademiknya yang rendah. Beliau didakwa telah membeli ijazah tersebut. Dari segi MORAL bagaimana Umno boleh membenarkan seorang yang sedemikian rupa memimpin pula anak-anak muda remaja di dalam parti tersebut?

Keenam:

Amalan menyogok dan menggula-gulakan para pengundi semasa PRU atau PR Kecil memang merupakan keistimewaan Umno zaman-berzaman! Malah ianya sedang pun berlaku di Pengkalan Pasir. Jelas tindakan ini tidak ber MORAL mengikut apa standard sekalipun. Termasuklah usaha untuk membeli adun-adun PAS dan semasa PRU lalu membeli calon-calon PAS sebegaimana yang ditangkap terang-terang di Johor.

Banyak lagi isu-isu moral yang lebih besar melibatkan Umno dan BN tidak ditangani dengan sewajar-wajarnya, tiba-tiba Najib dan para pemimpin Umno mahukan kerajaan PAS Kelantan bertindak mengikut moral.

Saya yakin sekiranya kempen PR Kecil di Pengkalan Pasir dapat dijamin dijalankan dengan seadil dan setelus-telusnya insyallah PAS akan dapat bertahan di sana, dan kestabilan kerjaaan PAS Kelantan terjamin.

Kalau ditakdirkan kalah sekalipun isu MORAL tidak berbangkit kerana Najib sendiri akui tiada peruntukkan dalam perlembagaan yang boleh memaksa sesebuah dewan dibubarkan dalam siatuasi sedemikian. Yang jelas terbabit dan terpalit dengan isu MORAL adalah Umno, maka selesaikanlah perkara-perkara moral dalam rumah tangga sendiri sebelum mahu menjenguk dan konon-kononnya membersih rumah tangga orang lain.

Posted at 02:12 pm by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Isu tudung: Perkara hukum turut dibahaskan orang bukan Islam

Saya sebenarnya tidak dapat mencari ayat yang sesuai untuk dijadikan tajuk artikel ini. Hati saya pilu, pedih, sedih dan marah apabila melihatkan isu berkenaan aurat wanita Islam kita dibiarkan diperbahas dan disenda gurau oleh semua pihak termasuklah masyarakat bukan Islam. Sekali lagi apabila berbangkit isu yang melibatkan umat Islam pihak berkuasa terutama mereka yang bertanggungjawab ke atasnya (JAKIM, para Mufti, Jabatan Agama) membisu mendiamkan diri, sehingga orang lain menyangka bahawa mereka juga boleh memberi pandangan dan pendapat kerana tiada larangan dan amaran.

Maka terbitlah artikel dalam akhbar dan laman web milik bukan Islam, contohnya dalam akhbar The STAR terdapat dua artikel (satu artikel pada 6 November lalu: Lets not cover up the tudung issue – tulisan Wong Chun Wai) (terbaru hari ini: Veiled threat to nation building dan Iranian revolution the catalyst for tudung code – yang malangnya kedua-dua artikel tulisan penulis Islam), dalam BLOG Screenshots milik Jeff Ooi artikel: Lets not cover up the tudung issue telah mengundang 75 komen terutama dari bukan Islam.

Pihak berkenaan seperti biasa diam membatu kerana menunggu reaksi pihak berkuasa politik. Takut-takut kalau terlalu cepat bersuara, nanti Pak Menteri keluarkan kenyataan berbeza, maka dia akan terperangkap, sekali lagi isu periuk nasi diberi keutamaan. Sedangkan ini isu agama, isu hukum, tak perlu takut kepada Pak Menteri dan ahli politik, takutlah pada Allah!

Isu ini mula bangkit apabila dibawa oleh Ketua Pembangkang ke Parlimen ekoran isu graduan UIA yang diwajibkan berpakaian jubah bertudung kepala di majlis konvokesyen tidak kira samada yang muslim ataupun tidak. Saya sudah pun membuat ulasan berkenaan perkara ini, dan saya menegaskan sekali lagi dalam hal ini Islam tidak pernah memaksa mereka yang bukan Islam, kecualilah ini hal pakaian seragam - perkara peraturan dalaman (sebagaimana kerajaan PAS Kelantan dalam hal pakaian sopan untuk para pekerja wanita bukan Islam dalam kawasan MPKB, tidak pun mewajibkan mereka bertudung, cuma berpakaian sopan, itupun segala kerabat BN telah berkokok)

Kalau setakat mewajibkan yang bukan Islam bertudung sewaktu konvokesyen, maka hadkanlah perbincangan berkenaannya disitu, jangan meleret-leret sehingga berbahas dan mempertikaikan pula penggunaannya dikalangan masyarakat Islam!

Wong Chun Wai (The STAR) menulis:

Among Muslims, the question of whether to wear the tudung or not is a contentious issue. For my Muslim friends and colleagues, the tudung is a symbol of piety and religion. They regard it as compulsory while many others, who do not wear it say it is matter of choice.

Sesama masyarakat Islam, isu samada memakai tudung ataupun tidak sentiasa menjadi isu pertikaian. Bagi rakan-rakan muslim saya, mereka mengenakan tudung kerana taat pada agama. Mereka menganggapnya sebagai wajib manakala bagi sebahagian besar yang lain yang tidak mengenakannya, menganggap bertudung atau tidak sebagai satu pilihan.

Wong menganggap mereka (sudah pastilah yang beragama Islam) yang di IPTA yang mewajbkan pemakaian tudung dikalangan siswi mereka sebagai:

Taliban-style zealot/ fanatic ala-Taliban

Shamsul Akmar (The STAR – yang sudah pasti ramai pembacanya adalah masyarakat yang bukan Islam) menulis:

The bigger issue is actually where the government stands on the tudung issue. It is not the government policy to impose the wearing of the tudung but some employees have taken it upon themselves to enforce it on their Muslim subordinates.

Some school teachers are the worst lot. They prey on children who have yet to determine their religious conviction.

Many of these children succumb to peer pressure and become ashamed of their parents who do not don the tudung.

Isu yang lebih besar adalah apakah sikap kerajaan atas isu tudung ini? Ia bukanlah satu polisi kerajaan untuk mewajibkan pengunaan tudung akan tetapi terdapat kakitangannya yang memaksa kakitangan bawahannya untuk berbuat demikian.

Dan guru-guru sekolahlah antara yang paling teruk. Mereka memantau kanak-kanak yang masih belum memahami agama.

Kebanyakkan kanak-kanak ini akhirnya menghadapi tekanan dari kalangan sesama mereka dan menjadi malu apabila ibu mereka tidak bertudung.

Kalau Wong Chun Wai dan Jeff Ooi yang bukan Islam itu, menulis perkara-perkara sebegini, walaupun dalam keadaan marah kita boleh berkira-kira lagi, akan tetapi Shamsul tidak sepatutnya menconteng arang ke atas hukum dan peraturan agama kita.

Setakat yang saya tahu tidak ada seorang pun ulamak di Malaysia yang berani mengatakan bahawa bertudung itu satu pilihan (bagi muslimat yang telah baligh) (kecuali Astora Jabat – tetapi Astora bukan ulamak!). Ini kerana tuntutan hukumnya begitu jelas diperturunkan oleh Allah swt dan ditetapkan oleh Rasul Nya saw.

Tak kiralah kalau isteri TPM tidak mahu bertudung (terbaru Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Umno Kelantan di Mini Stadium Pasir Mas), Menteri wanita seperti Rafidah dan Azalina enggan bertudung, isteri-isteri menteri, timbalan menteri dan pemimpin-pemimpin Islam tertentu yang lain tidak mahu bertudung, keenganan serta keingkaran itu pilihan mereka. Akan tetapi ketetapan hukum tidak boleh berubah kerana pilihan dan kehendak mereka!

Dalam keadaan maruah Islam dimain-mainkan ini saya berharap kalaulah ada kesedaran dikalangan mana-mana pihak yang berkuasa, (Dr Abdullah Md Zain ke, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa ke, Pengarah JAKIM ke atau siapa sahaja yang berotoriti) segeralah terangkan bahawa hukum bertudung itu wajib ke atas semua wanita Islam yang baligh agar masyarakat bukan Islam termasuklah yang Islam seperti Shamsul boleh faham dan tidak lagi perkara ini dijadikan bahan main-mainan lagi.

Posted at 11:53 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Friday, November 11, 2005
BIMB: PEGAWAI SAJE KE YANG SALAH?

Sebenarnya sejak beberapa tahun yang lepas, syarikat-syarikat yang menjual kenderaan baru dan terpakai sebuk menyaran kepada pelanggan-pelanggan mereka untuk menggunakan perkhidmatan pinjaman Bank Islam. Segala bentuk kemudahan termasuk memperolehi pinjaman dengan mudah dan ada pula yang mengatakan bahawa, sekiranya pelanggan tidak mempunyai slip gaji, ada pihak yang sanggup untuk membuatkannya agar memudahkan pinjaman diluluskan.

Jika Bank Islam mempunyai kakitangan yang jujur dalam menjalankan kerja dan mengikut prosidur yang ditetapkan, mungkin penipuan begini, tidak mudah untuk dilakukan. Pihak dalaman yang mungkin mencari komisyen dari urusniaga tersebut menjadikan ia satu bentuk penipuan yang mudah dan mendatangkan hasil yang lumayan kepada yang terlibat. Kerana itu sambutan orang-ramai untuk menggunakan perkhidmatan Bank Islam semakin ramai.

Itu hanyalah satu dari beberapa cara penipuan. Untuk menghasilkan kerugian yang berjumlah 700 juta, kakitangan dan pegawai BIMB, perlu menghasilkan idea penipuan yang berbagai-bagai bagi mendatangkan kerugian yang berjumlah seperti yang disebut kan. Siapa yang memakan cili, pastinya kini pedih kepanasan apabila Pihak berkuasa bertindak untuk menggali dan mengorek asbab kerugian tersebut.

Nampaknya dalam mencari pesalah dalam isu kerugian tersebut, undang-undang hanya akan dikenakan kepada mereka yang berjawatan rendah. Apakah Pihak tertinggi BIMB seperti pengarah-pengarah dilepaskan dan mereka kebal dari undang-undang. Sedangkan 700 juta kerugian yang dihasilkan dalam tempoh beberapa tahun sudah tentu diketahui oleh lembaga pengarah dan bank negara setiap hujung tahun ketika pembentangan audit yang dilakukan. Adakah semudah itu, pengarah, lembaga pengurusan dan bank negara lepas tangan?

Apa sebenarnya tanggung-jawab lembaga pengarah? Adakah mereka hanya menerima elaun dan kemudahan sebagai pengarah sedangkan tanggung-jawab atas kerugian yang dialami hanya bakal ditanggung oleh mereka yang berjawatan rendah? Mungkin ada benarnya jika rakyat mengatakan bahawa, undang-undang kerajaan Malaysia hanya dibuat untuk mereka yang berjawatan rendah (rakyat) sahaja. Maka kalau PM atau menteri ada mengatakan bahawa undang-undang untuk semua lapisan, maka ia adalah benar-benar TEMBERANG yang jelas, tetapi ia cuba disalah tafsirkan.

Walaupun rakyat sedar bahawa, kebanyakan kes yang melibatkan mereka yang berpangkat Dato' ke atas hanya akan dibuat bagi tujuan politik dan propaganda politik, sedangkan mereka yang hidup mewah meskipun mempunyai rekod yang buruk seperti, menjadi tawkey rumah pelacuran, judi haram dan sebagainya, mereka tetap terlepas dari hukuman. Kita boleh rujuk kepada kes yang baru melibatkan peniaga yang bergelar Dato' dan mempunyai beratus syarikat yang kebanyakannya adalah syarikat yang salah disisi undang-undang. Ditahan untuk 1 malam atas tuduhan mengancam negara. Setelah dibantu oleh Peguamnya, beliau lepas sambil mengucapkan terima kaseh di atas bantuan akhbar dan media yang menyiarkan berita berkenaan beliau. Apakah ini namanya keadilan? Jika dibandingkan dengan beberapa tahanan ISA yang dituduh tanpa perbicaraan sehingga ditahan bertahun-tahun adakah undang-undang Malaysia sememangnya undang-undang yang adil.

Nampaknya benar kata Tunku Abdul Rahman sesuatu ketika dulu, bahawa jika Pencegahan Rasuah di ketuai oleh mereka yang juga berasuah maka ia bukanlah satu pencegahan, malah merupakan galakan dan dorongan kepada mereka-mereka yang terlibat untuk terus beraktiviti rasuah dalam sepanjang kehidupan mereka di negara Malaysia.

Inilah kepimpinan Malaysia kini, pencegahan dibuat untuk menjatuhkan musuh politik dan untuk memenangi Pilihanraya. Ugama diambil berat untuk mempengaruhi pengundi yang taat beragama. Selepas undi diperolehi dan kemenangan dikecapi, segala-gala bentuk amalan HARAM berjalan dengan lancar malah didorong dan diberi perlindungan seolah-olah seperti mempertahankan adat resmi kaum Melayu.

Kesimpulannya, undang-undang adalah suatu tindakan yang dikenakan kepada rakyat dan undang-undang digunakan oleh pemimpin untuk kepentingan diri sendiri dan yang seangkatan dengannya. Kita tunggu dan lihat samaada isu BIMB ini akan diselesaikan dengan langkah-langkah yang adil atau ia sekadar tindakan yang berbau politik dan untuk kepentingan mereka-mereka yang bernama Pemimpin dalam negara yang mempunyai Had dan Harinya. 700 juta kerugian hanya diketahui pada tahun ini kerana, Bank Negara dan kerajaan tidak mampu untuk terus menutup kesalahan yang seolah-olah luka yang merebak dan tidak mampun untuk menutupnya. Oleh itu pendedahan dibuat untuk tujuan menipu rakyat, membantu pengarah-pengarah dan menjatuhkan hukuman kepada mereka di bawah. Akhirnya bantuan rakyat diperlukan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dilakukan mereka yang berjawatan tinggi. Ketawa bila ada untuk dan lari ketika rugi.

Macam-macam...."

Posted at 03:45 pm by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Thursday, November 10, 2005
Krisis keruntuhan moral rakyat Malaysia

  Durex adalah sebuah syarikat pembikin kondom antarabangsa. Setipa tahun syarikat ini menjalankan kajian yang dinamakan Durex Global Sex Survey. Tujuan kajian ini adalah untukmeneliti kecenderungandan gaya seks masyarakat dunia.

Di Malaysia Durex telah turut membuat kajian melibatkan 5,409 orang respondan. 72 peratus respondan terdiri dari mereka dalam lingkungan 21 ke 34 tahun manakala 15 peratus melibatkan mereka yang di bawah 20 tahun.
 
Dari kajian yang dibuat rata-rata para respondan menyatakan bahawa mereka telah mengadakan hubungan seks seawall usia 19 tahun!
Di Malaysia sebagaimana yang kita tahu usia 19 tahun ini biasanya melibatkan mereka yang masih belum mendirikan rumah tangga lagi bermakna seawall usia 19 tahun anak-anak kita telah melakukan zina ataupun hubungan seks di luar nikah!

Dan diantara hasil kajian yang turut membimbangkan lagi adalah:

· 1 dari setiap 10 respondan mengakui pernah mengadakan hubungan sesama jenis atau homoseks
· 29 peratus pernah mengadakan hubungan seks dengan orang yang baru dikenali ataupun pelacur
· 14 peratus yang bernikah pernah mengadakan hubungan seks dengan bukan pasangannya
· 9 peratus pernah mengadakan hubungan seks bertiga ataupun threesome

Walaupun kajian ini dibuat oleh syarikat berkenaan untuk mempromosi produknya namun hasil kajiannya perlu kita berikan perhatian kerana ianya melibatkan isu nilai, moral dan masadepan masyarakat kita.

Hasil kajian ini membuktikan bahawa segala langkah dan sistem yang diperkenalkan kononnnya untuk melahirkan masyarakat bermoral dan bertaqwa jelas telah gagal dan sewajarnya dihumbankan ke longkang sahaja!

Sekiranya benarlah kajian ini mencerminkan budaya dan perlakuan masyarakat kita, bermakna kita berdepan dengan suatu krisis yang besar dan serius yang perlu ditangani segera sebelum ianya menghancurkan nilai dan pegangan agama yang selama ini kita pertahankan.

Allah swt berfirman dalam surah al Israa ayat 32:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya.
(Bukhari/Muslim)

Posted at 04:19 pm by infojiboi
Klik Untuk Komen  

SAJAK - " Dajjal"

Kearifan umat telah pupus dihakis,
materialisme, hedonisme dan egoisme
mereka tidak lagi memahami isyarat demi isyarat
bukankah bebal namanya, jika mereka tidak menyedari
dajjal telah lama lahir, kini
ia telah telah telanjur dewasa, sakti dan sadis
keadilan, kebenaran, kamanusiaan mutlak monopoli sang dajjal
sesiapa yang tidak mengikut telunjuknya, akan menggigit telunjuk
sesiapa yang berani mengangkat muka, akan diboikot
sesiapa yang berani melawan, akan diserang
sesudah dia menakluk Afganishtan
dia mengganyang Iraq, hingga hancur berkecai
sedang menunggu giliran Syria, Iran, Lybia dan Sudan
bukan mustahil Indonesia, Malaysia dan Brunai akan disekali-harungkan saja
leceh, buat kerja remeh dua tiga kali.

Ingat,
sasaran utama dajjal ini hanyalah Islam
dia tidak akan berhenti mengganas
sebelum umat mempertuhankan mereka.

Sekarang,
di muka bumi ini, tidak ada satupun yang
berani menentangnya, kalau ada
setakat bersungut-sungut di belakang, itupun
sekadar sandiwara politik untuk mengekalkan kuasa para bonekanya,
yang begitu, memang hala-halal saja.

Malangnya,
walaupun Amerika telah mengisytiharkan kedajjalannya
sebahagian besar penguasa umat menyanjungnya, sebagai
dewa penyelamat untuk mengekal tahta mereka, kalau
umat melihat Amerika punca segala kehancuran tamadun Islam
penguasa melihatnya sumber segala kemajuan
bagi mereka
dajjal, hanyalah kisah nenek kebayan, yang
telah lama ketelan zaman.

Sebenarnya,
punca bala dan musibah umat ini, kerana
hampir mustahil mencari penguasa tanah syahadah seorang muslim yang sejati
surah dan hadist akan meluncur dari bibir mereka dan tali barutnya
semata-mata untuk menghukum pengkritiknya
semata-mata untuk menyingkir pembangkang
semata-mata untuk menghalalkan menangkap dan kalau perlu membunuh
para pengungkit kezaliman mereka
lalu, kriteria kepimpinan yang layak, adil dan penuh hikmah kebijaksanaan
lalu, persaudaraan sesama muslim yang mengatasi kecintaan diri sendiri
lalu, arahan berjihad mempertahankan maruah dan keadaulatan umat
telah lama mereka padam dari al-Qur'an dan Sunah.

Sahabatku, sedarkah kalian
para penguasa tanah syahadah sekarang
telah sengaja meng-antik-an a-Qur'an dan Sunah
kitab suci yang selalu mereka belek-belek
demokrasi, sekularisme, materialisma dan yang mutakhir globalisasi
zikir yang selalu diwirid-wiridkannya
modenisasi, pembangunan, kemewahan dan kebebasan tempadan
matlamat akhir mereka, tidak lain tidak bukan
bagaimana mengekalkan dinasti mereka hingga ke akhir zaman.

Natijahnya,
para penguasa tanah syahadah, telah lama secara terselubung
memproklamirkan diri mereka sebagai dajjal-dajjal kecil
tapi, kadangkala dajjal-dajjal kecil ini
jauh lebih gila dan buas daripada induk mereka.

Posted at 11:09 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Memahami keistimewaan dan Tujuan al-Quran

Allah telah memuliakan kita kaum muslimin dengan menurunkan sebaik-baik kitab iaitu al-Quran sepertimana Allah memuliakan kita dengan mengutuskan sebaik-baik rasul. Kaum muslimin adalah satu-satunya umat yang mempunyai perutusan dari langit yang terpelihara daripada penyelewangan dan kebatilan. Perkara ini disebabkan kerana Allah sendiri yang memeliharanya. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya kami yang memeliharanya.” (al-Hajr, ayat 9)

Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati-hati manusia ke arah jalan kebaikan dan kebajikan. Antara ciri-ciri dan keistimewaan al-Quran adalah :-

pertama,
ia merupakan kitab ilahi iaitu datangnya dari Allah yang tidak ada keraguan padanya. Allah menurunkan al-Quran melalui Malaikat Jibrail. Firman Allah yang bermaksud : “ Suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara teperinci yang diturunkan di sisi Allah Yang Maha Bijaksana lagi maha Mengetahui.” (Hud, ayat 1)

Kedua ialah al-Quran merupakan kitab yang terpelihara sepertimana jaminan yang telah diberikan oleh Allah untuk memeliharanya. Oleh demikian, kita dapati begitu ramai orang yang menghafal al-Quran dengan baik sejak kanak-kanak lagi dan Allah memudahkan mereka untuk mengingatinya. Pemeliharaan tersebut juga didapati dengan penulisan al-Quran yang rapi oleh para sahabat selepas ayat-ayat tersebut diturunkan dan dibukukan pada zaman khulafa’ al-Rasyidin.

Ketiga,al-Quran merupakan kitab mukjizat yang terbesar dikurniakan kepada nabi Muhammad yang mencabar kekuatan dan pemikiran manusia. Manusia tidak mampu untuk menandingi al-Quran sama ada dari segi bahasa, makna dan cerita-cerita yang terkandung di dalamnya. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan jika kamu tetap ragu-ragu tentang apa yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), maka datanglah satu surah sepertinya dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah jika kamu benar-benar orang yang benar.” (al-Baqarah, ayat 23-24)

Keempat, al-Quran merupakan kitab yang mudah difahami dan jelas maksudnya. Ia bukan kitab falsafah yang mengandungi teori-teori yang memeningkan. Ahli falsafah menyebutkan bahawa falsafah itu apabila diterangkan dan tidak difahami itulah dinamakan falsafah. Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk difahami dan sasaran adalah untuk manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud : “ dan sesungguhnya kami mempermudahkan al-Quran itu untuk diingati, maka adakah ada orang mahu mengambil pengajaran.” (al-Qamar, ayat 17)

Kelima, al-Quran merupakan kitab agama secara keseluruhannya yang mengandung aspek akidah, ibadah, akhlak dan perundangan. Sesiapa yang ingin memahami akidah yang betul dan suci, maka hendaklah ia menggali dari al-Quran. Al-Quran memberi dalil-dalil yang jelas tentang keesaan Allah. Firman Allah yang bermaksud : “ Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah kedua-duanya telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai Arash daripada apa yang mereka sifatkan.” ( al-Anbiya’, ayat 22) Begitu juga al-Quran mengandungi syariat dan peraturan untuk kehidupan manusia. Syariat ini meliputi aspek individu, keluarga, masyarakat, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa. Di samping itu, al-Quran menegaskan pembinaan akhlak melalui penghayatan sifat sabar, gigih berusaha, tekun, bertawakkal dan reda dengan ketentuan ilahi.

Keenam, al-Quran merupakan kitab sepanjang zaman, bukan kitab untuk zaman tertentu atau untuk generasi tertentu. Ini bermakna bahawa al-Quran merupakan kitab yang kekal abadi hingga hari Qiamat. Oleh itu, tidak harus kaum muslimin mengatakan bahawa al-Quran itu sesuai untuk zaman nabi sahaja atau zaman para sahabat dan tidak sesuai lagi pada zaman moden ini.

Ketujuh, al-Quran merupakan kitab kemanusiaan dan kehidupan. Oleh sebab itu, Allah menjadikan al-Quran sebagai kitab petunjuk kepada manusia dan alam. Firman Allah yang bermaksud : “ Pada bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara hak dan batil).” (al-Baqarah, ayat 185)

Inilah tujuh perkara ciri-ciri keistimewaan al-Quran yang membezakan kitab-kitab yang lain. Al-Quran diturunkan untuk umat Islam mengimani dengan penuh keyakinan akan kebenarannya. Allah menyebutkan bahawa sifat mukmin sejati adalah mereka yang tidak sama sekali ragu tentang kandungan al-Quran. Nabi Muhammad apabila tiba bulan Ramadhan baginda akan bertadarus bersama Jibrail dan rumah yang sentiasa diterangi dengan bacaan al-Quran akan dilimpahi rahmat dan berkat. Penurunan al-Quran merupakan nikmat yang terbesar dikurniakan Allah kepada umat Islam. Oleh itu, kita harus bersyukur dengan membuktikannya melalui taat segala perintah al-Quran dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya dan menjadikan kita sebagai ahli al-Quran., bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tetapi juga dalam bulan-bulan yang lain.

Memahami Tujuan-Tujuan al-Quran

Al-Quran ialah kalam Allah yang bermukjizat yang diturunkan kepada nabi s.a.w. yang ditulis di dalam mushaf yang dipindah dengan tawatur dan menjadi ibadat membacanya.
Penurunan Al-Quran mengandungi tujuan-tujuan (maqasid al-Quran) yang tertentu.

Pertama, tujuan al-Quran ialah membetulkan akidah, mensabitkan ketuhanan Allah yang Maha Esa, tugas nabi-nabi dan penyataan kewujudan hari akhirat. Al-Quran mengambarkan bahawa syirik merupakan satu perbuatan dosa yang besar dan tidak diampuni oleh Allah. Kesemua para nabi menyeru manusia kepada Allah yang Maha Esa. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan sesunguhnya kami telah mengutus rasul pada setiap umat yang menyeru ; “sembahlah Allah saja dan menjauhi Thaghut itu.” (al-Nahl, ayat 36) Di samping itu, al-Quran menjelaskan keperluan manusia kepada nabi-nabi dan risalahnya, menerangkan tugas para nabi dan menolak dakwaan dan tanggapan yang salah mengenai nabi. Al-Quran juga menjelaskan kewujudan hari akhirat itu benar dan pasti setiap manusia akan menghadapinya.

Kedua, tujuan al-Quran ialah pengisytiharan terhadap kemuliaan manusia dan hak-haknya. Al-Quran menegaskan bahawa manusia adalah makhluk yang mulia yang dijadikan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian. Oleh sebab itu, al-Quran melarang sebahagian golongan pelampau yang mengharamkan perkara-perkara baik dan perhiasan seperti yang diungkapkan oleh Allah dalam surah al-Araaf, ayat 32. Al-Quran juga memperakui hak-hak asasi manusia seperti kebebasan bersuara, berfikir, beriktikad, tempat tinggal dan mencari reziki.

Ketiga, tujuan al-Quran ialah memberitahu bahawa manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah. Allah yang menciptakan manusia, memberi reziki, mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak dapat dihitung. Oleh itu, menjadi hak Allah untuk manusia bersyukur dan bertakwa kepadanya. Orang yang bertakwa akan mendapat keberkatan, reziki yang murah, terpelihara dari gangguan musuh, sentiasa mendapat petunjuk dari Allah dan berjaya dari azab akhirat.

Keempat, tujuan al-Quran adalah untuk menyucikan jiwa manusia (tazkiyyah al-Nafs). Al-Quran sentiasa menyeru manusia supaya membersihkan jiwanya dengan melakukan kebaikan. Beruntunglah orang yang dapat memimpin jiwanya ke arah keredhaan Allah. Secara fitrahnya, jiwa boleh terjerumus ke lembah kehinaan apabila ia tidak dididik dan jiwa boleh mencapai tahap termulia apabila ia dibersihkan. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan jiwa serta penyempurnaan ciptaanya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (al-Syams, ayat 7-10)

Kelima, tujuan al-Quran ialah membina keluarga yang soleh yang menjadi teras kepada kekuatan umat. Al-Quran menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perkahwinan itu dapat melahirkan ketenangan, kebahagiaan dan rahmat. Al-Quran memerangi golongan yang menghalalkan homoseksual dan lesbian kerana ia melanggari fitrah manusia. Di samping itu, Islam juga memerangi golongan yang mengharamkan perkahwinan atas alasan bahawa perkahwinan adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Al-Quran juga memberi kedudukan yang mulia kepada wanita dengan mengangkat martabat mereka menyamai kaum lelaki dari segi amalan dan ganjaran pahala.

Keenam, tujuan al-Quran adalah untuk membina umat yang mempunyai kemuliaan dan menjadi saksi atas umat yang lain. Umat yang mengasaskan kehidupannya berteraskan kepada akidah, syariat dan akhlak Islam sekaligus membawa rahmat kepada manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud : “Dan tidak kami utuskan kamu (Muhammad) kecuali untuk membawa rahmat bagi seluruh alam.” (al-Anbiya’, ayat 107)

Antara keistimewaan umat Islam ialah ia adalah umat rabbani iaitu umat yang hidup kerana mencari keredhaan Allah, beribadat kerana Allah dan menjalankan manhaj Allah di atas muka bumi ini. Di samping itu, ia juga adalah umat sederhana dan seimbang, umat yang sentiasa berdakwah ke arah kebaikan dan umat yang sukakan kesatuan dan bersatu padu. Inilah empat ciri umat Islam berbanding dengan umat yang lain. Ketujuh, al-Quran menyeru kepada aspek keinsanan yang tolong menolong antara sesama manusia. Umat Islam bukan umat yang menyendiri tanpa menghiraukan bangsa-bangsa yang lain. Oleh itu, Islam menghormati kebebasan beragama dan perbezaan pendapat.Umat Islam berperanan untuk menyeru manusia ke arah hidayah Allah, keimanan, kemakmuran dan kebahagiaan yang hakiki. Dengan sebab demikian, Allah memuji umat ini kerana mereka menjalankan amar makruf wan nahi annil mungkar. Inilah tujuh perkara antara yang digariskan oleh para ulamak sebagai tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia.

Posted at 10:59 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Fakta Arak Rejimen Askar Melayu DiRaja

Sebelum tahun 1980an, arak adalah merupakan satu kemestian terdapat di mes-mes pegawai di mana-mana kem Angkatan Tentera Malaysia. Ianya adalah peninggalan budaya tentera British. Malah batallion yang seratus peratus anggotanya Melayu beragama Islam pun mesti terdapat arak-arak dalam mes-mes pegawai iaitu didalam Rejiman Askar Melayu DiRaja.

Pada lewat 1970an, seorang pegawai Melayu yang baru dinaikkan pangkat telah diberi kuasa untuk memerintah satu Rejimen Askar Melayu DiRaja. Beliau berbincang dengan pegawai-pegawai bawahannya dan berkata “Kita semua ni Rejimen Askar Melayu, semua orang Melayu Islam, mengapa perlu kita ada arak-arak dalam kem ini, saya beri masa kamu semua seminggu untuk buat keputusan samada hendak meneruskan hidangan arak di kem ini”. Selepas seminggu semua pegawai di kem berkenaan bersetuju untuk tidak menghidangkan arak dalam kem berkenaan, lalu dipecahkan semua botol-botol arak dalam mes berkenaan. Rejimen Askar Melayu berkenaan telah memecah tradisi Angkatan Tentera Malaysia yang selama ini menjadi kemestian adanya arak-arak dijual di mes-mes.

Tak sampai seminggu berita berkenaan sampailah ke pengetahuan pemerintah tertinggi tentera ketika itu di Kementerian Pertahanan (MINDEF). Lalu pegawai memerintah Rejimen Askar Melayu berkenaan dipanggil mengadap Jeneral berkenaan. Jeneral (Melayu) berkenaan menyuruh supaya diletakkan semula arak dalam kem berkenaan. Pegawai tadi kata dia tidak akan meletakkan semula arak, kalau Jeneral hendak dia kena letak sendiri.

Selepas daripada peristiwa itu bermulalah beransur-ansur mes-mes ATM tidak lagi menghidangkan arak. Jeneral dan pegawai memerintah tadi terus melakukan tugas masing-masing tanpa insiden yang tidak diingini.

Kesimpulannya di sini ialah , orang Melayu untuk bangkit semula, mereka mestilah berani untuk menyuarakan kebenaran tidak kira dimana mereka berada. Menyuarakan kebenaran tidak semestinya dengan kekerasan, ianya adalah dengan diplomasi dan bijaksana.

Dan yang memegang amanah ialah mereka yang dilantik menjadi pemimpin, baik pemimpin di dalam setiap jabatan, pemimpin di peringkat kementerian mahu pun pemimpin parti politik pemerintah mahu pun pembangkang. Sekiranya mereka takut hendak bersuara dan bertindak maka orang Melayu akan menjadi satu bangsa yang bacul. Rasuah, jenayah, pecah amanah, maksiat akan berleluasa dan bermaharaja lela dalam umat bangsa Melayu.

Posted at 08:18 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Wednesday, November 09, 2005
Kaum Bumiputra masih lalai terhadap penindasan yang halus

Hari Raya yang amat mulia memang dialu-alukan; tetapi jangan kita terlalai walau sekejap terhadap penindasan berterusan terhadap bangsa unggul kita, Melayu dan seluruh Bumiputera.

Saya merasa benar-benar terkilan apabila membaca tentang kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang bertarikh 02/11/05 di Utusan Online, mendedahkan pengambilanalih syarikat-syarikat Bumiputera, apalagi oleh syarikat-syarikat bukan Bumiputera dan dari Singapura, contohnya syarikat Bumiputera Pantai Holdings Berhad dan dua anak syarikatnya, hingga boleh mengancam keselamatan negara. Lihatlah keangkuhan mereka, selepas itu, melakukan diskriminasi terhadap pekerja terutamanya eksekutif Bumiputera dengan digantikan dengan yang bukan Bumiputera dan juga dengan begitu angkuh, ingin membawa lebih ramai pekerja Singapura ke sini. Ini dengan alasan bangsa Bumiputera tiada kepakaran!

Sebenarnya, pengambilanalih oleh syarikat-syarikat dan rakyat Singapura memang telah lama berlaku secara senyap dan berleluasa terutamanya di Sabah dan Sarawak. Di sana, hingga di perkampungan Bumiputera yang terpencil pun, mereka cuba membeli tanah pesaka Bumiputera sedangkan Native Title tidak membenarkan tetapi yang menghairankan, ada yang dapat mengambilalih tanah-tanah pesaka kita ini. Sepatutnya kita perlu mengembalikan undang-undang ketat untuk memastikan kepentingan, hak dan warisan pesaka Melayu dan seluruh Bumiputera tidak akan tergadai walau dijanjikan kepentingan dan kemewahan ekonomi-materialisasi yang tinggi. Atau jangan sampai terjajah bangsa dan negara pesaka kita oleh pendatang asing ini.

Di samping itu, antara sebab mengapa ramai graduan Melayu menganggur, adalah sebahagian besarnya kerana diskriminasi, terutamanya oleh syarikat swasta bukan Bumiputera termasuk multinasional. Mereka begitu angkuh semasa menemuduga mementingkan kecekapan Bahasa Inggeris yang amat tinggi dan lihat juga di akhbar, terang-terangan dengan angkuh, mengiklankan graduan yang tahu berbahasa Kantonis atau Mandarin. Ini jelas diskriminasi kerana bahasa tersebut bukan bahasa Kebangsaan dan di samping itu, graduan-graduan bukan Bumiputera dari Singapura ramai yang bekerja di Malaysia dan pastinya, akan meningkat dari China juga mendapat peluang memohon. Sedangkan, saya pasti pekerja Bumiputera Malaysia ke Singapura begitu sedikit kerana keperluan bahasa Mandarin, yang juga mendiskriminasi ramai bangsa Melayu Singapura sendiri. Sedangkan bangsa Cina dari China dan Taiwan lebih dipentingkan dari bangsa Melayu Singapura dari apa yang dapat saya lihat di Singapura.

Oleh kerana itu, saya merasa musykil mengapa Ketua Pengarah Immigresen mahu mengambil ramai pegawai immigresen bukan Bumiputera yang berbahasa Cina untuk membantu rakyat Cina yang berkunjung ke Malaysia. Mereka ini sekurang-kurangnya perlu tahu berbahasa Inggeris, atau boleh diwakili oleh agen-agen pelancungan yang tahu; jadi kita tidak memerlukan pegawai immigresen yang berbahasa Cina (dan India). Bahasa kebangsaan kita bahasa Melayu. Di Ireland, semua pekerja immigresen dari bangsa Bumiputera Irish dan sekiranya pengunjung tidak tahu berbahasa Inggeris, mereka tidak akan berkompromi tetapi sebaliknya memerlukan pengunjung itu mendapat penterjemah yang bukan pegawai immigresen, yang akan disediakan oleh jabatan immigresen. Ini untuk memastikan pegawai immigresen yang mempunyai begitu besar kuasa untuk memberi laluan masuk bangsa asing dapat dipertahankan dengan ketat dan dari bangsa Bumiputera Irish, demi kepentingan bangsa Bumiputera Irish dan keselamatan negara.

Semasa rakyat Melayu dan Bumiputera yang lain sibuk berhari raya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan begitu beriya mencadangkan supaya kampung-kampung baru yang 80% penduduknya adalah bangsa Cina, diberikan pembangunan dan hak tanah segera di bawah RMK-9. Mengapakah dia hanya menjalankan kajian dan bertumpu kepada kampung-kampung baru ini, sedangkan kampung-kampung pesaka Melayu dan seluruh Bumiputera yang turun-temurun berzaman usianya, masih banyak tenggelam dalam kemiskinan. Saya mencadangkan menteri tersebut cuba berkunjung ke kampung-kampung pesaka Bumiputera ini terutamanya yang terpencil. Saya melihat sendiri kemiskinan yang amat daif di kalangan bangsa Melayu dan Bumiputera lain hampir di seluruh Malaysia, terutamanya yang terpencil, dari perkampungan orang Melayu dan orang Asli di Tasik Cini hingga ke perkampungan kaum Murut di sempadan Tawau dan kaum Rungus di Matunngong, Kudat. Kerajaan juga perlu memastikan kampung-kampung baru bukan hasil pengambilalihan tanah pesaka berzaman Bumiputera, yang rata-ratanya dahulu melaui rasuah. Walaubagaimanapun, bukankah ini tertakluk di bawah Kementerian Luar Bandar?

Di samping itu, tentang pemecatan ketua-ketua kampung dari Umno yang beragama Islam di pecat oleh UPKO, harus ditinjau dari sikap kebencian mereka kepada UMNO dan bangsa Bumiputera yang beragama Islam. Bangsa Bumiputera bukan Islam telah banyak dipengaruhi bangsa bukan Bumiputera dan evangelis Kristian (berpusat Amerika), apalagi kaum Kadazan Dusun dan Murut. Sehingga kaum Kadazandusun lebih dikenali sebagai Sino(-Cina)Kadazan, hasil perkahwinan bangsa Cina dengan kaum Kadazan yang berleluasa selama ini. Dan terus menyular kepada kaum Bumiputera bukan Islam yang lain. Kerajaan harus membela nasib ketua-ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK0, di Kuamut, Sabah dan memastikan Bumiputera Islam tidak didiskriminasi dan meningkat terutamya di Sabah dan Sarawak.

Noor Aza Othman
Ireland

Posted at 11:45 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Anwar akan berkempen, iringi calon PAS pada 27 November

PERMATANG PAUH: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka menyertai ribuan penyokong BA mengiringi calon PAS pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir, Kelantan pada 27 November nanti.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Keadilan Pusat, Mohd Azmin Ali, Anwar akan berkempen dan mengadakan ceramah secara besar-besaran bermula pada malam hari penamaan calon itu nanti.

“Beberapa program beliau sebelum ini terpaksa dipinda bagi membolehkannya berkempen membantu calon PAS dalam pilihan raya itu nanti,” jelas Azmin yang dihubungi Malaysia Today, semalam.

Anwar kini di Washington dan dijangka kembali ke tanah air 24 November.

Sekembalinya ke tanah air, beliau dan isterinya Presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah dijadualkan menyertai beberapa program penting termasuk mengadakan majlis rumah terbuka Eidul Fitri di Cherok Tok Kun pada 25 November dan di kediamannya di Damansara, sehari selepas itu.

Dalam pada itu, Keadilan akan memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada pucuk pimpinan PAS bagi mengekalkan kerusi Pengkalan Pasir.

“Saya telah mengarahkan Pengerusi Perhubungan Keadilan Kelantan, Nik Mahmood Nik Hassan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pimpinan PAS.”

Sehubungan itu, katanya Jawatankuasa Bersama antara PAS dan Keadilan telah dibentuk hasil kata sepakat pimpinan BA Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmin menghormati keputusan bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Dato’ Ibrahim Ali yang mengisytiharkan dirinya akan bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya itu nanti.

“Sebagai orang tempatan, beliau lebih mengetahui senario politik di Pengakalan Pasir, lebih-lebih lagi beliau juga mempunyai pengikutnya di sana,” kata Azmin.

Menjawab soalan akan berlaku perpecahan undi BA, “Hal strategi politik ini kita tidak boleh umumlah,” katanya sambil ketawa.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Wan Abdul Aziz Wan Jaafar, 55, dari PAS pada 31 Oktober akibat kanser hati.

Pada pilihan raya umum lepas Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional Hanafi Mamat dengan majoriti 56 undi.

Allahyarham memperolehi 7168 undi sementara Hanafi mendapat 7112

Pengkalan Pasir adalah antara 24 kawasan daripada 45 kerusi DUN Kelantan yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum itu manakala 21 lagi dimenangi oleh BN.

Seramai 18,411 pemilih termasuk 195 pengundi pos, layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu yang dijadualkan berlangsung 6 Disember depan.

Posted at 11:35 am by infojiboi
Klik Untuk Komen  

Kaji punca kemalangan sebelum bertindak

TAMBAH masa latihan untuk kelas memandu, tarik serta-merta lesen pemandu yang cuai, kenakan hukuman maksimum, hanya 10 tahun pengalaman boleh memandu kenderaan awam dan pelbagai lagi kenyataan yang dikeluarkan terutamanya di peringkat kepimpinan negara dan kementerian.

Segalanya menggambarkan seolah-olah kes kemalangan jalan raya akan dapat dikurangkan jika langkah sedemikian diambil.

Sebelum kita pergi lebih jauh bentuk tindakan yang perlu diambil, apakah punca sebenar kemalangan jalan raya di negara ini telah di kenal pasti? Saya kira Majlis Keselamatan Jalan Raya dan beberapa agensi lain serta institut pengajian tinggi ada membuat kajian terperinci mengenai punca kemalangan jalan raya di Malaysia dan telah mengesyorkan beberapa cadangan yang perlu diambil.

Persoalannya adakah kajian ini didedahkan kepada umum untuk dinilai serta diberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan maklum balas?

Untuk menyelesaikan sesuatu masalah, perlulah dikenal pasti puncanya terlebih dahulu. Setelah dikenal pasti puncanya maka hendaklah dikenal pasti cara penyelesaiannya pula. Dan punca ini hendaklah berasaskan kepada statistik dan fakta bukan andaian semata-mata.

Punca kemalangan jalan raya ini hendaklah diletakkan prioriti atau keutamaan mana yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jika statistik menunjukkan punca kemalangan jalan raya pada musim perayaan adalah akibat pemandu yang mabuk adalah yang tertinggi maka penyelesaian kepada masalah pemandu yang mabuk harus dicari.

Pemandu yang menjalani latihan 100 jam sekali pun dan mempunyai 20 tahun pengalaman sekiranya dia mabuk akan mendatangkan risiko kepada diri mereka sendiri dan nyawa orang lain. Begitulah juga kepada pemandu yang mengambil dadah, ganja dan pil khayal.

Sekiranya statistik di sesuatu tempat itu menunjukkan bahawa keadaan jalan raya yang tidak sempurna adalah punca kemalangan tertinggi di tempat tersebut maka pendekatan kejuruteraan haruslah diambil untuk memperbaiki keadaan jalan tersebut. Kompaun dan denda yang maksimum tidak akan dapat menyelesaikan masalah kemalangan yang tinggi di kawasan tersebut.

Begitulah juga jika statistik di kawasan lain pula menunjukkan bahawa pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu adalah penyebab tertinggi kes kemalangan di tempat tersebut maka satu tindakan yang komprehensif haruslah diambil untuk memastikan tiada pemandu yang memandu kenderaan tanpa lesen memandu.

Menambahkan lagi masa latihan memandu, akan menambahkan kos serta masa. Ia akan menjauhkan lagi mereka yang tiada lesen memandu untuk mengambil lesen memandu. Begitu juga menggantung lesen memandu mereka yang kerap melakukan kesalahan (pemandu tegar) tidak akan menghalang mereka ini daripada terus memandu tanpa lesen.

Mungkin juga ada hasil kajian yang menunjukkan pemandu di Malaysia ini menghadapi masalah jiwa atau psikologi yang mendorong mereka sentiasa ingin memandu dalam keadaan terburu-buru, tidak suka dicabar di jalan raya, sentiasa ingin cepat sampai dan seterusnya.

Jika statistik menunjukkan punca sebegini banyak berlaku akibat kesesakan jalan raya atau tekanan hidup maka penyelesaian secara psikologi atau batiniah pula yang perlu diambil.

Di Amerika Syarikat contohnya, mereka ada persatuan yang diberi nama MADD (Mothers Against Drunk Drivers) iaitu Persatuan Ibu-Ibu Yang Menentang Pemandu Mabuk. Persatuan ini ditubuhkan untuk melindungi anak-anak mereka daripada pemandu mabuk di mana mereka memberikan program kesedaran kepada para remaja agar tidak memandu dalam keadaan mabuk. Apa salahnya di Malaysia ini atas inisiatif rakyat sendiri menubuhkan persatuan yang sedemikian?

Persatuan ini boleh memberikan cadangan kepada kerajaan agar menghalang atau mengehadkan penjualan arak pada musim perayaan atau hujung minggu, terutamanya di kedai-kedai 24 jam yang mudah didapati di Malaysia ini.

Apa yang peliknya ialah ujian memandu di Amerika Syarikat adalah begitu mudah, namun ia tidak pula melahirkan ramai pemandu yang suka memotong laluan, pemandu yang kerap membunyikan hon, pemandu yang membuang sampah dari tingkap kenderaan. Malah tiada dikenakan syarat perlu menjalani latihan selama sekian jam dan sebagainya.

Apa yang perlu mereka lakukan ialah cuma ujian mata, sama ada rabun dekat, rabun jauh atau rabun warna. Kemudian ujian objektif yang begitu mudah dan murah. Jika gagal hari ini, boleh datang esok. Jika gagal esok boleh datang lusa. Sehinggalah kita boleh menghafal semua soalan dan jawapan yang diberikan.

Selepas itu barulah diadakan ujian memandu yang juga begitu mudah. Jika gagal hari ini, boleh datang esok dan seterusnya.

Apakah pemandu di Malaysia ini memberontak secara senyap kerana setelah melalui ujian memandu yang begitu lama, payah dan mahal mereka boleh memandu dengan sewenang-wenangnya kerana mereka memiliki lesen memandu yang paling sukar untuk lulus di dunia?

Posted at 10:57 am by infojiboi
Comment (1)  

Previous Page Next Page