Entry: Kagum amalan serba sederhana Arab Saudi Monday, August 15, 2005



Saudara Pengarang,
PENGKEBUMIAN Raja Fahd yang mangkat pada 3 Ogos 2005 menyentuh perasaan.

Almarhum Raja Fahd diselimuti kain kapan yang sama seperti yang kita lihat apabila sanak saudara atau jiran tetangga kita yang meninggal dunia.

Jenazah baginda diusung ke tanah perkuburan dengan dipikul sama seperti yang kita lakukan di kampung. Tiada perbarisan ketenteraan, tiada dentuman meriam, tiada bunyi tembakan senjata api.

Juga tiada payung kuning mengiringi jenazah. Tiada iringan kuda. Jiwa mana yang tidak tersentuh melihat semua itu. Bukankah ini kesederhanaan yang sepatutnya menjadi amalan kita tanpa mengira pangkat dan kedudukan?

Kubur Almarhum Raja Fahd hanya bertanda dua batu nisan biasa. Tiada batu nisan berukiran atau makam bertulis dakwat emas. Tiada monumen dibina untuk beliau. Beliau dikuburkan di perkuburan yang sama seperti rakyat jelata.

Inilah amalan yang diamalkan oleh sebuah negara Islam sepenuhnya. Apakah kita mengamalkan kesederhanaan yang sama seperti itu?

Inilah kebenaran Islam, iaitu kita semua tiada bezanya di sisi Yang Esa. Kedudukan dan pangkat hanya sementara dan janganlah kita berlebih-lebihan sehingga ke perkuburan. - ROSLI BASIRAN, Balakong, Selangor.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments